SPR DIMINTA WASPADA?
Bernama melaporkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) diminta supaya berwaspada dengan karenah parti-parti pembangkang sewaktu kempen
pilihan raya, terutama menjelang pilihan raya kecil DUN Lunas 29 November nanti.
Penyokong kerajaan Datuk Ruhanie Ahmad (BN-Parit Sulong) berkata sewaktu proses
berkempen, SPR seolah-olah tidak berani menegur, apatah lagi mengambil tindakan terhadap
pembangkang.
"Contohnya sewaktu pilihan raya tahun 1999 di kawasan Parlimen
Parit Sulong, PAS telah memaparkan papan iklan yang mengandungi beberapa terjemahan ayat
Al-Quran untuk mendorong pengundi menyokong parti berkenaan," katanya ketika
membahaskan Belanjawan 2001 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Ruhanie
berkata ini menunjukkan SPR tidak peka terhadap kempen pilihan raya pembangkang yang
memaparkan gambar-gambar tertentu untuk meraih simpati rakyat.
Di samping papan
iklan yang bertuliskan ayat Al-Quran, gambar mata bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Anwar Ibrahim yang lebam juga ditonjolkan dan ini sewajarnya diambil tindakan oleh
SPR.
"Berdasarkan kepada perkara itu saya mencadangkan Pengerusi SPR Datuk
Abdul Rashid Abdul Rahman, mengkaji semula keseluruhan undang-undang, peraturan dan
prosedur kempen untuk pilihan raya akan datang," katanya.
Ruhanie berkata
mungkin SPR menghadapi masalah kekurangan kakitangan yang pakar mengenai Islam, tetapi
untuk memastikan ayat Al-Quran tidak dieksploitasikan, SPR mestilah mendapatkan nasihat
ulama.