minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MASYARAKAT MELAYU DAN KRISIS KEYAKINAN

Kini masyarakat Malaysia, khususnya umat Melayu sedang mengalami satu krisis. Ia bukanlah krisis ekonomi, masalah sosial atau sebagainya. Krisis itu adalah krisis dengan diri sendiri, atau apa yang selalu dipanggil dengan krisis keyakinan. Umat Melayu adalah umat yang beragama dan berakidah, justeru itu tidak seharusnya berlaku krisis seperti yang disebutkan. Tetapi begitulah. Krisis itu tetap datang melanda, semakin hari ia semakin kuat.

Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang tidak diketahui puncanya. Umat Melayu memang percayakan pimpinan. Sebab AlQuran sering mengingatkan “taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan para pemerintah di kalangan kamu." Sebab itu orang Melayu sedia siap siaga jika ada yang cuba menentang pemerintah atau kalangan yang berkuasa. Sikap inilah yang diperlihatkan oleh Hang Tuah, tokoh legenda Melayu yang paling taat dikenal sepanjang sejarah sehingga sanggup membunuh rakan sendiri demi ketaatan terhadap pihak berkuasa. Itu adalah semangat Hang Tuah. Tetapi apakah ketaatan seperti itu yang harus dipertahankan? Tentulah amat malang dan dayus jika ada umat Melayu yang bersikap demikian di zaman siber ini, atau zaman di mana dunia kian mengecil dalam era globalisasi ini.

Amat malang dan dayus! Tetapi itulah sebahagian dari sikap ahli-ahli UMNO yang sentiasa  mengiyakan kata-kata pemimpin mereka terutama Mahathir sebagai PM dan Abdullah Badawi sebagai TPM. Sebahagian lagi mungkin kerana kepentingan, kerana jawatan, kerana perniagaan atau kerana apa saja. Pokoknya mereka tidak pernah membantah pucuk pimpinan mereka sekalipun suatu hari pucuk pimpinan itu hampir gila atau memang benar-benar gila. Ketaatan mereka samalah seperti Hang Tuah, sanggup menikam sahabat sendiri, atau sanggup melarikan tunang orang dan paling malang sanggup terjun ke dalam perigi tahi!

Tetapi orang-orang Melayu yang benar-benar berjiwa Melayu, yang masih ingatkan akidah mereka, yang masih mendengar ceramah-ceramah, yang masih rindukan kebenaran dan keadilan tetapi oleh kerana kepentingan sesuatu, walaupun mereka tahu perkara itu tidak benar, mereka masih terus menyanjung dan menyokong kepimpinan PM dan TPM mereka. Sebenarnya jauh di lubuk hati mereka, mereka tahu PM dan TPM  sudah jauh menyimpang dari kebenaran dan keadilan. Mereka telah melihat bagaimana mahkamah diperalatkan menyebabkan DS Anwar terhukum. Mereka melihat bagaimana kuasa melepaskan Abul Ali Hasan dari tuduhan rasuah. Mereka melihat bagaimana Abdul Rahim Tamby Cik tidak dihukum walaupun bermukah dengan gadis di bawah umur sehingga melahirkan anak! Mereka juga melihat Lim Guan Eng terpenjara semata-mata kerana hendak menyelamatkan seorang Melayu! Namun jauh di hati mereka, mereka percaya PM dan TPM mereka sudah jauh tersasar dari landasan?       

Golongan inilah sebenarnya yang sedang dilanda krisis. Krisis dengan diri sendiri. Krisis keyakinan.

Kini krisis keyakinan ini bukan sahaja melanda orang-orang  UMNO . Krisis ini telah merebak ke seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan cintakan keadilan. Sebabnya mengapa? Seperti mana orang UMNO melihat peristiwa-peristiwa yang menghakis keyakinan mereka terhadap kerajaan khususnya PM dan TPM, begitulah rakyat Malaysia lainnya. Baik kaum China, India mahupun kaum-kaum lain yang menghuni bumi Malaysia ini. Rakyat Malaysia sebenarnya sudah tidak lagi yakin dengan kerajaan yang ada. Ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa bermaharajalela di depan mata. Namun apakan daya, Mahathir masih terus berkuasa, dilindungi oleh undang-undang dan sekian banyak akta, dilindungi oleh pasukan polis dan FRU, bahkan dilindungi oleh ulama-ulama yang bertopengkan  ilmu!     

Bukti nyata rakyat Malaysia sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap kerajaan yang berkuasa jelas terlihat dalam Pilihanraya 1999 yang lalu. Sebahagian rakyat Malaysia tidak lagi menyokong kerajaan. Bahkan Terengganu terlepas ke tangan Barisan Alternatif. Dalam pilihanraya Teluk Kemang, sekalipun kawasan itu dihuni oleh berbagai bangsa, tetapi Barisan Alternatif melalui calonnya Sdr.Ruslan Kassim mampu meraih undi yang begitu banyak. Sdr. Ruslan kalah dengan hanya lebih 4000 undi. Ini membuktikan keyakinan rakyat Malaysia kepada kerajaan telah tergugat. Tidak seperti dulu, calun  pembangkang hanya dapat beberapa ratus undi, dan kadangkala hilang wang pertaruhan.

Dalam peristiwa terbaru, perhimpunan 100,000 rakyat yang dirancang di Jalan Kebun mendapat sambutan diluar dugaan. Lebih 120,000 yang hadir. Kesemuanya itu adalah manifestasi dari ketidakyakinan  terhadap kerajaan. Atau dalam konteks rencana ini, krisis keyakinan terhadap kerajaan. Jika keadaan ini terus berkekalan, emosi rakyat terbanyak terus menyampah dan meluat melihat gelagat para pimpinan kerajaan , PM dan TPM, besar kemungkinan Lunas akan jatuh ke tangan Barisan Alternatif. Hanya kuasa, wang dan segala kemudahan dan tipu helah sahajalah yang menyebabkan pihak berkuasa mungkin memenangi kerusi Lunas. Selebihnya mereka tetap gagal meyakinkan rakyat terhadap mereka sendiri. Mereka gagal memenangi hati rakyat. Dan jika fenomena ini terus berkekalan, Insya-Allah di tahun 2004 Barisan  Alternatif akan memegang tampuk kuasa. Namun itu semua tidak akan datang tanpa kerja kuat dan pengorbanan. Dan kerja kuat dan pengorbanan itu mestilah bermula dari sekarang. Sekarang juga!  

Al Kundangi,

12.11.2000

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter