minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

PAKLAH, MASJID DAN POLITIK

Pendapat yang menyebutkan masjid dan politik adalah dua perkara yang berbeza dalam Islam bukanlah pendapat baru. Pendapat ini sudah dilontarkan oleh musuh-musuh Islam sejak zaman penjajahan dahulu hinggalah sekarang ini. Ia adalah di antara usaha-usaha sekularisme, atau memisahkan agama dan politik dalam Islam. Tetapi inilah yang disarankan oleh TPM, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini (Mingguan  Malaysia/Berita Minggu,26.11.2000). Katanya sempena kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini sewajarnya umat Islam melupakan soal politik bila ke masjid. Jangan cemarkan kesucian Ramadhan dengan soal-soal sedemikian.

Jika Abdullah Fahim masih hidup tentulah dia terperanjat mendengar kata-kata cucunya itu. Agaknya mungkin sebab itulah Ahmad Badawi tidak menggalakkannya berpolitik. Ayahnya itu lebih suka anaknya bekerja sebagai pentadbir yang baik. Namun itulah TPM kita hari ini. Beliau yang lulus Pengajian Islam dari Universiti Malaya mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan ilmunya  sendiri, dan bertentangan dengan autoriti keluarganya di bidang keagamaan.

Soalnya mengapa demikian sikap Paklah itu memanglah tidak sukar untuk menduganya. Politik dalam UMNO sendiri menyeru kepada dasar kebangsaan yang bercanggah dengan Islam. Politik UMNO juga adalah bersifat sekular. Paklah mestilah mencerminkan bahawa ia sepertimana juga kebanyakan orang UMNO, mengamalkan sekularisme. Atau memisahkan politik dari agama. Semua orang tahu kedudukan masjid dalam Islam. Pernah suatu ketika dulu seorang bekas pensyarah UKM dan penulis terkenal di alam Melayu, Drs. Sidi Gazalba menulis sebuah buku yang tebal berjudul Masjid: Pusat Agama dan Kebudayaan. Dia menulis buku itu lebih dua puluh tahun dahulu. Apakah pemikiran Paklah ketinggalan sejak dua puluh tahun yang lalu?

Di zaman Madinah, Nabi SAW bersembahyang, berbincang, bermesyuarat, mengatur stragegi perang dan sebagainya adalah di Masjid. Masjid adalah segala-galanya. Ia adalah tempat peribadatan dan tempat menyelesaikan masalah termasuk masalah negara. Itulah masjid, itulah parlimen. Tetapi dalam era teknologi maklumat ini tentulah agak menghairankan jika seseorang Muslim itu tidak faham fungsi Masjid apalagi yang tidak faham itu TPM!.

Walaubagaimana pun, umat Islam tidak lagi dapat ditipu. Umat Islam tidak boleh jatuh di lubang yang sama dua kali. Sejak kebangkitan Islam di abad dua puluh dan abad dua puluh satu ini, pemahaman umat Islam tentang Islam itu sendiri sudah lama berubah. Agama dan politik tidak lagi dapat dipisahkan, walaupun itulah yang dinginkan oleh musuh-musuh Islam sewaktu mereka menjajah dahulu. Usaha memisahkan di antara politik dan agama itu diteruskan pula oleh kuncu-kuncunya, termasuklah Paklah sendiri, yang berkelulusan Islam dari Univeristi Malaya itu. Jika masjid dipisahkan dari politik, itulah masjid dirar namanya. ‘Jangan kamu berdiri di dalamnya selama-lamanya,” demikianlah larangan AlQuran terhadap masjid dirar itu. Apakah Paklah salah seorang dari penaja masjid dirar itu? Mungkin kita semua dapat menjawabnya.

Paklah sebenarnya hanyalah meneruskan usaha-usaha sekularisasi ke atas umat Islam di negara ini. Usaha-usaha seperti tetap akan menemui kegagalan demi kegagalan. Kegagalan itu samalah seperti kegagalan UMNO menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri ahlinya dan dalam pentadbiran kerajaan. Walaupun Paklah menganggap berjuang dalam UMNO itu sebagai fardu kifayah, tetapi perjuangan dalam menegakkan Islam tetap merupakan fardu ‘ain bagi orang lain. Selagi ia tidak tertegak, setiap Muslim wajib mengusahakannya. Biarlah Paklah menyelesaikan fardu kifayahnya. Dan kita di pihak yang lain, tetap berusaha menunaikan tuntutan fardu ‘ain kita. Itulah perbezaan kita dalam Barisan Akternatif dengan Paklah dalam Barisan Nasional.     

 

 

AlKundangi,  
27.11.2000.                

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter