minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Artikel ini dipetik dari Crescent International (16-30 November 2000) - http://www.muslimedia.com/yassin-intvw.htm.

Terjemahan Mak Andak 

Sheikh Ahmad Yassin adalah salah seorang daripada pengasas Gerakan Penentangan Islam Hamas di Palestin pada tahun 1987. Dalam lawatan kerja ke Palestin pada Oktober lepas, Faisal Bodi seorang wartawan bebas Britain menemuramah Sheikh Ahmed Yassin di rumah beliau di Gaza untuk Crescent International.

Crescent International (CI): Apakah faktor penyebab kebangkitan sekarang ini dan mengapa ia begitu hebat sekali?

Sheikh Ahmed Yassin (AY): Ada tiga faktor menyebabkannya. Pertama, kehidupan rakyat Palestin secara am; yang dimaksudkan di sini ialah kesusahan dan keazaban dari segi ekonomi, politik dan sosial. Sebab kedua dan lebih langsung ialah pencerobohan Ariel Sharon (pemimpin pembangkang Israel) ke atas al-Aqsa. Pencabulan masjid suci oleh manusia ini yang mempunyai sejarah keganasan terhadap rakyat Palestin adalah satu provokasi terang-terangan ke atas kesabaran penduduk Islam. Sebab ketiga ialah keganasan tentera Israel ke atas jemaah Masjid Al-Aqsa pada hari pencerobohan Sharon itu (29 September). Beribu-ribu tentera Israel telah bersiap sedia untuk menyerang jemaah di solat Jumaat itu. Mereka telah membunuh ramai jemaah dan mencederakan ramai lagi. Inilah punca terus berlaku kebangkitan ini.

CI: Pada fikiran tuan apakah Sharon tidak menyangka sentimen rakyat Palestin dan perasaan mendalam mereka terhadap al-Aqsa?

AY: Israel bukan mahukan keamanan. Kerana itulah kerajaan Israel membenarkan Sharon memasuki masjid al-Aqsa. Pencerobohan Sharon ke dalam masjid dengan dikawal beratus-ratus askar sememangnya berhasrat untuk membakar perasaan penduduk Islam. Sharon mahu memperalatkan tindakbalas rakyat Palestin untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kononnya rakyat Palestinlah yang patut dipersalahkan dalam kemelut Baitulmaqdis, dan kononnya rakyat Palestinlah yang mencetuskan keganasan dan menghalang orang Yahudi dari menziarahi tempat ibadat mereka. Dengan melangkah ke tempat suci itu, Sharon juga berhasrat untuk mematahkan semangat dan keazaman rakyat Palestin serta menunjukkan kepada mereka kuasa Israel. Dia berharap kejadian itu akan memadamkan semangat rakyat Palestin dan membuatkan mereka tunduk kepada kehendak Israel untuk menguasai masjid itu.

CI: Adakah intifadah sekarang ini mendapat sokongan tuan?

AY: Ya, kerana ia digerakkan oleh rakyat yang masih berada di bawah penjajahan. Rakyat Palestin mempunyai dua pilihan: sama ada menyerah atau terus menentang. Intifadah ini adalah satu bentuk penentangan. Perlu saya jelaskan di sini salahfaham dunia Barat dan Amerika mengenai intifadah ini. Barat dan Amerika berpendapat tindakan penduduk Palestin untuk mempertahankan diri mereka dengan batu dan cara-cara lain sebagai satu keganasan yang tidak sepatutnya ke atas penduduk Israel. Mereka tidak melihat penjajahan sebagai satu kezaliman terhadap rakyat Palestin, atau pengeboman dan pembedilan senjata api Israel sebagai satu keganasan. Sebaliknya mereka menyifatkan rakyat Palestin yang mempertahankan diri sebagai pengganas. Inilah salahfaham yang disengajakan di dalam konflik ini. Barat menggesa kami menghentikan penentangan sebagai cara untuk meneruskan penjajahan. Mereka tidak meminta pihak Israel meninggalkan bumi ini sebaliknya meminta kami menyerah diri kepada Israel yang menjajah.

CI: Bijakkah membiarkan penduduk Palestin yang lemah menjadi mangsa dengan meneruskan penentangan ini?

AY: Saya ingin menjawab dengan menanyakan soalan ini. Bijakkah kami mengangkat tangan dan menerima penjajahan?

CI: Sheikh Hassan Nasrullah, pemimpin Hizbollah (Lebanon) telah menasihati rakyat Palestin supaya tidak membaling batu dan bom petrol, sebaliknya melancarkan serangan-serangan jihad terhadap musuh. Apakah Hamas akan menuruti saranan ini?

AY: Apa yang disarankan oleh Hassan Nasrullah bukanlah sesuatu yang baru, sebenarnya itulah yang telah kami lakukan. Sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada politik perjuangan kami untuk menentang dengan apa cara sekalipun. Di masa-masa lepas kami menentang dengan melancarkan serangan-serangan jihad. Polisi kami ialah menentang penjajahan menggunakan apa saja senjata - dari batu hinggalah kepada senjatapi dan bom.

CI: Mengapakan Hamas tidak dapat membezakan antara tentera dan orang awam dalam operasi ketenteraannya?

 AY: Semua penduduk Israel terlibat dengan perang. Mereka yang tidak beruniform tentera, lelaki mahupun perempuan, telah dilatih untuk berperang. Mereka adalah tentera yang bersedia untuk berjuang sekiranya tiba masa untuk dipanggil. Meskipun hakikatnya begitu, kami tidak dengan sengaja menjadikan penduduk awam sebagai sasaran; sasaran kami sentiasa ditujukan kepada pihak tentera. Pada masa-masa lepas terdapat kejadian apabila orang awam tercedera; bagaimanapun mereka bukanlah orang yang sengaja dijadikan sasaran. Satu-satunya kejadian apabila kami menyerang orang awam, ia dilakukan sebagai tindakbalas ke atas serangan Israel yang menyerang orang awam Palestin. Tindakan ini perlu untuk menunjukkan kepada Israel bahawa mereka tidak akan dibiarkan lepas begitu saja kerana membunuh rakyat kami.

CI: Apakah intifadah petanda menunjukkan tamatnya proses perdamaian? Jika benar, apakah ia penyelesaian yang tuan harapkan?

AY: Pertamanya saya kesal kerana anda menggelar apa yang berlaku di Oslo sebagai proses perdamaian. Hakikatnya, ia penyelesaian menindas yang telah dipaksakan ke atas penduduk Palestin oleh Amerika Syarikat dan Israel.  Ia bukanlah perdamaian. Semua penduduk Palestin mahukan perdamaian. Mengapa pula kami tidak mahukan keamanan? Sedangkan burung dan unggaspun inginkan perdamaian. Bagaimanapun kami mahukan perdamaian yang menggembalikan semula hak kami, perdamaian yang menghalang pihak penjajah dari menjajah tanahair kami. Penyelesaian yang mengukuhkan penjajahan dan penempatan penduduk Israel di Palestin serta penghambatan penduduk Palestin dari bumi Palestin bukanlah perdamaian namanya.

CI: Apakah kesatuan matlamat di antara puak-puak Palestin yang ditunjukkan dalam intifadah ini menandakan strategi kerjasama baru di antara puak pembangkang Islam dan kumpulan sekular seperti Fatah?

AY: Strategi Hamas jelas. Penjajahan Israel tidak akan membangkitkan apa-apa kecuali penentangan. Kegagalan proses perdamaian Oslo membuktikan hakikat bahawa perjanjian itu bukan cara penyelesaian masalah Palestin dan pengembalian hak-hak mereka. Fatah kini kembali menyokong Hamas untuk berjuang di dalam cara penentangan ini. Ini telah meletakkan kami di dalam satu kubu, iaitu kubu penentangan, di sini kami akan mempertahankan diri dan rakyat kami.

CI: Bentuk penyelesaian bagaimanakah yang dapat dipersetujui Hamas?

AY: Hamas mahu rakyat Palestin yang dihalau dari rumah mereka dibenarkan kembali, penjajahan Israel dihentikan, penempatan (penduduk Yahudi di bumi Palestin) dikosongkan, dan rakyat Palestin menjadi pemilik dan penguasa tanahair mereka sendiri.

CI: Apakah status penduduk Yahudi di dalam negara ini?

AY: Orang-orang Yahudi di seluruh dunia adalah kaum minoriti. Mereka dikatakan minoriti kerana jumlah penduduk Yahudi kecil dan kerana mereka bukan penduduk asal negara-negara berkenaan. Keadaan yang sama berlaku di Palestin. Di sini mereka akan mempunyai hak yang sama seperti penduduk Palestin, tanggungjawab yang sama dan mereka akan tinggal sebagai warganegara penuh.

CI: Berbanding dengan intifadah sebelum ini, umat Islam di luar Palestin terutamanya di negara-negara Barat menunjukkan sokongan hebat kepada intifadah kali ini. Pada pendapat tuan, apakah tanggungjawab dan peranan umat Islam di Barat kepada rakyat Palestin?

AY: Umat Islam di Barat mempunyai tanggungjawab besar kerana masalah Palestin merupakan masalah Islam jua. Masjid al-Aqsa dan semua wilayah Palestin adalah kawasan warisan Islam. Tanggungjawab pertama umat Islam Barat ialah untuk memahami betul-betul masalah Palestin, dan kemudian memberi penerangan kepada dunia bahawa rakyat Palestin telah ditindas, tananair mereka dijajah Zionis, mereka dihalau, serta tanahair mereka diambilalih oleh bangsa lain. Kesemua rakyat Palestin telah diletakkan di bawah penjajahan. Barat perlu sedar bahawa rakyat Palestin sedang berusaha untuk menghapuskan penjajahan dan mendapatkan semula hak-hak mereka. Keduanya, mereka mempunyai tanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin menerusi cara politik, terutamanya melalui media. Ketiga, mereka harus menyokong kami melalui ekonomi dan rohaniah supaya kami dapat meneruskan perjuangan. Dan akhirnya semua umat Islam harus menghidupkan api jihad di dada masing-masing dan bersedia untuk membebaskan al-Aqsa dan Baitulmaqdis bila saatnya tiba.

 
 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter