minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Bahaya ulama dunia…..

Assalamualaikum warahmatuLlah.

Pada hari Selasa, 14 Nov 2000, pihak JAKIM telah mengadakan majlis Muzakarah Guru-guru Takmir Dan Pegawai Pengurusan Masjid Zon Tengah di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban, N.S. Semua guru takmir masjid, imam, nazir dan setiausaha masjid dari negeri-negeri zon tengah (iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka) diwajibkan hadir.

Majlis tersebut sepatutnya dirasmikan oleh Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Hamid Othman, tetapi beliau tidak hadir kerana dilaporkan sedang berbahas di parlimen. Tempat beliau digantikan oleh YB Noh Omar, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri. Majlis yang sepatutnya bermula pada 9.15 pagi itu hanya dapat dimulakan hampir jam 11.00 pagi.

Noh Omar telah mengeksploitasi sebaik-baiknya peluang berucap di hadapan golongan masjid (guru takmir, imam, nazir dan setiausaha) dengan membawa isu kedudukan Melayu sudah terancam. Beliau membilang fakta bahawa parlimen sekarang dianggotai oleh 193 ahli parlimen. BN menguasai majoriti lebih 2/3 dengan membolot 148 kerusi. Daripada jumlah itu, UMNO hanya memiliki 72 kerusi, iaitu kurang daripada ½ jumlah kerusi BN. Baki 45 kerusi parlimen lagi dimiliki pembangkang (BA), di mana 32 daripadanya orang Melayu.

Dengan menulusuri angka itu Noh Omar berkhutbah betapa kedudukan orang Melayu sekarang telah terancam. Orang Melayu telah berpecah-belah, sebahagian dalam UMNO, sebahagian lagi dalam Pas dan KeADILan. Beliau menggambarkan hanya Melayu yang berada dalam UMNO sahaja yang boleh mempertahankan hak Melayu. Sebaliknya Melayu yang ada dalam pembangkang telah belot kerana menurut Noh Omar, mereka menyokong tuntutan Cina (SIQIU) yang mendesak dihapuskan hak istimewa orang Melayu dalam satu tuntutannya. (Noh tak sebut pulak berbelas tuntutan lain lagi yang sebenarnya rasional dan memihak kepada seluruh bangsa di Malaysia). Noh berharap agar tiada wartawan ketika beliau buat ucapan sensitif itu, menunjukkan perpaduan kaum yang diwar-warkan UMNO hanya mainan cakap pura-pura di luar sahaja.

Noh Omar mengajak golongan masjid di hadapannya supaya bekerjasama dengan kerajaan (maksudnya UMNO) supaya rasa bimbang dengan kedudukan orang Melayu sekarang dan bangkit mempertahankan hak Melayu melalui masjid-masjid mereka. Ketika ini terdengarlah suara-suara di belakang dewan, antaranya berbunyi, “....kang aku takbir kang…!!”

Seperti biasa ucapan perasmian hanyalah komunikasi sehala, tiada soalan dibenarkan. Kata seorang peserta, “Kalau ada sessi soal jawab, aku nak tanya Noh, siapa yang mencalonkan bukan Melayu sebegitu ramai (76 daripada 148 kerusi) dalam BN tu kalau tak puak UMNO sendiri? Siapa pulak yang tolong berkempen untuk mereka kalau tak UMNO sendiri? Setahu aku dalam BA ada juga bukan Melayu, tapi orang BA tak mainkan sensitiviti perkauman seperti orang UMNO/BN mainkan. Orang BA lebih menumpukan soal keadilan untuk semua kaum, bukan untuk sesuatu kaum sahaja….” Sambungnya lagi, “Tengoklah Kelantan dan Terengganu, orang Cina dan India boleh hidup bebas dengan budaya dan agama mereka tanpa gangguan. Orang Melayu pun tak terancam apa-apa sebab mereka faham ajaran Islam terhadap orang bukan Islam. Tapi orang Melayu UMNO hanya faham Melayu saja, tak faham Islam. Kalau boleh dia orang nak bukan Melayu tak boleh hidup di Malaysia ini. Tapi di depan bukan Melayu mereka berpura-pura konon nak jaga integrasi kaum, depan orang Melayu dalam dewan tertutup bukan main lagi mereka bakar semangat perkauman…”

Rasanya betul juga apa yang dicakapkan oleh seorang peserta ini. Tapi sayangnya, tiada sessi soal jawab untuk beliau soal Noh Omar.

Sepatutnya kertas kerja pertama dibentangkan pada jam 11.00 pagi, tetapi kerana Noh Omar mencuri masa untuk khutbah panjangnya, maka kertas kerja itu terpaksa ditunda ke pukul 11.45 pagi. Pembentang kertas kerja pertama yang bertajuk ‘Masjid Sebagai Institusi Di Bawah Hak Sultan’ ialah Ustaz Wan Zahidi WanTeh (orang YADIM).

Awal kertas kerja itu (muka surat 1 dan 2) membincangkan tentang masjid dan kedudukannya di bawah sultan (pemerintahan UMNO/BN lah dalam konteks Malaysia sekarang…), tetapi muka surat seterusnya (3 – 10) secara total membincangkan tentang ‘kewajipan’ mentaati pemerintah (UMNO/BN) dan ‘haram’ mencuba untuk menukarnya. Ramai yang bersungut di belakang bahawa kertas kerja itu telah lari daripada tajuk asal.

Wan Zahidi membawa satu ayat al-Quran (al-Nisa’: 59) yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul, dan kepada mereka yang berkuasa di kalangan kamu…” untuk mengatakan haram menentang pemerintah. Selain itu Wan Zahidi juga membawa hadis-hadis Nabi s.a.w. yang asalnya tentang larangan melakukan ‘Bughah’ (satu istilah dalam kitab fekah yang bermaksud ‘pemberontakan bersenjata oleh kumpulan yang mempunyai ketua’) dan ditujukan ke atas para pembangkang kerajaan sekarang.

Antara hadis yang dibawa Wan Zahidi ialah hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud, “Akan wujud keadaan kacau-bilau di kalangan umat, maka barang siapa yang ingin memecahbelahkan perpaduan umat ini, hendaklah ia dipancung dengan pedang tanpa mengira siapakah orangnya.”

Beliau juga membawa hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Barangsiapa yang melihat sesuatu yang dia tidak suka pada pemerintahnya, maka hendaklah ia bersabar; kerana sesiapa yang mengambil langkah penentangan (mufaraqah) terhadap pemerintah (al-jama`ah) walaupun sekadar sejengkal lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah.”

Wan Zahidi juga membawa beberapa nas hadis yang lain untuk menyokong dakyahnya, tetapi tidak dinyatakan kedudukan hadis-hadis itu sama ada sahih atau dha`if atau maudhu`. Jadi kertas kerja itu tiada nilai ilmiah, tetapi kerana audiencenya hanyalah imam, nazir, setiausaha masjid dan guru takmir yang kebanyakannya tua-tua dan tidak terdedah kepada kitab-kitab hadis yang muktabar, maka agaknya Wan Zahidi mengira tak ada di kalangan mereka yang boleh mempertikaian kualiti kertas kerjanya.

Fahaman yang cuba dibawa oleh Wan Zahidi dan diajarkannya kepada imam, nazir, setiausaha dan guru takmir masjid ialah haram menentang atau membangkang pemerintah sedia ada walaupun rakyat tak suka kepadanya. Sesiapa yang menentang, maka boleh dihukum pancung. Kalau mati dalam masa penentangan itu, maka matinya adalah mati jahiliyyah.

Hebat sungguh Wan Zahidi sejak jadi think-tank Dr. Mahathir ni…. (dia mengaku sendiri dalam dewan bahawa dia salah seorang anggota think-tank PM). Semasa dia jadi pensyarah IPTA dulu taklah sehebat sekarang!

Apa sudah jadi dengan Wan Zahidi? Agaknya virus Astora Jabat telah menjangkitinya. Terang-terang Wan Zahidi menyelewengkan nas-nas dari tempatnya yang sebenar (yuharrifuunal kalima `an mawaadhi`ihi). Kenapa beliau menyembunyikan hukum Bughah yang tersebut dalam kitab fekah? Apakah kerana beliau sedar bahawa hukum Bughah tidak disebut dalam kitab fekah berbahasa Melayu, maka beliau cuba nak menipu imam, nazir, setiausaha dan guru takmir yang rata-rata tak terdedah kepada hukum itu?

Kenapa Wan Zahidi tidak menyatakan langsung syarat-syarat penentang yang boleh dihukum pancung dan matinya mati jahiliyah (penentang yang melakukan jenayah Bughah)? Bukankah dalam kitab fekah ada menyebutkan bahawa syarat Bughah itu ialah kumpulan pemberontak, ada ketua, bersenjata dan enggan beredar selepas dinasihat? Kenapa Wan Zahidi menyembunyikan fakta ini dan mengatakan semua penentang kerajaan boleh dihukum pancung dan mati jahiliyah? Adakah pembangkang yang menentang kerajaan hari ini menepati syarat-syarat Bughah yang boleh dihukum pancung? Adakah pembangkang hari ini (BA) telah melakukan pemberontakan bersenjata? Apakah sekadar berucap memberi ceramah untuk mengkritik, menegur dan menasihat itu telah dikira memberontak lalu boleh dihukum pancung? Adakah sekadar nak berhimpun secara aman tanpa senjata itu dikira memberontak?

Satu perkara yang penting lagi yang cuba disembunyikan oleh Wan Zahidi ialah tentang ciri-ciri kerajaan Islam yang sebenar. Apakah kerajaan UMNO/BN hari ini merupakan kerajaan yang mendaulatkan hukum-hukum Islam sepenuhnya atau hukum Islam terpilih? Hukum yang menyelerakannya nak ditegakkan sungguh-sungguh seperti hukum zakat dan hukum Bughah (yang merupakan salah satu jenayah hudud), tapi hukum hudud yang lain (zina, tuduhan zina tanpa saksi, curi, rompak, bunuh, minum arak dan murtad) didalih-dalihkan untuk tidak dilaksanakan. Jika dirujuk buku Ummah The Muslim Nation karangan Prof Dr. Muhammad Abd Rauf (pernah jadi pengarah Akademi Islam UM, rektor UIAM dan penasihat akademik KUSZA, seorang ulama Mesir) tentang ciri-ciri kerajaan Islam (Dawlah Islamiyyah), jelas kerajaan Malaysia sekarang ini bukanlah kerajaan Islam yang haram ditentang. Sebaliknya hendaklah ditentang sekurang-kurangnya dengan cara demokrasi pilihanraya. Kenapa Wan Zahidi cuba menyembunyikan perkara ini?

Wan Zahidi juga didapati cuba menggunakan hadis yang menyuruh rakyat bersabar dengan sesuatu yang tidak disukai daripada pemerintah, untuk mengatakan haram menentang (dalam erti kata pembangkang hari ini) terhadap kerajaan UMNO/BN, sebaliknya golongan yang diperintah hendaklah bersabar sahaja dengan maksiat pemerintah. Idea ini samalah dengan idea Mustafa Taib (orang kuat YADIM juga) yang pernah disiarkan dalam TV satu masa dulu.

Sekali lagi Wan Zahidi cuba menyelewengkan hadis Nabi s.a.w. tanpa menerangkan sedikit pun apakah makna ‘sesuatu yang tidak disukai di pihak pemerintah’ itu. Kenapa Wan Zahidi menyembunyikan hadis-hadis lain yang boleh menjelaskan kesamaran hadis tersebut. Adakah ‘sesuatu yang tidak disukai di pihak pemerintah’ itu termasuk perkara-perkara maksiat dan kezaliman pemerintah atau hanya bermaksud sifat-sifat pemerintah yang tidak disukai, seperti sifatnya yang berkulit hitam dan berkepala seperti biji kismis sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih yang bermaksud, “Hendaklah kamu mentaati pemimpin walaupun dilantik ke atas kamu pemimpin hitam yang berkepala seperti biji kismis”

Kalaulah bersabar terhadap ‘sesuatu yang tidak disukai’ itu termasuk terhadap perkara maksiat dan kezaliman, maka di mana hendak diletakkan sebuah hadis sahih masyhur yang bermaksud, “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu, dengan lidah, jika tidak mampu, dengan kebencian di hati. Yang demikian itu (kebencian di hati) adalah selemah-lemah iman”

Apa yang dilakukan oleh pembangkang BA hari ini hanyalah menunaikan tuntutan hadis supaya mencegah kemungkaran itu, bukannya memberontak bersenjata. Tetapi mengapa sampai begitu menyeleweng sekali pemikiran Wan Zahidi? Itulah bahayanya bila menjadi ulama yang mengejar dunia! Mana-mana nas yang menguatkan dakyahnya dijunjung tinggi-tinggi, manakala nas yang merobohkan pemikiran sesatnya dipijak-pijak dan dicampak ke tong sampah!

Berdasarkan fahaman tidak harus menentang kerajaan sedia ada walau seburuk mana pun dan hendaklah bersabar dengan keburukan itu, maka Wan Zahidi menjawab satu soalan peserta tentang kedudukan pilihan raya lima tahun sekali (yang merupakan proses percubaan menukar pemerintah) sebagai tidak harus kerana demokrasi itu diambil daripada Barat. Katanya, pilihan raya sepatutnya tidak ada, kerajaan dan pemimpin sedia ada hendaklah dibiarkan memerintah sehingga ke suatu masa yang ditakdirkan Allah. Walau bagaimana pun, beliau berkata itu hanyalah pendapat peribadinya dan bukan satu fatwa.

Ha ha ha…. Wan Zahidi telah tersepit dengan soalan itu lalu mengeluarkan satu pendapat yang amat janggal!!! Siapa guru Wan Zahidi ini? Punca pendapat songsang itu ialah fahaman yang salah terhadap hadis supaya bersabar dengan ‘sesuatu yang tidak disukai di pihak pemerintah’. Haiiii… parah, sungguh parah ulama UMNO ini!!

Selain itu ada lagi soalan-soalan lain yang agak sensitif seperti soal pakaian kopiah putih baju hijau dan soal janggut Nabi s.a.w yang pernah dipermainkan PM. Tentang janggut Nabi s.a.w. tu, menarik juga untuk dilaporkan. Wan Zahidi berkata sebenarnya PM tidak berniat menghina sunnah Nabi s.a.w. jika dilihat pada konteks percakapan PM ketika itu. Tuduhan PM menghina Nabi s.a.w. adalah satu fitnah, kata Wan Zahidi. Tapi katanya lagi, “…mungkin jugalah PM tersasul dalam ucapannya itu….” Ketika ini gelak ketawa berdekah-dekah kedengaran di tengah dewan, menyebabkan Wan Zahidi merah muka dan nampak nak marah. Kalau dah tahu PM tersasul dan tersilap, kenapa tak tarik balik penghinaan itu dan kenapa Wan Zahidi mempertahankannya juga?? Kalaulah sessi soal jawab dipanjangkan lagi agaknya Wan Zahidi boleh jatuh pengsan tak terjawab.

Sekianlah dulu laporan majlis muzakarah guru-guru takmir yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban, Selasa 14 Nov 2000 yang lepas.. Ada lagi cerita-cerita lain dalam majlis itu, tapi cukuplah dengan yang relevan saja. Wassalam.

Pelapor dari Melaka.

 

 

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter