SIRI 8 YTDT
Demokrasi Negara Mengikut Acuan Siapa?
Apakah perkataan dalam Bahasa Melayu yang boleh menggambarkan dengan jelasnya situasi di
mana rakyat yang berhimpun beramai-ramai dihenyak, dihentam, dikepung, ditembak dengan
pemedih mata, dipukul dengan belantan dan di kurung dalam satu tempat berkunci untuk
dikenakan tembakan gas pemedih mata? Apakah perkataan yang sesuai untuk digunakan
sebagai kata arahan untuk menggerakkan manusia yang bersenjata, lengkap melakukan
keganasan sesuka hati ke atas rakyat yang tidak bersenjata itu?
Kalau diambil berita beberapa media perdana mengenai situasi yang disebutkan di atas,
tentulah kita boleh marah dan merasa jijik. TV3 melaporkan dalam ruang beritanya bahawa
rencana rakyat berkumpul secara aman “tidak mendapat sambutan langsung”. Cukuplah
gambaran tu sahaja kerana kalau kita rakamkan gambar yang dibuat oleh akhbar dan RTM
tentu kita akan merasa marah lagi. Sebenarnya hanya ada satu perkataan yang sesuai untuk
menggambarkan situasi yang berlaku pada November 5 2000 itu. Perkataannya ialah
“ANARKI”
‘ANARKI’ adalah perkataan Inggeris yang dialih-bahasakan menjadi Bahasa Melayu. Ia
bererti “keadaan tidak ada ataupun tidak berasaskan undang-undang”.
Ataupun ‘hilangnya ketertiban umum ataupun pemerintahan yang teratur sehingga
berlakunya kekacauan atau porak-peranda.’
Apa yang berlaku pada 5 November,
2000 adalah satu gambaran betapa anarki boleh tercetus kerana undang-undang yang
disalagunakan. Dalam hal ini siapakah yang menyalah-gunakan undang-undang itu? Raja
Kelentong Mahathir Mohammad telah kerap bermegah betapa “Malaysia adalah satu negara
demokrasi mengikut acuan kita sendiri”. Dia kerap berlagak bahawa demokrasi yang
berasal daripada perkataan Yunani itu dan yang lama diamalkan di negara luar adalah
tidak berapa sesuai di Malaysia. Kerana itu demokrasi Malaysia adalah mengikut acuan
sendiri yang telah diciptanya sejak dua puluh tahun yang lalu. Inilah kebanggaan
Mahathir selama ini dan inilah yang mahu disogokkannya ke kerongkong setiap rakyat di
negara ini selagi mereka mahu dan sanggup menetap di sini. Jika tidak, dia suruh mereka
“pergilah tinggal di negara luar, dan tinggalkan Malaysia....!”. Itulah saranan yang
kerap diulang-ulangnya sejak dua minggu yang lalu.
Demokrasi Malaysia Ciptaan Raja Kelentong
Sekarang kita boleh jenguk apakah demokrasi acuan Malaysia yang dicipta oleh Mahathir
itu:
- Parti pembangkang tidak ada hak bersuara bebas. Surat khabar parti pembangkang
mesti mengikut selera parti yang memerintah. Hanya boleh dijual di markas parti
sahaja. Setiap penerbitan mesti mendapatkan permit terbitan dan selalunya boleh
ditarik balik apabila kerajaan suka. Tetapi penerbitan yang pro kerajaan boleh
dijual di mana-mana dan diterbitkan sebanyak mana. Di negara lain yang mengamalkan
demokrasi, pihak pembangkang mempunyai radio dan TV sendiri. Surat khabar mereka
tidak pun perlu mendapatkan lesen dan permit daripada pihak kerajaan.
- Parti pembangkang dan orang awam yang mahu berkumpul secara aman hanya boleh
melakukannya setelah menerima permit polis. Permit ini walaupun sudah dikeluarkan
boleh ditarik balik tanpa sebab dan alasan mengikut selera pihak kerajaan. Di
beberapa negara luar, sesiapa saja boleh berdemo asalkan dia tidak menghalang
ketenteraman awam.
- Kepimpinan Malaysia adalah berasaskan demokrasi acuan sendiri. Ini termasuklah
mengkritik kuasa besar mengikut selera Raja Kelentong. Sebaliknya, sesiapa yang
menyokong pendapat negara luar dalam kritikannya terhadap kepimpinan Mahathir
adalah dicap sebagai agen asing. Mereka dibenarkan meninggalkan negara ini untuk
tinggal di luar negara. Sesiapa yang mengulang dan menyebut kembali kritikan negara
luar terhadap kepimpinan Mahathir boleh dianggap penghasut dan penderhaka terhadap
negara.
- Rakyat negara ini tidak digalakkan untuk mempercayai pendapat negara luar yang
dianggap mahu menjajah Malaysia. Tetapi, segala akta yang telah diwujudkan oleh
penjajah yang satu ketika dulu bertujuan untuk mempertahankan negara daripada
ancaman komunis masih dipakai lagi untuk menindas rakyat. Kerana itu Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Polis, Akta Menghasut dan berpuluh akta
dan peraturan yang bersifat menekan rakyat masih lagi digunapakai kerana ia menjamin
keselamatan Raja Kelentong dan para kroninya dan para pemimpin UMNO yang lain. Tidak
cukup dengan semua itu, ditambah lagi beberapa akta yang menekan seperti AUKU, Akta
Rahsia dan sebagainya. Dalam perkara ini Mahathir tidak pernah memikirkan
bahawa beliau dan juga Barisan Nasional sebenarnya merupakan pseudo-penjajah di
negara yang sudah lama merdeka ini. Dengan lain perkataan segala akta yang dicipta
oleh penjajah dulu sengaja dikekalkan oleh Mahathir untuk terus menjajah bangsanya
sedangkan di waktu yang sama diberlagak bahawa dialah pemimpin wakil rakyat di
negara ini. Sayang sekali, majoriti rakyat terutama sekali yang menjadi ahli UMNO
masih tidak mahu sedar lagi.
- Sesiapa yang mahu menubuhkan parti politik yang mempunyai sifat membangkang
Barisan Nasional, harus sanggup menunggu satu masa yang lama, mungkin menunggukan
kucing bertanduk. Tetapi, kalau parti politik itu ditubuhkan untuk bersekongkol
dengan Raja Kelentong, kelulusan penubuhan parti itu boleh dilaksanakan dalam
sekelip mata. Bukankah itu yang membolehkan penubuhan PAS Baru?
- Sejak Mahathir memegang kuasa politik dia telah melakukan pelbagai bentuk
kezaliman yang sengaja disokong oleh para juaknya sebagai langkah pentadbiran yang
perlu untuk menaikkan nama Malayasia ke tahap antarabangsa. Di kalangan UMNO alasan
yang ditonjolkan ialah untuk menaikkan martabat Bangsa Melayu itu ke tahap yang
tinggi setara dengan bangsa yang besar. Ini adalah satu penipuan besar. Bagaimanakah
satu bangsa itu boleh menjadi besar, kalau wawasan yang dilakar untuknya merupakan
satu wawasan yang tidak menjadikannya satu bangsa yang besar? Segala yang dierencana
oleh Mahathir untuk orang Melayu sebenarnya mempunyai matlamat jangka pendek untuk
memuaskan nafsu yang rakus seolah-olah rencana itu boleh melonjakkan bangsa Melayu
itu sebagai satu bangsa yang mudah maju. Tamaddun sesuatu bangsa telah boleh dijolok
ke atas tanpa melalui setiap tahap anak tangga kemajuan.
China yang berada ketika tempoh kepimpinan Mao Tse Tung hampir pupus, telah
melancarkan ‘The Great Leap Forward’, satu usaha melompat untuk membarisi tahap
kemajuan tamaddun bangsa lain. Satu generasi bangsa itu terkandas ke belakang, walaupun
ketika itu Deng Zao Peng diturunkan pangkat menjadi pencuci tandas. Para juak Mao Tze
Tung telah menonjolkan rencana lompatan budaya itu dengan berasaskan ‘Buku Merah
Mao’ yakni rangkaian kata-kata ‘hikmah seorang yang tidak percayakan Allah.’
Apa jadinya kepada China?
Sama ada disedari oleh rakyat Malaysia ataupun tidak,
sejak kematian Tun Ismail Ali, bekas Governor Bank Negara dulu, Mahathir telah tiba-tiba
menunjukkan kerakusannya dengan melaksanakan pelbagai projek mega di negara ini untuk
menunjukkan Malaysia mempunyai ratusan bangunan tinggi-tinggi dan projek mega yang boleh
menandingi projek yang sama di negara maju. Tetapi, projek di negara maju itu dibina
untuk satu tahap yang lama dan melalui ratusan tahun tamaddun bangsa sesuatu negara itu.
Alangkah rakusnya Mahathir mahu menandingi kuasa besar sedangkan setiap kuasa itu
menjadi besar selepas melalui satu tempoh yang lama sebagai penjajah.
Mahathir
mengumpulkan segala projek besar itu dan mengagihkan kepada para kroni. Di waktu yang
sama dia tidak mampu mengawasi setiap projek itu dengan baik kerana dia terlalu taksub
mahukan setiap projek itu siap dalam masa yang singkat. Apa jadinya dan apakah pula
kesannya kepada ekonomi negara? Beberapa contoh yang baik boleh dirakamkan di sini:
- Langkawi di majukan seolah-olah esok sudah tidak ada lagi. Seorang peniaga yang
berpengalaman dengan kayu-kayan diberikan projek itu. Kebanyakan kos projek sengaja
dilonjakkan lebih tiga kali ganda di Langkawi. Hanya si pakar pembuat batang penyapu
itu yang dianggap pakar dalam pembangunan sehinggakan orang Melayu difikirkan belum
pakar lagi dalam setiap projek yang diberikan kepada taukeh itu. Di waktu yang sama
satu projek yang lebih mega diberikan lagi kepada taukeh yang sama. Inilah projek Hidro
Bakun. Kepakaran luar diambil sebagai penyedap sahaja kerana segala
kerja-kerja kontrak itu diagihkan kepada beberapa syarikat lain yang merupakan
anak-syarikat kepunyaan pakar batang penyapu itu. Kita sudah nampak kini,
projek itu terbengkalai kerana tujuan utama projek itu ialah untuk membalun segala
kayu-kayan yang berharga di tapak hairdo. Untuk menyedapkan hati rakyat,
dikatakanlah betapa perlunya bekalan letrik dengan menggunakan projek empangan
kerana bekalan itu adalah bersesuaian untuk dihantar ke Semenanjung. Dikatakanlah
bahawa projek bekalan letrik dengan pembinaan empang adalah projek yang paling
ekonomi.
Inilah satu contoh betapa rakyat ditipu terang-terangan. Sekarang
ini negara maju mengurangkan projek empangan dengan memberikan tumpuan kepada kuasa
angin. Kalau kita lihat di Long Island Amerika ada satu kompleks bekalan letrik
menggunakan kuasa nuklear yang cuba dijual oleh kerajaan Amerika dengan harga Satu
Dollar Amerika. Projek itu tidak dilaksanakan kerana desakan orang ramai yang tidak
mahu pencemaran kuasa nuklear di halaman rumah mereka. Kini, hampir semua negara
maju melancarkan projek mendapatkan tenaga letrik daripada kuasa angin. Kita boleh
pergi melihatnya di negara Nordik dan mendapati projek ini semakin canggih kini.
Di
Switzerland, kalau kita menyusuri lebuh raya daripada Zurih hingga ke Geneva kita
dapat lihat dinding panjang yang disalut ‘photo voltaic cells’ untuk menyaring
kuasa suria. Inilah projek membekalkan kuasa matahari untuk digunakan oleh rakyat.
Kita ada mataharai sepanjang tahun dan angin dengan percuma, tetapi Petronas tidak
mampu memperuntukkan sebahagian hasilnya untuk projek ini. Yang ditonjolkan kini
ialah projek pembikinan kereta suria. Projek ini sebenarnya cuba menandingi projek
yang sama yang sedang diusahakan oleh beberapa pengeluar kereta termaju di dunia.
Yang lucunya kita mengeluarkan belanja besar untuk projek ini untuk
menggaji kepakaran daripada barat dan bukannya daripada negara sendiri.
Rakyat
Malaysia terutama sekali masyarakat Sarawak telah membantah projek Bakun. Tetapi,
tidak dihiraukan. Kini projek itu terbantut kerana kekurangan wang. Tetapi, alasan
yang sebenarnya ialah kerana semua kayu-kayan yang berharga sudah habis dibalun dan
wangnya entah ke mana. Bayangkanlah apa jadinya kini kerana taukeh batang penyapu
itu mampu mempunyai jet peribadi sendiri dan mampu menubuhkan satu syarikat
penerbangan udara sedangkan tiga puluh tahun dulu dia hanya seorang penjual batang
penyapu. Beberapa orang teman lama di Sarawak dan Langkawi ada bercerita; kalau
orang Melayu dan Cina di Langkawi dan Sarawak diberikan keistimewaan yang serupa
yang pernah disediakan kepada Tan Sri Ting itu, tentu sekali mereka mampu melakukan
yang lebih terbaik daripada yang dilihat kini. Apakah nak dikatakan dalam hal ini?
Sekarang, disebabkan suasana harga melompat dalam setiap kontrak yang diberikan
di Langkawi dulu, keadaan cara hidup orang kita di Langkawi pun melompat dengan
mendadaknya sehinggakan kalau berlaku kekurangan jumlah pelancong ke sana, orang
Melayu Langkawi akan, merempat kembali. Begitu juga di Sarawak, projek Bakun
sudah pun menjadi satu projek yang ditafsirkan sebagai projek gila oleh seorang
pemimpin negara yang memang sudah gila.
- Kita telah disogokkan dengan pelbagai projek mega yang menghakiskan keupayaan
negara menyimpan hasil petroleum untuk generasi yang akan datang. Perkara ini
berlaku kerana Petronas adalah satu badan kerajaan yang dikuasai oleh Raja Kelentong
sepenuhnya, dan bukan di bawah kuasa Menteri Kewangan dan kabinet sepenuhnya. Tidak
ada sebuah negara yang berteraskan demokrasi di mana ketua eksekutif negara
mempunyai satu bekalan wang yang di bawah kuasanya secara mutlak. Disebabkan
kuasa yang gila itu, apa juga projek mega yang diimpikan oleh Mahathir dibiayai oleh
Petronas, seolah-olah hasil mahsul Petronas itu adalah legasi datuk moyangnya.
Kepincangan ini sanggup diperakukan oleh semua lapisan wakil rakyat termasuklah di
pihak pembangkang. Dengan lain perkataan, Petronas merupakan satu angsa ajaib yang
mengeluarkan telur emas hanya untuk disimpan di rumah Mahathir. Orang lain tidak
perlu tahu apa yang dilakukannya dengan telur emas itu. Ini merupakan satu tipu
helah yang kejam dan menjijikkan.
Apabila ekonomi negara merudum dan Malaysia
perlu menyesuaikan diri mengikut peraturan yang dikehendaki oleh IMF dan Bank Dunia,
Mahathir bingkas membantah kerana dia tahu beberapa peraturan yang
dikenakan oleh Bank Dunia itu ialah supaya Malaysia membuat perubahan agar kuasa
mengendalikan urusan Petronas itu tidak lagi menjadi hak mutlak seorang
perdana menteri. Lagipun sudah tentu banyak syarikat yang muflis dan dipunyai oleh
anak-anak dan kroninya terpaksa ditutup, dan tidak diberikan nafas baru menggunakan
wang Petronas. Mahathir menolak syarat Bank Dunia itu dengan memburukkan
cadangan mereka. Kemudian dia pergi ke seluruh dunia berlagak bahawa
‘Malaysia mampu memperbaiki ekonomi sendiri tanpa meminjam duit sesiapa.’ Ini
pun satu pembohongan lagi yang menipu rakyat Malaysia dan menipu dunia, kerana
Malaysia meminjam lagi dengan premium yang lebih tinggi. Kali ini pinjaman itu
bukan dilakukan oleh kerajaan tetapi dibuat oleh Petronas.
- Sebenarnya ekonomi Malaysia mula merudum sejak 1996 lagi. Tetapi disebabkan
perancangan yang licik di kalangan pihak tertentu ekonomi itu dapat bertahan
di situ sehinggalah akhir 1998. Muslihat ini dilakukan dengan mencetuskan puluhan
projek di luar negara dan juga dalam negeri mengikut selera Raja Kelentong.
Cuba buka senarai MOU (Memorandum of Understanding) yang ditandatangani di luar
negara dan disaksikan sendiri oleh beliau. Tidak sampai lima persen pun yang
telah dilaksanakan. Kebanyakan MOU itu adalah mainan teka-teki sahaja untuk
menaikkan harga saham setiap syarikat yang mencetuskan MOU itu. Apa jadinya dengan
saham-saham itu sekarang? Orang Cina kata inilah saham kertas tisu yang telah
membuatkan ramai golongan profesional di negara ini masih lagi merana. Nilai kertas
tisu yang disebutkan itu adalah disebabkan kenaikan harga saham itu yang sengaja
dipacu oleh pihak tertentu sehingga dikeluarkan surat janji yang lain (other
promissory notes) yang berbentuk ‘Warrants’, ‘Loans’, dan sebagainya.
Promissory
notes adalah surat janji yang dikeluarkan oleh syarikat untuk satu tempoh yang
tertentu (selalunya tidak melebihi lima tahun melainkan kalau diperpanjangkan tempoh
luputnya). Apabila sebuah syarikat melakukan satu pacuan aktiviti dengan naungan
pihak kerajaan, harganya di pasaran saham terus naik melonjak hingga mampu menarik
minat pelabur runcit. Oleh kerana kertas promissory notes itu pada dasarnya hanya
merupakan kertas janji sahaja, nilainya merupakan nilai kosong yang perlu diisi
sendiri oleh si pembeli dalam congakannya sahaja. Tentu sekali pihak yang
mengeluarkan memberikan beberapa janji manis lengkap dengan katalog yang indah-indah
kerana gambaran yang indah yang dipaparkan di atas kertas bermutu tinggi.
Wang
yang dikeluarkan untuk membeli promissory notes itu sepatutnya digunakan sebagai
modal kepada projek yang akan dilakukan. Dalam hal ini ia adalah berdasarkan MOU
yang ditandatangani itu. Tetapi yang sebenarnya wang yang diterima itu digunakan
untuk menutup hutang bertapuk yang mencetuskan kadar faedah bank yang tinggi.
Penyelewengan itu dibiarkan berlanjutan sehingga satu masa ia dilupakan oleh
masyarakat umum. Apabila projek yang dijanjikan itu tidak dimulakan, mulalah soalan
pihak yang mahu mengetahui kerana mereka sudah melabur dulu. Ketika itu
barulah diumumkan betapa projek yang berasaskan MOU itu tidak dapat dilancarkan
kerana keadaan suasana pelaburan yang sudah berubah. Itu sebabnya banyak
‘warants’ dan ‘loans’ di pasaran saham semakin merudum. Siapa yang rugi
dalam hal ini kalau bukan pelabur runcit dan rakyat marhaen?
Pernah terjadi
pada satu persidangan UMNO beberapa tahun yang lalu, desas-desus yang kuat merangsang
naik harga FACB. Malahan desas-desus itu ada kaitan dengan cerita beberapa ketua
bahagian dan cawangan yang diberikan saham percuma syarikat itu. Harga di pasaran
pun naik mencanak melebihi RM3.00 kerana ketika itu ada berita akan pelaburan
syarikat di China. Ramai guru-guru yang membeli ketika saham sudah mencecah
RM2.00 dengan mendapatkan pinjaman bank. Beberapa bulan kemudian saham itu
turun hingga puluhan sen sahaja apabila tercetus berita pelaburan di China itu
terkandas. Akibatnya, ramai guru-guru yang terpaksa buat kerja sampingan untuk
menutup kerugian bank mereka. Begitulah juga nasib yang menimpa majoriti orang
Melayu di kampung-kampung yang melabur dalam amanah saham beberapa institusi yang di
naungi kerajaan dan UMNO. Mereka masih menanggung kerugian lagi. Apakah Mahathir
mahu mengambil kira nasib mereka dengan menggantikan kerugian itu dengan menggunakan
wang Petronas seperti yang dilakukan terhadap anak-anaknya?
Apa yang
dikatakan ekonomi mantap sejak beberapa tahun itu adalah satu penipuan juga kerana
itulah senjata yang membolehkan Malaysia melakukan dasar pintu terbuka untuk
membiarkan ribuan rakyat asing masuk menjadi tenaga pekerja. Projek menggunakan
tenaga asing telah menjadikan beberapa kerat orang Barisan Nasional menjadi
kaya-raya sehinggakan mereka mampu berjoli sakan di kasino besar luar negara.
Proses membawa masuk pekerja asing itu membabitkan ribuan ringgit bertukar tangan di
beberapa tahap penguatkuasaan; bermula daripada Jabatan Imigresen hinggalah PDRM
(Polis) dan hinggakan ke Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Impak
kemasukan orang asing secara haram memerlukan pembinaan beberapa stesen
penahanan orang asing itu sebelum mereka dihantar pulang. Pusat penahanan ini
menjadi punca maksiat lagi dalam berbagai-bagai bentuk. Terlalu banyak untuk
dirakamkan kali ini. Memadailah kalau kita katakan bahawa kewujudan stesen penahanan
itu adalah satu tipu muslihat untuk mengekalkan jumlah anggota polis agar tidak
dikurangkan. Sedangkan anggota polis itu sepatutnya dikerahkan menangkap pekerja
haram ini setiba mereka di pantai di malam hari.
Apabila pendatang
haram mampu menceroboh dengan senang dan berkerja di tapak binaan yang merupakan
projek para kroni dan juak Raja Kelentong, siapakah yang berani menangkap mereka?
Siapa pula yang berani menyekat dan memeriksa kaedah pengajian dan cara tenaga
mereka itu digunakan. Apa yang kerap kita lihat, tapak projek itu diserbu hanya di
tahap projek itu hampir siap. Kenapakah perkara itu boleh berlaku sedangkan setahun
dua sebelum itu tapak itu boleh dibiarkan sahaja? Seperti yang saya tulis dulu,
jawapannya terletak kepada perbuatan pihak sabkontraktor yang sengaja mahukan tenaga
kerja haram ini ditangkap agar tidak perlu membayar gaji mereka lagi.
Kita kerap melihat gambar dan berita betapa pendatang haram di tangkap di tapak
projek dan dihantar pulang. Kita tahu bahawa undang-undang ketat ada dirangka untuk
menghukum setiap majikan yang menggunakan para pekerja tanpa izin. Cuba selidik,
berapa ramaikah para majikan yang pernah dipenjarakan sehingga kini kerana
menggunakan pekerja tanpa izin? Yang menyedihkan majoriti pekerja asing ini
membazirkan gaji yang tinggi yang diperolehi di negara ini dengan berjudi dan
berjudi dan berjudi.
- Muslihat penggunaan pendatang tanpa izin dalam projek pembinaan rumah menyebabkan
mutu pembikinan rumah itu menurun secara mendadak. Betapa tidaknya kalau seorang
nelayan Bawiyan digunakan untuk kerja mengikat batu dan plaster, apa yang dia
tahu? Yang peliknya kebanyakan rumah yang siap secara ‘sub-standard’
diberikan sijil kelulusan oleh pihak yang berkuasa. Saya ada melihat beberapa
bangunan tinggi di Port Dickson yang telah diberikan kelulusan ‘Certificate of
Fitness’ sedangkan hampir semua bangunan itu mempunyai kecacatan yang melanggari
syarat pembikinannya. Di Teluk Kemang misalannya, projek Worldwide Marina Resort
(Batu Tujuh Jalan Teluk Kemang selepas Hospital Daerah Port Dickson) diberikan
kelulusan sedangkan beberapa asas prasarana yang mesti disiapkan oleh pemaju tidak
pun dilaksanakan. Kerana itu kalau kita angkat ‘intercom’ (telefon dalaman) kita
tidak dapat menggunakannya kerana ketiadaan wayarnya. Begitu juga dengan antena TV,
ada punatnya tetapi tiada wayarnya. Kompleks Marina itu menjanjikan satu
marina untuk membolehkan bot masuk dan disimpan di situ. Projek sudah pun diluluskan
oleh pihak kerajaan melalui ‘certificate of fitness’ tetapi lubuk yang dikatakan
marina itu belum lagi selesai. Oleh kerana kebanyakan pembeli kondo di situ adalah
orang luar daripada Singapura, Hong Kong, Indonesia dan Taiwan, ramai mereka ini
yang mengeluh kerana janji palsu pihak pemaju. Kerana itu projek itu banyak
yang kosong dan terpaksa diambil alih oleh Danaharta. Sehingga kini ramai
pembeli luar negara mengeluh kerana ada bangunan yang tinggi itu yang masih
bocor di bahagian atasnya dan memerlukan pembaikan. Kalau kompleks itu tidak
ditangani oleh Danaharta dengan serius ia akan memalukan Danaharta, akhirnya.
- Keadaan bangunan tinggi-tinggi yang kosong sudah pun disebut oleh Mahathir minggu
yang lalu. Tetapi apakah tindakannya untuk memperbaiki keadaan? Kita tidak pernah
mendengar rencana pemulihan itu daripada mulutnya. Kini dia mula menumpukan kepada
projek sungai pula dan meminta rakyat mencintai sungai. Begitulah gelagatnya. Dia
tidak ambil peduli secara serius akan kepincangan pentadbirannya. Kalau projek
perumahan untuk pembeli warga negara asing boleh kecundang apakah agaknya yang
terjadi kepada projek rumah murah? Kita sudah diberitahu bahawa projek rumah murah
kini boleh dipesatkan kerana harga rumah murah sudah boleh dinaikkan sekitar
RM45,000. Inilah jalan pintas yang dipilih oleh kerajaan setiap kali berlakunya
kepincangan. Sepatutnya harga rumah murah tidak boleh diubah daripada RM25,000 kalau
kerajaan serius mahukan setiap rakyat mempunyai rumah sendiri. Perkara ini boleh
dilakukan kalau kerajaan betul-betul mahukannya. Cara membenarkan kenaikan harga
hanya akan menyukarkan rakyat dan memudahkan para pemaju.
Cuba fikirkan cadangan ini:
Rumah murah untuk rakyat boleh dibuat dan dijual
kurang daripada RM25,00 kalau kerajaan Mahathir mahu. Kerajaan harus turunkan kos
premium tukar syarat untuk pembinaan rumah itu. Malahan setiap projek membina rumah
rakyat tidak patut dikenakan premium (Adakah kerajaan pusat membayar premium
membina perumahan di Putra Jaya?). Projek pembinaan rumah itu hendaklah diambil alih
daripada pemaju dan diserahkan kepada setiap regimen askar dan juga pasukan PDRM. Kita
tidak perlu banyak askar di khemah tentera dan kita tidak perlu banyak polis di negara
ini kerana negara sudah aman. Disebabkan terlalu ramai anggota polis makanya kita lihat
ada yang bertindak ganas setiap kali ada peluang untuk berantakan dengan rakyat. Tentu
kita masih ingat projek PULAREK di Johor Bahru yang kini terpaksa dibikin semula.
Kalaulah projek itu dilaksanakan oleh tenaga tentera tentu kita tidak diaibkan seperti
itu.
Selama ini projek perumahan dan pembinaan pencakar langit di negara ini
dilakukan oleh tenaga asing yang tidak pun mempunyai kepakaran dalam pembikinan
bangunan. Mereka diberikan peluang untuk menjadi pakar dalam hal itu. Dengan memberikan
peluang ini kepada tentera dan polis dan wang pekerjaan itu dimasukkan ke dalam tabung
khas (kerana mereka menerima gaji tetap setiap bulan), wang yang dikumpulkan itu boleh
digunakan sebagai simpanan untuk mereka mengerjakan rukun haji dan umrah ataupun membeli
saham keluaran baru (IPO – Initial Public Offerings).
Harga rumah di negara ini
terlalu mahal disebabkan proses kontraktor pergi ke banyak ‘sab’ dalam
mengendalikan sesuatu projek. Kalau kita lihat nama kontraktor sesuatu projek itu ia
sama sahaja dengan nama para pemimpin pemuda UMNO tetapi kalau kita lihat siapa yang
menjadi sabnya ia adalah orang yang tidak pun boleh menjadi ahli UMNO. Inilah yang
membuatkan UMNO itu berlagak kerana semangat berlagak itu terlalu pekat di kalangan
pemimpin pergerakan pemudanya.
Mahathir sudah memerintah dan menjajah negara ini
selama dua puluh tahun. Besar kemungkinan ia akan diberikan mandat untuk terus menjajah
sehingga dia mati. Perkara pokok dan asas untuk rakyat seperti perumahan masih tidak
dapat diselesaikannya. Inilah acuan demokrasi ala Mahathir namanya. Ini juga menunjukkan
betapa Mahathir sebenarnya berlakon selama ini kerana dia tidak mampu melakukan sesuatu
yang dapat dikenang sebagai satu kemuncak dan kegemilangan pemerintahannya. Kalau
masalah perumahan tidak dapat diselesaikan, apakah yang boleh kita harapkan daripada
beliau untuk menyelesaikan masalah perubatan dan pendidikan? Apakah kita boleh
harapkan beliau menegakkan martabat bangsa Melayu dan keagungan syiar Islam di
kalangan orang Melayu?
Kita dapat menjangkakan, masa kepupusan Mahathir sudah
semakin sampai. Orang putih kata “The Final Days of a Malay Dictator is Beckoning”.
Memang tidak syak lagi Mahathir merupakan seorang diktator Melayu pertama di negara
ini. (Dia tidak boleh dikira sebagai diktator pertama di dunia; kerana jolokan itu
dipegang oleh seorang diktator Albania yang mempunyai darah kacukan Melayu (juga).
Mahathir memang amat megah dengan jolokan ini kerana itu dia selalunya mengulangkan
perkataan ‘MAHAFIRAUN’ dan menyedari bahawa jolokan itu menunjukkan dia lebih hebat
daripada firaun. Tetapi dia lupa bahawa apa yang dilakukannya ini adalah satu kejijikan
yang akan menghenyak suku-sakatnya dan ahli keluarganya (seperti yang ditulis dengan
jelas oleh Aminsapiro: Rakyat Sudah Rimas...!)
Penipuan demi penipuan dan pindaan
yang dilakukan kepada beberapa peraturan undang-undang telah membuatkan rakyat lebih
rimas dengan pemerintahan Mahathir. Kini dia mahu melakukan pindaan lagi dalam
perlembagaan UMNO. Seharusnya kalau kita tidak lagi menjadi ahli UMNO kita tidak perlu
rimas dengan apa juga perubahan yang akan dilakukannya itu. Tetapi disebabkan segala
pindaan dalam perlembagaan UMNO itu akan juga meminda cara hidup keseluruhan rakyat di
negara ini, kita terpaksa menyatakan bantahan kita. Di manakah mampu kita lakukan itu
kalau bukan di jalan raya secara berhimpun dengan aman. Strategi ini memang lama
sudah disedari oleh Mahathir kerana itu permit dan lesen untuk berhimpun secara aman itu
tidak akan diluluskan kepada rakyat.
Mahathir menganggap bahawa himpunan rakyat
secara aman itu adalah tidak perlu kerana itu tidak masuk dalam acuan demokrasi
olahannya. Kini, terpulanglah kepada semua rakyat Malaysia bersatu menyatakan kejijikan
mereka terhadap kepimpinan Mahathir. Rakyat perlu bangkit di seluruh negara ini
mengganyang Mahathir secara aman. Sampai bilakah pihak polis mahu menghayunkan
belantan mereka terhadap rakyat yang tidak bersenjata? Undang-undang dan hukum alam
lambat laun akan berlaku juga. Ini akan menjelma juga apabila kebangkitan rakyat itu
akan menghumbankan Mahathir ke dalam penjara. Selama ini dia angkuh menolak sebarang
usaha untuk membawanya ke mahkamah. Dia sudah tidak ada ruang lagi untuk mengelakkan
dirinya. Di waktu yang sama dia tidak mampu lari ke mana yang dia suka kerana hampir
semua sahabatnya yang selama ini menjadi diktator di negara mereka sendiri sudah pun
berada di satu tahap akan dijerat oleh rakyat mereka juga.
Demokrasi Malaysia
mengikut acuan ala Mahathir sudah kita nampak jelas kini kerana kita sama-sama sedang
merana mengharunginya. Sudah tiba masanya kita menunjukkan Mahathir dan seluruh dunia
apakah demokrasi Malaysia sebenarnya mengikut acuan yang akan dilakarkan oleh rakyat
marhaen. Cukuplah masa yang diberikan kepada suku-sakat dan para jongos Mahathir akan
segala keistimewaan yang mereka nikmati selama ini. Memadailah dengan segala kemewahan
dan kekayaan negara ini yang mereka balun daripada hak rakyat itu. Sampailah masanya
rakyat bertindak secara kolektif (rakyat marhaen, tentera dan pihak polis) untuk
menyanggah Mahathir daripada khayalannya.
Rakyat terpaksa bertindak berani untuk
mengnyahkan Mahathir dan para juaknya daripada terus memutar minda kita dalam usahanya
memperkuatkan lagi kuasa kediktatorannya. Rakyat mesti sedar, Mahathir tidak lagi
mempunyai semangat memperjuangkan masalah rakyat. Kerana itu apabila rakyat berhimpun
secara aman pihak polis berani menggila. Yang ditangkap dan ditahan tidak diberikan
rawatan spontan ataupun diberikan bekalan makanan yang dibawa oleh ahli keluarga mereka.
Bagaimana pula cerita Anwar Ibrahim yang tidak diberikan rawatan selama lima hari
selepas dibaham oleh Rahim Noor dan ‘siapa lagi’? Kini, ANARKI sudah mula berputik
dan akan berbunga untuk mencengkam suasana harmoni di negara ini. Kita perlu bertindak
untuk mencetuskan satu berita baik akhirnya. Inilah berita baik yang mahu kita
canangkan ke luar negara. Inilah warisan kita kepada anak dan cucu-cicit kita apa
sebenarnya demokrasi Malaysia mengikut acuan bangsa Malaysia, yang berteraskan
keperwiraan Melayu. Sebelum itu, Mahathir dan para kroninya perlu dimasukkan
ke ‘dalam’ dulu.
-Marhaintua- 11.11.2000.
|