Pusat rampas RM700 juta hak Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Disember (Hrkh): Menteri Besar
Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan kepada paras harga petroleum
bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2000, adalah dianggarkan tidak kurang RM700 juta
hasil royalti petroleum telah dirampas oleh kerajaan Pusat.
Katanya, tindakan yang lebih melampaui batas lagi zalim
yang telah diambil oleh Kerajaan Pusat bagi melemahkan pentadbiran kerajaan negeri ialah
dengan menukarkan hasil royalti petroleum kerajaan negeri dengan apa yang dinamakan wang
ihsan.
Tambahnya, Kerajaan Pusat yang tidak puas dengan
pembatalan bayaran royalti petroleum, projek pembangunan utama yang dibiayainya telah
dibatalkan termasuk pembinaan Lebuh raya Pantai Timur dan pembesaran Lapangan Terbang
Sultan Mahmud yang sebelum ini telah dipersetujui dan dilancarkan.
"Pembiayaan projek infrastruktur yang dibiayai dari
peruntukan pinjaman Pusat yang telah ditandatangani perjanjiannya sebelum ini juga telah
dibatalkan," ujarnya ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2001 dalam Mesyuarat
Yang Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kesepuluh di sini, hari ini.
Katanya, projek-projek terlibat termasuklah 11 projek
perumahan awam kos rendah di seluruh negeri, projek bekalan air luar bandar, sistem
perparitan bandar Kuala Terengganu dan projek pembangunan di bawah pelaksanaan
Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri.
Beliau berkata, projek-projek berkenaan dirancang
semata-mata untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah,
yang masih memerlukan rumah sendiri bagi meningkatkan taraf kehidupan dan sosio-ekonomi.
"Oleh itu, dengan berlandaskan dasar hak dan
kepentingan rakyat, maka kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mendapatkan balik
segala hasil negeri yang telah dirampas secara tidak waras dan buta ihsan oleh pihak
yang sebenarnya sedang mengamalkan sikap dictatorship," tegasnya.