minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG119

Wawancara Anwar Ibrahim Dengan Wartawan Australia

Dari: Free Anwar Com

Walaupun dua tahun sudah berlalu sejak beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan kemudiannya dikenakan hukuman penjara, Anwar Ibrahim masih lagi bersemangat tinggi.

Seperti yang dialami oleh Nelson Mandela (Afrika Selatan), Kim Dae Jung (Korea Selatan) dan Xanana Gusmao (Timor timor), Anwar berkeyakinan bahawa kebenaran dan keadilan akan menyerlah juga akhirnya dan beliau akan dibebaskan daripada hukuman yang menjeratnya untuk 15 tahun itu.

Dalam satu surat yang diseludupkan daripada penjara di pinggir kota raya Kuala Lumpur, Anwar telah menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh sebuah akhbar Australia Barat.

Soalan:  Sebagai seorang yang pernah memegang jawatan besar tentulah anda menghadapi kesulitan untuk  menyesuaikan diri dengan bilik berukuran 4 m x 3m di penjara Sungai Buluh?

Anwar:  Sistem penjara memang menekan perasaan tetapi saya sudah mampu menyesuaikan diri dengan beribadah, membaca dan berfikir. Jika tidak, kehidupan di dalam penjara itu boleh membosankan hingga menjadikan kita malas dan culas.

Saya telah dipenjarakan bersendirian sejak dua tahun yang lalu tetapi saya nampak banduan lain yang kerap menjengukkan muka ketika dalam perjalanan ke klinik. Mujur juga dan berbeza dengan kisah yang terjadi di Gulag, Auswitz dan sebagainya, para pengawal penjara adalah  mudah mesra dan bersimpati.

Saya berjumpa dengan Azizah  dan ahli keluarga saya sekali dalam setiap tiga minggu. Kami bercakap melalui telefon dan dipisahkan oleh satu dinding kaca. Saya dapat berjumpa dengan peguam saya. Kawan dan keluarga memang tidak dibenarkan.

Soalan:  Adakah anda menyesal dengan apa yang telah terjadi?  Ada yang mengatakan perdana menteri memilih timbalannya dan juga penggantinya. Dan itulah yang dilakukan juga di Malaysia. Nampaknya Mahathir tidak mudah berundur dalam masa yang singkat. Apakah anda telah melencong terlalu jauh dalam kempen anda dulu sehingga telah membakar jambatan yang ada?

Anwar: Saya tidak mempunyai pilihan. Kesabaran itu ada hadnya.  Sehinggakan seseorang itu tidak lagi mampu menyorokkan perasaan melawan terhadap  ketidakadilan, salah guna kuasa dan korupsi yang berlanjutan. Berkaitan dengan cerita menyelamatkan  Mirzan yang dilanda krisis kewangan dulu,  saya telah diminta meluluskan  skim berbilion ringgit itu.  Saya terpaksa menolak permintaan itu dan inilah yang menyebabkan kemarahan Mahathir.

Bukan seperti orang yang saya gantikan dulu dan juga orang yang menggantikan saya sekarang, saya telah dipilih  menjawat jawatan Timbalan Presiden  UMNO sebelum dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Soal membakar jambatan itu tidak timbul. Yang lebih dipentingkan ialah  kepercayaan kita dan komitmen kita terhadap demokrasi, keadilan dan hukum undang-undang.

Setelah melihat nasib kawan-kawannya di negara jiran, adalah sukar untuk kita meyakini bahawa Mahathir akan bersedia berundur secara terhormat. Sebaliknya kalau kita amati rencana penggabungan bank, penswastaan baru dan segala urusan kontrak dia semakin bertegas  untuk menentukan semua kepentingan  ahli keluarganya dan para kroninya terus diperteguhkan.

Soalan: Apakah anda fikir  anda akan balik memimpin UMNO dan Malaysia? Apakah anda fikir UMNO sudah habis dan anda akan dipulihkan untuk memimpin satu parti politik yang baru seperti Keadilan ataupun satu gabungan beberapa parti politik?

Anwar:   Secara jelasnya saya telah mengendos Keadilan dan penuh iltizam dengan  agenda Barisan  Alternatif.  UMNO tidak melakukan sebarang usaha untuk melakukan perubahan. Sebaliknya pula parti pembangkang telah memperkenalkan satu  rancangan reformasi, mengekalkan demokrasi dan hukum perundangan yang menjanjikan ketumbuhan ekonomi secara saksama.

Soalan:    Kenapakah agaknya Mahathir bertindak memecat anda selepas beliau mempertahankan segala tohmahan terhadap anda? Adakah satu kuasa yang wujud  yang tidak mampu ditangani oleh Mahathir?

Anwar:     Saya dianggap sebagai musuh ketat bukan sahaja kepada Mahathir tetapi kepada para juaknya seperti Daim Zainuddin,  yang memang terkenal sebagai seorang Menteri Kewangan yang telah membalun banyak harta kekayaan.  Pendapat saya seperti yang terbuku dalam Asian Renaissance,  perjuangan saya terhadap korupsi, kronisme dan nepotisme dianggap sebagai ancaman besar kepada golongan yang memerintah itu.

Dr. Mahathir  memang merupakan dalang utama dalam sandiwara itu. Banyak laporan polis yang dibuat, lengkap dengan dokumen dan bukti terhadap korupsi yang dilakukan oleh Mahathir, Daim dan Rafidah. Tidak ada pun sebarang tindakan yang diambil.

Soalan: Ada orang berkata bahawa Mahathir dan juga anda bermain politik dalam parti. Tetapi anda kalah. Bagaimana?

Anwar:   Ya, saya hilang jawatan itu dan kini sedang dipenjarakan. Tetapi perjuangan masih berterusan. Ia mungkin merupakan satu kelegaan  sementara kepada para konspirator yang korup itu. Tetapi saya amat yakin dengan kebijaksanaan  rakyat Malaysia betapa kebenaran, keadilan dan kebaikan itu adalah luaran hakikatnya dan akan menyerlah jua akhirnya.

Soalan:  Ada pihak yang mengatakan anda mempunyai para pengikut yang setia yang tidak sabar  dengan kuasa sehinggakan mereka mahu melakar agenda mereka tersendiri. Apa pendapat anda?

Anwar:   Memang tidak dinafikan saya mempunyai penyokong yang mungkin tidak dapat  sabar. Tetapi, begitu juga Mahathir dengan para kroninya. Soalnya sekarang apakah kuasa itu telah disalah-gunakan. Apakah korupsi dibiarkan.  Saya telah mendesak ditubuhkan satu suruhanjaya bebas untuk menilai segala salah guna kuasa, korupsi terhadap para pemimpin, termasuk juga saya  ketika berada dalam kerajaan dulu.  Mahathir tidak mempunyai etika untuk menjawabnya.

Soalan:  Apabila anda menyebut tentang  korupsi dan perlunya undang-undang untuk keadilan terhadapnya, anda sebenarnya  mengetahui bahawa perkara ini bukan semudah itu  disebabkan budaya  yang hidup subur di negara ini. Anda sedar betapa pasukan anda akan ditelan oleh sistem yang ada dan anda tentu sekali akan dihalang  daripada melakukan pelencongan daripada amalan  pemimpin yang terdahulu. Apa reaksi anda?

Anwar:     Memang benar, kami memerlukan reformasi. Pemimpin yang ada sengaja membiarkan korupsi dan  segala salah guna kuasa. Mereka sengaja membiarkan institusi kerajaan  dijebak oleh virus korupsi itu sehingga menjadi satu penyakit kanser.

Rakyat sudah naik radang dengan fenomena ini dan perkara ini perlu diperbetulkan dengan mewujudkan satu agenda reformasi.  Jika tidak ia akan menular dan menjadi sebahagian budaya hidup negara ini.

Soalan:  Saya diberitahu betapa sokongan terhadap anda semakin memuncak.  Tetapi ini tidak menjanjikan kemenangan untuk anda.  Demonstrasi dan tunjuk perasaan kerap dianjurkan tetapi ia akan lenyap begitu sahaja. Apakah mengikut firasat anda mesti dilakukan sebelum anda boleh diselamatkan?

Anwar:        Kita sedang bergerak dalam satu sistem yang menekan. Sejarah telah membuktikan betapa kejutan pernah berlaku. Kami perlu meneruskan usaha, mengagihkan maklumat dan memperkuatkan azam. Kesabaran itu adalah sebahagian iman.

Soalan:  Kini anda sudah pun dihukum untuk 15 tahun lamanya. Apakah rancangan masa depan anda dan pergerakan reformasi di Malaysia.

Anwar: Saya pernah mengatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah Mahathir adalah sesuatu yang tidak adil dan memalukan. Saya bertegas menolak segala tuduhan dan hukuman yang dikenakan. Perjuangan dan reformasi mesti diteruskan.

Soalan: Adakah anda menaruh dendam terhadap Azizan Abu Bakar kerana peranan beliau ?

Anwar:   Azizan merupakan alat sahaja. Sudah diajar puluhan kali tetapi mengecut banyak kali. Dia tidak berapa relevan. Kalau dia tidak mudah tunduk kepada ugutan dan janji manis mereka, masih ada yang lain lagi.

Soalan: Apakah anda fikir dengan berundurnya Mahathir nanti anda akan diberikan pengampunan  atau setidaknya dibebaskan lebih awal lagi?

Anwar:    Saya menuntut  perbicaraan semula oleh hakim yang bebas. Saya tidak bersalah dan tidak sepatutnya berada dalam penjara.

Soalan: Apakah anda boleh bekerja dengan Abdullah Badawi, ataupun Najib Razak? Apakah yang anda fikirkan  mengenai pemimpin UMNO yang lain selain dari Mahathir.

Anwar:    Kita bekerja berasaskan prinsip dan agenda yang jelas. Laungan reformasi telah meragut mangsanya dan mencalitkan kepedihan kepada ramai manusia. Setidak-tidaknya kita perlu   menghormati iltizam kita terhadap demokrasi dan keluhuran  undang-undang.

Soalan: Sejak lahirnya Keadilan dan Barisan Alternatif, Barisan Nasional telah beria-ia meyakinkan para pengundi  bahawa pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia, terutama sekali  kaum bukan bumiputera ialah menentukan wujudnya stabiliti dan pertumbuhan ekonomi.  Bagaimanakah anda dan juga  parti anda  menyanggah persepsi ini dan menarik pengaruh pengundi Cina?

Anwar:  Walaupun serangan berbisa ditujukan terhadap Keadilan dan Barisan Alternatif, majoriti orang Melayu masih memberikan sokongan mereka. Saya percaya orang bukan-Melayu terutama sekali kaum Cina dan India akan menghargai kenyataan ini dan tidak mudah dibohongi oleh kelentongan pihak media.     Barisan Alternatif memang akan memberi penekanan  terhadap pertumbuhan ekonomi. Lagi pun orang Cina memang mahukan keadilan dan ketelusan undang-undang.

Soalan: Sekarang ini kes anda mendapat liputan luas di seberang laut. Adakah sebarang pesanan kepada penyokong anda di luar Malaysia.?

Anwar: Kami memang  menghargai sokongan anda. Media yang bebas memang boleh melakukan banyak kebaikan. Nyatakanlah pendapat anda dan tulis serta kirimkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Soalan:  Apa lagi yang boleh dilakukan oleh pemimpin dunia dan juga ahli politik Australia  untuk mendapatkan kebebasan  anda?

Anwar:   Saya yakin ahli politik Australia memang arif mengenai prioriti mereka seperti yang mereka tunjukkan di masa yang lampau.  Peranan mereka menyedarkan seluruh dunia mengenai keperitan penduduk Timor-Timor, sebagai contohnya memang telah diperakui.


-Freeanwar.com-

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter