Ma.S.A.M Mengutuk Keras Tindakan BN dan Polis
Masyarakat Malaysia terutamanya kaum pelajar di luar negara mengikuti dengan dekat
perkembangan yang berlaku rentetan peristiwa Perarakan 100,000 Mengembalikan Hak
Rakyat semalam. Mewakili siswa reformis di seluruh dunia, Ma.S.A.M ingin melahirkan
rasa kecewa dan marah kami terhadap kekasaran dan jeleknya layanan polis dan anggota
keselamatan terhadap rakyat Malaysia yang tidak menyokong parti pemerintah.
Perhimpunan aman di atas tanah persendirian itu adalah sah dari segi Perlembagaan
Malaysia, Undang-Undang dan Etika Kemanusiaan Antarabangsa; lebih-lebih lagi seiringan
dengan tuntutan pegangan agama di seluruh dunia; yakni menegakkan kebenaran dan
menghentikan kemungkaran. Ma.S.A.M yang dianggotai oleh siswa-siswa pelbagai pegangan
agama - Islam, Kristian, Buddha dan Hindu - mengutuk keras tindakan polis ini yang
bukan sahaja melampaui batas undang-undang; tetapi melanggar tuntutan agama yang
menuntut rakyat yang lemah dilayani dengan baik - apatah lagi oleh anggora keselamatan
yang sepatutnya menjaga keharmonian dan keselamatan negara dan rakyat.
Tindakan polis menembak gas pemedih mata ke arah pimpinan BA yang berucap -
terutamanya Ibunda Datin Seri Wan Azizah yang berkerusi roda merupakan tindakan
agresif yang tidak boleh dikompromi. Kita percaya terdapat pelbagai cara bagi pihak
polis mengawal keamanan dan mengelakkan huru-hara - tetapi tindakan sedemikian rupa
adalah tindakan provokatif yang akan mengkucar-kacirkan keadaan. Ma.S.A.M
mempersoalkan etika kepolisian dan profesionalisme mereka di dalam menjalankan tugas.
Lebih jauh dari itu, Ma.S.A.M mempersoalkan nilai kemanusiaan mereka serta hati budi
insaniah yang sepatutnya dididik dengan nilai-nilai Islam memandangkan majoriti
anggota keselamatan beragama Islam.
Pihak berkuasa polis patut sedar bahawa kredibiliti mereka sudah lama terhakis
sepertimana badan kehakiman di Malaysia. Rentetan peristiwa hitam Rahim Noor memukul
dengan niat Saudara Anwar, imej polis tidak akan dapat dibaiki semula; lebih-lebih
lagi berikutan keganasan provokatif polis dalam menangani perhimpunan awam
pembangkang. Perlu diingatkan dan diberi amaran kepada pihak polis bahawa rakyat
Malaysia mempunyai had kesabaran seperti manusia lain - janganlah had kesabaran ini
ditolak ke noktah akhir. Kita tidak mahu anggota keselamatan negara dicap sebagai
musuh rakyat sepertimana di Serbia dan Romania suatu ketika dahulu. Apabila kesabaran
rakyat sudah hilang, pihak polis akan menerima padah kemarahan dan kebangkitan rakyat.
Atas rasa tanggungjawab terhadap rakyat Malaysia, Ma.S.A.M mendesak perkara-perkara
berikut:
Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan di atas hilangnya
keyakinan sebahagian besar rakyat Malaysia akan kesaksamaan layanan di tangan anggota
keselamatan
Kurikulum latihan polis dikaji dengan terperinci bagi mengelakkan pasukan polis yang
dilahirkan didoktrinasi dengan agenda yang memihak kepada BN sehingga mengikis timbang
rasa kemanusiaan mereka - serta mengubah pandangan polis bahawa jawatan sebagai
anggota keselamatan merupakan satu kuasa yang boleh digunakan sewenang-wenangnya;
bukannya tanggungjawab besar yang memerlukan budi bicara dan pekerti
PDRM meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kekasaran mereka selama ini
sebelum anggota polis dipandang hina sebagai anjing pemerintah yang kejam
Semua rakyat Malaysia yang ditahan di dalam Perarakan 100,000 Mengembalikan Hak Rakyat
dibebaskan tanpa syarat dengan segera
Sebagai tindakbalas terhadap kekasaran dan kebiadapan polis, Ma.S.A.M sudah mula
menghantar faks memorandum bantahan ke kedutaan-kedutaan asing dan NGOs di Washington
dan London bagi memaklumkan perkembangan terbaru di Malaysia. Harapan kami agar
pihak-pihak lain - pertubuhan pelajar, gerakan reformasi, NGOs dan parti politik turut
sama berbuat demikian dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tekanan terhadap
kerajaan BN.
Kuasa rakyat akan menang jua suatu hari nanti, Insya-Allah.
Ahmad Kamal Mustapha,
Pengerusi Ma.S.A.M