Penoreh Getah Menjadi Samseng (From
Rubber Tappers To Gangsters) Oleh: Collin Abraham
(Artikel asal dalam
Bahasa Inggeris boleh dibaca di ‘The Sun’ keluaran Khamis November 23, 2000 muka
surat 22)
Untuk memahami masalah hidup masyarakat perladangan kaum India masa kini,
ekonomi perladangan itu mesti dianggap sebagai satu kesinambungan kepada zaman
pengabdian yang di amalkan di Wilayah Selatan Amerika Syarikat, satu ketika dulu.
Latar belakangnya diwarnai satu pemerintahan pecah-belah dan perintah yang sengaja
dilakarkan oleh kelas yang mendominasi dan mengawal industri itu sehingga menjadikan
kelas yang di bawah menjadi satu kasta yang tertekan dan dipinggirkan.
Apa juga
yang disebut mengenai pembasmian pengabdian, alasan terpenting
menunjukkan betapa sistem pengabdian itu sudah tidak lagi menguntungkan.
Kerana itu pengabdian diganti dengan sistem perladangan, di mana gaji yang tidak
seberapa dibayar untuk mendapatkan tenaga murahan. Segala bentuk pertimbangan dalam hal
kebajikan tenaga buruh dianggap tidak relevan. Masyarakat sejagat telah
dilindungi daripada sebarang kekacauan dan tidak perlu ambil peduli
akan masalah golongan yang tertekan itu. Setelah wujud begitu lama sebagai golongan yang
dianiayai, masyarakat perladangan itu akhirnya tidak punyai pilihan lain lagi selain
memilih kelakuan ganas sebagai cara memperbetulkan sistem yang tidak seimbang.
Keadaan
masyarakat perladangan Malaysia memang seiras dengan situasi ini. Kekayaan
negara telah diraih daripada hasil getah dan bijih. Bijih telah diproses dan dieksport
secara pukal sementara getah telah berjaya mencetuskan kesan berganda yang
mengembangkan sektor lain dan menyumbang kepada pelancaran ekonomi negara.
Penindasan
masyarakat perladangan merupakan satu bentuk penjajahan dalaman sebenarnya. Ia
tidaklah sampai menyerupai sistem pengabdian zaman dulu dari segi politik dan
himpitan sosial golongan yang tertindas. Putar belit yang menghasilkan
pengkastaan, kelas sosial dan penonjolan etnik di kalangan mereka yang dipanggil
‘kuli’ dan pengkastaan di kalangan mereka sendiri serta kelas pengurusan
yang muncul dari itu telah melahirkan satu bentuk sungkupan laksana satu kokun
yang tidak memudahkan sesiapa melepaskan dirinya (daripada sistem itu).
Kerajaan
Kolonial dan juga kerajaan Malaysia merdeka telah menyerahkan tugas
keselesaan kebajikan masyarakat perladangan yang besar itu kepada kebijaksanaan
kumpulan kapitalis berasingan yang mewarisi dan menguasai industri perladangan. Lantas,
kemudahan pendidikan asas tidak berapa diberikan tumpuan kerana kerja menoreh
getah itu tidak pun memerlukan sebarang keperluan untuk membaca dan kerja menoreh
getah itu merupakan satu kerja warisan kepada anak-anak warga ladang.
Kemudahan
perubatan yang diberikan adalah bertujuan menentukan para pekerja sentiasa sihat
untuk bekerja. Ia juga bertujuan menentukan bekalan tenaga kerja yang mudah
diperdapatkan. Tenaga kerja terus membiak tanpa menyusahkan pihak pengurusan
kerana memang tidak ada sebarang usaha untuk menggalakkan mereka mengamalkan perancangan
keluarga. Amalan hidup beginilah yang terus menjamin warga ladang itu berada di kancah
kemiskinan.
Pembikinan kuil-kuil memang amat digalakkan kerana keagamaan
membantu mengekang sikap kebuasan masyarakat ladang itu agar terus percaya kepada
takdir hidup dan hukum karma. Lagi pun, bekalan todi sebagai minuman untuk melegakan
ketegangan hidup memang digalakkan.
Unsur-unsur ini termasuk pembuangan,
pemberhentian dan perpindahan warga ladang itu disebabkan pembangunan yang ditaja
oleh kerajaan dan pertukaran tanaman daripada getah kepada kelapa sawit, telah
membuatkan terkapai-kapai tanpa ilmu pengetahuan yang sesuai untuk
mendapatkan kerja alternatif dalam arus peralihan ekonomi negara. Sebagai contohnya, ada
satu projek kerajaan di Nibong Tebal di mana sebuah pusat orang tua dijadikan
pusat untuk melatih anak-anak warga ladang mempelajari kemahiran baru. Selepas satu
tahun projek itu masih lagi bertaraf indah khabar dari rupa.
Adalah tidak
menghairankan apabila ramai warga muda masyarakat ini yang telah terjebak
menjadi warga setinggan di pinggir kota dan bandar sehingga memaksakan mereka
terjebak pula ke kancah samseng yang sungguh tersusun.
Sikap tindakan dan
amalan mereka itu menunjukkan betapa merka sudah terlalu lama hidup tertekan. Ada
juga imbasan bagaimana ramai di kalangan mereka yang telah teraniaya kerana ada ahli keluarga
mereka yang perempuan yang telah dinodai oleh kumpulan penyelia perladangan.
Tindakan buas mereka secara mendadak ini adalah laksana satu sikap membalas dendam
terhadap masyarakat sekeliling.
Sepanjang tempoh penyelidikan saya yang
terhad kepada tujuh bulan itu, ada satu kes yang khusus dibawa kepada pengetahuan
saya. Seorang bapa yang pemabuk telah menggalakkan anak gadisnya melacurkan
diri kepada pekerja asing untuk mendapatkan wang mengongkosi ketagihannya.
Saya
pernah juga diberitahu oleh sumber yang boleh dipercayai bagaimana beberapa orang
“tauke’ telah memuaskan nafsu mereka dengan beberapa gadis muda sebagai bayaran
hutang yang ditanggung oleh ibubapa mereka.
Fenomena kebajingan seperti ini
bolehlah dianggap sebagai satu manifestasi kepada konflik masyarakat yang
telah dihenyak oleh peralihan politik yang menghantui masyarakat yang ditindas
sejak satu abad yang lalu.
Sebagai perbandingan kepada kecuaian yang
mengenai warga ladang ini, kerajaan kolonial dulu telah berbelanja besar untuk
mewujudkan Perkampungan Baru kepada bekas penyokong komunis. Selepas negara
mencapai kemerdekaannya mereka telah diberikan kemudahan sosial termasuk geran tanah
sekali. Inilah yang menjadi asas kemunculan industri kecil yang sungguh berjaya.
Sebagai
satu reaksi, penduduk Melayu di desa telah merungut kerana sebagai kumpulan yang
bermati-matian memerangi para penyokong komunis itu, mereka dinafikan hak
kemudahan moden di kawasan penempatan mereka. Kerajaan pun bertindak dengan
melancarkan penerokaan tanah secara besar-besaran untuk menempatkan masyarakat
Melayu yang tidak bertanah.
Tindakan kerajaan itu amat berbeza dengan keadaan
hidup yang terus ditanggungi oleh warga ladang. Tidak ada satu rancangan yang serupa itu
pernah dilaksanakan untuk mereka.
Sebab utama berlakunya perbezaan yang menonjol
ini terletak kepada anggapan bahawa warga ladang tidak mencetuskan sebarang
ugutan, samada dari segi politik, ekonomi dan juga sosial kepada masyarakat yang
lain. Kerana ketiadaan kuasa, mereka diperlekehkan dan dianggap tidak mampu melakukan
sesuatu yang mengancam dan membahayakan negara.
Angka perangkaan
terbaru menunjukkan betapa bilangan terbesar rakyat Malaysia yang dibunuh oleh tindakan
polis datangnya daripada warga ladang. Ada yang terbunuh itu telah mengalaminya
dalam suasana yang sungguh mengecewakan.
Masalah gengsterisme mesti dilihat
dalam satu renungan yang menyeluruhi sesuatu masyarakat yang selama ini telah
menanggung keaiban hampir satu abad lamanya disebabkan peminggiran politik, eksploitasi
ekonomi, penafian keselesaan dan kemudahan sosial.
-Collin Abraham-
Terjemahan MT
|