MGG151
Rasuah Dan Badan Kehakiman
(MGG151:
Corruption And The Judiciary)
Tun Eusoff Chin sudah berada di ambang
persaraannya. Dia akan melepaskan jawatan yang dipenuhi pelbagai kisah
korupsi dalam badan kehakiman negara. Inilah kisah yang tidak mampu dinafikannya
walaupun dia pernah berbohong mengenai percutiannya dengan seorang peguam
kesayangannya bernama Dato V.K. Lingam. Malahan dia sanggup duduk mengadili kes
yang diuruskan oleh Dato' Lingam. Setelah perkara ini diketahui umum dia telah
mengumumkan keputusan pengadilannya mengenai satu kes yang
menyerlah membabitkan Dato Lingam dan seorang anak guamnya. Sedangkan kes itu
pernah diperamnya selama 28 bulan.
Badan kehakiman itu adalah laksana ikan yang
busuknya bermula daripada bahagian kepala. Ikan yang busuk di Kamar Ketua Hakim
Negara akhirnya terus menular kepada kamar para hakim yang ada. Apabila Badan
Pencegah Rasuah membuat siasatan ke atas Tun Eusoff, sepatutnya dia bertindak
mengikut amalan seorang hakim yang bermaruah dan mementingkan kebebasan dan
ketelusan badan kehakiman itu; dengan meletakkan jawatannya. Tetapi, Tun Eusoff
Chin bukannya orang bermaruah seperti itu.
Seorang litigan dalam satu
kes rasuah di mana Tun Eusoff hadir sebagai panel hakim dalam satu kes
rayuan di mahkamah persekutuan, telah meminta beliau berundur daripada mengadili
kes itu. Tun Eusoff enggan berbuat demikian, jadinya si litigan itu pun enggan
untuk meneruskan rayuannya itu. Tun Eusoff masih enggan menafikan segala penyataan
yang dikenakan terhadapnya. Dengan itu adalah sesuai kalau kita katakan segala penyataan
itu adalah perkara yang benar. Beginilah caranya bagaimana beliau secara
bersendirian telah mengaibkan badan kehakiman itu ke tahap yang sungguh mengaibkan
seperti yang dilihat sekarang.
Apabila Tan Sri Dzaiddin Abdullah menggantikan Tun
Eusoff pada 20 Disember 0000, dia akan mengambilalih satu badan kehakiman yang
sudah tercemar martabatnya, disebabkan kelakuan sendiri. Badan Kehakiman
negara memang boleh dijual beli. Para peniaga boleh mendapatkan keputusan pengadilan
mengikut selera mereka melalui penggunaan khidmat peguam yang sesuai
seperti Dato Lingam yang mempunyai persahabatan dengan Tun Eusoff; yang bertaraf
persahabatan yang penuh skandal. Kes Vincent Tan ialah salah satu contoh yang
dimaksudkan. Mampukah Tan Sri Dzaiddin membersihkan segala kekotoran itu? Tidak mungkin
. Masa yang ada untuk membersihkan segala kekotoran itu tidak pun sampai dua
tahun. Yang paling penting yang mungkin dapat dilakukan mengikut harapan orang
ramai ialah untuk memperbetulkan segala kerja bengkang-bengkuk yang
ada. Tun Eusoff telah mengumpulkan hakim-hakim di sekelilingnya bukan disebabkan
kepintaran dan kebijaksanaan mereka, tetapi kerana mereka menjamin kesetiaan kepadanya.
Seorang hakim dilantik ke jawatannya kerana beliau pernah menjadi guru
kepada V.K.Lingam semasa dia masih membuat latihannya. Adalah berpatutan kalau
kita katakan, ramai yang menjadi hakim sekarang ini kerana mereka sanggup bergelumang
dengan rasuah yang dilakukan oleh Ketua mereka itu.
Itu sebabnya seorang
hakim mahkamah tinggi Dato Mokhtar Sidin, membiarkan seorang peguam menyediakan kertas
penghakiman yang memihak kepada anak-guamnya. Namun beliau telah dinaikkan pangkat
menjadi hakim mahkamah rayuan. Mujur juga, Majlis Raja-Raja (MRR) telah bertindak
menolak perlantikannya ke mahkamah tinggi. Jika tidak beliau mungkin sudah menjadi
Ketua Hakim sekarang.
Cerita pengadilan boleh dibeli itu, memang bukannya
cerita baru. Tetapi, cerita pengadilan dinafikan adalah satu kisah lain pula. Kita tidak
perlu selidik jauh-jauh lagi. Apa yang menimpa bekas timbalan perdana menteri,
Dato Seri Anwar Ibrahim adalah satu skandal yang amat menonjol dalam
Komanwel. Dia tidak akan menerima pengadilan yang saksama selagi perdana
menteri yang ada masih lagi belum mampus dan terus memegang kuasa. Saudara Anwar gagal
dalam setiap usahanya untuk mendapatkan pengadilan. Ada tiga peristiwa di mana jumlah
wang yang banyak telah dibelanjakan sebagai suai-manfaat agar menolak
penggantungan menunggukan rayuan. Ini membuktikan betapa badan kehakiman itu sudah
tidak adil, telus dan saksama. Begitu juga dengan kesah suai-manfaat
dalam pengambilan tanah, di mana pampasan yang lebih tinggi daripada yang diminta telah
diberikan dalam kes pengambilan secara wajib. Wang yang berlebihan itu selalunya
(mengikut yang diberitahu kepada saya) dikongsi bersama oleh peguam dan anak guamnya
bersama sesiapa sahaja yang perlu disogok dengan wang itu.
Hakim yang
bertanggungjawab dengan perkara tanah ialah Dato Mokhtar Sidin. Dia terus membuat kerja
itu walaupun sudah dinaikkan pangkat ke mahkamah rayuan. Beliau berkuasa
terhadap disiplin yang membabitkan para peguam. Tugasnya ialah menumpulkan
bisa Majlis Peguam. Kerana itu adalah sukar untuk Majlis Peguam mengenakan
tindakan undang-undang terhadap mana-mana peguam yang rapat dengan
badan kehakiman walaupun dia kerap melanggar etika profesionanya.
Ada satu kes di
mana kerajaan Pulau Pnang terkejut kerana keengganan mahkamah menangguhkan
satu kes rayuan sehingga memaksa penasihat undang-undang negeri
berjumpa Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah untuk masuk campur.
Beliau enggan melakukannya sehingga Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon terpaksa
menggunakan tekanan politik untuk memihak kepadanya. Ada satu kes di mana
sebuah syarikat insuran telah menolak liabiliti sebanyak RM30 juta kerana ia
mengsyaki berlakunya perbuatan sengaja melakukan kerosakan untuk menuntut ganti rugi
dalam kes itu. Hakim telah menolak alasan itu dan mengarahkan pampasan dibayar juga.
Permohonan penangguhan telah tidak dibenarkan. Wang itu dibayar dengan satu
anggapan bahawa ia tidak akan dapat dituntut semula seandainya kes rayuan dimenangi.
Ada
satu kes lagi yang masih tertangguh di mahkamah. Pihak yang ingkar telah diarahkan
melunaskan hutangnya bersama faedahnya berjumlah RM100 juta. Satu kumpulan peguam yang
'serasi' diupah untuk menyelesaikan perkara itu. Sebanyak RM67 diarah agar
dilunaskan sementara syarikat yang ingkar itu dibenarkan tempoh terhadap
pembayaran faedah yang terbabit. Di waktu yang sama syarikat yang memberikan
pinjaman itu sudah dikenakan perintah 'receivership'. Wang yang dituntutnya itu
terpaksa dibayar kepada pihak penyelesai (liquidator). Kini tindakan sedang
diambil untuk menentukan syarikat yang hampir muflis itu diapungkan semula
mengikut Akta Syarikat, pihak penyelesai digugurkan dan pengagihan yang tertunggak
diselesaikan.
Mahkamah tidak lagi dianggap sebagai tempat pihak perniagaan
menerima keadilan. Cara mengarahkan pembayaran wang yang banyak
menunggukan rayuan, kepada plaintif yang selalunya engkar dengan
arahan mahkamah itu, mencurigakan dunia perniagaan. Inilah yang menakutkan
syarikat luar melabur di negara in. Semua ini berlaku di sebalik keangkuhan menteri
perdagangan antarabangsa dan industri yang kerap melaungkan betapa tidak ada negara lain
di Asia Tenggara ini yang lebih baik daripada Malaysia. Sedangkan perkara yang
sebenarnya adalah amat berbeza. Setiap pelabur asing yang berpotensi dan yang saya
temui telah memberitahu kenapa mereka meminggirkan Malaysia.
"Sesiapa pun
boleh melabur di mana juga. Tetapi kejayaan pelaburan itu hanya akan berlaku kalau
dinilai risiko yang ada dan lebih penting lagi betapa pantas pulangan
pelaburan itu seandainya anda membuat keputusan untuk menarik keluar
pelaburan disebabkan adanya hambatan yang menyekat kejayaan." Inilah
kata-kata seorang Jarman yang memikirkan pelaburan yang bertahap di negara ini
beberapa bulan yang lalu. Dia amat percaya dia boleh melabur dengan baik di
Thailand dan Indonesia, ataupun di Kelantan dan Terengganu. Malangnya, dia amat curiga
dengan badan kehakiman sehinggakan dia tidak berani melabur di negara ini.
Inilah
satu sorotan kes pengurusan. Para hakim tidak lagi menulis keputusan
pengadilan mereka. Mereka tidak lagi berminat mendengar hujah yang penting
berkaitan dengan undang-undang. Sebab yang utama berlakunya perubahan perangai in
kerana mereka tidak boleh mengikut perbalahan mengenai undang-undang ( Ini kes
hakim bengaplahˇ.-penterjemah). Mereka ini lebih suka mengeluarkan hukum pengadilan
seperti pegawai kastam merujuk kepada buku tarif untuk menentukan nilai cukai yang
perlu dikenakan. Mereka menganggap peranan sebagai hakim itu untuk mendera
para peguam dan berlagak sakan apabila para peniaga mengeluarkan belanja
untuk mereka. Ada juga hakim yang baik-baik tetapi bilangan mereka kecil sekali.
Inilah insan yang sanggup
menulis keputusan pengadilan mereka untuk
diperingati dan dijadikan rujukan.
Ada seorang hakim yang berfikir kalau
keputusan pengadilannya itu panjang berjela sehingga 30 muka surat,
dan mengenai satu kes rayuan kecil yang memadai untuk ditulis setakat satu muka
surat sahaja, memaparkan kebijaksanaannya. Sebetulnya keputusan itu tidak pun
seberapa nilainya.
Badan kehakiman negara sengaja memperlekehkan prinsip
keadilan. Kuasa yang ada pada mahkamah sudah lama lesap. Kalau dinilai kuasa
mereka kini mengikut hiraki penguatkuasaan, mereka adalah setara dengan pegawai kastam
sahaja. Keadaan ini berlaku selepas dilaksanakan pindaan kepada
perlembagaan selepas Tun Salleh Abas dipecat daripada jawatannya sebagai Ketua Hakim
Negara pada 1988 dulu. Para hakim telah diberitahu secara kasarnya untuk
menyedari siapa tuan mereka sebenarnya. Ramai yang sanggup akur dengan isyarat itu dan
mula membuat pengadilan mengikut selera yang ditonjolkan oleh 'tuan' di atas.
Keadaan
begini tidak akan menjanjikan satu badan kehakiman yang baru. Tan Sri Dzaiddin hanya
mampu membetulkan apa juga yang terlalu bengkok agar badan kehakiman tidak begitu rasuah
dan memberi ruang agar litigan dapat merasa lega apabila kes mereka diadili dengan
saksama. Sekarang ini perkara begitu memang amat susah untuk diharapkan. Yang
mengaibkan, rakyat marhaen sudah tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap badan
kehakiman. Mereka masih teringat apa yang berlaku terhadap Saudara Anwar. Penentuan
telah dilakukan oleh badan kehakiman selagi Anwar menganggap Perdana Menteri
sebagai musuh ketatnya.
Inilah bahananya apabila sesuatu institusi
kerajaan itu menjadi alat yang memuaskan nafsu seorang perdana menteri. Sejak Tun
Salleh Abas dipecat pada 1988, mutu para hakim telah jatuh maruahnya. Di
mahkamah persekutuan masih ada lagi segelintir hakim yang berwibawa. Di tempat lain, tak
payahlah kita bercerita mengenai mereka. Negara akan berhutang budi kepada Tan Sri
Dzaiddin kalau dia boleh merobah sistem yang ada dan menaikkan kembali martabat
badan kehakiman negara.
Manusia yang bertanggungjawab menodai badan
kehakiman negara ialah insan yang digantikan oleh Eusoff Chin, Tun Hamid Omar. Dia
masih lagi memainkan peranan dalang di sebalik tabir. Tun Eusoff Chin adalah orang
suruhannya. Pengaruh Tun Hamid akan berkurangan sebaik sahaja Tan Sri Dzaiddin memulakan
tugasnya. Tidak ramai yang ingatkan Tun Hamid sebagai Ketua Hakim Negara seperti
ingatan mereka kepada Tun Salleh, Tun Suffian, Sultan Perak dan juga beberapa
hakim yang cemerlang selepas merdeka dulu. Nama Tun Eusoff akan lesap daripada
ingatan, yang kekal ialah segala perbuatan curangnya. Rasuah akan terus berleluasa
melainkan kerajaan sanggup mendakwa ketua hakim negara di mahkamah.
-MGG
Pillai-
11 Disember,2000