minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG 145

BILA YANG MENGGIGIT DIGIGIT
(MGG The Biter Bit)

Barisan Nasional masih tidak dapat menerima kekalahannya di Lunas, minggu yang lalu.  Begitu juga DAP yang tidak bertanding di situ. Yang  satu marah kerana kekalahan sedangkan yang satu lagi kerana ia tidak berhak untuk kalah.  Dua-dua pihak ini telah tersasar isyarat yang jelas kenapakah Saifuddin Nasution Ismail yang berjaya sedangkan S. Anthonysamy hanya mampu bergaya.

Sokongan orang Melayu telah berubah begitu bersahaja  sehinggakan Barisan Nasional bergegar dibuatnya. DAP tidak mampu melakukan gegaran semacam itu walaupun mengemukakan seorang calon India bertanding di situ.

Senario politik memang sudah tercemar  oleh salakan  para pemimpin Barisan Nasional  betapa isu perkauman dan keagamaan telah menghalang perdebatan yang rasional. Di waktu yang sama mereka menggembar-gemburkan isu  akan berulangnya episod Mei 13 dulu dan banyak perkara yang menakutkan. Memanglah isu perkauman dan keagamaan itu dihangatkan setiap kali adanya pilihanraya. Tetapi, Barisan Nasional  terutama sekali UMNO yang selalu membesar-besarkan perkara itu.

Satu ketika dulu rakyat Malaysia mudah melatah dengan membeli  apa juga barang makanan yang dijual sebagai langkah berjaga-jaga setiap kali isu hangat itu menjadi agenda. Tetapi kali ini, tidak timbul pula reaksi yang serupa. Penurunan indeks  pasaran saham lebih mencerminkan  kerunsingan  apa yang boleh berlaku kalau pemimpin Barisan  Nasional terus merapu.

Mereka telah menuduh masyarakat Cina kerana kekalahan. Memang ini pun telah diperakui oleh presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik. Tetapi, perkara ini tidak benar.  Kalau undi orang Melayu telah memihak kepada UMNO, Lunas tentu telah dimenangi oleh Barisan nasional. Perkara ini pun tidak benar.

Sebenarnya masyarakat Cina menunjukkan  geram mereka kerana disogokkan Sekolah Wawasan sedangkan konsepnya terlalu kelam. Lagipun, mereka masih menyinga apabila diberitahu adanya satu rencana untuk mengubah jirat Cina di Kuala Lumpur itu menjadi satu  kompleks beli-belah dan pusat  persidangan antarabangsa.

Apabila Mahathir menunjukkan reaksinya terhadap penolakan konsep Sekolah Wawasan itu sebagai satu sifat derhaka  dan lebih teruk lagi daripada itu, suasana politik sudah berpihak kepada selera pihak pembangkang. Melemparkan tuduhan ke arah pembangkang kerana  mempermainkan isu keagamaan dan perkauman  sebenarnya telah menyimpangkan isu sebenar  bahawa Barisan Nasional adalah pihak yang  membangkitkan isu itu di tahap awal-awal lagi.

Siapakah yang mencetak gambar calon MIC dengan pakaiannya sebagai seorang paderi? Pembikinan gambar itu sungguh kemas  dan telah disebarkan dengan bebas. Ia mengimbas ingatan kepada penyebaran gambar  video Dr. Munawar Anees dan Sukma Dermawan, yang menunjukkan pengakuan mereka sedangkan semua itu dilakukan kerana paksaan.

Begitu jua halnya dengan kisah Tengku Razaleigh Hamzah yang membiarkan kepalanya disungkup satu tengkolok yang mempunyai satu corak salib Kristian dalam satu majlis tajaan orang Kadazan.  Gambar itu diedarkan merata negara sebelum pemilu 1990  dibuka acara. Inilah yang melungkupkan  parti Semangat 46, gara-gara rencana mantap pihak yang mahu menjahanam.

Pihak pembangkang yang tercungap-cungap di tahap awal berkempen tentu tidak mampu menyediakan segala kecanggihan seperti itu walaupun di akhir episod mereka yang berjaya. Saya tidak berani pula mencatatkan kisah seperti ini di pihak yang lagi satu dan yang sudah kantul itu.

Di kalangan UMNO sendiri sudah terdengar suara basi betapa jentera kempen pilihanraya di Lunas adalah indah khabar dari rupa. Tidak ada badan penyelaras di bahagian pusat sehinggakan setiap angkatan yang berbeza terpaksa bertindak secara meraba-raba. Tidak ada yang berani berkempen di kawasan Melayu. Pemimpin Cina takut untuk berdepan dengan kaum sendiri. Pengundi India pula menjadi terabai kerana Samy Vellu kata undi  mereka adalah laksana simpanan tetap sebuah bank yang tidak perlu disangsikan.

Di sinilah terletaknya muslihat kenapa Perdana Menteri dan beberapa pengampunya  gemar memukul tabla usang mengenai keagamaan dan perkauman.   Ia mencerminkan  adanya ketakutan dan kekalutan di sebalik segala laungan dan ulangan. Tetapi itulah rentak yang begitu lama dimainkan sejak 45 tahun sehingga kini. Tujuannya untuk mengingatkan bahawa itulah lagu yang  membawa keamanan dan harmoni selama ini.

Barisan Nasional akan terus bergelora kalau mengamalkan  perkara ini. Jenteranya memang tidak wujud lagi. Ia masih lagi bongkak dan angkuh dengan anggapan hanya menteri kabinet dan menteri besar yang pintar berkempen. BN telah memperlekehkan pemimpin tempatan sehingga mereka berkempen dengan perasaan tertekan.  Itulah yang ditunjukkan oleh Lunas, orang tempatan dianggap tidak mampu mengemukakan cadangan yang bernas.

Sebaliknya, pengundi tempatan mahukan keyakinan bahawa kerajaan  mempunyai prioriti yang betul. Sedangkan BN menganggap kuasa lama yang dipegang itu mampu menangani setiap pilihanraya yang datang menonjol. Ini yang membuatkan pengundi naik angin untuk memberikan satu pengajaran. Ia tidak ada kena mengena dengan kemarahan ataupun penderhakaan.

Barisan Nasional tidak akan berubah selagi ia dianggap sebagai anjung UMNO di sebuah rumah. Lihat apa terjadi kepada seorang  Setiausaha Agong UMNO. Apabila dia melepaskan  jawatan itu dia  memegang pula jawatan Setiausaha Agong Barisan Nasional. Apakah jadinya dengan Barisan Nasional dengan Setiausaha Agongnya? Kedua-duanya tidakpun mampu menonjolkan wibawa.

UMNO sebenarnya  dipasak oleh dua masalah besar yang membabitkan dua insan yang tidak boleh  diapa-apakannya:  Mahathir dan Anwar Ibrahim. Kenyataan meleret-leret yang sentiasa dibuat oleh para pemimpin UMNO  mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang tidak  pun berlaku  menyebabkan UMNO  terus berkecamuk. Hasil pilihanraya di Lunas telah menyediakan satu santapan minda betapa salah seorang di antara dua insan ini terpaksa menarik diri sedangkan yang seorang lagi perlu di bawa masuk kembali.

Perkara ini tidak mudah berlaku. Banyak peristiwa persis Lunas akan muncul lagi. Semua itu tidak mudah diredakan dengan mempalitkan  keagamaan dan perkauman ataupun menuduh pengundi yang tidak tahu bersyukur ataupun dengan cara para menteri melesapkan diri laksana tikus yang tinggalkan kapal yang baru terbakar.

Barisan Nasional yang sememangnya berpecah dan berantakan sesama sendiri itu tidak  boleh terus menuduh pihak pembangkang mempunyai masalah sepertinya. Di pihak pembangkang kita dapat melihat betapa mereka mampu menyorokkan kegelisahan dan masalah yang ada  untuk menonjolkan satu semangat perpaduan  yang tidak mampu ditiru oleh Barisan Nasional.

Kalau Barisan Nasional mahu berubah ia terpaksa pergi balik ke pangkal jalan. Ia mesti melakarkan satu pelan baru  dengan menyediakan orang  yang baik-baik untuk melaksanakan rencana baru itu. Rencana itu mestilah berwawasan dan orang yang melaksanakannya pun mesti faham akan wawasan itu.  Jika tidak Barisan Nasional akan pupus seperti  yang dialami oleh Parti Kongres di India.


-MGG Pillai-
 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter