minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG138

Wawasan Yang Kabur
(MGG  Astigmatic Vision)

MGG Pillai

Apabila menteri pendidikan, tidak kiralah siapa namanya, membuat pengumuman  akan satu dasar baru  yang dilakarkan begitu terburu-buru, tanpa penilaian yang jitu semata-mata untuk menandingi apa yang dilakukan oleh setiap perdana menteri sebelum itu.   Ketika Paklah menjadi menteri pendidikan dulu dia telah memperkenalkan sekolah bersekutu, Anwar Ibrahim telah melaksanakan Melayu Baku, Najib Tun Razak pula dengan sekolah bistarinya dan kini Musa Mohamed dengan sekolah wawasan pula. Kecuali konsep yang terakhir ini, semua konsep yang diperkenalkan itu lingkup tanpa pusaranya. Kalau ada pun persamaan dalam semua itu, ialah untuk menunjukkan kepintaran menteri pendidikan  sedangkan samada pihak pelajar akan menikmati manfaat darinya tidak menjadi soalan yang utama.

Inilah mainan politik namanya. Pada satu ketika dulu, 400 ahli perwakilan yang menghadiri persidangan tahunan UMNO adalah  daripada  bidang perguruan kerana inilah yang  dijadikan satu  batu loncatan untuk  ahli politik UMNO naik ke atas.  Apabila politik menjadi kelam kabut, jawatan menteri pendidikan itu diserahkan kepada seorang Melayu Sarawak, Sulaiman Daud.  Itu pun tidak berkekalan kerana jawatan itu diambil semula oleh orang UMNO. Apabila Musa Mohamed mengambil alih kementerian pendidikan dia telah menggantikan konsep bistari dengan sekolah wawasan. Secara teknikalnya  konsep itu tidak mengena tetapi itulah kebenarannya. Tiga ratus juta ringgit telah dirancangkan untuk menyediakan   90 sekolah bistari dengan kelengkapan komputer. Inilah yang sepatutnya dimulakan  dua tahun yang lalu. Tidak pun ada yang dimulakan dan menteri berkenaan kini ada di kementerian pertahanan.

Musa mahukan sekolah berwawasan dan beranggapan semua  orang mahukannya. Tetapi dia tidak  jelas dengan konsepnya dan selalu bercelaru sehingga membuatkan semua orang jadi keliru. Rancangannya itu dikatakan hasil kerja dan kajian yang bertahun lamanya. Lagi pun kabinet bersetuju konsep itu bersesuaian untuk kanak-kanak, dan sesiapa yang tidak bersetuju adalah komunis ataupun penyangak. Tentunya mereka yang tidak ingin anak-anak mereka mempunyai wawasan digolongkan dalam kumpulan yang  membangkangnya.

Para pendidik Cina dan juga kumpulan Suqui  mempunyai beberapa keraguan mengenai konsep itu yang memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan. Apabila keraguan itu tidak berjawab bererti perkara itu menjadi isu politik. MCA yang pernah menyokong  konsep sekolah wawasan itu tidak pula tahu konsep itu sepenuhnya. Tetapi itu juga yang diketahui oleh menteri berkenaan. Itu sebabnya ia menjadi isu kempen dalam pilihanraya kecil Lunas sehinggakan semua orang terus menjadi keliru lagi.

Musa pernah berkata bahawa sekolah Cina dan Melayu (tetapi  sekolah Tamil tidak pula disebutkannya) akan  berkongsi guna pelbagai kemudahan sekolah, sambil terus menumpukan kepada kurikulum yang biasa. Dia fikir keadaan ini akan memberi ruang kepada setiap kanak-kanak bebas berinteraksi antara satu dengan yang lain  tanpa sebarang prejudis.  Ini bererti semua sekolah yang akan dibina perlu mengambil-kira kemudahan ini.

Pada dasarnya memang tidak ada sesiapa yang mempersoalkan perkara ini. Tetapi, apabila penekanan dibuat terhadapnya ia seakan-akan satu peraturan yang terpahat di batu bersurat. Sesiapa yang mempersoalkannya dianggap seorang petualang negara dan lebih teruk lagi apabila Mahathir Mohamad naik berang mengenainya. Ketika dia berjumpa dengan sekumpulan pendidik kaum Cina sepatutnya dia memberikan penjelasan lanjut mengenainya. Sebaliknya dia telah memarahi mereka. Pada tahap awalannya saya tidak pun mengambil kisah akan perkara ini tetapi akhirnya saya menelitinya juga dan membincangkan dengan beberapa pendidik Cina yang tidak ada seorang pun yang menyetujuinya.

Kebanyakan sekolah Cina samada di bandar ataupun di pekan-pekan terletak di kawasan yang sungguh mahal harga tanahnya. Ramai peniaga Malaysia Inc. Mereka  memang lama mengidamkan tanah itu dan sanggup membina sekolah di tapak yang lebih murah sebagai galang ganti kepada tanah yang berharga itu.  Saya pernah membincangkan perkara ini dengan beberapa pemimpin Barisan Nasional yang enggan membuat sebarang komen. Ini menunjukkan ada cerita udang di sebalik batu.

Setakat ini belum ada ketentuan siapa yang akan membina sekolah-sekolah itu. Kerajaan sudah mengambil sikap tidak akan membina sekolah di tapak tanah yang tidak dimilikinya.  Pada sekitar 1960-an, kerajaan telah bertindak menukar  sekolah prebet dan  yang dinaungi gereja dan biara untuk menjadi  sekolah jenis kebangsaan. Kerajaan berjanji untuk membina sekolah untuk jenis ini tetapi janji-janji itu hanya tinggal janji sahaja. Malahan sejak 40 tahun yang lalu tidak ada pun satu sekolah Cina yang dibina oleh kerajaan ataupun sekolah naungan gereja. Menteri MCA yang bertanggungjawab ketika itu dalam hal ini sudah pun menonjolkan mukanya di khalayak ramai untuk meminta maaf kerana mengelirukan mereka.

Masyarakat Cina amat curiga dengan kemungkinan  berlakunya penganiayaan terhadap sekolah Cina  seandainya mereka menerima konsep sekolah wawasan itu.  Apabila dasar pendidikan  disogok tanpa  sebarang perbincangan awal mengenainya,  kisah silam mengimbau kembali dan membuatkan mereka bertambah curiga. Lagi pula disebabkan tekanan politik menteri  berkenaan telah meminta  para pengkritik agar sanggup melakukan  sedikit penyesuaian  dalam kempen politiknya di Lunas dulu.

MCA dan Gerakan tidak boleh bercakap sebagai mewakili kerajaan. UMNO pun tidak sanggup berbuat demikian. Perkara ini terus tergantung tanpa ada penyelesaian selagi dasarnya masih lagi menjadi tanda tanya.  Semalam (29 November 2000) parlimen telah diberitahu bahawa setiap sekolah bantuan kerajaan yang tidak diperlukan membayar  cukai pintu pada kadar RM1 setiap tahun akan dikenakan kadar  biasa perniagaan. Sudah tentu ini akan menyusahkan banyak sekolah yang ada. Peraturan ini tidak pula menyangkuti Sekolah Tamil kerana mereka dianggap sebagai marginal sahaja.

Konsep sekolah wawasan, betapa baik sekali pun memang  mempunyai banyak  kelemahan daripada awalnya lagi. Ia sudah sedia mempunyai penentang yang tidak  sanggup beralah dan berbincang untuk  mencari jalan penyelesaian. Tetapi perkara ini tidak mudah dileraikan  kerana kedua pihak sudah berenggang terlalu jauh.  Kalau pihak kerajaan masih bertegas dalam hal ini, ia harus bertindak untuk meredakan keadaan dengan melakukan penjelasan yang terang. Kalau ini dapat dilakukan, barulah kumpulan Cina dijangka mampu untuk memahami keadaan sebenarnya.

Terjemahan Marhain Tua (MT)

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter