MGG121
Pengambilan Hak Kerajaan Selangor Oleh Kerajaan Persekutuan
(Selangor State
Territory Annexed By Federal Government)
Pada
mulanya Mahathir telah menafikan hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Kemudian Mahathir songlap hak rakyat Terengganu kepada royalti petroleum. Kini Mahathir
mahu mengambil alih Putrajaya dan mengisytiharkannya Wilayah Persekutuan.
Beberapa
hari yang lalu Kerajaan Persekutuan telah membuat pengumuman betapa Putra Jaya
akan menjadi Wilayah Persekutuan. Ini memeranjatkan ramai orang. Bilakah perkara ini
dipersetujui? Siapakah yang menyetujui agar Putra Jaya diserahkan kepada Kerajaan Pusat?
Saya
telah melakukan sedikit risikan dan inilah yang dapat saya kumpulkan.
Sebelum ini
Dulu Yang Di Pertuan Agong telah memanggil Pemangku Raja mengadap bersama dengan Majlis
Raja-raja. Di dalam pertemuan ini Tuanku telah memberitahu bahawa Putra Jaya akan
diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Pemangku Raja dan juga Majlis Raja-raja telah
diperintahkan agar tidak mempersoalkan keputusan ini ataupun menyanggahnya. Mereka
hanya boleh bertanya akan jumlah pampasan yang terlibat.
Putra Jaya akan
dijual dengan kadar RM800 juta dan dicampur dengan pembayaran tahunan sebanyak RM7.5
juta.
Setelah mendengar titah Tuanku bahawa penjualan itu tidak boleh dipertikaikan
lagi, Majlis Raja-raja pun mengambil langkah untuk mempertikaikan jumlah pampasan yang
ditawarkan oleh Kerajaan Pusat itu. Mereka berpendapat jumlahnya tidak munasabah.
Bagaimana mungkin Kerajaan Pusat mengambil Putra Jaya secara paksa dan menentukan
harga pampasan untuk dibayar?
Perkara ini dimajukan semula kepada Kerajaan
Pusat. Kerajaan Pusat diberitahu akan ketidaksenangan Majlis Raja-raja akan jumlah
yang ditawarkan itu dan mahukan Kerajaan Pusat membuat pertimbangan semula.
Kerajaan
Pusat menolak pandangan Majlis Raja-raja itu dan bertegas agar jumlah tawaran tidak diubah
lagi.
Majlis Raja-raja tidak senang dengan keadaan yang berlaku. Sudahlah jajahan
takluk Negeri Selangor mahu dirampas dengan paksa, harga pampasannya pun diperlekehkan.
Mengikut
sumber Kerajaan Selangor, tindakan mengambil alih Putra Jaya bermula ketika mantan Menteri
Besar, Abu Hassan Omar. Dia tidak berminat dengan usaha ini tetapi tidak berupaya
menolak nafsu Mahathir. Beliau tidak mahu terlibat dengan kerja jijik ini kerana itu dia
mengambil jalan mudah untuk melepaskan jawatannya ketika keributan skandal seks
dicetuskan.
Sebenarnya, skandal seks itu adalah satu cerita lama yang sudah pun
berusia satu dekad. Dia tidak perlu bersara disebabkan cerita itu. Tetapi itulah
yang merupakan satu alasan yang paling cocok untuk memberi kekuatan kepada
persaraannya. Takkanlah dia mahu menyebut cerita Putra Jaya akan diambil secara paksa
sebagai alasannya.
Kemudian, UMNO Selangor telah menyenaraikan 11 nama kepada
Mahathir untuk dipilihnya sebagai pengganti Abu Hassan Omar. Mahathir enggan memilih
walau satu nama pun yang tersenarai di situ. Dia sudah ada satu calon istimewa yang tidak
pun tersenarai dalam cadangan itu. Mahathir mahu satu kepastian bahawa calon pilihannya
nanti tidak akan menghalang pengambilan Putra Jaya.
Ahli Kerabat Diraja
Selangor memang tidak senang hati dengan gelagat ini. Mereka sudah dapat membaca bahawa
strategi yang akan menyusul ialah pengambilan Cyberjaya kerana ini pun satu kawasan yang
penting kepada Mahathir.
Pentadbiran Selangor sedang berkecamuk dengan krisis ini.
Keluarga kerabat diraja Selangor merasa hampa dengan gelagat Sultan menjual maruah
mereka kepada Mahathir. Ramai yang tertanya-tanya kenapakah ahli Majlis Raja-raja diam
membisu dalam perkara ini? Memang tidak dinafikan mereka telah digam oleh Sultan agar
tidak buka mulut. Tetapi kenapakah mereka tidak melepaskan jawatan mereka itu sebagai satu
bentuk protes?
Mereka berpendapat, kalau ahli jawatankuasa Majlis Raja-raja itu
tidak meletakkan jawatan, bererti mereka mengendos tindakan menyerahkan Putra Jaya kepada
Kerajaan Persekutuan.
Pada 7 November 2000, Majlis Raja-raja akan menyerahkan
dokumen persetujuan mereka kepada Kerajaan Pusat. Selepas itu perkara itu akan
menjadi satu persetujuan bertaraf fait accompli. Kalau ahli majlis itu mahu memprotes
mereka terpaksa meletakkan jawatan sebelum itu.
Majlis Kerabat Diraja sudah
sedar betapa rakyat mula mempertikaikan kewibawaan kesultanan dalam hal ini. Dalam
krisis perlembagaan beberapa tahun yang lalu, UMNO telah bertindak mahu mengenepikan semua
sultan. Hanya Mahathir yang berlakon mempertahankan sultan, secara sinisnya.
Mahathir
ada berkata: "Kita tidak boleh pecat Sultan. Kita masih perlukan mereka untuk
memberikan anugerah bintang di hari jadi mereka. Kalau sudah tidak ada Sultan siapa
pula yang akan memberikan anugerah itu?"
Tidak lama selepas itu salah seorang
mantan menteri besar telah bertelagah dengan Sultan kerana dia telah bernikah dengan
puteri Sultan tanpa pengetahuan baginda. Sebagai tanda marah Sultan telah menolak
senarai cadangan menteri besar itu untuk dianugerahkan bintang oleh baginda. Sebagai
gantinya baginda mencadangkan satu senarai pilihan sendiri sebagai hadiah sambutan hari jadi
baginda itu. Menteri Besar pun memberitahu baginda bahawa Sultan tidak ada kuasa
untuk menentukan siapa yang patut diberikan kurnia di hari jadi baginda itu. Hak itu
adalah kepunyaan UMNO dan Sultan hanya tukang semat dan cangkuk bintang sahaja.
Kenyataan
itu telah menyentuh hati Sultan hinggakan ia menjadi tajuk muka depan akhbar kerana Sultan
bertindak untuk membatalkan sambutan hari jadi baginda pada tahun itu. Baginda tidak perlu
menyangkukkan sebarang yang dipilih oleh UMNO. Kalau baginda tidak dapat memilih sesiapa
pilihannya, lebih baik tidak beri sebarang anugerah pada kali itu.
Tidak adalah
sambutan hari jadi pada tahun itu dan secara menyindir Sultan berkata, setidaknya ia
membantu menjimatkan belanja kerajaan negeri. (Tetapi, rakyat Selangor masih tidak
lupa baginda berbelanja besar untuk beristeri muda....! Hai. cemburu juga beta....! Bagaimana
pula Memanda?....-penterjemah)
Ramai ahli kerabat diraja Selangor yang
risau dengan rentetan terbaru ini kerana ia mungkin merangsang rakyat Selangor
mempersoalkan maruah dan relevannya kedaulatan kesultanan Selangor itu akhirnya.
Mahathir telah mencetuskan perkara ini beberapa tahun yang lalu dan sentimen
ini sudah pun reda untuk beberapa ketika.
Rakyat tidak berani menyanggah
kedudukan Sultan kerana mereka boleh dipenjarakan kerana itu. Tetapi, kalau dinilai akan
suasana yang berlaku sejak dua tahun yang lalu, rakyat sudah semakin yakin bahawa
para sultan dan 'kedaulatan' raja-raja bukan lagi merupakan kubu terakhir untuk
mendapatkan keadilan seperti yang digembar-gemburkan oleh para royalis. Mahathir adalah
penentu segalanya.
Pada 5 November, akan dianjurkan satu gerakan himpunan
rakyat di Shah Alam, ibukota kerajaan negeri Selangor. Perhimpunan itu diberi nama
Kembalikan Hak Rakyat. Menteri Besar Selangor telah mengarahkan polis untuk menyekat
perhimpunan ini. Pihak penganjur telah berkeras untuk meneruskan usaha mereka.
Rakyat
sudah lama meminta agar hak masyarakat Kelantan kepada bekalan air bersih disambung
semula. Mereka juga mahukan hak rakyat Terengganu kepada royalti petroleum itu
dikembalikan. Hak rakyat Selangor agar Putra Jaya tidak diambil alih oleh kerajaan pusat
perlu diambil kira juga. Yang penting lagi, hak Anwar Ibrahim kepada satu proses kehakiman
yang adil mestilah diperjuangkan.
Kita juga tidak boleh memperkecilkan hak
rakyat kepada pengadilan yang saksama, pemansuhan Akta I.S.A.(Akta Keselamatan Dalam
Negeri), usaha mewujudkan kembali sistem mahkamah yang bebas, hak rakyat
bersuara, pemansuhan Akta percetakan dan penerbitan dan pemansuhan beberapa
hukam-hakam drakonian yang mencengkam hak kebebasan rakyat di negara ini.
-Raja
Petra Kamaruddin-