minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

BN Takut Kalau BA Kukuh

Oleh Ummu Natasya

KEGELISAHAN paling besar yang dihadapi Barisan Nasional (BN) sekarang ialah gabungan pembangkang atau Barisan Alternatif (BA) cukup berkesan membawa kekalahan demi kekalahan kepada mereka.

Itulah sebabnya, dari Dr. Mahathir hinggalah budak-budak mentah dalam BN bercakap bahawa DAP kecewa dan keADILan main kotor dalam soal menentukan calon pilihan raya kecil DUN Lunas, 29 November 2000 ini.

Mereka (BN) mengharapkan BA benar-benar berpecah dan kalau boleh biarlah DAP meninggalkan gabungan ini dengan supaya mudah BN menempelak gabungan ini “DAP terjerat” dengan permainan keADILan dan PAS.

Lim Kit Siang bukan “orang baru dalam politik” Malaysia. Mustahil beliau boleh termakan “perangkap” yang dipasang oleh Dr. Mahathir dan seorang dua budak-budak mentah dalam BN. Bagi mereka (BN) akan menemui ajal dalam pilihan raya umum 2004 jika gabungan PAS, keADILan, PRM dan DAP benar-benar bersatu, dan berhadapan dengan BN.

Lebih membimbangkan BN khuatir kalau-kalau BA sepakat menggunakan satu lambang sahaja dalam pilihan raya, iaitu tidak mengira parti mana mereka wakili, tetapi bertanding atas tiket satu parti.

Inilah masalah paling besar. Inilah masalah paling berat. Inilah masalah yang akan menyebabkan berkuburnya BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Tekanan dan sindiran terus menerus dihalakan. Kali ini mereka cuba menarik perhatian DAP supaya meninggalkan pakatan BA. Bagi mereka, tidak mungkin PRM atau PAS meninggalkan keADILan tetapi DAP yang pernah menyifatkan lebih selesa bersama Umno dari bersama PAS perlu diusik-usik.

BN sudah tidak ada idea untuk mengendurkan sokongan rakyat kepada gabungan BA. Mereka tahu, rakyat semakin hari semakin berani menentang kezaliman. Bendera Roket boleh dijulang oleh pemuda-pemuda berkopiah. Ini belum pernah terjadi.

Akhbar Roket diselengarakan oleh PAS. Akhbar Roket dijual secara terbuka di majlis-majlis ceramah PAS. Perkara ini tidak pernah berlaku dan paling mengusik kalbu Dr. Mahathir ialah apabila Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang berpeluk dengan Lim Kit Siang ketika bekas Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu melawat Haji Hadi di Kuala Terengganu.

Apa sebabnya? Mengapa dahulu ketika Tengku Razaleigh Hamzah mengilhamkan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, PAS dan DAP tidak dapat bersama?

Jawapannya ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Anwar sudah membuktikan beliau adalah pemimpin ummah. Beliau adalah pemimpin sejati. Beliau dapat menemukan Lim Kit Siang dengan Ustaz Fadzil Noor. Anwar menjadi lambang perpaduan sebenar dan ini tidak menyeronokkan Dr. Mahathir.

Pilihan raya DUN Lunas adalah medan terbaik untuk membuktikan bahawa DAP memang “kecewa” apabila keADILan dipilih meletakkan calon. Tetapi, atas semangat perpaduan dan setia kawan, mesti ada pengorbanan. Jika Lim Kit Siang turun ke bawah dan bertemu dengan para penyokong DAP, Lunas kali ini akan menjadi kepuyaan BA.

BN tidak mempunyai isu selain dari menurap jalan dan menampal lubang di jalan-jalan kampung. Dato’ Seri Syed Razak akan menabur janji-janji manis untuk menang. Ini adalah ujian pertama buatnya selepas menjadi Menteri Besar Kedah. Malangnya, kepimpinannya sendiri tidak diterima oleh ahli-ahli parti di kawasannya sendiri Kuala Kedah.

Para pengundi DUN Lunas perlu berhati-hati dan usah terperangkap dengan serangan disaat-saat akhir akhbar-akhbar pro kerajaan. Macam-macam cerita akan disiarkan khususnya yang mengambarkan pergolakan BA. Itu bukan isu penting kerana ahli-ahli DAP dan para penyokong pembangkang perlu memberikan undi mereka kepada Saudara Saifuddin Nasution Ismail yang jelas cukup popular dan berkemampuan untuk membela nasib rakyat.

Para penyokong MIC dan MCA perlu berfikir panjang. Jika mereka mengundi BN bermakna mereka tidak mempunyai maruah. Tiada seorang pun anak tempatan Lunas yang mendapat kepercayaan pucuk pimpinan MIC. Mereka yang menyemai benih tetapi orang Sungai Petani yang menuai hasil.

Bagi penyokong MCA, mereka harus sedar Sekolah Wawasan akan dilaksanakan jika mereka terus memberi sokongan kepada BN.

Jika mereka tidak sayangkan “sekolah jenis kebangsaan” teruslah memberikan sokongan kepada BN.

Para penyokong Umno pula, saya penuh yakin mereka akan memberi undi mereka kepada Saudara Saifuddin yang mewakili keADILan. Mereka semua tahu, Saifuddin adalah lambang keadilan dan penentang kezaliman. Mereka tahu, Saifuddin membawa suara Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang teraniaya hanya kerana mahu memperjuangkan kebenaran dan menolak nepotisme, kronisme dan korupsi.

Berilah sekali peluang kepada keADILan dan percayalah Saifuddin akan merubah suasana politik Malaysia yang cukup menjijikkan.

 

habis

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter