minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG 118

Cengkaman Seorang Manusia Yang Hebat?
(In The Grips Of  A great Man)
Oleh: Manvili Tennavan, Sungai Siput Perak


Ada satu persepsi yang sudah lama berkarat bahawa tidak ada sesiapa yang layak menggantikan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad. Para penyokong  Anwar Ibrahim, tentunya tidak setuju dengan kenyataan saya ini, tetapi mereka hanya golongan minoriti sahaja.

Benarkah Mahathir seorang  pemimpin yang begitu hebat untuk negara kita? Akan tercetuskah huru-hara kalau beliau tidak ada lagi?  Apakah kita begitu hebat dengan segala kenikmatan hidup sehinggakan  masa depan tanpa kehadirannya itu  merupakan sesuatu yang tidak dapat dibayangkan lagi?

Memang ramai yang mengemukakan soalan ini: Siapakah nanti yang akan menggantikan Mahathir?

Sememangnya itu satu soalan yang baik. Siapakah  agaknya yang mempunyai karisma  yang mirip   perdana menteri yang semakin berusia itu? Dengan ikhlas saya katakan, tidak ada sesiapa pun.

Siapakah yang pernah menjangkakan Habibie (dan kemudiannya Gus Dur)  boleh menggantikan Suharto sebagai presiden Indonesia? Ketika Suharto berkuasa dulu dia memang nampak tidak boleh ditawan dan tidak boleh diganti. Perkataan yang sama boleh dikatakan terhadap  Milosevich (Yugoslavia), Mao Zedong dan Deng Hsiaoping (China), Stalin, Krushchev dan Breznev (Russia).

Yang sebetulnya, penggantian adalah satu masalah pada regim yang otokratik. Kerana tamakkan kuasa si autokrat itu akan terus menekan sesiapa  yang menjadi saingannya. Setiap inisiatif memang tidak diperkenankan dan mereka yang sanggup mengabdikan diri akan meraih kesenangan sehinggalah mereka mampu menghampiri takhta kekuasaan itu akhirnya.


Oleh kerana pemerintahan Mahathir itu  disadur dengan beberapa  ciri autokrasi, keajaiban yang kita rasakan terhadap kekuasaannya itu adalah sesuatu yang memang boleh dijangka.  Anggapan ini  kerap kali  menyerlah dalam kemarahan kita yang mendalam, dan pada ketika lainnya  kita tidak pun peduli sangat kerana rasa hormat yang tidak kena pada tempatnya. Kalau cerakinan ini ada kenyataannya, bererti andaian bahawa tidak ada sesiapa yang mampu menggantikannya itu adalah sesuatu yang tidak bernas untuk mencari penggantinya.

Malahan, anggapan  ketiadaan pengganti yang sesuai itu adalah satu hujah kenapa dia mesti digantikan secepat mungkin ataupun secepat yang terdaya.

Jawapan yang muncul itu mungkin boleh diperlekehkan sehingga kita sedar  bahawa sesuatu negara yang moden itu  adalah sebuah negara yang diperintah oleh rakyatnya mengikut hukum undang-undang.

Sebagai sebuah negara  moden ataupun yang mempunyai  harapan untuk menjadi demikian, kita tidak sepatutnya bergantung kepada  seorang manusia hebat sahaja. Apa yang kita perlukan ialah satu rangkaian undang-undang yang dihormati oleh rakyat marhaen  seperti anda dan juga saya, bila-bila masa. Kita sudah pun mempunyai perlembagaan negara  yang memberikan kita satu budaya kerja dan undang-undang biasa yang mengendalikan kehidupan bersahaja.  Para pemimpin kita  telah menghampakan  harapan kita dan juga belot kepada generasi mendatang dengan  menodai  institusi besar yang ada.

Fikirkan baik-baik. Sebagai seorang manusia, Mahathir pun akan ditelan bumi juga. Bukankah begitu?  Siapakah nanti yang akan menanti apabila dia pergi tanpa sebarang amaran? Perlukan kita menunggu ketibaan satu wahyu untuk membebaskan cengkaman raksasa yang menghantui kehidupan kita.

Inilah masanya untuk membuat pilihan. Kita perlu bangkit membetulkan  institusi kita yang telah dinodai untuk terus tegak bermaruah kembali.  Kalaulah perdana menteri yang kita cintai ini betul-betul memikirkan akan keadaan hidup kita  dan bukannya apa yang akan ditinggalkannya itu, dia harus melepaskan kuasanya secepat mungkin. Dia mungkin mampu memimpin kita daripada  satu singgahsana yang kurang menonjol. Tetapi dia mesti undur dulu.

Kita  sudah terlalu jelak dengan gelagat seorang manusia hebat. Tibalah masanya untuk kita merasakan kuasa golongan rakyat marhaen pula.

-Maanvili Tennavan-
 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter