minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Sekolah Wawasan atau Sekolah Was-wasan

Semasa kempen pilihan raya di Lunas, kerajaan Barisan Nasional memberi penjelasan dan cuba mahu menyakinkan kepada orang Cina bahawa identiti Sekolah Cina tidak akan terhapus dan dijamin oleh kerajaan. Namun, orang Cina masih was-was terhadap jaminan kerajaan bahawa tiada agenda tersembunyi disebalik penubuhan sekolah wawasan. Matlamat utama penubuhan sekolah wawasan ialah mewujudkan perpaduan diantara kaum Melayu, Cina dan India. Saya rasa belum terlambat lagi untuk mengetahui sama ada kerajaan berbohong atau tidak dalam isu ini.

Untuk mengetahui sama ada kerajaan serius dalam usaha untuk mencapai integrasi antara pelbagai kaum di Malaysia, saya ada satu cara yang membuktikan bahawa kerajaan berbohong terutamanya kepada orang Cina dan orang India iaitu kepimpinan melalui teladan. Konsep ini telah dilancarkan oleh Mahathir pada 19 Mac 1983. Matlamat kempen ialah menanam dan memupuk ciri-ciri kepimpinan yang baik untuk dicontohi oleh masyarakat. Tiga teladan yang harus dicontohi ialah bersih, cekap dan amanah. Pemimpin-pemimpin kerajaan dan juga pegawai kerajaan hendaklah memberi contoh kepada masyarakat dengan mempunyai ciri-ciri seperti berhemah tinggi, tidak angkuh atau sombong, tidak mementingkan diri, menjalankan tugas dengan ikhlas, tidak korup, tidak menyalah gunakan kuasa, jujur dan lain-lain.

Adakah pemimpin-pemimpin seperti Dr Mahathir, Abdul Aziz, Khir Toyo, TV3 dan akhbar Utusan Meloya mempunyai ciri-ciri di atas? Bagaimanakah kerajaan mahu menyakinkan orang Cina mengenai konsep sekolah wawasan jika kenyataan Dr Mahathir yang jelas menimbulkan keraguan dan kemarahan kepada kaum Cina. Contohnya ialah “what they want to have is education in China. Everything must be completely Chinese. But this is Malaysia. In this country the Chinese, Malays and Indians have lived together, worked together. If it is in China, by all means do it.” Mahathir memburukkan lagi keadaan dengan menyamakan Dong Jiao Zong sebagai ekstremis atau pelampau. Ini menambahkan lagi kemarahan orang Cina terhadapnya.

Kenapa Dr Mahathir marah-marah kepada Dong Jiao Zong yang menolak konsep Sekolah Wawasan? Ini jelas menunjukkan Mahathir tidak ikhlas dan jujur dalam hal ini. Kalau pemimpin seperti Perdana Menteri Dr Mahathir tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikan, adakah orang Cina akan percaya kepada Mahathir? Inikah ciri-ciri kepimpinan melalui teladan yang ditonjolkan oleh Mahathir? Adakah dia sudah lupa mengenai kempen yang telah dilancarkannya 17 tahun yang lepas. Oleh itu tidak hairan orang Cina menolak konsep sekolah wawasan. Bagaimana orang Cina mahu menerima konsep ini jika pemimpin kerajaan seperti Dr Mahathir tidak menghormati  dan sensitif kepada kaum Cina serta tidak mahu menerima alasan DJZ menolak konsep sekolah wawasan.

Adakah anda masih ingat dakwaan Mahathir mengenai letupan bom berlaku di kuil Hindu dan kilang Carlsberg yang dilakukan oleh Al-Ma’unah? Kenapa pihak polis tidak mengesahkan kejadian itu benar-benar berlaku. Setahu saya tiada laporan polis ditunjukkan kepada orang ramai. Kalau begitu saya boleh mengatakan kejadian letupan itu tidak pernah berlaku dan ia adalah satu pembohongan besar Mahathir. Mahathir memang pandai berbohong. Inilah sikap pemimpin yang tidak menghormati orang India. Mahathir sanggup bermain api perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang serius demi mencapai matlamat peribadinya. Malangnya orang India tidak terfikir hal ini, mereka telah membuat keputusan yang silap iaitu majoriti orang India pilih BN di Lunas.  Bagaimana Mahathir mahu mengajak masyarakat bersatu padu sedangkan dia mahu perpecahan kaum berlaku?

Kalau kerajaan serius mengenai konsep sekolah wawasan, pemimpin-pemimpin kerajaan hendaklah memberi teladan kepada masyarakat bahawa mereka bersatu-padu dan tidak mempunyai syak wasangka diantara satu sama lain. Dr Mahathir hendaklah memberhentikan sikap buruknya yang suka mengulang-ulang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum seperti mengungkitkan tragedi 13 Mei. Ling Liong Sik juga hendaklah memberhentikan sikap buruknya yang suka menakut-nakutkan orang Cina mengenai pengaruh Pas yang dikatakan ekstremis dan fanatik terhadap Islam. TV3 dan Utusan Meloya juga dinasihatkan supaya tidak membicarakan isu-isu yang menyinggung perasaan pelbagai kaum. Pemimpin-pemimpin lain dinasihatkan supaya tidak mencontohi sikap buruk Khir Toyo (mandi darah) dan Abdul Aziz.

Bagaimanakah konsep sekolah wawasan akan berjaya mencapai matlamat jika pemimpin-pemimpin kerajaan dan media tidak memberi contoh yang baik kepada masyarakat? Ada pihak berpendapat jika kerajaan serius mengenai integrasi pelbagai kaum, parti-parti kerajaan Barisan Nasional hendaklah bergabung dan boleh disertai oleh pelbagai kaum. Idea ini adalah baik tapi ia sukar dilaksanakan. Persoalannya ialah jika Barisan Nasional terdiri daripada parti-parti yang disertai oleh kaum-kaum tertentu, ia memberi makna bahawa jika pemimpin-pemimpin tidak sanggup bersatu yakni berada dalam satu parti tunggal yang disertai oleh pelbagai kaum, bagaimana kerajaan mahu memupuk perpaduan kaum dan seterusnya mewujudkan bangsa Malaysia? Adakah bangsa Malaysia akan tercapai jika masih terdapat komponen parti-parti Barisan Nasional yang disertai oleh kaum-kaum tertentu?

Pada pendapat saya, masyarakat mengikut apa yang pemimpin-pemimpin kerajaan buat. Jika pemimpin-pemimpin tidak menunjukkan sikap toleransi dan bertolak-ansur diantara pelbagai kaum, masyarakat juga akan terikut apa yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kerajaan. Sebab itulah kempen kepimpinan melalui teladan dilancarkan. Pemimpin-pemimpin mempunyai pengaruh yang besar yang boleh mencorakkan jenis masyarakat yang akan terbentuk. Jika pemimpin UMNO, MCA, MIC dan lain-lain tidak bersatu-padu dan menghormati diantara satu sama lain, masyarakat pun akan terikut sama. Malangnya kempen kepimpinan melalui teladan yang baik ini tidak diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan menjadi hangat-hangat taik ayam.

Ia juga sama seperti ibu bapa yang mempunyai sikap buruk, kemungkinan besar anak-anak akan terpengaruh dan terikut sama perangai buruk yang ditonjolkan oleh ibu bapa. Secara kesimpulannya jika kerajaan benar-benar iklhas mahu mewujudkan perpaduan diantara pelbagai kaum, pemimpin-pemimpin kerajaan terlebih dahulu hendaklah memberi contoh yang baik kepada masyarakat. Jika tiada satu parti tunggal Barisan Nasional terbentuk bagi menunjukkan keikhlasan kerajaan mencapai integrasi kaum, sekurang-kurangnya saya tidak mahu pemimpin-pemimpin kerajaan dan media masih mengungkitkan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan kaum.

Saya meminta kerajaan mesti membuktikan keikhlasan kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan dengan mengambil tindakan keatas Dr Mahathir, Khir Toyo, Abdul Aziz, TV3 dan akhbar Utusan Meloya kerana menyinggung perasaan kaum Cina. Jika kerajaan gagal melakukannya, ia bermakna  kerajaan tidak mahu perpaduan wujud. Permintaan saya adalah serius dan tidak boleh dibuat main-main. Ini adalah peluang terbaik untuk kerajaan jika kerajaan ikhlas dalam menjayakan konsep sekolah wawasan, kerajaan atau pihak polis hendaklah mengambil tindakan menahan mereka di atas. Jikalau tidak, ia bermakna sekolah wawasan akan menjadi sekolah was-wasan.

LTL

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter