minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

PENULIS SUMPAH-SUMPAH?

Memang wujudkah penulis sumpah-sumpah di kalangan masyarakat kita.? Samada kita menjawab ia atau tidak, tulisan Ilazahg Hetal dalam Berita Minggu 26.11.2000 membayangkan kewujudan penulis sedemikian. Sentuhan Ilazahg itu termasuk mereka yang selalu menulis di alam siber (internet) di samping mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana kepunyaan kerajaan atau penyokong kuat kerajaan.

Soalnya mengapa terjadi demikian dalam masyarakat dan negara kita? Penulis juga orang biasa bukan? Mereka perlu bekerja, mereka perlu pendapatan, bahkan mereka perlu cari makan! Tulis Ilazahg “tetapi apabila ada penulis kita yang menulis dalam akhbar parti pembangkang lalu mengutuk kerajaan, dalam waktu yang sama menulis dalam akhbar arus perdana, memuji kerajaan , makhluk yang begini sukar di jeniskan (Berita Minggu, Perspektif, hlm.9)". Lalu kemudian beliau menamakan penulis sedemikian sebagai penulis sumpah-sumpah.

Seperti yang telah saya singgung dalam tulisan yang terdahulu mengenai media massa era BN, kebebasan menulis di negara kita amat terhad sifatnya. Jika seseorang penulis menulis bertentangan dengan dasar media  arus perdana, tentulah tulisannya akan dibakulsampahkan sahaja oleh sidang editornya. Saya teringat pesanan Almarhum Ahmad Boestamam melalui tulisannya bahawa “jangan sekali-kali anda membuat ulasan tentang hal-hal politik atau lainnya yang tinggi-tinggi .Seolah-olah anda penulis tajuk rencana pula. Anda akan dianggap mengada-mengada dan akibatnya besar kemungkinan tulisan anda tidak akan disiarkan. Apatah lagi jika tulisan itu bertentangan dengan dasar surat khabar berkenaan ( Ahmad Boestamam, Bagaimana Menjadi Seorang Penulis, hlm.18) .

Berbagai-bagai akta diwujudkan demi untuk mengekang kebebasan media. Kekangan itulah yang menyebabkan wujudnya penulis sumpah-sumpah. Mengapa Ilazahg tidak pula menyebut pengundi sumpah-sumpah? Sedangkan Tuan Guru Nik Abd.Aziz pernah menyarankan “kalau mereka beri kita ambil, tetapi bila kita pangkah, kita pangkah lain.”Ini bukanlah soal talam dua muka. Penulis-penulis sedemikian, seperti juga pengundi-pengundi sebegitu  telah cuba memilih jalan yang paling selamat selaras dengan gagasan Ustaz Nik Abd. Aziz itu. Jika tidak seperti kata Ahmad Boestamam, kemungkinan besar tulisan itu tidak akan disiarkan. Dan mereka yang terlibat, sambung Ilazahg lagi, terdiri dari mereka yang pernah mendapat penghormatan dalam dunia sastera. Apakah maksudnya Dinsman, atau Shahnon Ahmad.Mungkin juga Azizi atau Faisal Tehrani? Siapapun yang terlibat soalnya itulah jalan yang mereka pilih dalam keadaan BN memerintah sekarang ini 

Ilazahg sepatutnya menyeru  masyarakat penulis supaya berjuang mendedahkan kezaliman dan mencegah kemungkaran di samping mengajak kepada yang makruf seperti mana lazimnya seorang ahli fikir, kerana penulis, menurut Ahmad Boestamam adalah ahli fikir. Seorang ahli fikir seharusnya tahu membezakan yang mana adil yang mana zalim, yang mana baik yang mana korup, bahkan yang mana harus dijadikan teladan dan yang mana pula dijadikan sempadan. Nabi Saw pernah mengingatkan kita supaya “jika kita melihat kemungkaran, hendaklah kita mencegahnya dengan tangan (kuasa) kita, jika tidak mampu dengan tangan, naka dengan  kata-kata, jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan hati, di mana itulah selemah-lemah iman.

Mengapakah kita harus bersongkokol dengan kezaliman, jika kita tahu kerajaan BN itu zalim, tidak adil dan sebagainya? Sepatutnya Ilazahg menyeru masyarakat penulis mengutuk kezaliman dan ketidakadilan yang berleluasa sekarang ini, bersatu bersama-sama pimpinan Barisan Alternatif yang mengajak kepada masyarakat yang lebih adil. Ataukah sebenarnya penulis seperti Ilazahg dan yang sewarna (macam sumpah-sumpah juga) dengannya menzalimi diri sendiri? Bangsa sendiri ? “Tidaklah kami menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri!’ demikian AlQuran mengingatkan kita termasuk masyarakat penulis itu sendiri.

AlKundangi,
29.11.2000               

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter