minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

SIARAN MEDIA

Jawatankuasa Perhubungan Parti Keadilan Nasional Negeri Pahang DarulMakmur merakamkan penghargaan dan ucapan terimakasih kepada Ketua Polis Pahang kerana membenarkan dan mengeluarkan permit Majlis Ceramah "Kembalikan Hak rakyat" di Bandar Baru Kerayong pada 10hb.November 2000 yang lalu.

Ceramah tersebut dihadiri oleh lebih 5000 orang dianjurkan oleh KeADILan Bahagian Temerloh dengan kehadiran Sdr.Ezam Mohd Nor dikira berjaya mencapai matlamat dan berjalan secara aman,tertib dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Polis.

Kami percaya keprihatinan Ketua Polis Pahang membenarkan ceramah tersebut serta kerjasama daripada Ketua Polis Daerah Temerloh dan anggota-anggota beliau mencerminkan sikap pasukan Polis,sekurang-kurangnya di Negeri Pahang,yang professional,enggan tunduk kepada tekanan dan neutral serta memahami aspirasi rakyat berlandaskan konsep "Mesra Rakyat".

Kami menegaskan pada hakikatnya tidak ada sebarang alasan munasabah untuk mana-mana pihak khususnya Polis untuk menghalang atau enggan mengeluarkan permit atau membatalkan mana-mana ceramah atau perhimpunan aman dianjurkan oleh Barisan Alternatif di Pahang khususnya dan diseluruh Tanahair kerana hak untuk berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan disamping merupakan hak asasi yang di iktiraf didalam Demokrasi.Tidak ada siapa yang berhak untuk merampas hak tersebut atas sebarang alasan apa pun jika tidak mahu di labelkan sebagai pengkhianat atau pembunuh Demokrasi.

Tidak pernah didalam sejarah politik tanahair mana-mana perhimpunan atau ceramah politik yang dianjurkan oleh Barisan Alternatif bertukar menjadi kekacauan,huruhara atau menjejaskan keselamatan negara dalam ertikata sebenarnya.Yang menjadi gusar dan gundahgulana lewat dari ceramah-ceramah BA adalah para pemimpin UMNO/BN yang telah usang idealisme perjuangan sehingga takut untuk berdepan secara 'gentleman' dengan Rakyat.

Insiden malang yang seharusnya tidak berlaku pada 5.11.2000 di "Lebuhraya demokrasi" diKESAS tidak akan terjadi sekiranya pihak  Polis berlaku adil, professional dan bijaksana. Pembantaian oleh FRU dan anggota Cawangan Khas ke  atas orangramai yang di luar dari rasakemanusiaan,tidak beradab dan kejam adalah melampaui batas dan tidak ada sebarang alasan munasabah yang boleh menghalalkan tidaktanduk Polis.Kami berasa kesal dan mengecam cara dan kaedah tindakan yang diambil oleh Polis menangani perhimpunan bersejarah tersebut yang secara langsung menampakkan kegagalan Polis bersikap professional dan bertindak di luar batas.

Namun begitu kita mengambil sikap yang tidak 'generalised' kesemua anggota Polis mempunyai sikap dan citra yang sama seperti kelakuan biadap FRU dan anggota Cawangan Khas diLebuhraya Demokrasi;kami menaruh keyakinan tinggi lain-lain anggota PDRM masih mempunyai kewarasan ,bijaksana dan professional.Kita juga menyedari masih ramai dikalangan anggota Polis diseluruh tanahair tidak bersetuju dengan tindaktanduk rakan sejawat mereka membantai dan menzalimi rakyat.Dan mereka ini ikhlas berkhidmat serta mendaulatkan nama baik pasukan serta berkhidmat dengan penuh dedikasi dan professional.

Kita turut menginsafi bahawa anggota-anggota PDRM sebenarnya menjadi mangsa dan di peralatkan oleh kerajaan UMNO/BN pimpinan Dr.Mahathir demi untuk mengekalkan legitimasi pemerintahannya dan mengekang gelombang kebangkitan rakyat menuntut keadilan dan Demokrasi subur di Malaysia.Kepada anggota PDRM ini kami mengharapkan mereka mempunyai kekuatan iman,keazaman yang kukuh serta iltizam yang tinggi untuk tidak tunduk dan menjadi alat kepada UMNO/BN.Sekiranya mereka ikhlas dan berpegang kepada kebenaran,yakin dan percayalah Rakyat dan PDRM berpisah tiada;sebaliknya jika mereka merelakan batang tubuh mereka diperalatkan oleh UMNO/BN menindas rakyat,maka kelak jangan dipersalahkan rakyat jika menganggap PDRM sebagai alat penindas,berpihak dan mempertahankan kepentingan UMNO/BN sehingga meminggirkan martabat dan hak rakyat yang natijahnya wibawa PDRM dimata rakyat akan terus bertambah rosak dan kian bobrok atau lebih malang lagi rakyat akan pula memusuhi Polis.

Kami sekali lagi merakamkan ucapan terimakasih dan penghargan kepada Ketua Polis Pahang dan Ketua Polis Temerloh diatas keprihatinan dan kerjasama yang yang diberikan disamping memahami aspirasi rakyat.Semoga sikap dan pendekatan Pegawai Kanan PDRM Pahang ini akan berterusan dan menjadi suriteladan kepada lain-lain Pegawai Polis.

 

YB.MOHD JAFRI B.AB.RASHID     
Tim.Ketua Perhubungan      
Parti Keadilan Nasional Pahang.

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter