SATU PAGI DI LUNAS LAGI!
Termenung panjang saya untuk membuat keputusan sama ada hendak ke KL
atau di Kedah sahaja pada 8 Disember nanti. Manakan tidak pada tanggal tersebut terdapat
2 program yang menarik berjalan serentak. Program Sambutan Pembebasan YB Mahfuz dan
rakan-rakan dari Penjara Kajang....yang ini memang amat saya nanti-nantikan......dan
satu lagi program menyambut Kak Wan turun ke Lunas bersama-sama YB Saifuddin Nasution.
Jiwa reformis jalanan saya memang memilih program yang pertama bahkan meronta-ronta
untuk turun ke KL menyertai rakan-rakan reformis yang lain. Namun kekuatan tarikan
semangat Lunas yang masih hangat lagi itu akhirnya berjaya menggamit saya untuk
bersama-sama rakyat Lunas pada pagi 8 Disember itu.
Program bermula pada pukul
9.00 pagi di sebuah rumah penyokong kuat keADILan di Taman Selasih, kawasan di mana BA
telah memenangi dengan majoriti yang tertinggi iaitu sebanyak 524 undi (BA=1922undi;
BN=1398undi). Ramai juga penyokong-penyokong yang hadir dari serata ceruk Kedah termasuk
dari Alor Setar, Sungai Petani, Merbok, Baling dll. Ketibaan Kak Wan disambut meriah dan
kali ini beliau telah boleh berjalan dengan bantuan tongkat. Tidak ketinggalan ADUN
Penanti merangkap Ketua Pembangkang Pulau Pinang, YB Abd. Rahman (lebih dikenali sebagai
Pak Rahman) turut hadir.
Hampir semua petugas, parti mahupun sukarela, dari Kedah
yang terlibat hampir sepenuh masa dengan kempen pilihan raya N34 DUN Lunas tempoh hari
hadir pada pagi yang berbahagia itu. Baru inilah kami dapat bersua muka dan bersembang
panjang. Kaum Tionghua turut tidak ketinggalan. Salah seorang kaum tersebut yang telah
bekerja dengan begitu kuat sekali sepanjang kempen pilihan raya, Sdr. Ah Meng, telah
diberi tepukan yang bergemuruh sekali bila namanya disebut. Saya pun baru pertama kali
melihat orangnya pada pagi itu. Sebelum itu hanya mendengar namanya sahaja kerana beliau
lebih tertumpu di bilik gerakan Pekan Lunas tempoh hari. Ah Meng hanyalah seorang
pengusaha sebuah kedai kopi di pekan Lunas tetapi pengaruhnya di kalangan masyarakat
Cina tempatan ternyata sungguh kuat. Kami sungguh berbangga kerana beliau telah memilih
BA sebagai wadah perjuangannya. Sumbangannya terhadap BA baru-baru ini sangat besar dan
amat bererti sekali.
Yb Saifuddin memberikan ucapan penghargaan yang
setinggi-tingginya kepada semua petugas dan pengundi yang telah memberikan sokongan
kepadanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kak Wan yang telah sudi
mencemarkan kaki ke Lunas sekali lagi. Mengimbas kembali bagaimana beliau telah menemui
Kak Wan sebaik sahaja mendapat berita yang beliau akan dicalonkan sebagai wakil BA di
DUN Lunas. Sebenarnya beliau telah menolak pencalonan tersebut kerana ingin menumpukan
kepada kerja-kerja menguatkan jentera parti. Namun kerana keputusan pucuk pimpinan BA,
beliau terpaksa akur juga di dalam keadaan yang serba kekurangan......kewangan dll.
Malah yang melucukan adalah pakaian yang bersesuaian pun tiada sehinggakan terpaksa
meminjam baju Melayu, songkok dan sampin Ketua keADILan Bahagian Padang Serai semasa
hari penamaan calon tempoh hari! Begitulah ikhlasnya YB menceritakan perkara sebenar
sekaligus membuktikan bahawa kemenangan BA tempoh hari benar-benar bersih, datangnya
dari hasil kerja kuat penyokong-penyokong dan direstui pula oleh pengundi-pengundi yang
telah terbuka minda mereka di Lunas ini. Bukan seperti pihak satu lagi yang begitu
berbangga dengan kemewahan dan menonjolkan taktik-taktik kotor yang telah menjadi resmi
mereka selama ini.
Setelah Kak Wan memberikan ucapan, kami berkonvoi pula ke
destinasi seterusnya di Sungai Seluang. Tidak disangka-sangka sebanyak hampir 20 buah
kereta menyertai konvoi tersebut. Sungguh meriah sekali perjalanan kami kerana mendapat
sambutan dari kenderaan-kenderaan yang lain yang menyedari kehadiran konvoi kami itu.
Hon-hon yang panjang dibunyikan, lampu-lampu kereta dinyalakan sebagai isyarat dan tidak
kurang juga penduduk-penduduk tempatan melambai-lambaikan tangan apabila terserempak
dengan konvoi kami. Perasaan saya agak terharu pada ketika itu. Ternyata masyarakat
tempatan begitu menghargaikedatangan Kak Wan dan YB baru yang tidak diduga oleh mereka
itu.
Kami sampai di Sungai Seluang jam 10.45 pagi. Ramai masyarakat tempatan yang
telah sedia menunggu kedatangan kami. Sepanduk-sepanduk yang bertulis 'Selamat Datang
Seri Dr.Wan Azizah dan YB Saifuddin Nasution' siap menunggu di tepi jalan. Kemeriahan
suasana tetap dirasai walaupun keadaan panas terik mula melanda. Jika tidak kerana bulan
puasa sudah tentu lembu seekor telah ditumbangkan. Pihak PAS bagi UPU Sungai seluang
merakamkan ucapan penghargaan di atas kesudian kak Wan menjejakkan kaki di situ. Kami
berada di situ lebih kurang sejam dan beredar selepas Kak Wan, YB Saifuddin dan Pak
Rahman selesai memberikan ucapan mereka.
Konvoi kami menuju ke Nagalilit pula
sebagai destinasi terakhir. Kali ini tempat yang dituju agak terpencil di pendalaman.
Namun kemeriahan konvoi telah terserlah dari tepi jalan utama lagi apabila sekumpulan
anak muda bermotor menyambut dan mengiringi kami ke kawasan Nagalilit. Bendera-bendera
keADILan dan PAS berkibar megah pada setiap motor tersebut.
Majlis diadakan di
sebuah dewan yang dijadikan pusat PASTI anak-anak masyarakat di situ. Yang menarik
perhatian adalah ucapan Ketua PAS bahagian Nagalilit. Beliau telah memberikan sedikit
penerangan berkenaan dengan Kampung Nagalilit disertai dengan statistik yang menarik
sekali. Berbeza dengan kebanyakan kampung-kampung tradisi Melayu yang lain, pembangkang
sering menjadi pilihan panduduk di situ sejak dahulu lagi. Sehingga dikatakan sekiranya
diletakkan katak puru sekalipun sebagai wakil pembangkang, pasti akan dipilih oleh
masyarakat di situ. Heran juga yek......yang selalu kita dengar dulu kalau diletak batu
dan kayu sebagai wakil BN, pasti BN juga yang akan dipangkah!
Dari segi
statistik, keputusan pilihan raya tahun 1995, 1999 dan 2000 menunjukkan peningkatan di
dalam peratusan penduduk yang keluar mengundi. Tahun 2000 sahaja telah mencatatkan
peratusan yang tinggi iaitu sebanyak 82 peratus. Pihak PAS kawasan terbabit telah
bersungguh-sungguh memastikan kebanyakan pengundi telah keluar mengundi dan mereka telah
menyediakan kemudahan pengangkutan kepada semua orang tanpa mengira fahaman parti.
Pertambahan di dalam undi yang diberikan kepada pembangkang juga dilihat semakin
meningkat berbanding dengan prestasi pihak BN yang semakin merosot di situ.
Program
tamat pada pukul 12.45 tengah hari. YB Saifuddin seterusnya akan menunaikan sembahyang
Jumaat di masjid Permatang Tok Dik dan diberi peluang untuk menyampaikan khutbah
sekaligus. Ini satu lagi yang boleh dibanggakan dan amat disyukuri oleh kita semua.
Terasa begitu bahagia dan bermakna sekali apabila wakil rakyat yang dipilih boleh
memimpin kita sehingga ke soal-soal keagamaan. Apalah yang boleh diharapkan sekiranya si
Syed Anthony yang terpilih tempoh hari... ....boleh ke gamaknya khutbah dibacanya wahai
orang-orang AMENO??! Yang di Keladi dan batu 6 tu bila lagi nak sedar??!!
LAWAN
TETAP LAWAN!
ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!
Kak Id 2000