minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

UMNO, DATUK SHAHRIR DAN ORANG MELAYU 

Tiba-tiba sahaja ramai orang Umno menuding jari ke arah Datuk Shahrir. Dia tidaklah melakukan kesilapan yang besar. Kesalahannya cuma dia menegur Presiden seumur hidup Umno mengenai kekalahan BN dalam pilihanraya kecil Lunas. Sememangnya Umno patut kalah. Sebab menurut Datuk Shahrir ketua-ketua Umno di Kedah tidak bertungkus-lumus berusaha untuk memenangkan BN. Ketua Umno itu termasuk Presiden Parti sendiri, yang kawasannya memang di Kedah. Datuk Shahrir menyalahkan Dr. Mahathir yang tidak turut berkempen di Lunas, walaupun dia orang Kedah dan wakil rakyat Kedah.

Itulah kesalahan Datuk Shahrir. Mengkritik pucuk pimpinan Umno ketika Umno memang susah untuk menerima kritikan. Dan lagi kritikan itu dilakukan di luar Majlis Tertinggi. Sedangkan Datuk Shahrir ahli MT dan dia boleh mengemukakan pandangannya dalam majlis berkenaan. Tetapi dia tidak memilih MT. Dia bercakap di luar. Dia bercakap bahawa Dr.Mahathir menyerang orang China, mengatakan orang China yang menentang Sekolah Wawasan dan Suqui sebagai komunis, tidak tahu bersyukur dan sebagainya. Menurut analisis Datuk Shahrir kekalahan BN itu terletak di bahu Dr.Mahathir (Berita Minggu, 10.12.2000).

Memang Datuk Sharir adalah kaki bangkang dalam Umno.Suatu waktu dulu dia bersama-sama Paklah dalam team B.Bilamana team B tidak mendapat tempat dalam pucuk pimpinan Umno dia pun terkeluar dari kabinet. Mungkin suatu hari nanti bila Paklah jadi Perdana Menteri dia akan memanggil semula Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu ke dalam kabinet.Tetapi menurut Shahrir dia tidak lagi berminat menyertai kabinet.

Sebenarnya Shahrir sudah melihat Umno ditimpa masalah demi masalah, kegagalan demi kegagalan. Memang diakuinya Umno adalah untuk orang Melayu.Tetapi orang Melayu yang mana satukah yang dapat faedah dari Umno. Sekiranya amalan mengekalkan beberapa kerat tokoh-tokoh korporat dalam Umno berterusan , satu hari Umno akan hancur.Orang-orang bawahan Umno tidak mendapat faedah dari Umno, termasuk Datuk Shahrir sendiri. Dia sendiri tidak dapat kontrak. Ertinya Shahrir, yang abangnya berada dalam PAS, sudah melihat unsur kronisme akan menghancurkan Umno itu sendiri. Kekurangan sokongan dalam Pemilu tahun 1999, kemudian diikuti dengan pilihanraya kecil Sanggang dan Teluk Kemang memperlihatkan Umno sudah tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu. Ertinya Umno perlu bergantung kepada undi China dan India. Dan bila China tidak memberikan sokongan di Lunas, akhirnya Umno(BN) tumpas.           

Bila wartawan BM mengusulkan pertanyaan adakah Umno akan hancur suatu hari, Shahrir cuma berharap “mudah-mudahan tidaklah. Tapi takkanlah kalau kita berharap, ia tak akan berlaku?” Ertinya tokoh Umno yang banyak menimbulkan kontroversi itu sendiri mengakui suatu hari Umno mungkin akan hancur jika tidak ada usaha untuk mengubah keadaan-keadaan yang memungkinkan  kehancuran itu. Begitulah pandangan seorang tokoh Umno yang pernah memegang jawatan dalam kabinet Mahathir.

Beliau sendiri melihat Umno sudah kehilangan taringnya dalam arena politik Malaysia. Dan riwayatnya mungkin akan berakhir.Usaha-usaha Umno untuk menarik balik sokongan orang Melayu kebelakangan ini nampaknya tidak memberi kesan. Puteri Umno telah pun ditubuhkan. Pemuda Umno pula berpendapat masa enam bulan tidak cukup untuk mempengaruhi pengundi baru, iaitu pengundi-pengundi yang didaftarkan pada awal tahun 1999  yang dinafikan haknya mengundi pada Pemilu 99. Tokoh-tokoh korporat pula terus menguasai Umno. Jadi harapan untuk Umno hancur dengan lebih cepat itu agak cerah, begitulah kesimpulan dari pandangan Datuk Shahrir. Sama-samalah kita tunggu bilakah saat-saat kematian Umno yang sedang nazak itu.

AlKundangi,

10.12.2000         

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter