PENYANGAK-PENYANGAK BERLELUASA DALAM PENTADBIRAN
KERAJAAN BN
Assalamualaikum saudara webmaster, (alaikum
sallam..-webmaster)
Terlebih dahulu saya ucapkan selamat berpuasa,
walau pun agak terlambat tetapi rasanya masih lagi relevan. Agak lama saya tidak
mencoretkan berita untuk mindarakyat kerana banyak masa saya berada di luar kediaman
saya, jadi tidak berkesempatan.
Apa yang saya ingin utarakan di sini adalah
kisah pengembaraan saya ke pendalaman negeri Pahang Darul-adnan. Baru-baru ini sebelum
bulan puasa saya telah mengikuti satu ekplorasi peringkat kebangsaan ke Ulu Tembeling
anjuran sebuah Kementerian. Mengikut programnya sebenarnya adalah 7 hari. Kami menaiki
bot ke sebuah kampung yang paling hulu di Sungai Tembeling dan dianak angkatkan oleh
sebuah keluarga. Program anak angkat ini diatur dengan kerjasama Ketua kampung
berkenaan dan sebuah persatuan di bawah anjuran kementerian berkenaan. Pada pukul
empat petang sampailah kami dengan rombongan seramai lebih lapan puluh orang peserta
dan disambut dengan silat dan gendang, memang agak meriah.
Kami dibahagikan kepada 3 orang satu
keluarga. Kami tidur di rumah keluarga angkat satu malam dan satu malam lagi kami di
bawa dan bermalam di suatu pantai sungai yang berpasir lebih kurang dua jam perjalanan
dari kampung ini.
Setelah bersama keluarga angkat saya pun menanyalah
sedikit sebanyak tentang kampung berkenaan dan juga program yang berlangsung. Apa yang
memeranjatkan saya ialah rupanya Pegawai Penganjur telah bersekongkol dengan Ketua
Kampung memaksa keluarga-keluarga ini untuk mengambil anak angkat hanya dengan bayaran
saguhati sebanyak RM10 sekepala. Untuk ke tempat bermalam pada malam kedua pula,
setiap keluarga terpaksa menghabiskan RM50 untuk beli minyak bot tanpa apa-apa
imbuhan. Saya mula berasa sedih dan tidak senang. Rupanya penduduk kampung yang daif
telah ditekan untuk terlibat dengan program ini dan untungnya dikaut oleh
pegawai-pegawai dan mungkin juga Ketua Kampung berkenaan. Saya tahu peruntukan
untuk program ini mestilah besar kerana program ini adalah program peringkat
kebangsaan dan disertai oleh peserta yang mewakili semua negeri di Malaysia.
Semasa saya bertolak pulang saya telah
menghulurkan wang dari poket saya sendiri kepada keluarga angkat saya untuk menampung
makan minum saya semasa di sini. Dalam sedih dan kesihan kami meninggalkan kampung ini
ke Kuala Tahan untuk majlis penutup dan penyampaian sijil.
Sekali lagi saya terperanjat apabila wakil
kepada Pegawai Daerah Jerantut semasa ucapan penutup program ini memaklumkan
program berkenaan adalah selama 14 hari. Cuba kita bayangkan berapa banyak peruntukan
yang disonglap. Peruntukan untuk 14 hari tetapi program dilaksanakan selama
7 hari sahaja. Rupanya penyangak di dalam kerajaan hari ini bukan saja di peringkat
atas tetapi juga di peringkat bawah. Yang malangnya adalah penduduk kampung yang
tertindas dan dijadikan alat semata-mata.
Sekian, wassalam.
Kakitangan kerajaan.