MGG 147
Kabinet Negara Dan Rasuah
(MGG:
Corruption and The Cabinet)
Pada persidangan luar biasa UMNO bulan lalu, Perdana
Menteri telah berucap mengenai rasuah. Hadirin menguap sampai nak keluar ludah.
Serangannya terhadap politik wang telah memperlekehkan kepentingan amalan itu di
kalangan UMNO, Barisan Nasional dan juga dalam kerajaan. Apatah lagi dalam kabinet.
Inilah krisis yang paling besar yang melanda semua institusi ini. Namun dia tidak pun
bertindak menyelesaikannya. Dia cuma mengharapkan semua orang mematuhi arahannya
agar tidak bergelumang dalam amalan itu. Tetapi, berapa mudahkan anda mendapatkan
dokumen rasmi kerajaan tanpa dikenakan bayaran yang tidak diwartakan? Ramai
yang memberitahu, kalau enggan membayar sesuatu, anda harus sanggup tertunggu-tunggu.
Keadaan begini bukan satu rahsia lagi, sehinggakan anda sendiri merasakan perlu menyogok
pegawai yang memang bersedia untuk melecehkan kerjanya. Jika tidak, anda terpaksa
menunggu sambil membuang masa. Kalau kita lihat di peringkat atas lagi kita akan dapati
betapa amalan rasuah semakin meluas dan semakin dilindungi. Menteri Perdagangan
dan Industri, Rafidah Aziz telah menunjukkan mukanya di Lunas untuk menafikan yang dia
seorang yang kuat rasuah. Malahan dia sanggup mengatakan bawa dia adalah insan yang
tidak suka dengan rasuah. Tetapi, dia sanggup menyaman sesiapa yang menuduhnya begitu.
Di waktu yang sama dia tidak mahu sesiapa, terutamanya pihak pembangkang
menimbulkan isu itu. Kalau dia mahu menjaga maruah dirinya, dia sepatutnya
bertindak agar berita palsu itu tidak beredar lagi, kalaulah berita itu betul-betul
palsu. Dalam hal ini tentu dia mampu memberi penjelasan bagaimana menantu lelakinya
diberikan permit AP (Approval Permit) untuk mengimpot kereta luar negara dengan
nilai RM1.5 setiap bulan di pasaran terbuka? Bolehkah Menteri Kerja Raya beri penjelasan
bagaimana dia boleh memberikan kerja-kerja sebahagian besar kontrak di Lunas
hanya kepada seorang pemborong sahaja?
Untuk memisahkan rasuah daripada kabinet negara
adalah laksana satu kerja yang sukar dalam memisahkan badan dua kembar Siam. Yang
seorang bergantung kepada kembarnya yang satu lagi. Beberapa tahun yang lalu, seorang
setiausaha politik kepada seorang menteri kabinet telah membeli beberapa
buah kereta yang bernilai RM 2 juta. Nilai pembelian itu bersamaan dengan 2,000 kali
ganda gaji bulanannya. Ini tidak termasuk lagi segala imbuhannya seperti yang
pernah diungkitkan oleh Perdana Menteri. Beliau telah merungut betapa kecil gajinya
sebanyak RM16,000 setiap bulan itu. Tetapi dia tidak pula mengambil kira segala imbuhan
dan keselesaan yang dinikmatinya. Contohnya ialah sebuah rumah kediamannya yang
mempunyai empat bilik sahaja, tetapi mempunyai anjung yang merupakan sebuah istana
dengan 400 kamarnya. Dua menteri kabinet telah membeli kereta Porsche yang
bernilai RM1.7 (setiap satu), dan memperagakannya tanpa segan silu. Seorang menteri
kabinet telah menyatakan bahawa dia mempunyai aset bernilai USD$200 juta. Itu pun
sebahagian sahaja yang diumumkan. Seorang menteri lagi mempunyai seorang anak yang dapat
pinjaman bank bernilai RM1.2 bilion untuk membina satu empayar yang akhirnya meniru
ramai lagi peniaga golongan Malaysia Inc. Seperti mereka juga anaknya ini hampir muflis
dan semakin pening. Seorang lagi menteri begitu berkuasa dan berpengaruh kerana
dia mampu menguasai turun naik hampir tujuh puluh peratus kaunter saham di Bursa Saham
Kuala Lumpur.
Badan Pencegah Rasuah Negara (BPR) kerap melakukan
siasatan terhadap menteri kabinet, hakim-hakim, pegawai tinggi polis,
menteri besar dan sebagainya. Peliknya, fail siasatan itu kerap ditutup begitu saja.
Ketua Peguam Negara tidak mahu bertindak, seperti juga pihak kerajaan. Namun, menteri
yang disiasat itu akan melaungkan ke seluruh dunia betapa dia didapati bersih.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, sebelum dia disingkir untuk
dipenjarakan, pernah mengemukakan satu senarai panjang mengenai rasuah, lengkap
dengan segala buktinya. Tetapi, BPR dan juga kerajaan yang kerap menunjukkan usaha
menumpaskan gejala itu telah mengusahakan pula rencana khas untuk menentukan beliau
terus dipenjara sepanjang hayatnya. Saya kenal ramai ahli perniagaan yang
menghantar cenderahati yang mahal-mahal harganya kepada isteri Pak Menteri yang
memberikan pelbagai peluang perniagaan kepada mereka. Setidak-tidaknya ada seorang
peniaga terkenal yang masih mampu bernafas lega walaupun angin kemuflisan datang
melandanya. Konsep penswastaan (institusi) kerajaan bukannya bertujuan untuk memperbaiki
keadaan melalui pihak swasta. Tujuan sebenar ialah untuk memperkayakan para kroni,
penyokong, juak, dan ahli keluarga orang politik dalam kerajaan dan kabinet. Cara
mereka terus dimanjakan dengan kontrak tanpa tender ataupun dokumentasi yang
lengkap, sedangkan mereka gagal menyerlah dalam bidang kontrak itu, harus dianggap
sebagai satu perbuatan rasuah; tidak kiralah apa juga cara merahsiakan perkara
ini.
Inilah sebabnya tidak ramai menteri kabinet, menteri
besar dan pemimpin pentadbiran yang berani berhadapan dengan rakyat, terutama
sekali berdepan dengan pihak pembangkang ketika diadakan kempen pilihanraya.
Rasuah sudah mencengkam sistem yang ada, begitu dalam sekali sehinggakan setiap
benda itu ada harganya. Adalah tidak berbaloi menyuruh sesiapa yang mengkritik itu
mengemukakan barang-bukti. Bukti apa yang boleh ditonjolkan kalau amalan menyogok dan
menerima sogokan itu adalah bersalahan di segi undang-undang? Kalau si pemberi itu
membuat aduan, dia dan bukannya orang yang menerima sogokannya itu yang akhirnya
merengkok dalam penjara. Kalau kita mahu melakukan sesuatu, kita sanggup membayar
rasuah bukan disebabkan itu satu kemestian, tetapi kerana kita mahu menjimatkan masa
seandainya bayaran itu tidak dilakukan. Tidak guna kita memberitahu seseorang agar tidak
memberi rasuah dan dia harus melaporkannya kepada polis agar penerima rasuah
itu didedahkan. Saya kenal seorang menteri yang kini sudah tiada bernafas lagi.
Mendiang pernah mengadakan satu sidang akhbar untuk mendedahkan satu kes rasuah
hanya beberapa ketika setelah beliau menerima sogokan berjumlah RM500,000. Ketika itu
wang sebanyak itu memang tinggi nilainya.
Penguatkuasaan terhadap rasuah memang tidak wujud.
Undang-undang mengenainya adalah tidak bermakna selagi tidak ada penguasaannya. Menteri
Pengangkutan pernah mahu melancarkan tindakan terhadap merka yang
mengabaikan saman. Jumlah yang terbabit manjangkau beberapa ribu, banyaknya. Kalau saman
bertimbun setinggi itu, apakah yang dilakukan oleh pasukan penguatkuasa selama ini?
Kenapakah orang ramai memperlekehkan sahaja bayaran parking kereta? Dia sedar
bahawa kalau dia ditangkap pun ia berlaku selepas meletakkan keretanya sebanyak tiga
puluh hingga empat puluh kali tanpa membayarnya. Saman kompaun sebanyak RM10
adalah lebih murah lagi daripada harga membayar kos parking itu setiap kali. Peluang
ponteng itu adalah satu risiko yang boleh ditanggungi. Inilah kaedahnya yang dihadapi
oleh rakyat terhadap kerajaan, tanpa pengecualiannya. Kerajaan tidak boleh bertindak
tegas, kerana kebanyakan pegawai kerajaan di seluruh tahap pangkat (kecuali segelintir
sahaja) sengaja tidak mahu menolak sogokan rasuah. Ada satu affidavit ( berkaitan dengan
Vincent Tan, yang dicanangkan sebagai peniaga unggulan seantero dunia, dan Dato V.K.
Lingam peguam beliau yang pergi bersantai dengan Ketua Hakim Negara Tun Eusoff
Chin) yang mengatakan betapa peguam itu telah menyediakan surat pengadilan bagi pihak
anak guam yang telah diketahui oleh BPR. Badan pencegah rasuah itu tidak pun bertindak
dan keadaan itu tidak pula diselesaikan. Perkara semacam ini bukannya perkara
baru.
Kerajaan berura-ura membeli kapal selam. Berita harga
sogokan yang ditawarkan dan diterima pun mula menjelma. Rasuah semacam ini berlaku
ketika kerajaan selalu berkhutbah mengenai kejijikan rasuah. Perdana Menteri
memang bercakap benar mengenai bahaya rasuah itu. Saranan itu akan membawa makna
yang besar kalau dia boleh memberikan penjelasan bagaimanakah anak-anaknya dan
juga beberapa kroni diberikan projek penswastaan sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Bagaimana pula pembinaan hospital boleh dibahagi-bahagi di antara mereka sahaja?
Bagaimana pula kisahnya dengan seorang peniaga sengkek boleh diberikan projek membina
pengkalan kapal selam di Teluk Sepangar sedangkan orang yang sama lingkup ketika
membuat projek lain termasuk Empangan Bakun? Bagaimanakah seorang peniaga yang
rapat dengan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan boleh diberikan banyak lagi
kontrak yang mewah dan projek yang besar-besar setelah dia menunjukkan kegagalan
mengendalikan projek besar selama ini?
Rasuah sudah merupakan penyakit yang menghancurkan
kerajaan negara ini. Inilah yang menggugat keselamatan negara. Berapa ramaikah pendatang
asing yang muncul di Malaysia tanpa surat kebenaran dengan hanya menyogok orang
yang berkuasa sehinggakan ia menggugat keselamatan kita? Bolehkah rompakan
bersenjata semakin meninggi kalau rasuah dapat dibenteras seperti yang dimestikan?
Pekerja asing memang boleh dibawa masuk melalui saluran yang sah. Tetapi proses
birokrat mengenainya sungguh leceh sekali sehinggakan adalah lebih mudah
untuk melakukan melalui saluran sah yang memerlukan kita membayar sedikit premium.
Sekarang ini rasuah sudah menjadi satu amalan yang sebati sehinggakan kerajaan sudah
tidak mampu membendungnya. Kalau kepala sudah busuk apa lagi yang akan jadi kepada
badannya? Kalau kerajaan tidak bertindak segera untuk menangani masalah ini dengan
berkesan dan melakukan pembetulan walaupun menggunakan kekerasan, jabatan Perdana
Menteri pun akan terus tertekan. Pengundi yang tidak memberikan undi mereka kepada
kerajaan tentu sekali tidak menyenangi rasuah ini. Kos sara hidup semakin meninggi,
apatah lagi dengan rasuah dan tol serta bayaran yang dikenakan semakin naik lagi.
Eloklah kita berikan peluang kepada orang lain untuk memerintah dengan baik lagi.
Janganlah Perdana Menteri cuba mengingatkan kita agar tidak rasuah. Andalah yang
merelakan semua ini. Tibalah masanya untuk anda membuktikan yang anda betul-betul ikhlas
dengan saranan anda itu. Mulakanlah usaha ini dengan menyuruh semua menteri anda
mengisytiharkan segala harta yang mereka balun selama ini.
-MGG Pillai-
6 12.2000.
Diterjemahkan oleh MT