minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Fokus Khas

Yang Tuli, Bisu Dan Buta
(The deaf, dumb and blind)

Oleh: Sadirah K

Catatan: Tulisan asal terdapat pada muka surat 14, HARAKAH terkini terbitan 16-31 Disember 2000.

Ramai manusia boleh  memandang tetapi tidak boleh melihat, mereka boleh mendengar tetapi tidak boleh mengamatinya.  Inilah golongan yang meletakkan harga kepada setiap kawasan pilihanraya. Kalau harga itu dapat dilunaskan bererti kemenangan akan berada di tangan mereka.  Tetapi pengundi Lunas sudah pun memberi isyarat yang jelas kepada mereka. Daripada satu ceruk kawasan Kedah, Lunas telah menidakkan Barisan Nasional (BN) majoriti suara dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.  Namun, mereka masih belum  nampak ataupun mendengar isyarat itu. Gema daripada laungan  para pemimpin mereka  telah mengabui semua itu.  Selagi mereka mencari  alasan luar, mereka akan memberikan keselesaan kepada parti alternatif.  Segala kelemahan BN itu bukannya bersifat luaran tetapi bersifat dalaman  di kalangan parti komponen mereka. Masalah ini bukannya mudah  dibetulkan  terutama sekali kalau  struktur parti tidak  mengizinkan  mereka berbincang secara  bebas dan  mengadakan perdebatan dan pertandingan yang terbuka.

Pandangan lain yang mencetuskan minda memang tidak  wujud di media  tempatan dan tidak pula dibentangkan untuk perbincangan  dalam parti. Kenapakah parti pembangkang tidak dibenarkan  peluang untuk  mempertahankan  kedudukan mereka?  Dengan memberikan ruang untuk semua pihak menerangkan  pendapat harian mereka  melalui media massa, setiap pihak dapat menjelaskan kedudukan mereka dan membolehkan pihak pemerintah  bertindak terhadap isu yang diungkit itu.  Ketakutan BN dalam hal ini menunjukkan  kelemahannya.  Di zaman maklumat ini Malaysia masih tidak mampu menerima kritikan daripada pihak lain.  Para pekerja  yang memerlukan maklumat tidak  perlu diberitahu akan semua bidang. Sedangkan mereka tidak menggadaikan  otak dan kebijaksanaan mereka kepada Mahathir dan para kroninya.  Ini bukannya K-Ekonomi yang  Mahathir dan para kroninya kerap laungkan ke seluruh dunia.

Ramai orang yang  marah cara mereka diperlekehkan.  Ada satu macam perasaan bahawa masyarakat mesti bersyukur  kepada BN dan harus menyerlahkannya. Sepatutnya, para pemimpin BN yang mesti bersyukur kerana kekayaan yang mereka balun daripada harta rakyat. Inilah agenda yang akan dibangkitkan setiap kali  berlakunya pilihanraya sehinggalah BN sedar daripada kelalaiannya dan berusaha untuk mendapatkan  muka baru sebagai pemimpinnya. Setakat ini mereka asyik  terjerit-jerit mengenai politik wang sedangkan orang yang melakukan kerja jijik itu masih memegang  jawatan penting dalam parti.

Perangai menyanjung kepimpinan BN merupakan satu helah  untuk mereka mengelak tanggungjawab sebagai pemimpin. Mahathir menghentam pihak pembangkang kerana  menggunakan isu keagamaan.  Dia telah memegang satu gambar yang telah diubah suai menunjukkan calon BN berpakaian sebagai seorang paderi.  Tetapi ramai dalam UMNO masih ingat lagi  gambar yang serupa bentuknya memaparkan wajah Tengku Razaleigh Hamzah  berpakaian  Kadazan  yang mempunyai corak salib di tengkoloknya. Siapakah sebenarnya yang mengungkitkan perkauman itu?

Mahathir dan juga BN tidak berhak bercakap mengenai akhlak yang murni.  Terdapat banyak laporan polis  terhadap beliau dan juga  pemimpin BN mengenai rasuah. Mereka  harus berani berterus terang dengan menghadapi tuduhan itu dan tidak lagi  menggunakan media  yang kini kebanyakannya telah kehilangan lebih daripada 30% pembaca tetapnya sejak satu tahun yang lalu.  Inilah dia perangai manusia yang pernah menulis kepada Tunku Abdul Rahman pada 17 Jun 1969, seperti yang diungkit dan dirakamkan oleh Raja Petra Kamaruddin. Dalam surat itu Mahathir telah mendesak Tunku meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan sebagai pemimpin UMNO. Masa sudah lama beredar dan kini Mahathir berada di tempat yang pernah di duduki oleh Tunku dulu. Bacalah semula surat kamu itu Mahathir!!!!

Kekalahan BN adalah satu tamparan kerana  rakyat telah dijanjikan pembangunan bernilai RM21 juta; RM14  juta untuk prasarana; RM4 juta untuk bekalan air; RM1 juta untuk bekalan letrik dan RM 2 juta untuk perparitan. Sebagai tambahan mereka dijanjikan sebuah sekolah Tamil yang baru. Menteri Pendidikan pula  telah menyumbang sebanyak  RM1.01 juta kepada sembilan Sekolah Cina dan Tamil. Kementerian Bandaran  Kerajaan Tempatan telah menyumbang sebanyak RM100,000 untuk memperbaiki  pasar di pekan lama.

Barisan Alternatif memang tidak mampu menandingi semua imbuhan itu. Calon mereka Saifuddin Nasution Ismail  hanya mampu berikrar  mewujudkan satu  pusat perkhidmatan  dan menyuarakan  masalah penduduk Lunas di dewan  negeri Kedah. Dia juga berikrar untuk mempelajari Bahasa Mandarin. Kalau dibandingkan segala kekuatan wang dan pengaruh media yang ada di pihak BN, kemenangan BA akan merupakan satu kayu pengukur di masa akan datang.

BA telah memadamkan  majoriti kemenangan BN yang berjumlah 4700 undi itu dan mengubahnya dengan majoriti kemenangan sendiri sebanyak 530 undi.  BN hanya memperolehi  221 undi lebih daripada angka tahun lalu ketika Joseph Fernandez menang di Lunas.  BA telah mampu meraih undi penyokong DAP, kumpulan di atas pagar dan pengundi baru  sehingga mampu menarik lebih ramai  pengundi untuk meraih kemenangan.

Sammy Vellu telah berikrar bahawa Saifuddin akan pulang dengan tangan kosong.  Malahan ikrar beliau untuk tidak balik  ke Kuala Lumpur kalau kalah, sudah pun memperlekehkan wibawanya sendiri. Begitulah  caranya Sammy mengeluarkan ikrarnya. Semua janji Samy adalah  laksana keropok garing yang memang dibuat untuk dipatah-patahkan.  Kuala Lumpur akan menjadi tenang kalau dia tidak pulang. Seseorang akan menjadi terkejut kalau-kalau ahli politik BN yang 'lurus dan jujur' ini menghantar surat perletakan jawatannya. Walaupun BN mempunyai segala kemudahan untuk  berkempen di mana Samy telah melaksanakan tugas-tugas mandor JKR, mereka sedar kini betapa pengundi  Lunas tidak mudah dipikat.

"Mandor yang Bertugas" dalam MIC tidak punyai banyak modal  melainkan  mendedahkan mentaliti satu kaum yang telah dipinggirkan. Sehingga hari ini parti itu tidak lagi berdaya mendapatkan gaji bulanan untuk para pekerja ladang. MIC tidak mampu melakukan perubahan dalam minda  masyarakat India.  Inisiatif itu akan menggugat  kuasa mutlak Samy dan para kroninya di kalangan masyarakat India. Pegangan saham masyarakat India dalam kek ekonomi Malaysia masih lagi di bawah 1% sedangkan  Dasar Ekonomi Baru telah wujud sejak tiga puluh tahun yang lalu dan MIC sudah lama menjadi rakan kongsi dalam perjuangan BN. Sebagai sebuah parti yang bersifat etnik apakah yang mampu mereka wujudkan selama ini selain daripada  beberapa institusi pendidikan, kuil dan sebuah parti yang diketuai oleh seorang mandor yang boleh dibandingkan dengan  budaya kepimpinan feudal UMNO.

Di beberapa negara  yang mengamalkan demokrasi, peruntukan untuk kerja pembangunan yang disediakan di ambang pilihanraya adalah dianggap satu bentuk rasuah.  Kepada Mahathir dan para kroninya ini adalah merupakan perkara biasa sahaja. Selagi mereka  terus buta terhadap kelemahan  mereka dan menumpukan perhatian kepada kekurangan BN, mereka akan memberikan alasan yang baik  untuk BA mencabar mereka.  Ahli BA memang  arif akan strategi  BN dalam pilihanraya itu. Kerana itu mereka berjaya menahan 12 bas yang datang ke Lunas  dengan muatan pengundi hantu.

Mahathir mahukan BN mencari sebab kenapa mereka kalah di Lunas. Dia mungkin sudah semakin dungu  dan ahli partinya mungkin sudah ramai yang tuli dan buta. Alasan kekalahan mereka memang amat jelas. Hanya Shahrir Samad daripada Johor  yang telah menyebut alasan itu dengan berani dan bernas. "Para pengundi tidak melihat sebarang perubahan dalam pihak kerajaan  yang didapati  penuh dengan rasuah, mementingkan diri dan tidak lagi memikirkan masalah rakyat." BN sudah hilang majoritinya dalam setiap pilihanraya.  Lagipun ia tidak lagi dapat menambahkan sokongannya di kawasan pengundi Melayu. Mahathir merupakan sebab utama kekalahan mereka. Dia perlu menilai krisis kredibiliti yang dihadapinya dan yang
menggugat  pemimpin parti MCA, MIC, malahan juga pergerakan wanita UMNO. 

Keangkuhan mereka dan hakikat bahawa mereka telah begitu lama berada di puncak kuasa tanpa mahu melepaskannya, adalah alasan yang munasabah untuk kekalahan itu. Sebenarnya mereka tidak mempunyai ketegasan  tenaga untuk melakukan perubahan. Tidak ada  minat untuk melakarkan satu azam dan iltizam yang baru. Orang luar mudah melihat dengan penuh kehairanan bagaimana ahli politik yang berpelajaran tinggi, dan bijaksana  sanggup mengikut telunjuk Mahathir sedangkan mereka mampu mengadakan perubahan dalaman  kepada setiap parti mereka. Inilah yang menyebabkan parti itu terus merudum dan mereka akan menggelonsor bersama-sama.  Perkauman adalah satu alasan yang terpahat di minda rakyat untuk cepat bertindak kerana kegusaran. Tetapi isu ketakutan seperti ini tidak lagi relevan dalam percaturan keadilan dan demokrasi. 

Seluruh kepimpinan BN berada di Lunas untuk memancing undi. Kecuali Perdana Menteri semua kroni termasuk Jeffrey Kittingan daripada Sabah dan Muhammad Taib  daripada Selangor  telah muncul untuk turut membantu.  Namun, kalau dua insan yang disebut ini dijadikan lambang penilaian  kredibiliti BN, maka masa depan Barisan Alternatif akan menjanjikan sesuatu yang sungguh bersinar. BN memang mempunyai semuanya melainkan kredibiliti. Mereka telah menggunakan media  untuk menghentam  Barisan Alternatif dengan segala tipu muslihat yang terdaya. Mereka sengaja menyelewengkan kenyataan Wan Azizah dengan memperlekehkan  politik etnik sebagai usaha untuk mempengaruhi pengundi India di
Lunas.

Segala kerja kuat yang dilakukan oleh para sukarelawan BA, keazaman mereka dan kewibawaan mereka telah meraih kejayaannya di Lunas. Ini bukannya  usaha persendirian PAS, DAP, PRM ataupun Keadilan. Ini adalah kejayaan usaha bersama  dalam satu keazaman untuk menegakkan keadilan dan demokrasi yang menjadi perhitungannya. Ini sebabnya BN mahukan Anwar Ibrahim terus dipenjarakan. Kalaulah dia turut serta berkempen, BN tentu dihenyak kekalahan dengan majoriti yang lebih  besar.

Hakikatnya, BN ataupun UMNO tidak mempunyai seorang individu yang dapat menandingi Saudara Anwar untuk memimpin sebuah parti ketika menghadapi pilihanraya.  Negara ini sedang mencari seorang ahli politik  yang jujur dan bersahaja dan yang tidak dipengaruhi oleh segala kemewahan politik. Pencarian ini  masih terbuka lagi. Kepimpinan BA sedang mencuba corak politik ini untuk mewujudkan keadilan dalam  satu sistem demokrasi yang luas di Malaysia.  Lunas sudah menyerlahkan perasaan para pengundi. BN boleh mengubah undang-undang pilihanraya  dan terus menyekat pihak pembangkang tanpa membetulkan kelemahan mereka. Semua itu akan memperkuatkan strategi BA lagi.

BA hanya perlu gusar kalau BN melakukan perubahan  dari dalam parti. Selagi BN terus berlagak tuli, bisu dan buta, Barisan Alternatif masih punya banyak usaha lagi. Inilah paradoks di mana Mahathir memberikan ruang yang luas untuk BA terus menyinar sedangkan BN terus dihambat keresahan yang semakin menyerlah.

Sepatutnya Mahathir pergi bercuti ke Jepun  menziarahi kawannya  Fujimori, bekas pemimpin Peru, untuk mendapatkan nasihat mengenai  dasar ciptaannya yang berkaitan dengan "Pandang ke Timor".


-Sadirah K-
Disember, 2000.

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter