SHAHRIR SAMAD ADALAH WIRA BARU UMNO
Setelah membaca wawancara Shahrir Samad dengan Berita Minggu (10 Disember 2000) saya
merasakan ada sesuatu yang terbuku di dada tokoh Umno Johor itu. Bahawa sebagai orang
timur, dia tidak sampai hati untuk mengatakan sesuatu yang boleh membuat merah daun
telinga orang lain. Padahal Shahrir sudah mengaku dia bercakap apa adanya (Shahrir: saya
adalah saya).
Apa yang dia tak tergamak nak lafazkan ialah tentang ketidakrelevanan
kepemimpinan Mahathir dalam upaya memulihkan Umno yang sedang sekarat. Contohnya,
kekalahan calon BN dalam pilihanraya kecil Lunas, menurut Shahrir, adalah jelas disebabkan
Mahathir yang menimbulkan kemarahan pengundi Cina terhadap BN. Sekolah Wawasan, adalah
juga satu faktor yang tidak disebutkan Shahrir.
Apa yang dibimbang Shahrir, seperti
digambarkannya, bahawa sekiranya Mahathir masih menerajui BN dan kerajaan, maka dalam
pilihanraya akan datang beberapa buah negeri seperti Pahang, Selangor, Kedah, Perlis
'diperkirakan' akan jatuh ke tangan Barisan Alternatif.
Sekarang, setelah Shahrir
melontarkan opininya, maka tergantung kepada orang-orang Umno (dan BN) apakah mereka
berani mendesak supaya Mahathir mundur sebelum pilihanraya akan datang, atau mereka
memilih untuk berputih mata melihat kekalahan teruk BN dalam pilihanraya mendatang.
Dilematik memang.
Apa pun yang akan terjadi kelak, yang jelas Shahrir merupakan seorang
wira baru Umno. Dia sanggup melawan arus semata-mata ingin menyelamatkan bahtera kaum
Melayu sekular (Umno) itu. Sementara Musa Hitam pula melakukan hal yang sama melalui
caranya tersendiri.
Sekarang tinggal gurkha Umno yang bernama Kuli (bukan Ku Li)
terkapai-kapai sebagai panglima tanpa pasukan.