MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

URUTAN 'DRAMA RAMPASAN SENJATA K-15'

KERAJAAN BN SELESAIKAN 'DRAMA' DENGAN PELAN B!!

Sebelum memulakan analisis kali ini Minda Rakyat ingin memaklumkan kepada anda, terutama bagi anda yang kini berada di luar negara, bahawa analisis ini adalah yang terakhir dari 3 siri sebelum ini yang memaparkan urutan 'drama rampasan senjata' sejak pagi Ahad lalu. Anda yang ketinggalan boleh mendapatkan analisis itu di link di bawah:
Analisis 2:Isu K-15: Keterangan Yang Bercanggah
Analisis 1:Adakah Mahathir Akan Istihar Mageran?

Dengan berita dan pendedahan oleh Utusan Meloya hari ini (6 Julai) bermakna jawapan kepada drama yang diilhamkan oleh seorang sutradara yang sedang hanyut dalam mimpi indahnya kini bertukar menjadi mimpi-mimpi ngeri. Demikianlah riwayat akhir catatan sejarah seorang pemimpin negara yang durhaka kepada anak watan, sanggup mengandai nama dan maruah negara demi kepentingan politik murahan mahu terus berkuasa dengan rakus ....

Drama rampasan senjata yang bermula pagi Ahad lalu memang mencetuskan 'kontroversi' di kalangan rakyat negara ini. Melalui tinjauan rambang yang dibuat, majoriti rakyat tidak percaya wujudnya sebuah kumpulan (Kumpulan 15) yang sanggup mendedahkan diri mereka kepada bahaya serta menjadi petualang kepada keharmonian dan ketenteraman negara. Malahan penulis-penulis siber sudah meluahkan pandangan mereka tersendiri yang menafikan perbuatan 'khianat' kepada bangsa dan tanah air itu dilakukan oleh anggota sebuah organisasi yang mereka hormati, apa lagi jika ia hendak dikaitkan dengan PAS atau KeADILan.

Semenjak sejarah penubuhan PAS berdekad lalu, prinsip perjuangan 'melalui senjata' masih belum terfikir oleh mereka. Justeru itu PAS komited berjuang melalui pilihan raya, meski pun tahu pertandingan itu kini 'berat sebelah'. Cubaan mengaitkan ahli BA seperti KeADILan juga tidak dapat diterima, setelah tangkisan dibuat melalui fakta tertentu tentang wujudnya kepimpinan KeADILan yang rakus dan agresif dalam perjuangan mereka, namun sebenarnya kebenaran itu tetap terserlah jua.

Hasil pendedahan Utusan Meloya hari ini nyata angkara Kumpulan Al-Mauna yang disebut sebagai melakukan rampasan senjata adalah meletakkan 'harga malu' sebuah kerajaan demokrasi yang selalu memuji diri tentang kepimpinan terbaik mereka dan Malaysia Boleh!

Majoriti rakyat yang sempat ditemui, tidak pernah mendengar nama Al-Mauna dan sekali pun jika ada kumpulan itu yang didakwa sebagai mengamalkan ajaran sesat, nyata kenyataan melulu oleh pimpinan negara amat memalukan apabila cuba mengaitkannya dengan isu politik semasa negara.

Kenyataan PM pada hari Ahad lalu sungguh terburu-buru dan ini mencerminkan beliau mempunyai sangkaan buruk terhadap saingan politiknya yang terdiri dari kepimpinan parti pembangkang. Dalam hal ini kita sewajarnya merakamkan tahniah kepada kepimpinan BA seperti Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz, Dato' Haji Fadzil Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, DA Wan Azizah Wan Ismail dan lain-lain kepimpinan BA kerana mereka tidak melatah apabila drama rampasan senjata itu dimulakan Ahad lalu. Telah terbukti kepada kita bahawa kepimpinan BA tidak akan sanggup melakukan apa sahaja yang boleh merosakkan perjuangan kita untuk memenangi pilihan raya tahun 2004, apa lagi di saat-saat perjuangan mereka sudah sinonim dengan hasrat majoriti rakyat negara ini. Sekali lagi kita ucapkan tahniah kepada mereka.

Mengakhiri analisis drama rampasan senjata oleh K-15 juga kita perlu melihat beberapa pengiktibaran dari peristiwa tersebut. MR berharap para penulis siber sudi untuk membuat analisis tersendiri dengan memfokuskan apakah kesannya apabila sebuah 'drama rampasan senjata' dari pelan A terpaksa menjadi pelan B, setelah momokan media dan kepimpinan negara ditolak bulat-bulat oleh rakyat yang sudah cerdik dan matang informasi.

Dalam hal ini kita melihat bahawa sememangnya Utusan Meloya mendahului media lain dalam apa  jua bentuk maklumat mengenai drama rampasan senjata ini. Kita merasakan bahawa kenyataan ini seolah-olah menggambarkan memang ada perancangan tersendiri di pihak 'sutradara' yang mengarahkan drama ini. Namun untuk melaksanakan pelan A yang pastinya satu usaha dan cubaan mengaitkan kepimpinan BA dengan drama ini dilihat sebagai satu percubaan telah gagal di hati rakyat. Bagaimana pun ini adalah bukti usaha terburuk yang diperlihatkan oleh kepimpinan negara masa kini untuk melabelkan perjuangan Islam sebagai radikal dan fanatik.

Untuk itu 'sutradara' terpaksalah mengalihkan jalan cerita ke pelan B untuk menutup malu yang kian terbuka. Analisis oleh Panglima Sauk begitu jelas apabila beliau menulis:

"Kalau kita baca laporan di akhbar dan juga meneliti gambaran dan bayangan yang ditunjukkan di kaca TV kita mungkin mahu bertanya, kenapakah berita episod rompakan tentera itu dibiarkan tersebar luas seolah-olah tidak ada elemen rahsia kenegaraan yang perlu diperamkan?  Apakah kerajaan tidak merasa malu dengan episod itu sehinggakan membenarkan media massa bermaharajalela membuatkan laporan yang menyeluruh terhadapnya? Apakah pihak tentera sendiri tidak memikirkan elemen rahsia ketenteraan yang tergugat dengan tersebar luasnya episod itu?   Semakin lama perkara ini berlalu, semakin ramai pemberita luar akan datang berpusu, semakin kalut lagi analisis rakyat yang ingin serba tahu. Apakah jadinya nanti, terbukakah rahsia sebenarnya episod ini?"

Sebenarnya inilah yang patut diinsafi oleh rakyat jelata. Jika selama ini kita disogokkan dengan tompokan 13 di atas tilam yang jenamanya belum wujud, kondominium yang belum dibangunkan, arahan rasuah kuasa yang keliru, dan hasil ujian DNA yang meragukan, racun arsenik dan lain-lain adalah percubaan untuk mengelirukan rakyat dengan momokan media perdana yang nyata seratus peratus dikuasai oleh parti memerintah. Kita sudah menyarankan rakyat supaya memiliki internet yang nyata begitu global sehingga penipuan yang ketat sebegini perancangannya dapat dipatahkan dengan kerjasama dan maklumat semua rakyat jelata yang terlibat.

Sudah sampai masanya kita mengalihkan perhatian kita kepada kebenaran maklumat internet yang selama ini disogokkan sebagai propaganda fitnah kepada negara. Sebenarnya kepimpinan negara hari ini patut menginsafi bahawa perbuatan salah laku mereka sudah dipaparkan di merata dunia melalui kaca PC dan talian globalisasi itu.

Minda Rakyat ingin merakamkan ucapan terima kasih khusus kepada 'perisik khas' yang menyalurkan maklumat sebenar di tapak kejadian di Kg. Jenalek Hilir, Sauk, sejak 2 hari lalu. Tulisan Panglima Sauk dan maklumat 'perisik' berkenaan yang terlibat dalam kejadian sebenar drama ini menguatkan kenyataan bahawa kepimpinan BN sanggup melakukan apa sahaja demi mahu mengekalkan imej mereka yang kian lama kian merudum sebagaimana jatuhnya pasaran saham minggu lalu.

Kita percaya sesungguhnya percubaan pertama kali ini akan diikuti dengan beberapa kali lagi percubaan di hari akan datang yang mungkin kepimpinan BA akan diheret dalam tragedi yang sewaktu dengannya. 

Kita perlu memberikan amaran kepada seluruh kepimpinan BA terutama Tuan Guru Haji Hadi Awang supaya lebih berhati-hati kerana sasaran kepimpinan BN sekarang memfokuskan kepada isu royalti minyak di Terengganu. 

Sebelum mengakhiri analisis 3 siri ini, MR sekali lagi berharap penulis-penulis siber kembali memfokuskan penulisan mereka kepada isu yang lebih penting dan agenda utama perjuangan rakyat untuk menegakkan keadilan di negara ini. Isu pencabulan dan perbuatan rasuah kuasa oleh Mahathir Mohamad bukan isu yang ringan kerana beliau melindungi pemimpin yang lain yang mengamalkan rasuah. Anggaplah drama rampasan senjata sebagai satu dari drama swasta terbaik 'sutradara' unggul negara selepas konspirasi terkemuka tuduhan salah laku seks ke atas DSAI.

Biarlah kita melihat bagaimana tempangnya sutradara berkenaan menyudahkan jalan ceritanya yang telah diketahui oleh penonton akan akhiran cerita tersebut.

Minda Rakyat

 

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com