MGG 142:
Ikatan
Cina Lunas (Fwd: The Chinese Connection
In Lunas)
Leslie Lau - Singapore Straits Times.
Kurang sedikit
daripada 10,000 penduduk Cina yang membuang undi di pilihanraya kecil Lunas, minggu
lalu. Tetapi keputusannya telah bergema sebagai satu ingatan yang jelas. Mereka telah
menyokong calon pembangkang dan sekaligus memberitahu pemimpin negara bahawa
mereka tidak harus dipandang sambil lewa sahaja.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr.
Ling Liong Sik telah berkata bahawa Barisan Nasional (BN) harus membuat kajian
kenapa ia kalah kepada Barisan Alternatif (BA). "Kita mesti mengkaji
masalahnya dan menghadapinya dengan berani. Macam mana kita boleh menang dengan majoriti
yang tinggi tahun lalu tetapi mengalami kekalahan masa kini,' kata beliau.
Dalam
pemilu November tahun lalu, BN dapat mengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga di
parlimen. Kemenangan ini dikatakan disebabkan sokongan masyarakat Cina yang
dikatakan juga amat mencurigai BA.
Pihak pembangkang dianggotai oleh sebuah
parti yang didominasi oleh kaum Cina yang bernama Democratic Action Party (DAP),
parti yang direstui oleh Anwar Ibrahim - Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti
Islam SeMalaysia (PAS). (Penulis ini terlupa PRM dan juga satu kumpulan yang dipelopori
oleh Dr. Nasir yang masih belum diluluskan oleh Pendaftar -penterjemah).
Satu
ketika dulu, kempen BN memberi fokus kepada kesangsian masyarakat Cina terhadap
matlamat PAS yang mahu mewujudkan satu negara Islam. Satu tahun telah berlalu, kini
pemimpin masyarakat Cina berkata bahawa kepimpinan BN, terutama sekali menteri
yang bukan Cina telah terlupa akan kewujudan rakyat marhaen.
'Menteri bukan
kaum Cina amat jarang berkomunikasi dengan masyarakat Cina, kerana itu
masalah kami tidak sampai kepada pengetahuan pemimpin nasional.' Demikian pendapat Datuk
Fong Thien Heng, timbalan presiden FECAM (Gabungan Persatuan-Persatuan Cina).
'Walau
bagaimana pun, janganlah pula BN menganggap keputusan pilihanraya itu sebagai satu
musibah ataupun terlalu memikirkan bahawa kuasanya itu sedang terancam. Masyarakat
Cina menggunakan pilihanraya kecil ini untuk mengingatkan BN. Pembikinan jambatan
baru dan jalan raya bukannya satu kerja yang tidak baik, tetapi janganlah lakukannya
semasa pilihanraya datang menjelma sahaja.' Demikian kata Datuk Fong lagi.
Ketika
kerajaan berkempen di Lunas, presiden MIC yang juga merangkap Menteri Kerja Raya telah
membelanjakan lebih RM20 juta untuk pembangunan prasarana. Tetapi, para pengundi
tidak mudah memakan umpan undi itu. Inilah yang mempunahkan metos palsu betapa BN boleh
menang mudah dalam satu kawasan pilihanraya yang mempunyai bilangan pengundi yang
majmuk, seperti Lunas.
Ada yang beranggapan bahawa undi Cina akan berpihak kepada
kerajaan BN sedangkan undi orang Melayu akan berpecah berdasarkan sokongan mereka
kepada UMNO, PAS dan Keadilan.
Pada kali ini masyarakat Cina amat perihatin
dengan masalah nasional dan tidak mementingkan masalah tempatan. Ini amat
bercanggahan dengan amalan tradisi pilihanraya kecil.
Timbalan presiden
MCA, Datuk Chua Jui Meng ada berkata: 'Keputusan itu adalah satu isyarat betapa pengundi
Cina tidak merasa senang dengan beberapa isu negara. Kita mesti merapati mereka dan
memahami dengan lebih dalam lagi perasaan mereka itu.'
Pucuk pimpinan negara
telah memperakui betapa masyarakat Cina tidak puas hati dengan segelintir
isu penting sahaja. Salah satu isu itu ialah kenyataan Perdana Menteri Mahathir
Mohammad yang menuduh sekumpulan kumpulan melobi Cina sebagai kumpulan pelampau
dan menyamakan mereka dengan komunis.
Masyarakat Cina juga tidak merasa senang
dengan konsep Sekolah Wawasan. Kerajaan berkata konsep itu akan memperbaiki
hubungan kaum terutama di antara Melayu, Cina dan India. Tetapi, masyarakat Cina menganggapnya
sebagai satu ancaman kepada lebih daripada 1,000 sekolah rendah Cina di seluruh negara.
Kerajaan pula berkata konsep itu tidak berupa satu paksaan.
Mengikut Datuk
Chua inilah sebabnya ramai pengundi Cina di Lunas merasa sukar untuk menyokong BN.
-Leslie
Lau-
Terjemahan MT
|