|
ADAKAH MAHATHIR AKAN ISTIHARKAN MAGERAN? Sesungguhnya apabila negara di tahap kritikal dan terancam terutama dari sudut keselamatan, PM dengan restui YDP Agong boleh mengistiharkan darurat. Pada masa ini Mageran (Majlis Gerakan Negara) akan dilaksanakan. Dengan keadaan ini juga bererti kuasa seorang PM tidak boleh diganggu gugat sehingga ke suatu tarikh yang difikirkan oleh PM negara kembali pulih dan keadaan abnormal kembali menjadi normal. Mengapakah analisis ini timbul? Kejadian rampasan senjata oleh sekumpulan lelaki yang berpakaian lengkap dan bersenjata di kem tentera Banding dan Pengkalan Hulu beberapa hari boleh dianalisis melalui pelbagai cara. Apa yang sangat meragukan hingga ke saat ini tidak jelas matlamat kumpulan '15 budak hitam' yang tiba-tiba muncul di saat suasana politik yang menjurus kepada mendedahkan kepincangan salah laku seorang PM akan amalan rasuah politik mampu mengheret beliau ke kancah persidangan mahkamah, sebagaimana yang dilalui oleh musuh politiknya DSAI yang dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun mulai April tahun lalu. Tindakan kumpulan lelaki 15 itu boleh disifatkan sebagai 'tidak bijak' apabila merampas senjata dan percubaan mereka keluar ke bandar besar melalui lingkaran jalan yang sempit di daerah Hulu Perak. Ini mendedahkan diri mereka kepada kepungan polis dan anggota tentera dan kemungkinan-kemungkinan mereka akan ditangkap. Insiden kebenaran 'rampasan senjata' itu juga amat diragukan apabila beberapa buah helikopter tentera Jumaat lalu berlegar di sekitar ruang udara Lembah Kinta menuju ke utara. Perligaran helikopter tentera Jumaat lalu menimbulkan kesangsian penduduk negeri Perak kerana seolah-olah berlaku kejadian di luar kebiasaan sehingga memaksa pihak tentera memeriksa keadaan keselamatan negara yang berada dalam ancaman. Bagaimana pun ia tidak boleh dikaitkan dengan rampasan senjata oleh kumpulan 15 lelaki kerana kejadian rampasan senjata yang berlaku itu adalah pada keesokan harinya. Apakah benar kumpulan 15 ini dalam cubaan menghambat seorang diktator yang kian dibenci oleh rakyat hari ini? Analisis ini mungkin boleh diterima kerana percubaan mereka keluar dari Hulu Perak dan menuju ke bandar raya Ipoh. Isnin lalu sekumpulan ahli politik parti UMNO mengadakan mesyuarat mereka di bandar raya Ipoh. Mesyuarat MT itu dipengerusikan oleh PM sendiri. Kawalan ketat dilakukan ketika majlis bermesyuarat, ketibaan dan kepulangan PM. Namun untuk diterima hakikat bahawa hasrat kumpulan 15 untuk melakukan sesuatu ke atas kesempatan mesyuarat itu diadakan, juga tidak dapat diterima kerana melakukan suatu tindakan secara agresif melibatkan pertumpahan darah adalah tidak mungkin, apa lagi dalam keadaan tempat dan lokasi mesyuarat MT UMNO yang dijadualkan di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang dipagari kemas dan sentiasa dalam kawalan. Lagi pun ketumbukan anggota polis hutan di kem Ulu Kinta mampu hadir dalam masa beberapa minit untuk menghulur bantuan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku. Percubaan memalukan Najib? Justeru itu selain dari analisis yang berbentuk ancaman kepada keselamatan negara, anda mungkin terfikir dari penganalisis lain yang mengemukakan analisis rampasan kuasa oleh kumpulan 15 itu bermotifkan politik. Ia mungkin satu percubaan menjatuhkan Najib selaku Menteri Pertahanan. Kemungkinan ini dapat diterima kerana seorang Menteri yang cuai akan keadaan keselamatan dalam negara perlu disingkirkan. Apatah lagi Najib tidak begitu digemari oleh para pengundi di tempatnya dan masa depan Najib begitu rapuh sekali. Untuk menggantungkan harapan kepada Najib adalah tidak mungkin bagi Mahathir untuk melanjutkan kekuasaannya sehingga beliau 'dipencenkan' oleh Allah swt. Selain dari analisis-analisis ini tiada sebab yang mendorong berlakunya rampasan senjata kerana jika mereka berminat kepada wang, kumpulan ini boleh merompak beberapa buah bank yang pastinya lebih baik dan dalam strategik mudah kerana bantuan yang dihulurkan ke Pengkalan Hulu terpaksa memakan masa yang agak lama untuk sampai. Ini disebabkan laluan darat di kawasan ini belum begitu baik untuk bergantung harapan kepada bantuan. Anihnya kumpulan 15 lelaki ini menuju ke bandar yang pasti mendedahkan diri mereka kepada bahaya. Kenapakah tidak mereka menuju ke sempadan Malaysia - Thailand kerana jika tidak menyeberang sempadan sekali pun di situ mereka mudah bersembunyi? Hingga analisis ini dibuat media melaporkan sudah 3 orang awam ditangkap untuk dijadikan tebusan. Tetapi tiada sebarang tuntutan yang dibuat dan identiti orang kampong tersebut tidak diketahui. Terperangkapnya kumpulan 15 lelaki dalam satu perkampongan orang Melayu di daerah Sauk, Kuala Kangsar adalah cerminan kebodohan ahli kumpulan 15. Apakah mereka mahu menjadi hero sebagaimana kumpulan Abu Sayyaf yang membawa lari 28 orang tebusan sehingga kini masih belum dibebaskan kecuali beberapa orang dari mereka. Laporan berbalas tembakan yang dinafikan oleh anggota pasukan keselamatan menguatkan kebodohan anggota kumpulan 15. Jika benar bukan berbalas tembakan, perlu apa lelaki dalam kumpulan 15 mencuba senjata tersebut? Apakah satu rencana yang besar merampas beratus unit kelengkapan senjata dan peluru, ketika ini baru mahu mencuba senjata? Sungguh tidak ada logika langsung!! Hanya yang ada di hadapan kita ialah kesempatan huru hara yang sudah lama dirancangkan oleh Mahathir semenjak sebelum pilihanraya lagi belum dilaksanakannya. Ini mungkin analisis yang dapat diterima. Mahathir tahu bahawa tabung kewangan negara sudah kering dan para pelabur luar negara khasnya sudah enggan memasuki pelaburan dalam negara. Tuntutan royalti oleh Terengganu terpaksa dilunaskan oleh Petronas dalam keadaan tidak rela oleh Mahathir. Ekonomi Dalaman Yang Kian Runcing 10 Julai nanti Parlimen akan bersidang dan Mahathir terpaksa berhadapan dengan peluru yang akan ditempiaskan oleh Barisan Pembangkang. Keadaan ekonomi negara kian gawat dan Mahathir sendiri akan dituduh melakukan 'rasuah kuasa' sebagaimana yang pernah dituduh ke atas DSAI. Apakah lagi alasan Mahathir untuk berselindung dan mengelakkan diri, sedangkan jika boleh Mahathir tidak mahu sama sekali isu ini dibangkitkan. Jika tidak kerana isu pengakuan oleh Datuk Shafiee Yahaya itu sekalipun, Mahathir sudah kehabisan modal bertahan dalam Parlimen apabila petunjuk ekonomi negara begitu lembap sekali. Mahathir mungkin menghadapi isu 'undi tidak percaya' yang akan diajukan oleh pembangkang, sekali pun mereka tidak cukup bilangan untuk memenangi undian itu. Tetapi Mahathir bukan sahaja dibenci oleh barisan pembangkang. Malahan sudah wujud kebencian di kalangan anggota Parlimen BN sendiri yang mahu menyingkirkannya meskipun tidak berani untuk menyatakannya secara terus terang dan diselubungi ketakutan. Namun jika usul ini sudah dibuat oleh pembangkang berkemungkinan Mahathir menghadapi zaman kelam adalah satu kenyataan adalah tidak mustahil. Ini tidak bermakna negara akan menghadapi satu lagi pilihan raya. Jika Mahathir disingkir, PM yang baru akan dilantik dari kalangan BN sendiri (yang berkemungkinan seorang bukan Melayu he.. he.. he). Apa pun ini hanya satu analisis ringkas untuk melihat dan membuka minda kita kepada realiti yang berlaku. Kita berharap negara yang aman tidak diganggu gugat oleh anasir yang merosakkan keselamatan negara. Jika anasir itu datangnya dari percubaan seorang ahli politik sekalipun ia mesti dinyahkan! Ada pendapat yang cuba mengaitkan kepimpinan BA dengan insiden ini. Ini sungguh merupakan satu pandangan cetek kerana perjuangan BA kini sudah begitu melebar. Yang terancam di saat ini ialah BN dan bukannya BA. Merosakkan perjuangan yang kian utuh dengan perbuatan yang merosakkan agenda kemenangan yang bakal dicapai, adalah tidak mungkin dilaksanakan. Apa yang pasti, semenjak peristiwa 'rampasan senjata' ini mula tersiar Ahad lalu, isu pengagihan royalti minyak oleh Petronas kepada Terengganu dan isu kenyataan Datuk Shafiee Yahaya yang mendapat tempat di akhbar harian media perdana sudah pupus sama sekali. Ianya digantikan dengan 'drama rampasan senjata' yang mendapat liputan luas media. Dipercayai juga perkumpulan wartawan sedang membanjiri daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar. Jika analisis ini benar, Mahathir berjaya mengalihkan pandangan rakyat ke atas tuduhan yang bakal diterimanya dan beliau juga dipercayai akan mengistiharkan Mageran untuk ketenangannya berkuasa mutlak sepanjang sekurang-kurangnya lima tahun lagi!! Minda Rakyat |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|