Tabung Haji diiperalat untuk
selamatkan kroni
Oleh Dr.
Rosli Yaakop
Beberapa hari kebelakangan ini akhbar-akhbar
perdana sibuk melaporkan kemungkinan Tabung Haji akan membeli saham syarikat MAS
daripada Tajuddin Ramli.
Menteri berkenaan pun telah menyatakan kesediaan
untuk menimbangkan pembelian jika ada tawaran daripada kerajaan. Apakah Tabung Haji akan
membayar harga RM8 se saham yang diminta Tajuddin sedangkan harga pasaran hanya dalam
lingkungan RM3.50-3.60?
Pembelian pada harga melebihi harga pasaran akan
serta merta menimpakan kerugian modal kepada Tabung Haji. Harus diingat MAS kini
mengalami kerugian. Oleh itu, pelaburan ini tidak akan segera menghasilkan aliran
dividen untuk Tabung Haji walhal ia harus membayar dividen tahunan kepada pendepositnya.
Jika benar bahawa pembelian saham MAS daripada
Tajuddin hanya untuk sementara waktu sahaja menunggukan keputusan kerajaan untuk membawa
rakan kongsi luar negeri ke dalam MAS, maka kita tidak nampak kebijaksanaanya untuk
Tabung Haji menjadi alat dalam urusan bersifat sementara ini. Kerajaan memang telah
beria-ia untuk menjual sehingga 45 peratus saham MAS kepada "rakan kongsi
bijak" daripada luar negeri dan mengambil CEO daripada luar negeri untuk menerajui
pengurusan MAS mengganti CEO tempatan.
MAS memerlukan "jauhari yang mengenal
manikam" untuk memulihkan prestasi kewangan dan penarafan perkhidmatannya yang
telah teruk merosot sejak Tajuddin (secara kebetulan) menerajui pengurusan syarikat.
Memang Tabung Haji memerlukan perkhidmatan penerbangan untuk mengangkut seramai
30,000-40,000 jemaah haji dalam setiap musim haji. Di luar musim, Tabung Haji memerlukan
perkhidmatan penerbangan untuk jemaah umrah.
Namun isu utama yang harus diteliti ialah: apakah
ekonomikal bagi Tabung Haji memiliki syarikat penerbangan dalam suasana di mana industri
penerbangan yang amat kompetitif sekarang?
Perlu diingat perniagaan penerbangan amat kompleks
dan memerlukan kepakaran pengurusan yang tinggi. Sukar dipastikan sama ada Tabung Haji
mempunyai kepakaran yang diperlukan. Pada zahirnya memang tidak ada. Terlalu banyak
bukti bahawa perrbadanan kerajaan seperti yayasan-yayasan Bumiputera di negeri-negeri,
dana milik orang Islam seperti yaysan Islam di negeri-negeri dan perbadanan-perbadanan
pembangunan ekonomi negeri yang diajak melabur di dalam syarikat penerbangan telah
kerugian.
Tabung Haji harus belajar daripada kes-kes ini
supaya ia tidak terjebak dalam perangkap memperalatkan kumpulan dana tertentu untuk
menyelamatkan empayar perniagaan orang tertentu yang berniaga secara proksi - berniaga
memakai nama orang lain. Akhbar perdana ada melapurkan bahawa Menteri Besar
Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyokong pembelian saham MAS oleh Tabung
Haji tetapi di atas dasar "daripada dijual kepada orang luar negeri lebih baiklah
orang di dalam negeri membelinya."
Lagi pun pembelian mesti jangan membawa apa jua
kesan negatif kepada Tabung Haji sehingga misalnya, boleh menjejaskan mutu
perkhidmatannya. Namun dari segi prinsipnya, memang tidak ada ruang untuk Tabung Haji
membeli saham MAS kerana MAS bukannya syarikat yang tersenarai di dalam kaunter Syariah
di bursa saham Kuala Lumpur.
Ini bermakna MAS bukannya kaunter halal yang mana
Tabung Haji boleh melabur di dalamnya. Oleh itu sokongan Haji Hadi adalah sokongan
bersyarat iaitu MAS tidak terlibat di dalam kegiatan haram.
Kalaupun pengambilalihan boleh dibenarkan,
pengambilalihan MAS oleh Tabung Haji sekurang-kurangnya mesti diasaskan di atas niat -
dan niat ini tergambar dalam program komprehensif - untuk menghentikan segala aktiviti
MAS yang tidak konsisten dengan tuntutan Syariah. Misalnya, hidangan arak di dalam
penerbangan mesti dihentikan serta merta.
Apabila soal halal-haram tidak selesai, isu daya
maju menjadi tidak relevan. Harus diingat bahawa Tabung Haji pernah memiliki 10 peratus
saham MAS sedikit masa dahulu tetapi ianya telah dijual kerana kontroversi yang berlaku
di mana pendeposit tidak merestui langsung pelaburan Tabung Haji di dalam syarikat yang
menjalankan kegiatan haram.
Tabung Haji tidak boleh memandang ringan reaksi
pendeposit kecuali ianya bersedia untuk menghadapi kemungkinan pengeluaran wang
besar-besaran oleh pendeposit. Apa pun, yang nyata ialah tiada alasan munasabah untuk
membiarkan Tabung Haji melabur di dalam syarikat MAS.
Seruan Profesor di Raja Ungku Aziz agar tiada
mana-mana pihak yang akan memperalatkan Tabung Haji untuk menyelamat syarikat-syarikat
nazak patut diberi perhatian wajar.