minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

SAAT-SAAT TERAKHIR UMNO          

Kini Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO itu akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas. Perhimpunan itu barangkali untuk membincangkan masalah dalaman dan masa depan UMNO di negara ini. Cadangan pemilihan pucuk pimpinan dibuat hanya lima tahun sekali telah pun ditolak. Cadangan itu mengikut seorang sasterawan bertaraf SN  adalah lebih kepada usaha untuk menyelamatkan kerusi TPM yang sekarang ini disandang oleh Abdullah Badawi. Kenapa SN itu berpandangan seperti itu tidak pula diketahui. Yang nyatanya itu adalah usaha-usaha UMNO untuk menyelamatkan atau memanjangkan jangka hayatnya.

UMNO pun sedar yang mereka sudah menjadi parti yang tidak popular sejak kebelakangan ini. Anak-anak muda tidak lagi ghairah kepadanya. Sejak bekas TPMnya yang dianggap penyelamat UMNO dan bangsa Melayu itu dipecat berbondong-bondonglah rakyat Malaysia menyertai parti lain khususnya PAS dan Keadilan Nasional. Umum sudah pun mengetahui bahawa kegagalan UMNO untuk mendapatkan tempat di hati rakyat adalah berpunca dari pucuk pimpinan parti terutama Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.  

Rancangan penubuhan Puteri UMNO adalah satu dari manifestasi ke atas usaha-usaha menyelamatkan UMNO yang sedang sakit. Puteri  UMNO diharapkan dapat menarik golongan muda yang kelihatan lebih memihak kepada Barisan Alternatif. Menurut kajian rambang parti-parti politik khususnya pembangkang, sokongan yang diterima oleh kerajaan daripada bangsa Melayu tidak lebih dari 35 peratus. Selebihnya ia disokong oleh bansa-bangsa lain. Enam puluh lima peratus lagi bangsa Melayu menyokong pembangkang. Senario ini tentu menyulitkan parti kebangsaan yang terbesar itu yang telah berumur lebih dari setengah abad.

Tidak menghairankan bilamana dalam satu wawancara di sebuah setesen TV malam kelmarin Muhyiddin Yassin ymenyebutkan UMNO kini membuka peluang seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu termasuk keahlian seumur hidup. Keahlian ini dijangka mampu menambahkan sedikit oksigen terhadap nafas UMNO yang kembang kempis itu. Tidak hairan. UMNO  telah pun meniru PAS dalam hal ini. Dulu mereka sibuk mempertikaikan Dato’ Shahnon Ahmad yang mempunyai status keahlian seumur hidup dalam PAS.Kini mereka pula mewujudkan  keahlian seumur hidup. Bahkan dalam satu perbincangan dengan Aziz Desa itu, Muhyiddin menyebutkan bahawa anak-anak yang baru lahir pun boleh didaftarkan untuk menjadi ahli UMNO.Kelihatan cadangan itu menunjukkan betapa UMNO sudah kekeringan idea untuk menambah bilangan ahli-ahli.   

Walau apa pun tindakan yang diambil nampaknya parti itu tetap akan menemui kegagalan. Kegagalan itu adalah kerana Presidennya tidak mahu menerima kekalahan. Dia juga tidak dapat menerima idea dan teguran orang lain. Tetapi ia masih perlukan kuasa untuk masa depan kroni dan anak-anaknya.

Apa pun terjadi nampaknya UMNO sedang menuju saat-saat terakhirnya. Entah bila masanya berkubur tidak pula dapat diketahui. Yang jelas sokongan kian berkurangan walaupun dari bangsa sendiri. Sokongan dari bangsa China khususnya MCA juga dijangka kian berkurangan berikutan cadangan penubuhan Sekolah Wawasan. Orang China beranggapan Sekolah Wawasan adalah satu usaha untuk me-Melayukan orang China. Tentu hal ini tidak disukai mereka kerana ia dianggap sebagai usaha penghapusan etnik China secara perlahan-lahan.  

Akan sampai masanya nanti UMNO akan berkubur. Tanda-tandanya sudah jelas kelihatan. “Tiap yang hidup akan merasai mati.” Cuma masanya saja entah bila. Tetapi nampaknya ia tidaklah begitu jauh. Tidak juga begitu hampir. Masa saja yang akan menentukan bilakah ajal UMNO itu tiba. Bukan kita tidak sayangkan UMNO yang telah banyak mencatat sejarah dalam negara ini, tetapi begitulah, tiap yang bermula pasti akan berakhir.

AlKundangi
18.11.2000

 

   

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter