Samy Vellu takut kemunculan PRIM
Parti Rakyat Insan Malaysia (PRIM) telah
mengemukakan hasrat parti itu untuk menjadi parti alternatif kepada Parti MIC. Parti yang
masih belum didaftarkan itu tidak disenangi oleh Samy Vellu. Samy Vellu berkata tiada
parti yang dapat menggantikan MIC sebagai parti tunggal yang mewakili kaum India. Dia
menambah selagi parti MIC wujud, tiada parti yang boleh mewakili golongan India kerana
hampir kesemua golongan India menyokong MIC walaupun sesiapa boleh menyertai sesebuah
parti.
Kemunculan parti PRIM tidak dapat menyembunyikan kebimbangan Samy Vellu
bahawa sokongan orang India kepada MIC mungkin akan berkurangan. Kenapa Samy Vellu bimbang
kemunculan parti Barisan Alternatif kelima? Adakah ia akan membuka pekung didada kelemahan
MIC kepada kaum India? Adakah Samy Vellu bimbang jika ramai kaum India menyertai PRIM, ia
membuktikan kegagalan MIC membela nasib kaum India? Oleh yang demikan adakah Samy Vellu
bimbang orang India akan meninggalkan parti MIC dan menyertai parti lain? Samy Vellu tidak
mungkin mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam perenggan pertama jika dia ada
memperjuangkan nasib orang India.
Selama ini kita orang sudah tahu kegagalan MIC
memperjuangkan nasib dan kepentingan orang India. Sehingga kini, Samy Vellu memang pandai
cakap kosong dan janji itu janji ini kepada kaum India. Kalau tidak silap saya, Samy Vellu
pernah berjanji akan memperjuangkan gaji bulanan pekerja-pekerja estet. Malangnya, sampai
hari ini, janji tinggal janji. Namun disebalik kegagalan MIC membela nasib kaum India,
saya percaya kaum India tiada pilihan kerana MIC lah satu-satunya parti yang mewakili kaum
India. Mahu tidak mahu, orang India terpaksa menyokong MIC dengan harapan parti itu dapat
memperjuangkan nasib mereka. Malangnya sampai hari ini, kaum India masih ketinggalan
berbanding dengan kaum lain. Tahap kemiskinan masih tinggi dan masalah sosial merupakan
masalah utama mereka. Kemelut orang India tidak diendahkan oleh MIC.
Dengan
kemunculan PRIM, sudah tentu reaksi ini tidak disenangi oleh Samy Vellu dan MIC. Jika Samy
Vellu dengan bangganya mengatakan hampir kesemua orang India setia kepada MIC, kenapa dia
harus bimbang kepada PRIM? Ia sama seperti peniaga restoran. Kalau peniaga restoran A
memberikan perkhidmatan layanan mesra yang baik, makanan yang sedap, harga yang berpatutan
dan kebersihan diutamakan sudah tentu ramai pelanggan akan mengunjungi restorannya. Jika
peniaga restoran B tidak mengutamakan ciri-ciri diatas sudah tentu tiada siapa yang mahu
makan di restorannya. Kalau tidak keterlaluan saya katakan, Samy Vellu sama seperti
peniaga restoran B.
Kebimbangannya memang tidak dapat disembunyikan kerana
pengaruhnya mungkin akan berkurangan. Dengan bantuan kaum India, Samy Vellu dapat
bertahan. Andai kata, PRIM telah didaftarkan dan parti itu mendapat respon yang baik
daripada kaum India, sudah tentu ia akan memberi tekanan dan saingan kepada Samy Vellu.
Sudah tentu Samy Vellu tidak ingin perkara ini berlaku. Memang melucukan seseorang
presiden sesebuah parti dapat mengekalkan kuasanya walaupun parti itu gagal menjaga dan
membela nasib kaumnya. Itulah apa yang terjadi kepada MIC. Kemungkinan besar
pemimpin-pemimpin MIC akan memberi tekanan kepada Samy Vellu untuk berbuat sesuatu untuk
menyelamatkan parti itu.
Mungkin selepas ini, barulah MIC terhegeh-hegeh buat itu
buat ini bagi memastikan sokongan golongan India masih berpihak kepada MIC. Kita akan
melihat ramai pemimpin-pemimpin MIC akan turun padang bagi mendekati dan memahami masalah
yang dihadapi oleh kaum India. Kalau tidak ketelaluan saya katakan, sebelum ini batang
hidung pemimpin-pemimpin MIC hanya nampak sebelum pilihanraya bermula. Selepas itu mereka
lesap entah ke mana. Kaum India yang berpendidikan tinggi mungkin akan ternanti-nanti
kemunculan parti PRIM. Dengan adanya PRIM, akan wujud persaingan diantara MIC dan PRIM. Ia
akan membawa keuntungan kepada orang India. Sebelum ini, oleh kerana tiadanya parti yang
lain mewakili kaum India, MIC sebagai parti monopoli kaum India boleh bersenang-lenang.
Kita berharap permohonan parti itu akan diluluskan dan merupakan parti alternatif kepada
MIC.
LTL