MGG120
Malaysia Belum Bersedia Untuk IT
(Asiaweek: Malaysia Not Ready For
IT) Oleh: Saifuddin Nasution Ismail
Ada satu seminar di sebuah
universiti yang dihadiri oleh tiga orang ahli panel yang merupakan pengurus kanan syarikat maklumat
teknologi. Mereka bersetuju bahawa kerajaan
telah tersilap dalam perencanaan memajukan negara ini ke arah Era
Maklumat. Sepatutnya kerajaan berbelanja besar melabur dalam menyediakan sumber
tenaga manusia. Sebaliknya, kerajaan telah berbelanja besar memajukan sebuah bandar
berbentuk hi-tech, Cyberjaya, yang menjadi teras kepada 'Multimedia Super Corridor'
(MSC). Harga tanah di Cyberjaya begitu mahal sekali sehinggakan tidak banyak
syarikat IT yang sanggup beralih ke sana. Namun, ada kenyataan rasmi
yang mengatakan sekitar 88 daripada 138 syarikat yang diluluskan itu telah berpindah
setakat akhir tahun ini. Keadaan yang lengang di sana memang melayakkan Cyberjaya bertukar
nama menjadi Cyberia. Itulah sebabnya ada orang berkata bahawa MSC adalah lebih mirip satu
projek hartanah sahaja.
Apa yang berlaku kepada MSC memang menyerupai setiap
perkara yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Ketaksubannya kepada rupa bentuk
yang besar-besar dan bersifat monumen telah menyedut sumber
kewangan daripada pembinaan struktur yang lebih diperlukan oleh sebuah negara yang
mempunyai matlamat yang digembar-gemburkan sebagai sebuah pelakon terhebat dunia IT.
Inilah paradoks yang amat menonjol dalam beberapa keputusan yang terlaksana. Contohnya,
kerajaan berkata bahawa ia mahu meloncat ke dunia hi-tech, tetapi bidang pendidikan
dianggap sebagai anak tiri. Pada 1996, Kementerian Pendidikan telah
mengubah jumlah tahun kajian daripada tiga kepada empat untuk pelajaran ijazah
pertama, kecuali perubatan, pergigian dan farmasi. Unit kelulusan minima untuk
kajian Sains Tulen dan ijazah sastera (arts) diturunkan kepada 100 daripada 118-120,
walaupun ini berkaitan dengan elektif sahaja. Sepatutnya Malaysia membuat perubahan kepada
isi kajian ataupun memperbaiki mata kajian yang ada.
Lagi satu contoh bagaimana
sumber kewangan disalah-agihkan, ialah jumlah berbilion ringgit yang dihamburkan dalam pembinaan Putrajaya dan bandar kembarnya Cyberjaya. Semua ini dilakukan sedangkan
negara masih mempunyai 470 buah sekolah di Malaysia yang tidak pun mempunyai bekalan
letrik. Salah satu ciri keunikan IT ialah kemampuannya untuk menurunkan hambatan
yang memisahkan golongan yang tidak berada untuk memperbaiki status ekonominya. Seseorang
itu tidak perlu satu ijazah universiti untuk mempelajari program komputer ataupun
muslihat melakar grafik untuk aplikasi multimedia. Di zaman IT adalah tidak
terlambat kalau seseorang itu mengenepikan ternakan ataupun penyodok binaan untuk
menyesuaikan dirinya mengendalikan 'motherboard' dan 'keyboard'. Sepatutnya anak-anak luar bandar
diberikan peluang yang luas untuk menyerap faedah yang baik daripada satu
perencanaan IT yang jitu dan berkesan. Malangnya mereka kini ketinggalan kerana disisihkan
daripada peluang keemasan ini.
Seperti juga negara membangun yang lain,
Malaysia sepatutnya menumpukan minat terhadap memajukan masyarakat luar bandar - yang
merupakan setengah daripada jumlah penduduk seramai 22 juta - ka arus perdana pembangunan.
Jurang yang memisahkan orang luar bandar dengan orang bandar menjadi semakin meluas
walaupun negara mencapai 10 persen GDP selama satu dekad. Kini, kita mendengar
betapa 1.5 juta rakyat Malaysia (yang kebanyakannya orang bandar) sudah pun
mempunyai emel sendiri. Angka ini adalah lebih besar daripada yang didaftarkan oleh
TM Net dan juga Jaring yang merupakan penyedia khidmat internet. Walaupun
jumlah itu sesuatu yang menggalakkan, sebenarnya ia telah mencetuskan satu jurang
dalam perkiraan digital di negara ini.
Adalah sesuatu yang merunsingkan apabila
Mahathir tidak faham bahawa memasuki Era Maklumat itu bererti melakukan sesuatu yang
lebih bermakna daripada memperakukan 'hardware' yang canggih-canggih. Yang patut
dipentingkan ialah menyediakan suasana yang merangsang syarikat baru dalam bidang
pembaharuan dan reka cipta. Sepatutnya Malaysia mempelajari dulu daripada Lembah Silikon
yang memang bersifat terbuka dan sedia membantu. Sifat-sifat semula jadi ini tidak mampu
membesar kalau suasana pemerintahan itu enggan menerima pandangan yang berbeza dan
kepelbagaian, kerana kerajaan mahukan masyarakat yang patuh sahaja. Pengalaman seorang
teman yang bertugas sebagai seorang professor di sebuah universiti boleh menjadi contoh yang
menyerlahkan suasana ini. Dia pernah menulis satu artikel mengenai 'International Organization
for Standardization' (Struktur Standardisasi Antarabangsa) dan mengagihkannya kepada beberapa penerbit akhbar tempatan untuk disiarkan. Tidak ada satu akhbar pun
yang sanggup menerbitkannya. Malahan seorang pengarang telah mengaku tidak berani
menerbitkannya kerana ketika itu inisiatif ISO merupakan satu bidang
yang amat diminati oleh Mahathir.
John Lawler daripada Universiti Illinois pernah
berkata, nilai hidup Asian yang memberi penekanan kepada hiraki dan semangat
kolektif, adalah tidak sesuai dalam pembangunan satu suasana kerja yang merangsang kreativiti.
Penekanan semacam ini membiakkan kepatuhan. Apabila sesuatu perubahan itu
muncul ia akan membiak secara perlahan. Industri IT memerlukan kecerdasan dan perubahan
yang radikal. Inilah yang merupakan kepincangan yang menghantui Malaysia. Sebagai
sebuah negara di mana masyarakatnya berpaksikan budaya hiraki, ia menjadi begitu terpaut
kepada ketaksuban Mahathir terhadap nilai Asian. Kerana itulah autokrasi dianggap sebagai
yang terbaik untuk pembangunan negara. Nilai hidup ala Mahathir inilah yang
membuatkan sistem kehakiman negara menjadi cemuhan dalam negara mahupun dari
luar. Malaysia mungkin mampu mengukir apa jenis perundangan siber pun, tetapi apakah
seseorang pelabur itu yakin terhadap sistem kehakiman yang dilaksanakan?
Syarikat
IT asing yang mahu melabur di Malaysia sebenarnya mempunyai banyak pilihan
alternatif. Mereka boleh memilih India, Singapura, Hong Kong dan Taiwan. Apa pentingnya
mereka memilih Malaysia? Kerana tenaga kerjanya yang masih muda, tidak mahal sangat,
bekerja kuat dan mudah dilentur? TETAPI, syarikat semacam ini akan juga melihat
betapa adanya seorang pemimpin yang menggunakan pelabur asing sebagai satu alat
untuk memesongkan perhatian rakyat terhadap kelemahannya. Kerana itu sesiapa yang
menyanggahnya dicap sebagai agen asing. Pelabur asing ini akan dapat melihat, walaupun
Malaysia sudah berbelanja besar dalam pembikinan infrastruktur fisikalnya, dari bidang
socio-psycho pula, infrastruktur itu masih tinggal corot di belakang. Era maklumat
sepatutnya melonjakkan rakyat Malaysia jauh menonjol ke hadapan. Sayangnya perkara ini
merupakan sesuatu yang tidak dapat diraih peluangnya oleh kepimpinan yang sudah rabun
matanya.
-Saifuddin Nasution Ismail-
|