MGG 150
Yang Berhormat Mahfuz Omar
(MGG: The Importance
of Being Mahfuz Omar)
Beberapa ribu penyokong barisan pembangkang dan 500 anggota polis berada di
hadapan Penjara Kajang untuk menyambut ‘kepulangan’ tiga orang ahli PAS,
termasuklah Ketua Pergerakan Pemuda dan MP Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar.
Berlakulah satu cubaan menunjukkan kuasa di antara pihak pembangkang dengan
kerajaan. Pihak penjara melepaskan mereka pada 0200 pagi semalam (9 Disember, 2000),
enam jam lebih awal daripada biasa dan telah membawa mereka bersiar-siar tanpa
sebab. Dua di antara mereka dibawa ke Lembah Pantai di Kuala Lumpur dan Mahfuz pula
dibawa entah ke mana ke arah utara, mungkin mahu dibawa ke Kedah. YB Mahfuz
meloncat keluar kereta pacuan empat roda di stesen tol Rawang. Beliau telah
menelefon setiausaha politiknya dan mereka pun berpatah semula ke Kajang untuk
menemui kumpulan manusia yang sudah menanti mereka.
Oleh kerana Mahfuz telah dibebaskan, pegawai penjara dalam van yang membawanya itu tidak
mampu melakukan sesuatu. Di waktu yang sama pemimpin parti pembangkang dan ramai
lagi telah mencuba menziarahi Mahfuz sebaik sahaja mereka tiba di penjara itu. Mereka
diberitahu bahawa Mahfuz sudah dibebaskan dan tidak lagi ada di situ. Mahfuz muncul satu
jam kemudiannya disambut dengan penuh emosi dan bingit. Mereka pun beredar untuk
melakukan sembahyang kesyukuran di masjid. Malam tadi, dia muncul di khalayak ramai
lagi. Dia menceritakan pengalamannya selama satu bulan di penjara kerana enggan membayar
denda setelah dihukum kerana berpiket membantah ketibaan pasukan kriket Israel di Kuala
Lumpur pada April 1997.
Polis mengumumkan bahawa himpunan manusia di Kajang itu adalah salah di segi
undang-undang, tetapi mereka tidak bertindak menyekatnya. Kalau bertindak, rakyat pun
akan bertindak juga terhadap kerajaan. Terpaksalah diarahkan satu batalion anggota polis
dengan nisbah seorang polis bersamaan dengan enam rakyat marhaen dan sebuah helikopter
yang berlegar di angkasa dijadikan lambang kuasa polis menghadapi rakyat yang
berkumpul secara aman. Mereka berlagak lebih-lebihan, dan gagal segagalnya. Macam mana
pun kita nilai perkara ini, kesediaan Mahfuz memilih hukuman penjara bererti rakyat
sudah merubah hukum politik negara. Akan lebih ramai lagi rakyat marhaen yang memilih
dipenjarakan kerana kesalahan terhadap kepercayaan politik mereka sebagai satu
lambang penentangan yang pasif. Inilah yang dilakukan oleh Mahatma Ghandi dalam
peristiwa ‘satyagraha” di mana dia berjaya memalukan kerajaan Empayar British
sehingga melutut akhirnya. Kerajaan sudah menjadi kaku dan kematu, ketandusan cara
menyelesaikan keadaan itu. Cuma mampu mengerahkan anggota polis mengawal di situ. Inilah
tanda kerajaan sudah kehilangan daya pengawalan.
Inilah kesan libasan ekoran dariapda pertembungan untuk menguasai pengaruh orang
Melayu, selepas Mahathir memecat timbalan perdana menteri Dato’ Seri Anwar
Ibrahim, dulu. Beliau telah ditahan, didera dan dibaham matanya sehingga hampir hilang
upaya oleh seorang ketua polis negara. Kemudian, beliau dipenjara kerana tuduhan
korupsi dan perbuatan sumbang yang sengaja diada-adakan dengan segala bukti palsu oleh
pihak pendakwa. Inilah yang mencetuskan kemarahan orang Melayu. Sejak itu, setiap
kali berlaku konfrontasi antara kerajaan dengan rakyat marhaen, pihak kerajaan terpaksa
terus bertahan.
Kejadian di Penjara Kajang semalam adalah satu peristiwa yang
tidak menghairankan. Kerajaan tidak faham bagaimana menangani hati rakyat. Ketika
pilihanraya kecil Lunas berjalan, kemampuan pihak pembangkang berdepan dengan kerajaan
secara padu dan bersatu adalah amat berbeza dengan cara yang dipraktikkan oleh Barisan
Nasional di situ. Setelah dilakukan bedah-siasat barulah mereka mengaku tersilap
meletakkan calon yang salah. Barulah mereka mengaku bahawa teknik berkempen penuh dengan
keangkuhan, tanpa memahami perasaan masyarakat tempatan dan apabila berdepan dengan
tekanan, mudah menggelabah
sehingga berpecah.
Dua manusia yang tegar sikapnya memegang kunci penting dalam hal ini. Mereka adalah
perdana menteri dan musuh ketatnya. Kegemilangan PAS tidak berkilau sedemikian yang
dilihat dan kemalapan UMNO tidak sebegitu kelam seperti yang berlaku kalau tidak kerana
kemarahan rakyat terhadap cara Anwar Ibrahim didera sekarang ini. Perasaan ini
menular begitu luas sekali sehinggakan kerajaan sudah semakin nazak. Angkatan
Tentera Malaysia sudah berpecah. Pasukan polis menyerlahkan perpecahan itu
dengan cara membuli rakyat. Kehakiman negara sudah tidak boleh dipercayai lagi, dan ini
terserlah apabila Anwar dipenjarakan hasil dua kes yang dihadapkan di mahkamah.
Kini, Mahfuz Omar memulakan satu barisan serangan baru pula. Ia mengenakan tekanan
kepada kerajaan dengan kuasa penentangan yang pasif. Inilah corak tentangan yang
sepatutnya dipelopori oleh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, dulu-dulu lagi. Bukan membuat
rayuan tetapi terus menerima hukuman untuk dipenjarakan. Selama ini mahkamah memandang
rendah terhadap rakyat marhaen dan mengenakan hukuman kejam dengan anggapan ianya
satu cara yang selamat, kerana yang dihukum selalunya membuat rayuan juga.
Mahfus Omar telah menyanggah anggapan mahkamah itu sehinggakan mahkamah perlu
lebih berhati-hati. Lagipun, seorang hakim yang menjatuhkan hukuman yang tidak selari
dengan nafsu seorang pemimpin negara akan menghadapi karier yang tidak menyenangkannya.
Hakim Arifin Jaka yang telah menjatuhkan hukuman ke atas Dato’ Sri Anwar masih belum
lagi menyudahkan kertas pengadilannya secara bertulis. Tanpa lapuran itu Dato’ Seri
Anwar tidak boleh mengemukakan rayuannya. Kalau disudahkan kertas pengadilannya
itu dia mungkin terpenjara kerana menyalahgunakan kuasa. Dengan lain perkataan, Ariffin
Jaka sedang menghadapi satu dilema seperti yang dihadapi oleh cabang kehakiman negara
dan yang akan dihadapi juga oleh Ketua Hakim Negara yang terbaru. Ketua Hakim Negara itu
akan tertekan kalau dia tidak pastikan Saudara Anwar mendapat pengadilan yang saksama.
Apa yang berlaku di Penjara Kajang bukan saja satu peristiwa seorang aktivis
politik dibebaskan daripada tahanan. Inilah peristiwa yang meningkatkan lagi martabat
pihak pembangkang. Mahfuz merupakan seorang pemidato unggulan. Dia boleh
mengulang-tayang segala pengalamannya di penjara dulu untuk menaikkan semangat juang
orang Melayu.
Tetapi, bukan apa yang dikatakannya dan bukan apa yang dilaluinya yang akan
menjahanamkan kerajaan. Cara kerajaan berlagak angkuh menganggap setiap himpunan
rakyat secara aman itu sebagai kumpulan haram yang akan mendebiknya. Rakyat tidak
dibenarkan berkumpul lebih dari lima orang tanpa permit daripada polis. Tidak ada satu
pun himpunan parti pembangkang yang bertemankan permit polis kerana kalau diminta,
permit itu tidak pernah diluluskan. Permit itu tidak dipedulikan lagi seperti juga
rakyat marhaen yang tidak pedulikan ugutan para menteri.
Begitulah halnya dengan
ugutan agar sesiapa yang dikenakan saman meletak kereta membayarnya sebelum
ditangkap. Ugutan itu sebenarnya boleh disanggah di mahkamah. Sebagai contohnya,
penggunaan tiket bagi membayar menggunakan tempat letak kereta dikira tidak sah kerana
tidak ada hukum undang-undang mengenainya. Tindakan mengugut itu bukan lambang
memperbetulkan keadaan, ia adalah gambaran kelemahan penugatkuasaan. Inilah halnya di
setiap jabatan dan kementerian kerajaan. Semua ini tidak diminati oleh rakyat
marhaen kerana kurang tarikannya. Kisah seorang ahli parlimen dipenjarakan memang lebih
menarik lagi. Itu sebabnya keadaan sebenar di kalangan rakyat marhaen adalah lebih
tegang daripada yang difikirkan selama ini. Tindakan Mahfuz bersama
sahabatnya memilih dipenjarakan dulu telah membuatkan kerajaan semakin bercelaru.
-MGG
Pillai-
9.12.2000.