Kewajaran tindakan Mahfuz
(dari perspektif politik)
Dalam
zaman perjuangan anti penjajahan dahulu, keluar masuk penjara adalah satu
pengalaman yang biasa dialami oleh pejuang-pejuang kemerdekaan.
Tokoh-tokoh
politik besar dan berkarisma seperti Sukarno (dari Indonesia), dan Gandi
serta Nehru (dari India) adalah contoh pejuang-pejuang
yang kaya dengan pengalaman yang demikian.
Hukuman penjara itu tidak
menjatuhkan imej dan mertabat mereka; malah mereka disanjung oleh rakyat, kerana
kesanggupan mereka dipenjarakan ditanggapi oleh rakyat, khasnya pengikut mereka
sebagai satu pengurbanan demi mencapai cita-cita dan matlamat yang
unggul dan mulia ( pada masa itu matlamat utama mereka tentulah membebaskan
tanah air dari cengkaman penjajah).
Sebaliknya, pemimpin yang membayar denda dan
tidak mahu masuk penjara (jika ada pilihan) kurang dipuji dan disanjung tinggi,
kerana dia dianggap tidak mahu dan tidak sanggup menghadapi kesusahan, apalagi
penderitaan dalam perjuangan itu.
Antara pemimpin yang kurang dipuji kerana
telah memilih membayar denda ini ialah Ahmad Boestamam, bekas Ketua API Malaya. Beliau
telah dibicarakan dan dianggap "bersalah" oleh kerajaan penjajah, kerana
menerbitkan risalah "Testamen Politik API" yang dituduh menghasut rakyat
menentang kerajaan (kerajaan penjajah masa itu) secara kekerasan.
Tindakan beliau
membayar denda dan tidak mahu memilih penjara kurang disetujui oleh rakan-rakan
dan pengikut beliau, dan sedikit sebanyak telah menjejaskan imej beliau sebagai pemimpin
rakyat dan pejuang kemerdekaan yang tulin.
Oleh yang demikian,
apabila Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS memilih hukuman penjara, dan tidak
mahu membayar denda, maka dari perspektif politik, tindakan beliau memang
merupakan satu tindakan yang wajar.
Beliau adalah seorang pejuang, dan wajar
memilih tindakan yang boleh meninggikan imej , mertabat dan kewibawaan beliau.
Dengan itu, memilih dipenjarakan tidak akan merugikan beliau, tetapi
akan menyebabkan beliau lebih dipuji dan dihormati.
(Oleh: Salman Madani)