minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG150

TAUFAN LUNAS
(MGG: The Lunas Typhoon)

Catatan:  Artikel asal ada di Harakah terkini (20 Ramdahan-5 Syawal 1421). Muka surat 15.

Taufan politik yang mengganyang sebuah pekan kecil di Kedah pada 29hb November telah  menghancurkan ketenteraman Barisan Nasional. Sebelum ini wakil MIC  dalam Dewan Undangan Negeri  telah mati dibunuh  bulan yang lalu. Kerana itu satu pilihanraya kecil telah dipercepatkan di situ sebelum bulan Ramadhan lama berlabuh, sebagai satu helah untuk menyulitkan usaha pihak pembangkang.  Penamaan calon ditetapkan pada 21 November, dan pengundian dilaksanakan  lapan hari kemudiannya.

BN mempunyai anggapan bahawa kerusi Lunas adalah satu kerusi yang selamat  kerana ia telah menguasainya sejak 42 tahun yang lalu. Justeru itu kalau diletakkan seekor keldai pun kemenangan dikira sebagai sesuatu yang sudah pasti. Itu sebabnya  seorang ahli  MIC, S. Anthonysamy telah dipilih  sebagai calon. Ketokohannya terletak kepada  persahabatannya dengan presiden parti  dan kerana kedua ibu dan bapanya  pernah bekerja  di kawasan itu. Anggapan begini telah membutakan BN kepada kemunculan taufan yang sedang melanda  dunia politik orang Melayu. Kerana itu juga mereka tidak sedar  betapa pihak pembangkang sengaja memilih seorang ahli Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail sebagai calon mereka di situ.


Apabila taufan itu datang  melanda, ia telah memusnahkan apa juga yang berada di lorong BN yang menunggunya. Saifuddin menang di situ kerana corak kempen  BN yang tidak menentu hasil tidak berfikir panjang dan cuma bermegah dengan menghamburkan wang  membiayai  para petugas yang tidak mampu menjawab soalan para pengundi yang tegas. Sebaik sahaja kempen dimulakan ia bertukar rupa menjadi satu konfrontasi  proksi di antara dua insan: presiden parti  Mahathir Mohammad yang juga menjadi perdana menteri, dan Anwar Ibrahim seorang yang dianggap sebagai musuh ketatnya sampai mati. Bumi dunia politik Melayu pun bergoncang kerana sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin berkurangan. BN sebenarnya adalah bersamaan dengan UMNO, sebuah parti politik yang menguasai kerajaan dan sekaligus menerajui semua aktiviti politik negara ini.


Itulah gambaran yang nyata pada 2 September 1998. Pada hari itu  Perdana Menteri Mahathir telah melakukan satu kesilapan besar kerana tanpa berfikir panjang dia bertindak bahawa timbalannya mesti diterajang. Lapan belas hari kemudiannya, Anwar Ibrahim telah ditahan dan dibaham sehingga lumat  badannya dan lebam matanya. Kemudian dia dikenakan tuduhan dan dibicarakan untuk dihukum kerana tuduhan s####y dan korupsi. Pengadilan terhadap semua tuduhan itu mengajar  rakyat marhaen betapa jenayah yang dilakukan sebenarnya bukanlah seperti yang dituduh tetapi kerana  dia dianggap tidak setia dan menderhaka. Dr. Mahathir telah melanggar satu hukum etika budaya Melayu yang diwarisi turun-temurun; bahawa seseorang ketua itu boleh dimusnahkan tetapi tidak boleh diaibkan. Kesannya beralihlah sokongan orang Melayu secara menderu-deru. UMNO menjadi tempang dan begitu juga BN yang dikuasainya selama ini. Musibah ini terus juga terpalit kepada  rakan parti politiknya seperti MCA, MIC dan Gerakan.


Semua ini menjadi satu pertembungan di Lunas. Ia memburukkan lagi kedudukan UMNO yang sebelum ini dihenyak  oleh sokongan Melayu pada pemilu 1999 yang lalu. Ketika  itu BN menang dengan  merangkul empat per lima  daripada semua kerusi parlimen yang dipertandingkan. Tetapi, hampir semua kerusi yang mempunyai majoriti undi Melayu yang dimenangi itu menunjukkan bahawa sokongan Melayu  terhadap BN sudah jauh berkurangan. Fenomena ini  terus menyerlah dalam tiga pilihanraya kecil yang menyusul kemudiannya. Di Lunas, faktor yang sama diperakukan. BN telah mengabaikan kawasan pengundi Melayu yang mempunyai  undi majoriti 43 persen. Tumpuan dipusatkan kepada pengundi Cina dan India. Tetapi, masyarakat Cina sedang bergolak. Mereka merasa jengkel kerana dituduh derhaka dan lebih teruk lagi kerana enggan menerima saranan terhadap konsep Sekolah Wawasan.  Bukannya mereka enggan sebenarnya, cuma mahukan penjelasan lagi kerana konsep itu tidak meyakinkan mereka setelah melihat betapa Menteri Pendidikan pun masih samar mengenai konsepnya. Taktik ini sebaliknya menghenyak BN kerana BN cuba menyelesaikan masalah sekolah wawasan itu dengan menyerang orang Cina. Taktik ini sebenarnya bertujuan untuk mendapatkan balik pengaruh  pihak yang telah menarik sokongan mereka.


Sebaliknya yang telah berlaku. Masyarakat Cina naik berang lagi. Undi Cina menjadi terancam kerana mereka merasa tersinggung apabila Mahathir menuduh  para pendidik Cina sebagai kumpulan yang menderhaka. MCA yang menyokong konsep Sekolah Wawasan itu menjadi termanggu kerana tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.  Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa cuba menenangkan keadaan yang tertekan itu. Tetapi, usahanya sudah terlambat. Konsep  sekolah wawasan itu semakin bercelaru. Dia mengumumkan bahawa konsep itu tidaklah  menjadi satu kemestian. Namun, Dr. Mahathir terus celupar  dan menuduh orang Cina sebagai  penderhaka dan tidak tahu bersyukur juga. Inilah yang mencuit perasaan orang Cina di Lunas.


Undi masyarakat India sengaja diperlekehkan.  Undi India itu dianggap laksana peti simpanan deposit  untuk BN. Tetapi anggapan itu ada kebenarannya kalau undi India  merupakan undi penentu. Yang sebenarnya  undi orang Cinalah sebagai penentu, sedangkan mereka bersikap tidak memihak kepada sesiapa.  Pengundi Melayu mahukan jawapan yang tidak boleh diselesaikan oleh Mahathir ataupun orang UMNO. Lunas sudah dijadikan satu perang proksi di antara Mahathir dan Anwar Ibrahim. Seperti lazimnya BN telah menayangkan gambar Dr. Mahathir  di merata tempat dan di sinilah letaknya kesilapan strategi kempen mereka.  Mahathir merupakan punca  kemarahan orang Melayu kerana kezalimannya terhadap Anwar.  Gambar Anwar yang berwarna-warni dengan matanya yang lebam membuatkan para petugas UMNO semakin susah hati.


Timbalan Perdana Menteri muncul di Lunas tanpa sambutan permaidani merah. Pernah berlaku selepas solat Jumaat, seorang anggota polis telah menepis tangan Menteri Hamid Othman  yang menghulurkannya  untuk bersalam. Inilah gambaran sambutan orang Melayu terhadap BN di Lunas. Kerana itu pihak pembangkang merasa selesa berkempen di kalangan masyarakat Melayu. Pernah terjadi pula bila Dr. Mahathir tidak jadi muncul di satu majlis berucap kepada rakyat. Sekali lagi rakyat berdebat mengenai watak seorang pemimpin yang enggan hadir dengan seorang lagi yang memang  tidak boleh hadir. Di waktu yang sama, menteri-menteri Cina tidak mampu membincangkan  isu hangat dengan masyarakat kaumnya.

Tiba-tiba BN menjadi gelabah di Lunas. Tempoh kempen selama lapan hari itu didapati tidak mencukupi. Pihak pembangkang yang memang  biasa  dengan kepedihan berkempen secara kilat, menjalankan aktiviti mereka mengikut keupayaan yang terdaya. Mereka ketepikan  dunia luar dan menumpukan kempen secara lisan dengan menggunakan  keaiban Anwar dengan berkesan. Begitu juga dengan isu kempen yang lain yang tidak mampu di jawab secara berkesan oleh pihak UMNO dan BN. Mereka berjaya dengan usaha itu.

Dalam setiap pilihanraya, pelbagai isu  muncul. Ada yang patut ditimbulkan, ada juga yang tidak relevan langsung. Pihak pembangkang telah menumpukan  terhadap beberapa isu yang dapat dipertahankannya dan dicanang secara bertubi-tubi.

Taktik BN bermula dengan  kisah perpecahan dalam pihak Barisan Alternatif. Isu ini menjadi tumpul apabila DAP kembali berkempen dengan BA di hari-hari terakhir tempoh berkempen. Ini membuatkan BN  bertegas bahawa hanya calonnya yang mampu membantu dan menjadi wakil penduduk Lunas. Tetapi rekod prestasi BN di Lunas adalah sesuatu yang tidak membanggakan. Selama 42 tahun berkhidmat di situ, BN tidak berjaya membantu rakyat Lunas. Inilah kesilapannya lagi. Ia cuba memujuk, mendera dan mengugut  para pengundi dengan cara menayangkan barisan menteri kabinet, menteri besar  dan pemimpin parti yang tidak mengindahkan pendapat  orang UMNO tempatan. Kerana itu, walaupun Abdullah Badawi gigih berkempen dia tidak mampu bersemuka dengan taufan yang datang melanda.


Sebagai Menteri Kerja Raya, Samy Vellu telah menggunakan kuasa yang ada padanya untuk  mengumumkan pelancaran beberapa projek. Seseorang menteri memang mempunyai kuasa untuk meluluskan projek secara peribadinya setakat RM5 juta sahaja. Kalau anda perhatikan betul-betul, setiap projek yang dilaksanakan itu adalah berharga sebanyak itu. Hampir  semua projek itu pergi kepada hanya seorang insan yang bernama Aziz Sikh Fadzir. Beliau ialah timbalan ketua pemuda UMNO dan adik kepada Menteri Budaya dan Pelancungan, Abdul Kadir Sikh Fadzir. Saya difahamkan kerja-kerja itu sudah berkurangan sebaik sahaja BN kalah.


Kini muncul pelbagai soalan bagaimanakah Abdul Aziz Sikh menjadi penerima terbesar  kemewahan yang ada. Muncul kini kapak algojo untuk mencari mangsanya. Yang lebih mengaibkan ialah apabila semua pemimpin yang  berlagak angkuh  itu  bingkas meninggalkan Lunas sebaik sahaja diketahui mereka kalah pilihan raya kecil itu. Mereka cabut lari hanya beberapa jam sebelum keputusan  kekalahan mereka  diketahui. Tinggallah Kadir sendirian ketika keputusan itu diumumkan.


Akhirnya, Saifuddin Nasution Ismail mengalahkan S.Anthonysamy. Majoriti  kemenangan BN sebanyak 5,000 yang dimenangi tahun yang lalu  kini bertukar menjadi kemenangan BA dengan majoriti 530 undi. Kalau trend ini berlaku dalam pilihanraya umum ini bermakna kerajaan yang ada pun boleh tewas. Kesannya lebih bermakna lagi. BN kalah suara dua pertiga di negeri itu. Kesan ini amat penting  kerana Kerajaan yang memerintah negeri itu memerlukan  dua pertiga kerusi untuk kuat berkuasa. Majoriti mudah (simple majority) tidak boleh diambil kira. Secara langsung, Lunas telah memperakukan apa yang dijangka sebelum itu. Berlakulah sudah peralihan sokongan orang Melayu terhadap UMNO.

Tetapi, banyak lagi yang akan berlaku. Di masa hadapan kalau ada pilihanraya kecil di kawasan yang terdapat  majoriti pengundi Melayu digunakan oleh pihak BA untuk mencalonkan seorang bukan Melayu bertanding di situ dan mampu  mengalahkan BN, ia bererti berakhirnya maruah  UMNO. Begitu juga dengan maruah Mahathir.

Lunas membukitkan betapa orang Melayu tidak lagi  mempunyai kesetiaan terhadap Mahathir apatah lagi terhadap UMNO yang dipimpinnya. UMNO dan juga Mahathir sedang dihantui oleh bayangan Anwar walaupun dia masih lagi berada di penjara Sungai Buluh. Lagi kerap UMNO mengulang-ulang episod Mei 13 dan juga penderhakaan orang Cina, lagi cepat parti itu akan dipinggirkan. Soalannya sekarang UMNO masih lagi membangkitkan isu perkauman dan keagamaan.  Sikap begini tidak pula dilakukan oleh Barisan Alternatif, walaupun kita diberitahu oleh BN bahawa mereka berbuat demikian juga. Semua ancaman ini dicetuskan oleh pemimpin UMNO. Inilah yang menggugat pengaruhnya di kalangan masyarakat Cina.


Pada 1999, sokongan padu masyarakat Cina  telah menyelamatkan BN. Setahun kemudiannya berlaku pula konfrontasi di antara mereka. Pengundi India memang tidak relevan dan  dipinggirkan.  UMNO tidak mampu bergantung kepada pengundi Melayu lagi. Proses meminggirkan UMNO dan BN oleh orang Melayu yang membuatkan  BN dan UMNO lebih bersifat perkauman daripada yang sepatutnya. Nasib malang BN dan UMNO tidak akan tamat semudah yang disangka. Apatah lagi kalau strategi haprak digunakan untuk menyelesaikannya.


-MGG Pillai-
8.12.2000.

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter