Laporan berita Utusan Meloya semakin meloyakan
Sudah seminggu
rencana yang bertajuk “Politik orang Cina di Lunas” disiarkan diakhbar ini. Rencana
ini mendapat kritikan hebat terutamanya daripada DAP kerana isi kandungan rencana itu
mempertikaikan kesetiaan orang Cina kepada Barisan Nasional. Lim Kit Siang meminta Utusan
Meloya memohon maaf secara terbuka kepada orang Cina kerana tergamak mencetuskan
ketegangan antara kaum di Malaysia.
Di sini saya memetik dua perenggan dari rencana
hasil tulisan Rozaman Ismail PILIHAN raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas
yang berakhir semalam menimbulkan satu persoalan menarik: Adakah pengundi berketurunan
Cina di negara ini sudah tidak boleh dipercayai lagi?
"Melihat kepada keputusan
dan jumlah undi yang diperoleh oleh Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan
Nasional (Keadilan) khususnya di kawasan majoriti pengundi Cina, jawapan yang paling tepat
ialah 'benar.'
Utusan Meloya dan juga kerajaan tidak boleh mempersoalkan
kepercayaan orang Cina. Orang Cina seperti kaum-kaum yang lain mempunyai hak untuk memilih
parti mana yang mereka suka. Kenyataan di atas seolah-olah berbunyi bahawa orang Cina
dimestikan atau diwajibkan memilih Barisan Nasional. Kalau kaum Cina tidak pilih Barisan
Nasional, mereka dilabel sebagai tidak patriotik dan tidak setia kepada Barisan Nasional.
Ini adalah melampau. Sebab itulah saya mengatakan laporan berita akhbar Utusan Meloya
semakin menjijikkan. Utusan Meloya tidak menghormati keputusan pengundi Cina di Lunas yang
memilih parti pembangkang.
Saya memuji kematangan orang Cina yang bijak membuat
keputusan bahawa orang Cina tidak mahu lagi diperbodohkan dan dipergunakan oleh Dr
Mahathir untuk kepentingan peribadinya sendiri. Sekarang kaum Cina sudah tahu perwatakan
Mahathir yang buruk yang jelas tidak sensitif kepada kaum yang telah menyelamatkannya
dalam pemilu 1999. Tanpa bantuan kaum Cina, sudah tentu Barisan Nasional akan mengalami
kekalahan yang lebih teruk.
Saya mahu mengatakan sebenarnya Utusan Meloya, Mahathir
dan Barisan Nasional sudah tidak boleh dipercayai lagi. Saya ingin memberi perhatian
kepada Utusan Meloya kerana rencana ini berkaitan dengan akhbar itu. Akhbar ini tidak
mempunyai etika kewartawanan. Akhbar ini memang pandai memutar-belitkan fakta benar dan
merupakan pentas utama memainkan sandiwara kerajaan Barisan Nasional. Segala pembohongan
dan penyelewengan dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Utusan Meloya memainkan
peranan utama memainkan sandiwara seperti hak istimewa orang Melayu, rampasan senjata
Al-Ma’unah dan burukkan Mahathir dan negara. Sebelum ini, akhbar ini mengkritik hebat
orang Melayu yang sudah menolak dan tidak percaya lagi kepada parti UMNO@BN. Orang Melayu
dikritik kerana tidak bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah banyak
membantu orang Melayu. Lebih menghinakan akhbar ini tergamak mempersoalkan sentimen orang
Cina. Orang Cina pula menjadi sasaran seterusnya kritikan tidak bermaruah daripada akhbar
ini. Apabila orang Cina tidak pilih BN, kaum ini juga tidak terlepas menerima kritikan
pedas daripada akhbar yang sangat meloyakan. Konsep bersyukur dan berterima kasih
juga terbawa-bawa kepada orang Cina.
Laporan polis mengenai rencana yang tidak
bertanggungjawab telah dibuat oleh DAP Selangor. Kita mahu lihat apakah tindakan polis
selanjutnya. Apakah polis akan bertindak ke atas Utusan Meloya dengan menggunakan Akta
Hasutan (Sedition Act)? Sudah seminggu rencana ini disiarkan namun akhbar ini yang
mendapat perlindungan daripada UMNO, masih belum lagi ada tanda-tanda akan memohon maaf
secara terbuka kepada oang Cina.
LTL