minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG 144

MCA Tidak Berwawasan Mengenai Sekolah Wawasan
(MGG: The MCA Is Visionless About Vision Schools)

MCA menyokong kewujudan Sekolah Wawasan dan menyatakan ianya berbentuk sukarela. Malahan, presiden MCA, Dato' Seri Ling Liong Sik dan bukannya menteri pelajaran Tan Sri Musa Mohamed,  yang mengemukakan  nama dua sekolah wawasan itu; satu di Subang Jaya dan satu lagi di Johor Jaya. Di manakah terletaknya unsur  sukarela sedangkan Perdana Menteri sudah  bertegas betapa sekolah yang tidak akan menyertai program itu dianggap penderhaka dan lebih aib dari itu ?

Kerajaan tidak akan berjaya melancarkan program ini tanpa penyertaan sekolah-sekolah Cina. Bukannya mereka enggan ikut serta. Mereka masih samar dengan konsep itu. Para menteri kabinet MCA pun masih ragu-ragu untuk berdepan dengan masyarakat cina  mengenainya. Menteri Pendidikan membuat pengumuman konsep itu tanpa  membuat rujukan terlebih dulu. Konsep itu menggantikan program (Sekolah Bistari - penterjemah) yang  ditaja oleh menteri pendidikan sebelumnya yang kini dianggap sudah pun tidak wujud lagi.  Soalnya sekarang kenapakah kerajaan tidak memberikan penjelasan yang luas mengenai hal ini secara yang terperinci agar mudah diterima. Seandainya konsep sekolah wawasan ini sudah jelas difahami kenapakah Dr. Ling sengaja enggan bertemu masyarakat Cina untuk membuat penjelasan, mengikut  apa yang telah difahaminya  agar mudah mereka memahaminya.


Dr. Ling mudah menuduh orang lain kerana tidak memahami apa yang dia sendiri tidak faham. Dia berkata: "Penjelasan yang cukup telah diberikan termasuk cara perlaksanaannya, kita mahu buktikan  kepada orang ramai bahawa konsep ini  adalah untuk kebaikan  seluruh negara." Bolehkah beliau jelaskan dulu apakah faedahnya Sekolah Bistari  yang disetujuinya ketika (kalau ia pun ada) konsep itu dibincangkan oleh kabinet dulu, dan kini mahu dihentikan  dua tahun kemudiannya  setelah  peruntukan sebanyak RM300 juta disebut bagi kos  menyediakan perisisan  kepada 90 sekolah bistari?


Pendidikan (di negara ini) dianggap dengan pandangan yang sempit disebabkan dorongan kepentingan perniagaan dan agenda politik yang menyebabkan anggapan itu menjadi satu isu yang selalu hangat. Kehangatan perasaan yang ada kebenarannya itu telah membayangkan betapa sekolah wawasan itu adalah satu konsep yang merencana agar  sekolah Cina yang kini bertapak di kawasan yang mahal harga tanahnya di bandar-bandar besar dialihkan ke kawasan pinggir bandar dalam satu urus-niaga di mana mereka akan menjadi golongan yang kerugian.  Dengan lain perkataan, muslihat sebenar konsep ini tidak ada kena mengena dengan pendidikan kerana ia lebih menjurus kepada muslihat pembangunan hartanah. Yang peliknya, sekolah Tamil tidak pun diambil kira dalam soal sekolah wawasan. Kenapa?  Malahan MIC  sengaja membisu mengenainya. Projek sekolah wawasan ini tidak akan mencapai kejayaan tanpa  pembabitan sekolah-sekolah  Cina. Tetapi, pengurusan sekolah Cina memang tidak yakin akan kesahihan konsep ini. Mereka menganggapnya sebagai satu lagi  usaha untuk  menghakiskan pendidikan Cina di negara ini.

MCA memang mempunyai sejarah yang amat panjang di mana ia telah lama belot terhadap masyarakat Cina mengenai kebudayaan kaum. Kerana itu ia tidak mampu menghadapi masyarakat Cina seperti mana ia tidak mampu menyanggah cadangan itu dalam mesyuarat kabinet. Tan Sri Musa pula memang tidak berupaya  menolak konsep ini setelah mengumumkan satu pindaan di Lunas dulu di mana konsep ini dikatakan berunsur sukarela.


Saya telah mencuba mendapatkan penjelasan mengenai hal ini, tetapi tidak berhasil juga. Kita mungkin berfikir ada seorang dua pegawai atasan di Menteri Pendidikan yang mengetahui perkara ini. Itu pun 'hampeh' juga. Sebaliknya ramai  pegawai kanan kerajaan yang merasa sedih  dan memandang konsep ini secara sinis kerana mereka nampak usaha untuk memisahkan sekolah yang terletak di tapak tanah yang berharga dengan sekolah yang dibina di tapak yang tidak tinggi nilai tanahnya. Sebaik sahaja kementerian hal ehwal dalam negeri mengeluarkan amaran kepada akhbar Cina agar tidak memanaskan isu ini  yang mungkin menjejaskan hubungan baik di antara kerajaan dengan masyarakat Cina, ia sekaligus menunjukkan betapa masalah ini bukannya satu masalah yang kecil. Dr. Ling boleh melalak sesuka hatinya betapa sekolah wawasan ini adalah ciptaan manusia  terbaik sejak terciptanya kway teow, tidak ada sesiapa yang akan mempercayainya. Dia memang sudah lama tidak dipercayai dalam hal yang ada sangkut paut dengan masyarakat Cina. Cuma hanya dia seorang sahaja yang masih tidak percaya bahawa tempoh kepimpinannya  dalam masyarakat itu sudah lama luput tarikh gunanya.

Inilah masalah yang menghantui Dr. Ling dan kerana itu dia selalu mengelakkan diri menemui masyarakat Cina. Di Lunas dia enggan bercakap mengenai Sekolah Wawasan dengan alasan perkara itu telah dijelaskan oleh Menteri Pendidikan. Penjelasan yang dibuat telah mencetuskan kelam kabut sehingga ramai masyarakat Cina di Lunas  yang  menarik sokongan mereka terhadap Barisan Nasional. Sekolah wawasan itu sebenarnya merupakan satu lagi paku untuk keranda MCA.

Seperti yang berlaku  dalam UMNO, MIC Gerakan dan juga beberapa parti komponen lain dalam Barisan nasional yang amat taksub dengan kepercayaan bahawa kekuatan gagasan itu terletak kepada  kehadiran pemimpin yang berada terus  di tampuk kuasa sehingga mereka tidak lagi bernyawa. Kewujudan MCA pun sudah tidak lagi relevan dalam memainkan peranan  menyuarakan masalah  masyarakat Cina yang perihatin.  Dr. Ling sendiri pun sudah tidak dipercayai lagi. Dia  pernah meletakkan jawatan presiden parti hanya untuk menarik balik tindakan itu kerana presiden UMNO mahu dia terus memegang kuasa.


Dr. Ling pernah membiarkan anak lelakinya meminjam duit bank sebanyak RM1.2 bilion untuk perniagaan, yang akhirnya lingkup. Apabila anaknya itu gagal memberikan sumbangan  yang diharapkan berbentuk berjuta ringgit kepada Maktab (Kolej) Tunku Abdul Rahman kerana MCA yang menaja majlis itu, saham syarikat kepunyaan anaknya pun jatuh merudum dan terus merudum mengikut ragam kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Ling.


Sebenarnya, mungkin juga ada beberapa kebaikan dalam Sekolah Wawasan itu. Masalahnya konsep itu sudah disalah-urus begitu berkecamuk sekali sehingga ia tidak mampu memberi tarikan melainkan ia menjadi satu konsep yang tidak difikirkan dengan baiknya.  Apa tujuan sebenar  konsep itu, tidak ada sesiapa yang tau. Yang disogokkan kepada kita ialah satu konsep yang diubah-ubah mengikut kehendak politik. Sepatutnya kerajaan menumpukan fokus utamanya untuk memberikan penjelasan yang terang.  Dalam perkara ini pihak media tidak pun membantu untuk melakukannya. Setakat ini kerajaan hanya menyatakan projek itu adalah satu konsep yang baik tanpa menjelaskan apakah matlamatnya  dan apakah kesannya terhadap sekolah swasta Cina dan kenapa pula pendidik Cina mesti menentangnya.


Adalah menjadi tanggungjawab pendidik Cina  mengawasi apa yang berlaku dalam sekolah Cina. Inilah peranan yang mereka lakukan dengan baik sekali.  Takkan mereka sengaja menolak sesuatu rencana yang memberi faedah yang besar kepada  sekolah Cina.  Cuma mereka memang  tidak yakin dengan projek itu. Membina sekolah wawasan di Subang Jaya dan di Johor Jaya tidak akan merobah sikap pihak   pembangkang. Tambahan pula, tanpa ada pembabitan dan sokongan pendidik Cina, konsep itu akan merupakan satu program yang tidak akan mencapai kejayaannya.

Terjemahan MT
 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter