BELESUNGKAWA BUAT KELUARGA
ALLAHYARHAM HAJI IDRIS OTHMAN
(Artikel ini telah disiarkan di bawah tajuk "Perginya Pengerusi Jawatankuasa
Hisbah Negeri Terengganu. Bagaimana pun oleh kerana email yang diterima cuma separuh
sahaja, maka atas permintaan disiarkan sekali lagi- Webmaster)
Saya baru menerima berita berpulangnya
keRahmahtullah Allahyarham Tuan Haji Idris B. Othman, Pengerusi Jawatankuasa HISBAH
Negeri Trengganu kira-kira jam 7.45 malam hari ini di Institut Jantung
Negara.Allahyarham yang sejak kebelakangan ini menanggung sakit yang menurutnya `sakit
dalam perut' merupakan antara manusia hebat yang pernah saya temui dengan karektornya
yang tersendiri.
Allahyarham merupakan lulusan Fakulti Undang-undang Universiti
Malaya dan pernah berkhidmat didalam Perkidmatan Kehakiman dan Perundangan dengan
jawatan terakhirnya sebagai Hakim Kanan Mahkamah Sesyen di Sabah sebelum Allahyarham
melepaskan jawatan didalam Kerajaan untuk bersama-sama YB.Tun Salleh Abas menerajui
Jawatankuasa Hisbah yang di ujudkan oleh Kerajaan Negeri Trengganu.
Saya mula
mengenali beliau sewaktu beliau menjadi Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh dimana pada masa
itu saya melakukan "attachment programme" di Mahkamah sebagai sebahagian dari
rangka kurikulum Fakulti.Allahyarham murah dengan senyuman tetapi tegas dalam
menjalankan tugasnya.Allahyarham juga mudah didampingi serta perwatakkannya yang
sederhana dan "down to earth" walaupun beliau seorang yang
'berpangkat'.Rakan-rakan Peguam sering memberitahu
bahawa mereka di berikan kebebasan
mengendalikan kes atas prinsip beliau yang kuat berpegang kepada maxim
"without
fear or favour".
Malah saya berkesempatan membaca beberapa keputusan
bertulis Allahyarham yang banyak mengutip sudut pandangan jurispruden Islam dan
termasuklah beberapa nas Al-Quran dan Hadis serta pandangan ulama yang Allahyarham
singgung di dalam penghakimannya.Saya tidak pernah terjumpa mana-mana Pegawai Kehakiman
lain baik Majistret atau Hakim Mahkamah Sesyen mahupun Mahkamah yang lebih tinggi yang
punya keterampilan untuk mengutip sudutpandang jurisprudens Islam di dalam penghakiman
mereka apatah lagi mengutip nas-nas Al-Quran dan Hadis.
Allahyarham kemudiannya
ditukarkan ke Jabatan Peguam Negara dan pernah suatu ketika Kolej Zaaba (7th.RC)
Universiti Malaya menganjurkan wacana ilmiah mengenai HUDUD dimana wakil dari Jabatan
Peguam Negara turut di jemput dan Allahyarham hadir sebagai panelis didalam Majlis
tersebut.Allahyarham dapat menghuraikan mengenai implementasi undang-undang HUDUD serta
hambatan-hambatan di dalam pelaksanaannya di Malaysia juga atas prinsip "without
fear or favour" walhal beliau menyedari bahawa beliau adalah kakitangan kerajaan
ketika itu.Kepada saya dan teman-teman
terpancar kebijaksanaan Allahyarham serta
prinsip hidupnya yang di pegang begitu kejap.
Selepas itu agak lama saya tidak
berjumpa Allahyarham sehinggalah beliau ditugaskan pula sebagai Hakim Mahkamah Sesyen
Kuantan sehingga tahun 1999 yang lalu.Menurut teman-teman Allahyarham yang akrab,
Allahyarham pernah `dipetisejukkan` oleh atasannya akibat dari prinsip Allahyarham yang
tidak mahu bertolakansur dengan ketidakadilan dan enggan tunduk kepada tekanan atau
desakan dari mana-mana pihak dalam melaksanakan amanah beliau sebagai pegawai kehakiman.
Khabarnya Allahyarham pernah di berikan sebuah meja dan kerusi tanpa bilik yang sempurna
serta talian telefon di Jabatan Peguam Negara untuk `mengajar' beliau dan ini terjadi
selepas beliau berjaya menyelesaikan isu kereta Lumboghini Sultan
Kelantan dan isu
pampasan projek sebuah empangan hidro di Kelantan;waktu itu beliau menjadi Penasihat
Undang-undang Kerajaan Kelantan pimpinan YAB Tuan Guru Haji Nik Aziz.
Saya pernah
bertanya kepada Allahyarham apa yang beliau buat setelah hanya diberikan meja dan
kerusi di koridor Jabatan Peguam Negara dan beliau dengan senyumnya yang istimewa
menjawab "saya habiskan masa dengan mengaji Al-Quran".
Pernah suatu
ketika beliau menginap di Hotel di Temerloh dan menjemput saya serta beberapa teman ke
kamar hotelnya; waktu itu ura-ura pilihanraya umum akan berlangsung sedang bertiup
kencang. Allahyarham antara lain telah memberikan kata-kata nasihat agar kami anak-anak
muda ini terus tegar mengembeling tenaga bagi mempastikan kemenangan dalam pilihanraya
dan mengharapkan kami punya kekuatan dan prinsip untuk berjuang. Selepas berakhirnya
Pilihanraya Umum
Allahyarham dengan mendadak di tukarkan ke Tawau sehinggalah beliau
melepaskan jawatannya dengan bersara awal bagi memberikan khidmat bakti sebagai
Pengerusi Jawatankuasa Hisbah Negeri Trengganu.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan
Allahyarham berjasa besar dalam menubuhkan dan menyediakan garisbesar peranan dan fungsi
HISBAH bersama-sama Tun Saleh Abas. Malah beliau didalam keadaan kesihatan yang memburuk
berperang dengan sakitnya untuk meneruskan amanah sebagai Pengerusi HISBAH dan
sebagaimana yang dinyatakan oleh seorang teman lewat muncung telefon "He was a
fighter in his own way!"
Malah Allahyarham yang saya kenali sebagai seorang
yang cukup istiqomah dalam perjuangan Islamnya.Kata-kata dan amal perbuatannya
membayangkan fikrahnya yang amat tinggi serta keterampilannya sebagai pejuang
Islam.Semasa bertugas di
Temerloh,Allahyarham menjadi naqib kepada usrah yang
anak-anak usrahnya adalah para peguam dan di Kuantan
Allahyarham dengan inisiatifnya
menjalankan aktiviti kuliah agama setiap pagi Sabtu dikamar mahkamah. Kepada
saya
Allahyarham sering menuturkan bahawa setiap dari kita harus punya cita-cita untuk
menegakkan daulah Islamiah berdasarkan kepada kemampuan masing-masing selain senantiasa
perlu istiqomah dalam perjuangan serta perlu kesabaran. Dan tentunya nasihat ini
tersemat kejap di hati sanubari saya.
Dan saya secara peribadi serta mewakili
Jawatankuasa Perhubungan Parti Keadilan Nasional Negeri Pahang DarulMakmur mengucapkan
belasungkawa kepada keluarga Allahyarham.Perjuangan Allahyarham harus diteruskan.Dan
kita sebenarnya telah kehilangan seorang tokoh yang tiada tolokbanding dalam perjuangan
menegakkan keadilan di Tanahair tercinta.Namun kita redha dengan ketentuan Allah dan
mengharapkan keluarga Allahyarham turut redha melepaskan Allahyarham menemui
Khaliknya.
Dan kita mendoakan Allahyarham diterima serta di tempatkan di kalangan orang-orang yang
Soleh...Al-Fatihah.
Ahmad Nizam B.Hamid
Ketua Bahagian Maran Pahang DarulMakmur
Parti Keadilan Nasional
b/p.Jawatankuasa
Perhubungan Negeri Pahang