MENGENANG PERILAKU TIDAK
BERTAMADUN DOLLAH BADAWI MENGHARAMKAN DETIK
Oleh
Wartawan Detikdaily
Tarikh 9 Disember 1999 akan tetap diingati sebagai tarikh
bersejarah dalam dunia penerbitan apabila Kementerian Dalam Negeri telahpun meluluskan
permit penerbitan majalah dua kali sebulan beroreintasikan isu-isu semasa, DETIK.
Dalam
surat KDN1505 (8757)-(25) yang ditandatangai Che Haslina Che Mamat mewakili Ketua
Setiausaha KDN, kami dikehendaki membayar RM500.00 pada hari itu itu. Semua petugas
Detik, lebih kurang 15 orang melafazkan syukur kerana majalah yang mendapat sambutan
hebat itu dilanjutkan usianya setahun lagi, sehingga 30 November 2000.
Tapi,
malang sekali, kenduri kesyukuran yang akan kami anjurkan terpaksa ditangguhkan kerana
empat hari selepas itu, apabila kami menelefon seorang pegawai atasan Unit Kawalan
Penerbitan KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail bertanyakan nombor permit, beliau
memberikan khabar buruk.
Kelulusan yang telahpun dipersetujui ditarik balik oleh
Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi. Hebat sekali komitmen yang ditunjukkan
Dollah untuk menodai sisa-sisa kebebasan akhbar dan prinsip pertanggungjawaban.
Hairan
sekali, kelulusan yang diberikan secara hitamputih dan kami telahpun membayar RM500.00
seperti dikehendaki boleh ditarik balik tanpa sebarang sebab.
Kami akan terus
mengingati kerja buruk lagi tidak bertamadun Dollah ini. - AHMAD LUTFI OTHMAN
Berita
lampiran:
Suhakam perlu tegas terhadap pencabulan media
Suhakam perlu
bertindak proaktif, sekurang-kurangnya mengeluarkan pernyataan umum tentang kemelut yang
melanda dunia kewartawanan tanahair, khususnya selepas beberapa penerbitan alternatif,
Eksklusif, Detik dan Wasilah diharamkan, manakala Harakah dikurangkan.
Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia itu juga digesa membuat siasatan terhadap pegawai-pegawai Unit Kawalan
Penerbitan, KDN kerana dikhuatiri berlaku amalan salahguna kuasa dalam melulus, menolak
ataupun membatalkan permit penerbitan.
"Untuk menunggu laporan tahunan
Suhakam ke Parlimen bagi mencadangkan perubahan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
(PPPA) adalah terlalu lama. KAMI mencadangkan agar Pengerusinya, Musa Hitam, selepas
meneliti aduan yang dikemukakan pada 6 Oktober lalu membuat kenyataan segera tentang
pencabulan ketara ke atas kebebasan bersuara ini," ujar jurucakap Kumpulan Aktivis
Media Indepen (KAMI), Ahmad Lutfi Othman.
KAMI mulanya terdiri dari 14 wartawan
bebas yang menghantar Rayuan Kebebasan Media kepada Suhakam dan kerajaan menggesa semua
peraturan yang mengongkong akhbar dihapuskan. Kini keanggotaannya meningkat 20 orang.
"Amalan
double-standard oleh KDN cukup memualkan. Sebab itu KAMI menggesa agar permit dihapuskan
sama sekali. Konsep permohonan permit setiap tahun adalah petanda jelas akhbar negara
ini dikongkong dan ditekan," katanya lagi.
Lutfi juga memberitahu, pihaknya
serius memikirkan untuk mencabar semua peruntukan dalam akta drakonian, termasuk PPPA,
yang menafikan peranan mahkamah serta memberikan kuasa mutlak kepada menteri.
"Mahathir
tentu sedar, peruntukan yang menafikan mahkamah itu digubal pada 1987 ketika ramai hakim
tidak memihak kepadanya, tetapi kini keadaan sudah berbeza. Mahathir tidak perlu takut
kepada hakim," tambah Lutfi. Walaupun difahamkan Suhakam meletakkan prioriti
terhadap isu kebebasan media, namun bagi Lutfi: "KAMI mahu dengar pernyataan tegas
Suhakam terhadap dilema tidak berkesudahan ini. Lebih cepat lebih baik." (Nota:
Sehingga kini, 3 Disember 2000, KAMI belum mendapat apa-apa khabar daripada Suhakam
tentang rayuan dan pertemuan itu. Sekurangkurangnya diharapkan Suhakam dapat memberikan
kenyataan akhbar ringkas tentang kemelut dunia penerbitan di Malaysia, tapi malang
sekali ia belum menjadi kenyataan).