MGG128
Ada Sesuatu Yang Tak Kena
(Something ain't right)
Oleh: Chong
Yen Long
Sebaik sahaja disiarkan berita pelancaran pembelian komputer melalui
KWSP, ramai di kalangan masyarakat yang merasa lega dan gembira. Mereka bangga bahawa
kerajaan sanggup memberi ruang membantu merancakkan lagi program celik komputer
di kalangan rakyat. Inilah yang dikatakan satu sasaran mulia untuk merancakkan suasana
saingan global.
Namun, seperti kelazimannya terdapat banyak kelemahan dalam program
itu yang mengundang bencana. Satu laporan di Sin Chew Jit Poh pada Oktober 31, telah
melaporkan betapa ramainya pencarum KWSP yang telah membeli invois daripada pengedar
komputer untuk mengeluarkan wang mereka di dalam akaun KWSP itu. Ini mendesak KWSP
membuat satu rencana untuk menyekat kegiatan itu dengan menentukan penjualan
komputer dilakukan melalui satu agensi pusat yang bersikap 'one-stop-centre'.
Setelah
membiarkan perkara itu berlanjutan dengan tujuan mendapatkan bukti sahih mengenainya,
tiba-tiba KWSP (EPF) telah melibatkan Pos Malaysia dalam rencana penjualan komputer pula.
Sudah tentu ini akan melonjakkan aktiviti Pos Malaysia secara berlipat ganda daripada aktiviti
yang sedia ada dan berupa penjualan stem dan aero gram (surat hantaran udara).
Masalahnya,
Pos Malaysia bukannya mengeluarkan komputer. Kerana itu, terpaksalah Pos Malaysia
membabitkan sebuah syarikat bernama Oda Saja (M) Sdn. Bhd. Memang canggih sekali nama
syarikat ini. Kecanggihan itu boleh membeliakkan mata apabila diketahui bahawa Oda Saja
tidak pula membikin komputer.
Di sinilah bermulanya satu perasaan yang
menggembirakan ataupun sebaliknya di kalangan masyarakat, seperti yang kerap terjadi
sekarang ini. Apakah sebenarnya peranan Oda Saja dalam muslihat penjualan komputer?
Nampaknya
Oda Saja tidak perlu berperanan langsung selain daripada menambahkan kos kepada barangan
yang diniagakan itu dan ditambah pula dengan beberapa masalah lain seperti
kelewatan untuk memberikan khidmat lepas jualan kepada si pembeli.
Oda Saja
telah menawarkan pembabitan sepuluh vendor, termasuk mereka yang mengeluarkan jenama
yang terkenal seperti Acer dan Hewlett Packard. Dalam hal ini tentu para konsumer
tercuit untuk mencetuskan beberapa soalan lagi.
Yang pertama sekali ialah harga
jualan komputer itu. Si pembeli tidak berpeluang untuk melakukan tawar menawar
kerana harga jualan adalah berupa harga tetap. Di Malaysia, syarikat menjual
komputer telah memberikan beberapa pakej jualan yang mampu menandingi pihak
saingan mereka. Pakej ini termasuklah harga diskaun dan barang sampingan
percuma pada waktu tertentu dan juga kemudahan latihan percuma yang tertentu.
Bagaimana
pula dengan barangan yang mudah rosak dan 'kaput' sebaik sahaja ditekan punatnya ataupun
tetikusnya. Bagaimana pula dengan khidmat selepas jualan ?
Dalam satu transaksi
jual-beli yang normal, seorang pembeli berurusan dengan si penjual untuk merundingkan
harga jualan yang paling disenanginya tanpa pembabitan orang tengah. Dalam rancangan KWSP
ini, si pembeli terpaksa berulang-alik ke Pos Malaysia seandainya muncul masalah kerosakan
ataupun khidmat yang lembab. Terpaksalah Pos Malaysia merujukkan perkara ini kepada Oda
Saja. Kesannya membabitkan pula para vendor dan jaringan mereka seperti cawangan
sebagainya sehinggakan masalah itu terus berkembang.
Ketua Pengarah Oda Saja Major
(Bersara) Ismail Ahmad telah ditanyakan mengenai kelewatan dalam khidmat selepas
jualan, ketika dia bersemuka dengan wartawan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dia menjawab
bagaimana Pos Malaysia akan menghantar komputer yang bermasalah itu kepada bahagian
ataupun cawangan syarikat yang mengendalikan komputer itu mengikut jenamanya (Sila rujuk
EPF Computer Scheme; Pos Malaysia Assures Buyers - November 15).
Memang canggih
jawapannya itu. Tetapi siapakah yang akan bertanggungjawab kalau saya beli, katakanlah
Komputer Acer. Adakah tanggungjawab itu terletak kepada Pos Malaysia, Oda Saja ataupun
Acer?
Di sidang akhbar itu Ketua Eksekutif Pos Malaysia Zainol Mahmud ada menyebut
betapa para pembeli harus yakin dengan khidmat lepas jualan yang akan dimantapkan.
Tetapi, dia tidak pun menyebut apa ertinya khidmat selepas jualan itu. Dia cuma mengatakan
bahawa latihan secukupnya akan diberikan kepada posmen untuk memasang dan menggunakan
komputer.
Tetapi, kepada orang kampung yang bersahaja, cara memasang komputer
hanya merupakan satu permulaan. Bagaimana pula dengan panduan mudah seperti
menghidupkan komputer, menggunakan tetikus dan mencuit pelbagai ikon? Apa pula dengan
dunia baru yang disebut internet? Seorang wanita bersifat 'Jinjang lady'
mungkin sengaja menggatal dan bertanya "Bolehkah saya lihat orang itu di
internet"?
Zainol tidak berupaya menyelesaikan kerunsingan mengenai
kelewatan yang mungkin dihadapi oleh para konsumer kerana barangan yang akan dijual
itu akan bergerak secara terhenti-henti. Sebaliknya dia telah mengeloh dan berkata;
"Kenapakah anda kerap mengungkitkan peristiwa barisan manusia yang panjang di Pejabat
Pos, sedangkan fenomena seperti itu kerap berlaku di bank dan tidak pernah pun
diungkit?"
Jawapan menyindir ini merupakan satu budaya yang diamalkan oleh
ahli politik kerana itulah cara mereka berceloteh panjang untuk memperlekehkan rakyat
sehingga mampu menjadi pakar dalam ritual semantik dan retorik.
Kalau jawapan
ini datangnya daripada mulut seorang Ketua Eksekutif Pos Malaysia, para pembeli yang cuba
mendapatkan komputer melalui rancangan KWSP itu memang berhak merasa musykil dengan
rancangan tersebut.
Ada satu barisan ayat yang mengiklankan projek terbaru
Pejabat Pos dalam brocur jualannya: 'Ada Pejabat Pos.......Ada Komputer.....ODA
SAJA!!!!!!!!!. Ayat itu diulang-ulang sebanyak tiga kali.
Sebagai bakal peserta
rencana ini saya ada beberapa soalan yang bermain di minda.
Pertama: Apa
sebenarnya peranan Oda Saja dalam muslihat rangkaian jualan yang sepatutnya merupakan satu
proses jualan yang dibuat secara terus itu?
Apakah kos tambahan yang melibatkan
pembabitan pihak ketiga dan keempat dalam sesuatu transaksi.
Kalau tujuan sebenar
KWSP memperkenalkan sistem ini untuk menghentikan tabiat mengeluarkan wang untuk komputer
tetapi dibelanjakan ke tempat lain, KWSP sepatutnya cuba menonjolkan satu rencana
baru yang lebih berkesan lagi. Bukannya dengan cara membabitkan pihak luar dan cuba
menyerahkan masalah kerenah pelanggan kepada pihak lain.
Saya yakin, KWSP mampu
merancang sesuatu yang lebih baik dan berkesan lagi. Buat masa ini rancangan yang ada amat
mengelirukan. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam perancangan itu.
-Chong
Yen Long-