minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

DI ANTARA PAS, BARISAN ALTERNATIF DAN NEGARA ISLAM

Tulisan ini bukanlah untuk mempertikaikan apa yang diutarakan oleh Webmaster sendiri yang berjudul Akan Gugurkah Kewujudan Sebuah Negara Islam iaitu tentang kemungkinan PAS (terima kasih - webmaster) dapat atau tidak meneruskan cita-citanya untuk merealisasikan wujudnya sebuah negara Islam. Apa yang dibincangkan ada benarnya. Kewujudan Barisan Alternatif  banyak membantu perkembangan dakwah itu sendiri di samping PAS dapat menyampaikan dasar-dasarnya agar lebih difahami oleh rakan-rakan dalam barisan yang sama. Gerakan Reformasi yang pada mulanya terilham akibat tindakan-tindakan berbau politik terhadap DSAI sekalipun disahkan oleh mahkamah banyak menyumbang ke arah kemantapan gerakan Islam itu sendiri yang dipelupuri oleh PAS. Penyertaan sebahagian besar peserta-peserta reformasi dalam aktiviti-aktiviti PAS memberikan mereka kefahaman yang lebih tentang perjuangan sebenar parti itu  yang selama ini dimomok-momokkan oleh BN sebagai menyeleweng dan menyalahgunakan agama demi kepentingan parti. 

Di satu pihak,tuntutan Gerakan Reformasi sebenarnya hampir menyamai perjuangan PAS secara umumnya iaitu menuntut keadilan dilaksanakan di negara ini di samping menolak kezaliman, rasuah, kronisme dan berbagai lagi penyalahgunaan kuasa yang dijadikan amalan oleh BN selama mereka memerintah lebih empat puluh tahun itu. Tuntutan-tuntutan itu sebenarnya adalah sama dengan tuntutan Islam yang menjadi dasar PAS seperi yang tercatat dalam perlembagaannya. Dengan demikian gerakan reformasi sebenarnya membantu perkembangan dakwah itu sendiri yang sinonim dengan perjuangan PAS selama ini.

Begitulah juga tuntutan PRM dan DAP. Lim Kit Siang sendiri pernah mengatakan bahawa kita bukan sahaja inginkan keadilan dilaksanakan di negara ini, tetapi ia hendaklah kelihatan dilaksanakan. Tuntutan PRM juga adalah ke arah masyarakat yang lebih adil menyebabkan parti itu menghampiri PAS dari segi dasar perjuangannya sekalipun tidak dinyatakan ia adalah perjuangan Islam. Pada hakikatnya itu adalah sebahagian dari perjuangan Islam. Dengan begitu keahadiran bersama-sama dalam Barisan Alternatif itu sebenarnya amat membantu perjuangan parti PAS di samping memberi kefahaman yang jelas terhadap masyarakat tentang apakah perjuangan PAS sebenarnya. Hal ini telah pun disinggung oleh webmaster dalam tulisannya itu.

Tetapi apakah PAS dapat merealiasikan cita-citanya sedangkan rakan-rakan dalam BA itu sendiri mempunyai falsafah perjuangan yang berbeza dengan PAS, sekalipun matalamatnya hampir sama? Inilah satu persoalan yang memerlukan perbincangan yang lebih lanjut yang barangkali belum disentuh oleh lain-lain penulis . Tulisan ini juga tidak bermaksud untuk membincangkannya secara terperinci  kerana memandangkan persoalan tersebut memerlukan pengalaman dan pengetahuan yang lebih luas yang tidak dimiliki oleh penulis sendiri di samping hambatan-hambatan lain seperti soal masa, keluarga, tugas harian  dan sebagainya yang menyebabkan kajian mendalam tidak dapat dilakukan ke atasnya.

Mungkin webmaster atau sepertimana yang diharapkannya MT sendiri boleh melanjutkannya suatu hari nanti, sama-samalah kita mengharapkan dan mendoakannya agar diberi Allah kesempatan dan kelapangan yang sewajarnya.       

Perjuangan menegakkan negara Islam bukanlah sesuatu yang dapat dibayangkan dengan kata-kata. Proses untuk membina negara Islam memerlukan orang-orang yang berlainan sama sekali dengan orang-orang yang terbiasa dengan negara kebangsaan. Bahkan menurut S.A.Maududi, seorang tokoh gerakan Islam dari Jamaat Islami, seorang menteri yang pernah bertugas dalam negara yang bersifat nasional sekarang ini tidak akan layak untuk bertugas walaupun sebagai peon dalam sebuah negara Islam tulin. Pergerakan ke arah negara Islam memerlukan orang-orang yang bersih akidah, orang yang kuat akhlaknya di samping sebuah jamaah yang kuat yang menuju ke arah hala tuju yang satu (S.A.Maududi, The Process of Islamic Revolution ). 

Negara Islam adalah sebuah negara ideologi (?). Ia tidak dapat didukung oleh orang-orang yang tidak sealiran dengannya. Tetapi dari segi kerakyatannya ia boleh dihuni oleh sesiapa sahaja  yang bersetuju dengan sistem dan undang-undang negara Islam.Ia tidak semestinya seorang Islam. Proses Islamisasi bukan bermakna mengislamkan orang-orang di sekeliling kita. Islamisasi seperti yang sering diutarakan oleh Allahyarham Ismail AlFaruqi adalah satu proses pengislaman semula ke atas segala hal yang bertentangan dengan Islam seperti ilmu misalnya. Perkembangan  ilmu pengetahuan yang pesat sekarang ini adalah terlepas dari pemerhatian dan ikatan Islam, bahkan banyak ilmu-ilmu yang lahir kebelakangan ini bertentangan dengan konsep akidah Islam sendiri. Teori evolusi yang dicetuskan oleh Darwin misalnya menyanggah konsep asal usul manusia dalam Islam.  Hal-hal yang seperti inilah yang perlu diperhatikan bila kita mengharapkan proses Islamisasi. Proses Islamisasi juga merangkumi seluruh bidang kehidupan termasuk ekonomi, sosial, budaya, kehakiman, mahkamah dan sebagainya.

Negara Islam hanya boleh didukung oleh orang Islam sendiri sekalipun umat Islam itu adalah golongan minoriti dalam sesebuah negara.Ini pernah terjadi dalam sejarah Islam. Yang penting penghuninya mestilah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, speretimana halnya dalam sesebuah negara kebangsaan, seseorang warganegara msetilah mematuhi undang-undang negara itu. Apa yang menjadi perkiraan adalah asas dan dasarnya ,sistem dan hukum-hakamnya mestilah diambil dari punca-punca perundangan Islam termasuk AlQuran, Hadith Nabawi, Ijmak, Qias dan sebaginya yang banyak diperkatakan dalam Ushul Fiqh.

Kembali kepada permasalahan PAS dalam Barisan Aternatif, apa yang dapat kita lihat PAS sebenarnya jauh lebih dominan dari parti-parti lain dalam gabungan itu. Jadi adalah tidak mustahil PAS boleh dan layak untuk menentukan apakah falsafah dan jenis negara yang bakal diwujudkan sekiranya BA memegang tampuk kuasa. Seperti UMNO dalam Barisan Nasional, mereka boleh menentukan halatuju  negara disebabkan UMNO lebih dominan dari parti-parti gabungannya seperti MCA,MIC dan GERAKAN dan lain-lain.  

Tetapi soalnya tidak semudah itu. Sebagai sebuah pakatan, persetujuan dari parti-parti lain dalam Barisan Alternatif adalah diperlukan dalam menentukan halatuju negara. Tanpa persetujuan ini gabungan Barisan Alternatif mungkin tidak bertahan lama.Setidak-tidaknya, sepertimana yang disebutkan oleh webmaster dalam tulisannya, jika negara Islam belum dapat ditegakkan, proses penerangannya tentu akan lebih mudah dalam sebuah kerajaan yang memberikan kebebasan yang lebih telus terhadap media massa. Dengan demikian harapan untuk mewujudkan sebuah Negara Islam seperti yang dicita-citakan oleh PAS tentu akan lebih cerah berbanding di zaman kerajaan Barisan Nasional. Apa yang lebih penting sebenarnya ialah mewujudkan dan melaksanakan tuntutan ke arah negara Islam itu iaitu satu proses tarbiyyah yang pada dasarnya akan melahirkan golongan yang akan memikul amanah ini, atau apa yang dikenali di zaman Nabi dan para sahabat sebagai generasi AlQuran sepertimana yang dijelaskan oleh Asyahid Syed Qutb dalam Petunjuk Sepanjang Jalan (Maalim Fit Tariq). Sekiranya generasi ini dapat diwujudkan, kerja-kerja ke arah merealisasikan cita-cita PAS itu akan lebih mudah tercapai.      

Dalam satu suasana yang berlainan, PAS sekurang-kurangnya mungkin berjaya mempraktikkan sistem pemerintahan Islam di negeri-negeri yang majoritinya dikuasai oleh PAS. Gabungan parti-parti dalam BA tentu bersifat lebih terbuka dan akan memberikan ruang kepada PAS untuk berbuat demikian. Walaupun kini misalnya PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu, halangan-halangan konstitusional tetap wujud dan BN sekali-kali tidak akan mengizinkan PAS berbuat demikian. Hal ini mungkin tidak akan terjadi jika BA mengambil alih teraju negara. Jika ini terjadi, negeri-negeri yang diperintah oleh PAS secara Islam itu akan memberikan inspirasi kepada parti-parti komponen dalam BA untuk turut bernaung di bawah sistem pemerintahan yang memang telah terbukti lebih adil dan telus di sepanjang sejarah dunia. 

Kita percaya kewujudan sebuah negara Islam tidak akan hilang dari impian PAS kerana dasar PAS adalah Islam seperti yang tercatat dalam Fasal 3, Perlembagaan PAS (Perlembagaan Parti Islam Semalaysia,1987). Kita juga percaya  PAS tidak akan mensia-siakan harapan umat Islam di negara ini sekalipun PAS kini berada dalam Barisan Alternatif yang dijangka mampu memberikan saingan sengit kepada BN dalam pilihanraya umum yang akan datang.     

AlKundangi,
6.12.2000

Nota webmaster:
Terima kasih kepada penulis dan tulisan ini amat baik untuk diteliti oleh para netters terutama yang ingin sangat melihat kewujudan sebuah negara Islam sebagaimana yang dihasratkan. Cuma ingin saya membuat pembetulann di sini akan kenyataan penulis bahawa negara Islam sebenarnya bukan negara ideologi (falsafah dan pemikiran) kerana Islam sebagai ad-din is the way of life (yakni Islam sebagai cara hidup). Mohon maaf saya terpaksa membetulkan penulis dan harap penulis berhati-hati dalam hal ini.

Mengenai persoalan samada akan benar-benarkah negara Islam itu boleh direalisasikan, ini agak sukar untuk kita jawab kerana kita sewajarnya melaksanakan ia sebagai satu tuntutan agama. Sebagai contoh sembahyang, apakah ia boleh direalisasikan? Jawapannya adalah kerana beberapa faktor, seperti kemahuan dari dorongan keimanan, ilmu dan sebagainya. Jika tiada kemahuan tapi ada ilmu, pasti kerja sembahyang tidak boleh direalisasikan. Sebaliknya jika kemahuan ada ilmu tiada, akan pincanglah sembahyang itu.

Namun dalam konteks pembentukan negara Islam bukan bermaksud kita menunggu 23 juta orang akan memahami Islam. Proses pilihan raya telah membenarkan ianya berlaku. Sekiranya kita mendapat tampuk kuasa yang diamanahkan oleh rakyat maka proses membina negara Islam itu sudah boleh dilakukan. Hal ini telah berjalan dengan senyap tanpa kita sedari. Kita lihat juga sudah ada persediaan dan deraf negara Islam (maksudnya kajian perudangan Islam dan konsep untuk mempraktikalkannya) sudah berjalan.

Satu kebaikan tentang negara Islam, apabila diperbincangkan begini secara automatik ia akan mengendurkan rasa 'takut' umat Islam (yang kurang faham agamanya) dan umat manusia bukan Islam. Islam bukanlah kekejaman. Sebenarnya perlaksanaan sistem dalam sebuah negara Islam membawa kebaikan kepada semua. Sebagai contoh kita lihat di Terengganu, walau pun secara rasmi perundangannya belum secara Islam tetapi beberapa dasar dalam sistem Islam itu sendiri sudah terlaksana.

Penghapusan cukai pintu dan tol adalah untuk mengurangkan beban dan tanggungan rakyat. Ini satu kerja anjuran Islam. Begitu juga dengan tanah yang tidak produktif, maka tidak perlu dibayar cukainya. Sebaliknya tanah yang produkti akan dikenakan cukai dan pada masa kini cukai itu dinaikkan ke tahap 10 persen daripada produktivitinya. Mungkin kadar ini boleh dikatakan zalim. Itu juga sebenarnya tidak benar kerana hasil yang diperolehi itu hendaklah bersesuaian dengan usaha. Jika kita cuma menanam dan menyiram air, maka perlu kita akui tumbesaran , kesuburan, cahaya matahari itu hak siapa? Ia pasti tidak ada kaitan dengan usaha kita. Maksudnya di sini ambillah keuntungan dari hak yang kita kerjakan dan kembalikan hak yang selainnya kepada empunyanya. Maksudnya di sini sekali lagi bahawa melalui cukai kepada kerajaan Islam kita akan dapat mengembalikan hak Allah ke tempat sewajarnya.

Proses merealisasikan negara Islam memang akan memakan masa yang panjang. Pembentukan Jawatankuasa Syura Rakyat juga adalah satu ciri dalam pembentukan negara Islam yang diwujudkan di Terengganu. Jika di peringkat sebuah negara Islam akan wujud satu forum ulama dipanggil Majlis Syura (atau seumpamanya). Dari sinilah segala dasar diluluskan dan akan terjelmalah berbagai pentafsiran undang-undang dalam sebuah negara Islam. Seorang Perdana Menteri dalam sebuah negara Islam tidak mempunyai kuasa penuh, sebaliknya bertanggungjawab melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura ini.

Maaf saya tidak dapat meneruskan pendedahan ini kerana waktu yang bergitu terhad. Insya-Allah mungkin saya akan minta Ustaz Ali Muda memberikan penerangan kepada kita bagaimana sebuah negara Islam ini boleh direalisasikan.

Kepada penulis sekali lagi saya mohon maaf jika teguran saya membuatkan anda berasa kurang senang. Sekali lagi artikel ini pada pandangan saya memang membantu merealisasikan ke arah pengwujudan sebuah negara Islam iaitu dengan memberikan kefahaman yang jitu kepada rakyat negara kita tentang tanggungjawab kita dilahirkan yakni sebagai khalifah Allah di muka bumi. Hidup bukan untuk sembrono kerana perjanjian kita dengan Allah dan 'nur Muhammad' sewaktu kita di alam maya lagi ... adalah untuk kita mentaati segala ajaranNya serta melaksanakan kerja baik untuk umat manusia...

Wallahu'alam..

Webmaster

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter