MGG132
Pembinaan Auditorium Baru Untuk Persidangan Baru
(A New
Conference, a
New Auditorium)
Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada persidangan
kemuncak OIC di Putra Jaya pada 2003. Ini yang dirancang oleh Perdana Menteri
sebaik sahaja selesai menghadiri persidangan yang terkini di Doha. Tetapi,
Putra Jaya memang tidak mempunyai kemudahan auditorium yang mampu menyediakan kemudahan
canggih untuk persidangan seperti itu. Itu sebabnya satu dewan persidangan yang baru
akan dibina secepat mungkin dengan harga RM1 bilion. Mungkin ditokok beberapa ratus
juta lagi untuk menampung keperluan menyediakan lambang kemewahan yang berwarna
warni. Tidak ada sesiapa yang berani mengatakan berapakah kos sebenarnya satu hari nanti.
Yang tukang bikin projek itu pun tidak berani berkata apa-apa kerana plan
bangunan itu akan berubah setiap jam, minggu, bulan dan tahun. Dewan itu memang mahu
dibina juga sama ada persidangan puncak OIC ataupun tidak. Kini, dengan ada ketentuan itu,
perbelanjaan yang sungguh tinggi itu tentu boleh diberikan justifikasinya. Perkara ini
memang telah diputuskan sebelum cerita tuan rumah pada tahun 2006 itu mula
dicetuskan.
Perkara ini mula dibangkitkan ketika seorang arkitek turut serta
mengiringi Perdana menteri ke Doha. Di banglonya yang terletak di sungai Buluh memang ada
tersimpan satu plan kompleks yang mega ini yang mampu menampung penyertaan 135 ketua
negara lengkap dengan segala kemudahan untuk kegunaan mereka. Mereka yang pernah
melihat plan yang sungguh besar ini memang terkejut dengan lakarannya. Saya pula terdengar
cerita ini sengaja tidak disengajakan. Sebaik mengetahuinya saya mula bertanya-tanya dan
ini menyebabkan pihak tertentu merasa tidak selesa.
Di Kuala Lumpur memang terdapat
banyak dewan persidangan yang memang tidak kerap digunakan. Yang terulung sekali ialah
Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) yang memang besar dan mencukupi untuk persidangan
bertaraf antarabangsa. Tetapi ia dipinggirkan kerana terdapatnya banyak lagi bikinan
Malaysia Inc. Yang lengkap dengan kemudahan perhotelannya seperti Sunway Lagoon Resort
Hotel dan Palace of the Golden Horses. Setiap hotel bertaraf lima bintang
memang mampu memberikan keselesaan kepada beberapa ribu tetamu untuk persidangan yang diperlukan. Kini, kemudahan
yang ada itu dianggap tidak bersesuaian untuk para
Sheikh Arab. Ini sudah dijadikan satu alasan yang mudah untuk pembikinan beberapa
kemudahan di Putra Jaya yang mampu mengenepikan ungkitan di parlimen dengan tujuan untuk
memberi kemudahan kepada anak-anak, keluarga para kroni dan juak serta jongos.
Ketika
Putra Jaya dirundingkan daripada Negeri Selangor ada rencana untuk membina satu istana
baru untuk Yang Di Pertuan Agong dengan harga sekitar RM600 juta. Tentunya
pembikinan itu tidak akan meruntunkan kegemilangan mahligai Perdana Menteri yang dikatakan
berharga cuma RM200 juta itu, sedangkan harga sebenar adalah lebih tinggi dari itu.
Sebenarnya apabila pembikinan struktur seperti itu dilaksanakan, kos sebenarnya tidak
merupakan satu halangan yang besar.
Nampaknya setiap kali direncana
penganjuran persidangan antarabangsa, pembikinan bangunan yang baru turut diambil kira.
Itulah yang berlaku ketika pembikinan Perkampungan Sukan Komanwel dulu pada 1998. Satu
perkampungan yang baru dibina dengan cara Bolehland yang lazim itu di mana para kroni
diberikan kemudahan untuk membinanya di tapak tanah yang terpilih pula. Bangunan yang
sudah terbina itu tidak akan digunakan sangat selepas itu. Kalau digunakan pun kos sewanya
begitu tinggi sekali sehinggakan badan sukan negara sanggup mengenepikannya.
Bangunan ini pun akan terus terbengkalai untuk mereput kerana kekurangan usaha penyeliaanya. Kalaulah Malaysia berjaya menjadi tuan rumah
Asia pada 20006 nanti,
sekurang-kurangnya beberapa juta lagi akan diperlukan untuk memperbaiki struktur yang ada
itu.
Sekarang ini Malaysia membuat pengumuman sesuatu projek dalam masa yang
lebih cepat daripada tempoh membina struktur yang diperlukan untuk projek itu. Kalau
dicatatkan segala projek yang telah diumumkan itu, sudah tentu nilainya adalah
berkali ganda daripada hutang yang tidak mampu dibayar oleh Renong yang sudah pun
berjumlah RM26 bilion.
Apakah Malaysia mempunyai upaya membayar hutang banyak itu?
Jawapannya ialah TIDAK. Mampukah Malaysia mendapatkan jumlah wang sebanyak itu? Jawapannya
pun tidak juga. Pengumuman projek secara mendadak ini sebenarnya bertujuan untuk
menunjuk-nunjuk yang Malaysia mampu membinanya. Memang tidak ada sesiapa yang ragu
akan keupayaan itu. Apakah Malaysia mampu membayarnya? Apakah ia perlu dibina?
Apabila struktur semahal itu dibiarkan kepada orang tertentu, sudah pasti peraturan akan
kosnya akan sengaja diabaikan.
Menara KLCC dikatakan memerlukan RM1 juta setiap
bulan sebagai kos senggaraannya. Tidak sampai tiga puluh peratus daripada 90 aras menara
kembar itu yang sedang dihuni.
Penswastaan lebuh raya memang merupakan satu projek yang
baik ketika pelancarannya. Tetapi apabila orang yang diamanahkan melancarkan projek
itu menyeleweng syarikat yang menerima konsesi itu telah mewujudkan berpuluh anak
syarikat sebagai satu helah untuk melonjakkan harga projek itu. Akibatnya orang yang
betul-betul menjalankan kerja di situ tidak mampu menjalankan kerjanya dengan baik. Para
pengguna lebuh raya itu terus dikenakan tol yang semakin meninggi kerana semua itu
bertujuan untuk menyedapkan hati para kroni, anak-anak, juak dan jongos yang sengaja
dibabitkan dalam projek. Begitulah halnya nanti dengan pembikinan auditorium dan beberapa
projek mega di Putra Jaya. Mungkinkah auditorium itu dibina? Sudah pasti ia akan dilakukan.
Projek ini akan merupakan projek yang sungguh melekit kerana ia akan dibina secara
tergesa-gesa. Segala manisan yang menyebabkan projek itu melekit akan terus bertukar
tangan di kalangan makhluk tertentu. Tetapi, Perdana Menteri akan berkata semua itu tidak
mungkin akan berlaku kerana yang berlaku selama ini seperti itu memang merupakan sesuatu
yang tidak pernah pun berlaku.
-MGG Pillai-
Terjemahan MT