minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MASA DEPAN UMNO: GELAP ATAU TERANG BENDERANG?

Oleh: Salman Madani

Pengamat politik yang  rasional dan tidak berpihak barangkali sukar menyetujui   tajuk tulisan Abdullah Ahmad  dalam Utusan Malaysia 6 Disember 2000  bahawa masa depan UMNO adalah terang benderang.

Sebenarnya  pukulan yang diterima oleh UMNO sebagai kesan daripada "isu Anwar" adalah terlalu teruk.

UMNO mungkin telah kehilangan antara  satu pertiga hingga setengah daripada ahlinya dengan penubuhan Parti Keadilan.

Sokongan orang Melayu terhadap UMNO dan BN  pula mungkin hanya tinggal kira-kira 40% atau kurang dalam pilihan raya  umum tahun 1999.

Kebencian  sebahagian besar orang Melayu terhadap UMNO dan pucuk pimpinannya pula akan   berterusan, dan mungkin meningkat, sekiranya Mahathir mahu terus menjadi Presiden UMNO dan PM seumur hidup.

Oleh itu,  dalam jangka masa yang terdekat, khasnya selagi Mahathir  masih  menerajui parti itu dan kerajaan,  saya lebih suka  menduga bahawa masa depan UMNO adalah semakin malap,  bukannya terang  benderang.

Bagaimanapun,  saya kira ada beberapa faktor  yang melambatkan berlakunya zaman gelap UMNO, kecuali jika  parti  pembangkang dapat menanganinya dengan bijak dan berkesan.

Pertama, mitos yang  telah tertanam dalam pemikiran sebahagian orang  Melayu bahawa UMNO  adalah  parti politik yang tunggal yang boleh mewakili dan memperjuangkan kepentingan orang Melayu. UMNO dikatakan   telah banyak berjasa kepada orang Melayu: dari mencapai kemerdekaan hinggalah membawa pembangunan. Jadi hancur UMNO, hancurlah orang Melayu. Sebaliknya, orang Melayu akan terus maju, sekiranya UMNO juga terus  kuat dan maju.

Kedua, sikap kurang prihatin  atau tidak peduli di kalangan sebahagian orang Melayu  terhadap isu-isu nasional  yang merupakan manifestasi salah guna kuasa dan "kezaliman" pemimpin UMNO dan kerajaan, seperti  isu "wang ehsan",  penggunaan duit Petronas untuk menyelamatkan syarikat kroni Mahathir, dll. Walaupun isu ini sudah lama menjadi bahan ceramah  pemimpin PAS dll, tetapi sikap tidak peduli terhadap isu-isu ini sebenarnya masih  meluas di kalangan orang Melayu  kampung di negeri-negeri sebelah selatan  dan pantai barat. Bagi mereka isu-isu  tersebut  "terlalu jauh" dan tidak  ada kena mengena dengan kehidupan mereka sehari-hari.

Ketiga, faktor  perkauman dalam politik Malaysia yang berkaitan secara langsung   dengan keadaan masyarakat Malaysia  sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum. Kewujudan  faktor perkauman  ini adalah satu realiti, dan tidak boleh dinafikan atau disapu ke bawah tikar. Ini bermakna , selagi faktor perkauman ini wujud, setiap kaum  mungkin  hanya merasa selamat jika mereka mempunyai sebuah parti politik yang boleh  menjadi payung pelindung kepentingan mereka. Bagi orang Melayu,  khasnya pada masa yang lalu,  peranan ini telah dimainkan oleh UMNO. Pada masa ini, saya rasa sebahagian besar orang Melayu belum menerima PAS atau parti lain sebagai pengganti UMNO untuk memainkan  peranan ini.

Saya menduga,  masa depan UMNO mungkin akan cepat malap dan mungkin gelap, sekiranya   parti pembangkang berjaya mengatasi ketiga-tiga faktor ini dengan berkesan .  Akan tetapi, jika parti pembangkang lambat,  gagal atau tidak berjaya mengatasinya dengan berkesan, mungkin  UMNO hanya mengalami "zaman gerhana" sahaja. Adakah itu yang kita mahu?


 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter