minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MM 48

LUNAS: BUKTI AMALAN POLITIK SEMPIT BN

UMNO akan hancur sehancur hancurnya!! Begitulah komen seorang rakan ketika menelefon saya dalam perjalanan pulang malam Khamis lalu. Nampaknya lebih ramai yang melepaskan geram daripada gara-gara kekalahan yang dialami oleh BN dalam pilihan raya kecil Lunas apabila saya bertemu dengan rakan-rakan keesokan harinya. 

Pilihan raya yang kecil tetapi membawa harapan yang besar, kata Marhaintua dalam penulisannya. Sesungguhnya pilihan raya kecil Lunas telah membawakan seribu erti kepada semua pihak samada BA atau BN. Lunas juga dikatakan sebagai 'membayar kekalahan BA' dalam dua siri pilihan raya kecil yang lalu.

Jika di Sanggang dan Teluk Kemang BN berjaya menewaskan gabungan BA,  sebaliknya di Lunas dendam kekalahan itu tertebus jua. Soalnya apakah kemenangan itu dilihat sebagai 'dendam' atau perubahan minda berpolitik rakyat negara ini.

Jika dikaji jentera pilihan raya BA dan BN sudah pasti bezanya antara langit dan bumi. Belum pun penamaan calon menjelang tiba, jentera BN sudah membuka bilik operasi mereka. Marhaintua dalam tinjauannya menyifatkan perkumpulan mereka sebagai 'Padang Arafah' di Lunas. Sudah pastilah memahami persepsi yang cuba ditulis oleh seorang penulis veteran seperti beliau ialah wujudnya satu perkumpulan yang maha hebat sedang berkampong dan memantau pilihan raya kecil itu dengan persediaan yang hebat-hebat belaka.

Sebaliknya di peringkat awal kita akui pihak BA masih terkapai-kapai dalam jentera pilihan raya mereka di Lunas. Dengan sogokan kemelut dalaman oleh media BN, gabungan BA seolah-olah masih mencari restu pakatan dalaman mereka apabila media memaparkan parti DAP di Lunas mula menarik kembali poster mereka yang telah digantung. Ini adalah ekoran ketidakpuasan hati S. Neelamekam calon DAP yang gagal mendapat restu BA dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi gabungan parti-parti itu menjelang penamaan calon 21 November lepas.

Kemelut jentera pilihan raya amat terasa sekali apabila laporan yang diterima beberapa hari setelah penamaan calon kegagalan kempen BA meraih sumbangan bagi membantu dana pilihan rayanya. Berlainan sekali dengan BN, apabila digosok sahaja lampu ajaibnya, maka muncullah jin yang bernama 'Saaammmyy Vellluuuu' (meniru gaya MT) menunaikan segala permintaan penduduk Lunas.

Dalam laporan yang sempat saya ingat lagi ialah kenyataan bahawa jika hendak membina reban ayam sekali pun waktu itu BN akan menunaikannya. Begitulah mahalnya 'bayaran' yang dibuat oleh BN sehinggakan satu undi melebihi nilai seketul emas seberat 1 kilogram. Saya petik laporan unit perisikan BA itu:

Kini di LUNAS jutaan wang ringgit ditaburkan sehinggakan membuat reban ayampun UMNO@BN sanggup lakukan asal dapat satu undi …. Begitu berharga satu undi di LUNAS hari ini ….. nilai satu undi bagi UMNO@BN kini lebih mahal dari seketul emas yang beratnya satu kilogram…bayangkan betapa besarnya dan berkuasanya pengundi di LUNAS kini … minta apa sehaja dari UMNO@BN pasti akan ditunaikan.

Ini menunjukkan dengan jelas bahawa kemampuan yang dimiliki oleh BN dalam mengendalikan sesuatu pilihan raya seperti Lunas. Seiring dengan jentera kerajaan yang datang dan pergi ke Lunas dengan pelbagai 'tawaran yang menarik', gambaran media pula ke atas keupayaan dan jasa BN selama ini kepada rakyat begitu amat sempurna sekali. Seperti tiada cacat celanya kesinambungan pemerintahan kerajaan BN selama lebih 40 tahun di negara ini, maka sedemikian gembar gemburnya media perdana 'menghasut' rakyat.

Akibat dari kealpaan BN sendiri menganalisis bahawa masyarakat setempat seperti Lunas tidak bergantung sangat kepada media perdana, maka saya berpandangan kegagalan momokan kesempurnaan oleh pihak kerajaan melalui media perdana ini sebenarnya adalah penyumbang kepada kegagalan mereka dalam siri pilihan raya kali ini.  Harapan kerajaan BN menguasai minda rakyat melalui propaganda halus mereka seperti tidak menjadi.

Sebaliknya kita saksikan bahawa setiap kempen BA, maka ribuan yang hadir dan sumbangan dengan jumlah yang banyak sekali merupakan laluan kepada kemenangan oleh pihak BA. Umpamanya pernah dilaporkan dengan kehadiran sekitar 5,000 - 6,000 orang dalam satu kempen, BA berjaya mengumpul dana pilihan raya berjumlah RM16,000 sesuatu yang sukar dipercayai. Saya percaya statistik ini benar kerana golongan peniaga dari kaum Cina memang berkeupayaan dan pemurah. Mereka tidak akan meletakkan syiling emas atau not kertas berwarna merah. 

Statistik ini pernah berlaku tatkala gerakan kempen menjelang pilihanraya umum negara tahun lalu, apabila perhimpunan sekitar 15,000 - 20,000 orang berjaya mengutip lebih RM30,000 di Pekan Razaki, Ipoh  pertengahan tahun lalu. Namun bukannya jumlah kutipan yang perlu kita fokuskan. Tidak seperti BN, dana pilihan raya BA adalah membantu kelancaran berkempen bukannya menyogok dan menawarkan itu dan ini kepada pengundi.

Lim Kit Siang dalam satu sinopsisnya terhadap kegagalan kerajaan BN meraih undi kaum Cina menyifatkan:

Sejak awal-awal lagi, pemimpin-pemimpin UMNO dan BN telah mengaku bahawa pengundi Cina di Lunas adalah faktor kritikal dalam pilihan raya kecil Lunas. Contohnya, sebelum hari penamaan pilihan raya kecil Lunas, Ketua Pemuda, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata bahawa Pemuda UMNO mengakui kunci utama untuk memenangi kerusi Lunas terletak di tangan pengundi Cina walaupun mereka hanya merupakan 38% daripada pengundi keseluruhan.

Malangnya, kempen pilihan raya BN menghina maruah dan kebijaksanaan pengundi - merayu undi melalui "tawaran" dan bukan menghormati keprihatinan pengundi terhadap keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik.

Ini sebenarnya menjelaskan keadaan bahawa BN cuba menggunakan pengaruh wang (inilah amalan politik wang) untuk mendapatkan undi kaum Cina sebagaimana dilakukan ke atas kaum Melayu dan India. Pemimpin BN lupa bahawa kaum Cina rata-rata berkemampuan dan sogokan wang RM20 atau RM50 tidak menggelapkan mata mereka dengan memangkah BN.

Inilah faktor yang berlaku kepada kaum Melayu dan India. Di atas kedhaifan mereka BN mengambil kesempatan menaburkan apa sahaja di atas kemampuan mereka. Saya tidak ingin membuat tuduhan tetapi saya percaya sesuatu telah terjadi kepada bekas calon DAP S. Nelameekam yang nampaknya begitu angkuh dalam kenyataannya secara terbuka melalui media perdana BN mengecam Parti KeADILan atas kegagalan mendapat restu untuk ditabalkan sebagai calon bertanding di kerusi DUN Lunas. Walau pun beliau seorang yang sudah ada harta dan kesenangan dari perniagaannya sendiri, bekas calon DAP itu seolah-olah membuktikan ada 'sesuatu' yang meragukan telah berlaku ke atas beliau kerana menggadaikan prinsip perjuangannya selama ini dengan DAP.

Air mata 'boya' yang dititiskan oleh Presiden UMNO bukan menggambarkan kekesalan beliau terhadap aktiviti politik wang. Ianya kini diterima sebagai satu isyarat bahawa jangan menggunakan wang untuk menumbangkan beliau kerana beliau sudah ada lebih banyak wang. Sebaliknya partinya BN pergunakanlah wang untuk membayar apa sahaja kemahuan rakyat negara ini bagi meraih satu undi mereka - webmaster

Kenyataan Lim Kit Siang 2 hari sebelum hari mengundi benar-benar dilihat sebagai merealisasikan semangat kesetiakawanan dalam gabungan parti Alternatif. Di Taman Selasih, Kulim beliau menyangkal segala tuduhan media perdana sebagai perpecahan dalaman yang cuba diwujudkan oleh DAP di atas kegagalan S. Neelameekam untuk ditabalkan sebagai calon ADUN Lunas. Pentas Taman Selasih mempamirkan seluruh warga BA disatukan semula dalam gerak rentak perpecahan sebelum ini yang cuba dimainkan oleh BN sebagai taktik kotornya menjelang sesuatu pilihan raya berlaku.

Gerak kerja yang bersemangat dalam sehari dua menjelang pilihan raya kecil Lunas membuktikan calon PKN mampu menyaingi undi yang akan diberikan kepada BN. Cula undi yang dijalankan memungkinkan pihak BN menghantar sejumlah 20 buah bas bagi menyaingi angka kekalahan yang dijangkakan. 

Hakikat penolakan fakta pengundi hantu oleh pimpinan BN tidak dapat diterima sama sekali oleh kepimpinan BA terutama diterajui oleh PKN. Pengalaman mereka bersama UMNO dan BN amat berguna bagi BA kerana muslihat kotor BN mudah dikesan melalui kemenangan mereka selama ini dengan peranan pengundi hantu. Walau pun pengundi hantu tidak pernah menjadi agenda utama pembangkang sebelum ini, hakikatnya PKN telah berjaya membawakan satu bukti tentang kebenaran fakta itu. Seringkali pengundi hantu menjadi 'penyelamat' kepada kekalahan calon pemerintah lewat pilihan raya umum negara yang lampau, tetapi ia amat sukar dikesan. Ini menguatkan dakwaan bahawa SPR terlibat sama dalam konspirasi terkotor sepanjang sejarah pilihan raya di negara ini.

Kejayaan mengusir 20 buah bas yang membawa pengundi hantu di hari membuang undi saya sifatkan sebagai faktor besar kejayaan BA di Lunas. Dengan majoriti 530 undi yang diterima oleh Saifudin Nasution, kemenangan akan berpihak kepada BN seandainya mereka gagal menahan kemaraan pengundi-pengundi hantu ini. Pelbagai alasan menarik yang dibuat oleh pemandu-pemandu bas apabila disoal siasat tentang kehadiran mereka ke Lunas membawa penumpang yang ramai dari seluruh pelusuk negara ini, mengukuhkan lagi dakwaan mereka membawa pengundi-pengundi hantu. 

Hakikatnya kemenangan telah berpihak kepada BA. Namun pilihan raya Lunas yang menjadi medan penting kepada kerajaan BN negeri Kedah kerana mempertahankan kerusi 2/3nya mula dilihat sebagai meneruskan agenda kotor politik mereka dalam arena pemerintahan BN di negara ini. Kemenangan saudara Saifudin Nasution berlaku pada 29 November lalu. Namun sehingga artikel ini disiapkan keputusan kemenangan ini masih belum diserahkan kepada speaker untuk membolehkan ADUN BA itu menghadiri sidang DUN yang sedang berlangsung.

Semuanya ini membuktikan betapa sempitnya politik BN. Perdana Menteri dalam kenyataannya sebagai mengulas kekalahan BN di Lunas awalnya menyifatkan kaum Cina sebagai tidak berterima kasih kerana selama ini beliau banyak membantu golongan itu berjaya dalam perniagaan mereka. Mahathir kemudiannya menarik balik kenyataannya itu dengan mengatakan 'segolongan kecil' kaum Cina bukan semuanya sekali. Mahathir sebenarnya lupa bahawa yang beliau bantu itu mungkin Eric Chia atau Vincent Tan. Hakikatnya penduduk Cina Lunas sama seperti kaum Melayu dan India yang terbiar tanpa pembelaan.

Sesuatu yang menarik pada pandangan saya dalam pilihan raya kecil Lunas ialah betapa kerajaan BN mendakwa pembangunan termoden sudah dialami di Lunas. Perlaksanaan 66 buah projek dalam tempoh sepuloh hari dengan nilaian berjuta ringgit, tidak termasuk pemberian wang ringgit sebagai sogokan dalam pelbagai acara rasmi membuktikan kepada rakyat akan fakta sebenarnya prinsip kerajaan BN yang bermodalkan 'wang' dalam arena politik di negara ini sudah berlalu. Titisan air mata buaya Presieden UMNO sendiri dilihat sebagai 'dusta' apabila amalan politik wang terus menjadi agenda bagi meneruskan kekuasaan mereka.

Apabila rakyat tidak lagi menghiraukan segalanya ini, mereka segera disifatkan sebagai 'tidak tahu berterima kasih' atau lupa 'mengenang budi'. Kesempitan cara berpolitik parti BN sudah dilihat di saat bermula kempen pilihan raya sehingga kepada saat menerima keputusan. Lunas menjadi medan penting kepada perubahan arus politik negara kerana membuktikan penduduk Lunas yang disifatkan masih kekampongan (maaf menggunakan istilah ini) itu membuktikan mereka sudah matang berpolitik. Biar pun mereka tidak terdedah kepada segala kecanggihan media untuk membawakan maklumat terkini, namun kezaliman Mahathir sudah mereka maklumi.

Sekali lagi saya menyifatkan di sini bahawa 'gelombang reformasi' negara terus menyala dalam dada rakyat negara ini. Gelombang ini tercetus apabila DSAI difitnah dalam satu konspirasi kepimpinan tertinggi negara ini yang diketuai oleh PM Mahathir Mohamad . Aksi pengusungan tilam ke mahkamah dan tuduhan tanpa bukti ke atas pemimpin nombor 2 negara itu tidak diterima oleh rakyat yang berfikiran matang dan bersemangat patriotik tulen. Hanya senya mereka yang buta mata hati dan mengamalkan politik sempit mempercayai kata fitnah itu sehingga sanggup mengaitkan pilihan raya Lunas dengan penjajahan kuasa asing.

Kekalahan Al-Gore dalam pencalonan Presiden Amerika baru-baru ini juga cuba dikaitkan dengan negara ini. Nyata ahli-ahli UMNO/BN begitu sempit dada dan pemikiran berpolitik mereka yang disifatkan masih ditakuk lama dan tidak matang sekali oleh penduduk Lunas. Sesungguhnya Lunas sudah melunaskan hasrat majoriti rakyat negara ini yang mahu melihat perubahan dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuk politik dan pentadbiran negara.

Sebagai kesimpulan yang dapat saya lihat melalui pilihan raya kecil Lunas membuktikan kepada rakyat negara ini bahawa kita adalah bebas dari sebarang tekanan kuasa asing, melainkan apabila berhutang terlalu banyak sahaja mampu kita akan dijajah akibat kegagalan melunaskan hutang piutang itu. Hakikatnya pemerintahan kerajaan BNlah yang menjadi faktor yang mengundang kuasa asing datang ke negara ini akibat jumlah bebanan hutang negara yang sudah melebihi RM160 bilion itu. Tiada sebarang sumbangan oleh kuasa asing sekalipun kata-kata dorongan sebagai faktor kejayaan di Lunas, kecuali wartawannya yang berserakkan di negara ini untuk mendapatkan liputan berita benar dan terkini.

Saya sendiri sempat melihat gelagat para wartawan ini yang merakamkan penyokong BA yang menggantung kain pelekat dan duit RM10 sebagai bendera untuk menyanggah propaganda wang BN di hari pencalonan pilihan raya DUN Lunas. Aksi menarik lain ialah apabila para penyokong BA mengibarkan bendera kecil (wang kertas) sebagai bantahan 'wang' dijadikan alat dalam pilihan raya kecil DUN Lunas. 

Namun atas keangkukan BN mereka lupa bahawa meskipun diingatkan oleh puluhan ribuan penyokong BA dihari pencalonan bahawa jangan menggunakan wang dalam kempen di Lunas, tetapi itu terus-terusan menjadi agenda politik mereka.

Politik wang adalah politik sempit tradisi turun temurun oleh kerajaan BN. Dengan penolakan tradisi itu makan akan menjadi kenyataan sebenarnya kata-kata rakan saya bahawa akan hancurlah BN, sehancur hancurnyanya!!

ALLAHUAKBAR!!

 
3.12.2000

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter