MGG143
Tersingkapnya
Dongeng Penderhakaan (Fw: Behind
Closed Doors A Stirring Tale Of Treason Unfolds)
-The Nation Thailand- 3
Disember, 2000-12-03
Apabila satu kumpulan lelaki merompak dua markas tentera
Malaysia awal tahun ini, kisah itu mewarna-warnikan lagi rangkaian cerita mengenai
Mahathir Mohammad yang memang gilakan kuasa. Demikian laporan seorang pemberita khas
daripada Kuala Lumpur.
Salah satu kes mahkamah yang sungguh sensasi dan
menakjubkan kini sedang diadili di Malaysia. 29 rakyat Malaysia beragama Islam
yang (dikatakan-penterjemah) fanatik sedang menghadapi tuduhan menderhaka dan
melancarkan peperangan terhadap raja. Inilah yang membuat seluruh negara terpinga-pinga
dan menyemarakkan tuduhan pembangkang betapa peristiwa itu telah sengaja
diada-adakan oleh kerajaan sebagai usaha untuk memperlekehkan pihak
lawannya.
Oleh kerana kerajaan menindas proses penyebaran maklumat bebas,
kerajaan sedang dihenyak dilemma untuk menolak tohmahan pembangkang kerana tidak
ada sesiapa yang mempercayai kerajaan lagi. Demikian kata Mansor Muhammad, seorang
professor kajian perhubungan kaum, di Universiti Sains Malaysia.
"Pada
hari pertama berlakunya kejadian itu, polis daripada cawangan khas (SB)
telah datang bertanyakan apa yang saya tahu mengenai kumpulan fanatik Islam, "kata
Mansor. "Saya beritahu mereka kumpulan fanatik Islam percaya betapa mereka
melakukan sesuatu itu kerana Allah dan percaya bahawa kerja-kerja mereka itu dibantu
oleh Allah. Kerajaan harus mengadakan satu siasatan bebas dan tidak mengetatkan
peraturan dan mendakwa di bawah undang-undang darurat.
"Nampak sangat betapa
tololnya pucuk kepimpinan kerajaan. Pembangkang ada berkata betapa perbuatan
kumpulan fanatik Islam itu adalah satu jenayah, tetapi rakyat tidak mempercayai
kerajaan lagi."
Peristiwa itu meledak laksana satu gunung berapi. Tanpa
sebarang isyarat awal. Rakyat Malaysia bangun dari tidurnya pada pagi 2 hb Julai
itu dengan membaca laporan yang tidak meyakinkan mereka. Mengikut laporan akhbar
perdana, satu kumpulan fanatik Islam telah menceroboh dua markas tentera yang berdekatan
dengan sempadan Thai dan melarikan ribuan senjata automatik dan pelurunya sekali.
Kumpulan
itu diketuai oleh seorang Leftenan Kolonel dan mereka berpakaian
celorong-celoreng. Mereka berjaya mengabui para pengawal di pintu masuk
untuk mempercayai bahawa lawatan mengejut itu dilakukan untuk
memeriksa senjata. Dalam drama selanjutnya, seorang askar komando beragama
Kristian dan seorang mata gelap beragama Hindu telah dibunuh dengan kejamnya oleh
kumpulan fanatik itu.
Episod ini berakhir apabila seorang panglima komando
berjaya mengalahkan pemimpin kumpulan itu dengan menumbangkannya. Dia telah
diisytiharkan sebagai seorang wira dan diberikan pingat dan gelaran bintang.
(Sayang....kisah panglima ini menepiskan ledakan peluru automatik, tidak disebutkan kali
ini...penterjemah)
Selama berminggu lamanya, rakyat menjadi terus
kehairanan apabila membaca cerita kegiatan Al Ma'unah yang dikatakan satu kumpulan
yang mengamalkan ilmu mempertahankan diri, sebagai kumpulan yang sebenarnya
merancang untuk menggulingkan kerajaan dan mewujudkan satu negara Islam.
Kisah penyiksaan dan pembunuhan yang dilakukan ke atas dua mangsa yang bukan beragama
Islam itu telah diberikan gembar-gemburkan lengkap dengan cerita yang sungguh
menakutkan. Mesej yang tersirat memang difahami sangat oleh rakyat yang bukan beragama Islam,
terutama sekali kaum Cina.
PAS, sebagai sebuah parti pembangkang yang
berteraskan ajaran Islam, kini menguasai Kelantan dan Terengganu. PAS juga sedang
mencabar Perdana Menteri Mahathir Mohammad dan parti pemerintah UMNO. Kerana itu,
melalui sebaran maklumat yang digiatkan di akhbar perdana dan juga media yang dikuasai
oleh kerajaan, PAS disebut-sebut sebagai bertanggungjawab dalam hal itu kerana ada ahli
PAS yang telah menganggotai Al Ma'unah itu.
Kempen mentohmah PAS itu
menjadi tumpul apabila diketahui ada juga anggota pasukan tentera yang menganggotai Al Ma'unah.
Pihak pembangkang telah menuduh kerajaan sengaja bersandiwara dalam perkara itu. Inilah
yang membuatkan Timbalan Perdana Menteri Abdullah Badawi mengeluarkan amaran bahawa
sesiapa yang menyebarkan fitnah itu akan dikenakan tindakan mahkamah.
Tanpa
diwujudkan satu siasatan bebas dan terbuka, kebenaran tidak akan terserlah.
Sekarang terpulanglah kepada kerajaan membuktikan bahawa kumpulan fanatik Islam itu
benar-benar mahu menggunakan kekerasan untuk menumbangkan kerajaan. Seperti
dengan tuduhan dan hukuman yang dikenakan kepada mantan timbalan perdana menteri
Anwar Ibrahim oleh proses pengadilan yang berat sebelah dan sengaja dicengkam
kebebasannya, tuduhan yang dikenakan terhadap 29 anggota Al Ma'unah yang sedang
dibicarakan itu adalah satu sandiwara juga.
"Mahathir cuba mengaitkan PAS
dengan Al Ma'unah dari aspek keahlian mereka. Dengan menuduh mereka sebagai ahli
PAS, kerajaan bolehlah membatalkan pendaftaran parti itu," kata Mansor.
"Orang
Melayu kini amat anti-UMNO dan anti-kerajaan juga. Mereka menuduh kerajaan kerana
sanggup merendahkan maruahnya dan tidak pun bermoral sehingga sanggup mencemar nama baik
PAS.
Selama dua minggu pertama perkara ini meletup, rakyat percayakan teori
konspirasi ini. Tetapi pendapat itu sudah berubah kini. Malahan PAS ada
menyebut bahawa tindakan Al Ma'unah itu sebagai satu jenayah. Tetapi, kerajaan telah
kehilangan maruahnya kerana enggan bersikap terbuka dengan pihak media.'
Episod
ini memberi ingatan dan meyakinkan kecurigaan rakyat bahawa sesiapa sahaja
yang cuba mencetuskan ancaman ataupun cabaran terhadap UMNO akan dimusnahkan
dengan apa cara jua. Inilah yang mengimbau ingatan kepada kempen ganas yang
akhirnya memusnahkan pergerakan Al Arqam beberapa tahun yang lalu.
Sehingga
1994, Al Arqam yang kepimpinannya beralih angin (penulis asal menggunakan
perkataan 'exile' bererti dalam buangan -penterjemah) ke Chiang Mai, merupakan
satu pertubuhan yang teguh kuasa ekonominya dengan aset berjumlah US Dollar
150 juta dan pelaburan di 17 negara. Al Arqam adalah satu kumpulan sederhana (ajaran
Sufi?) yang memberi tumpuan kepada kegiatan ekonomi dan ajaran Islam mengikut
segala contoh yang dilakukan oleh Nabi Mohamad (saw).
Malangnya, Al Arqam
tersilap langkah kerana mencabar Mahathir dan juga UMNO dengan cara menuduh parti
itu sebagai satu kumpulan pencuri dan perompak. Kumpulan itu mula tergugat
di awal 1994 apabila kerajaan mengeluarkan satu berita yang sungguh mengejutkan bahawa
Al Arqam sedang melancarkan satu pasukan khas yang dilatih untuk menjadi kumpulan
jihad yang berani mati. Markas latihan yang dikatakan berpengkalan di Selatan Thai itu dikatakan
mahu membunuh pemimpin kerajaan dan merampas kuasa pemerintahan secara paksa.
Berita
ini menggegarkan Bangkok laksana satu gempita dan memalukan Menteri Dalam Negeri Thai
yang dihambat oleh pihak media yang dahagakan penjelasannya. Tanpa berdalih,
menteri itu terus menafikan berita itu kerana tidak ada satu pun bukti yang
menyokong tuduhan Malaysia. Dari pengkalannya yang selamat di Thailand, Al Arqam telah
mengadakan sidang akhbar dan menolak tuduhan itu. Mereka mengajak sesiapa untuk
menyaksikan kegiatan mereka.
"Kami adalah kumpulan sederhana dan tidak
percaya kepada keganasan," kata mereka. "Sehingga kini pun kami tidak pernah
mengadakan sebarang demo ataupun bantahan. Bagaimana mereka boleh berbohong yang kami
melatih kumpulan jihad untuk membunuh pemimpin kerajaan?"
Serangan
bertubi daripada Kuala Lumpur itu terus diperhebatkan dengan tambahan adanya abdi
seks dan penderaan kanak-kanak, antara lainnya. Semua itu diulang-ulang di akhbar
harian. Pada September 20, 1994, mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim
telah menghadiri satu sidang akhbar di Bangkok. Dia berkata: "Al Arqam adalah satu
kumpulan yang anti-moden. Ia menegah anak-anak sekolah daripada mempelajari mata pelajaran
sekular seperti sains dan matematik. Kumpulan ini boleh mendera kami dan kami tidak
kisah. Tetapi, apabila mereka mendera kanak-kanak, kami terpaksa bertindak."
Kumpulan
Al Arqam menjawab bahawa "itu adalah satu lagi pembohongan besar."
"Anwar
pernah menjadi menteri pelajaran, tentunya dia lebih arif akan perkara itu. Arqam telah
menaja dan memberikan biasiswa kepada ratusan pelajar Malaysia ke universiti di US,
Eropah, Australia, New Zealand, Mesir dan Timur Tengah. Kami ada doktor dan pakar
komputer untuk menguruskan klinik, rumah bersalin, syarikat komputer dan gudang
pembuatan. Bagaimanakah semua ini menjadi mungkin tanpa pelajaran sains dan matematik?"
(Tidak
sampai tiga tahun selepas itu Anwar Ibrahim menjadi mangsa serangan ganas Mahathir
yang mencetuskan pelbagai tuduhan ke atasnya, semata-mata kerana dia berani
mencabarnya.)
Pada September 2, 1994, pemimpin Al Arqam Ashaari Muhammad
telah diculik di Chiang Mai oleh pasukan khas SB Malaysia dengan bantuan rakan
mereka di Thailand. Ashaari telah dibungkus untuk diterbangkan dengan helikopter ke
Kuala Lumpur. Dia telah dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA) dan
tidak dibenarkan menghubungi sesiapa.
Pada Oktober 20, ramai manusia telah meluru
ke Masjid Negara di Kuala Lumpur setelah mengetahui kehadiran pemimpin Arqam
bermuzakarah dengan pemimpin agama (kerajaan - penterjemah) untuk mengaku
apa (yang dikatakan -penterjemah) kesongsangan mereka dan mahu bertaubat. Majlis
itu telah dipengerusikan oleh seorang pegawai cawangan khas dan diselaraskan oleh
seorang Brigadier Jeneral bersama seorang professor (bidang agama) sebuah universiti.
(Brigadier
Jeneral ini sudah pun bersara dan menjadi ketua agama kerajaan UMNO. Inilah insan yang
pegang Rekod Dunia kerana berkhutbah sehingga mencetuskan jemaah mengadakan tujuh
kumpulan sembahyang zohor -penterjemah)
Ashaari telah mengaku dengan segala
tuduhan dan berterima kasih kepada pihak polis kerana mengadakan muzakarah itu. Ketika
dalam tahanan itu dia dapat mengenal kesilapannya dan mahu berbalik ke pangkal
jalan. Dia dibebaskan pada 28 Oktober dengan syarat yang ketat. Kini
dia dikenakan tahanan dalam rumah dan tidak dibenar mengeluarkan sebarang kenyataan.
Pada
hari ini, 29 ahli Al Ma'unah sedang dikenakan tuduhan menderhaka di bawah satu
undang-undang darurat khas yang membenarkan pihak pendakwa mengemukakan sebarang bukti.
Pihak peguambela tidak diberikan kemudahan menyiasat bukti itu kerana alasan
risiko keselamatan.
"Sekali lagi kerajaan membuat kesilapan yang besar.
Kerajaan tidak mampu mengadakan pengadilan terbuka kerana rakyat tidak mempercayai
konspirasi itu lagi. Malahan PAS mengatakan perkara itu satu kerja
jenayah," kata Mansor.
"Nampaknya kerajaan sudah tidak bijak
lagi."
Inilah yang membuatkan semakin ramai rakyat Malaysia yang beranggapan
bahawa memang sudah lama tidak ada lagi gelanggang yang rata. Malahan si perdana
menteri itu terlalu cekap mengalih-alihkan tiang gol yang ada.
-The Nation,
Thailand- 3 Disember, 2000.
Terjemahan MT
|