minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

KE ARAH PEMBENTUKAN KERAJAAN ALTERNATIF

AKAN GUGURKAH KEWUJUDAN SEBUAH NEGARA ISLAM?

(Artikel ini ditujukan khas buat MT. Saya cuba menjelaskan satu persoalan yang ditimbulkan oleh netters berkisar tentang implikasi yang perlu ditanggung oleh PAS akibat berkerjasama dalam gabungan alternatif dalam perjuangannya menegakkan negara Islam)

Terlebih dahulu perlu saya nyatakan di sini bahawa pandangan dan pendapat yang saya utarakan tidak semestinya menggambarkan pendirian PAS. 

Persoalan di atas bukan sahaja timbul di kalangan ahli PAS, malahan oleh majoriti rakyat negara ini. Ia mungkin timbul dari pemahaman terhadap perjuangan PAS untuk menegakkan sebuah negara Islam di bumi Malaysia. Bagaimana pun saya rasa pasti negara Islam sangkaan atau telahan yang dibuat oleh majoriti rakyat Malaysia itu tidak selaras, sebagaimana hasrat perjuangan PAS sebenar.

Memahami Perjuangan PAS

Sebelum menjawab persoalan yang dikemukakan amatlah perlu kita memahami matlamat perjuangan PAS. Saudara bolehlah merujuk dan mendapatkan jawapannya dalam ruangan Titipan Jihad di laman ini. Namun bolehlah saya ringkaskan bahawa matlamat perjuangan PAS ialah mengurus dan mentadbir negara Malaysia berasaskan daulah Islamiah atau kedaulatan undang-undang yang dianjurkan oleh syarak, sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Hadith Nabi.

Bagaimanakah yang dikatakan negara Islam yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah itu?

Peringkat perjuangan PAS

Hakikatnya untuk memberikan kefahaman kepada 23 juta penduduk negara ini (kita bercakap dalam konteks negara Malaysia sahaja) memanglah menjadi masalah kepada PAS, apa lagi dengan ketiadaan sumber penyebar maklumat seperti TV dan radio. Justeru itu di sini kita dapat lihat perjuangan PAS dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu 

  1. Memberikan kesedaran kepada orang Islam (dan bukan Islam) tentang kewajipan kita menegakkan sebuah negara Islam, 
  2. Mendalamkan kefahaman itu dari pelbagai sudut undang-undang dan peraturan serta hukum-hukum tertentu, 
  3. Melahirkan satu jemaah yang kukuh dasar perjuangannya terhadap Islam
  4. Membentuk satu gabungan di antara ulama-ulama yang dapat memecahkan segala permasalahan yang berkisar terhadap negara Islam dan masalah umat Islam
  5. Menyertai pilihan raya sebagai satu proses perjuangan untuk menukarkan sistem sekular kepada sistem yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah.

Di peringkat satu, kita lihat bahawa proses ini sudah lama berjalan iaitu sejak PAS ditubuhkan pada 14 Jun 1955 lagi. Setelah mengharungi lebih 45 tahun saya percaya majoriti rakyat beragama Islam dan sebahagian dari yang bukan beragama Islam kini sudah memahami tuntutan terhadap mengujudkan sebuah negara Islam, walau pun versi negara Islam sebagaimana yang dihasratkan itu berbeda mengikuti kefahaman masing-masing dan pelajaran yang mereka terima. Di sinilah letaknya tanggungjawab yang berat terhadap seluruh warga negara yang beragama Islam.

Pada peringkat ini masalah timbul kerana orang Islam sendiri gagal memahami tuntutan agama sendiri. Dalam dasar pendidikan yang diamalkan di negara ini tidak pula menyatakan dengan jelas akan tuntutan itu, disabitkan ianya berasaskan dasar pendidikan sekular yang mengagungkan sistem demokrasi ciptaan barat.

Justeru itu kita lihat PAS cuba memberikan kefahaman melalui dasar pendidikan yang berasaskan Islam. Perkara ini telah diterapkan di sekolah-sekolah yang didirikan oleh PAS di merata tempat di negara ini. PASTI umpamanya adalah laluan awal di peringkat ini untuk memberikan kefahaman yang jelas kepada anak-anak tentang perlunya kita mengimbangi antara tuntutan dunia dan akhirat.

Hasil yang telah dilakukan oleh PAS dan pertubuhan lain yang berjuang menegakkan dasar pendidikan Islam, maka dapat kita lihat generasi merdeka rakyat negara ini sudah mulai sedar tentang kewajipan menegakkan sebuah negara yang berasaskan undang-undang Al-Quran dan As-Sunnah. Sedikit sebanyak perkembangan ini juga boleh diperolehi di sekolah  sekular di mana kerajaan mengadakan pelajaran ugama Islam. Saya percaya hampir kesemua ustaz dan ustazah yang mengajar, jujur dalam menyampaikan mesej agama Islam dengan menyelitkan kesedaran sebegini.

Apabila kefahaman mengenai tuntutan ini telah ada dalam diri sebahagian rakyat, maka kita lihat berbagai inisiatif dibuat untuk meluaskan aktiviti kefahaman ini. Berbagai majlis penerangan, keagamaan dan sebagainya dijayakan dengan tujuan agar dapat mendalamkan kefahaman tentang agama Islam dan tuntutan yang perlu kita jalani sebagai seorang Islam. Perkara ini berlaku di semua tempat samada surau, masjid, sekolah, kolej, universiti, dewan, dan lain-lain. Hatta masa kini kita lihat perbincangan mengenai Islam dibuat di mana sahaja termasuk dalam ceramah politik di markas, jalanan atau tempat yang eksklusif.

Akibat kefahaman yang jelas oleh rakyat marhaen, maka satu jemaah yang kukuh dapat dihasilkan. Justeru itu tidak hairanlah kita lihat begitu ramai yang memohon masuk keahlian PAS. Sehingga kini angka rasmi menunjukkan PAS sudah mempunyai ahli rasmi melebihi  1 juta orang. Oleh kerana syarat PAS menetapkan hanya orang Islam sahaja boleh menjadi ahli, maka kita lihat angka ini tulen dari orang Melayu dan lain-lain bangsa yang beragama Islam sahaja. Hakikatnya jika keahlian PAS terbuka kepada orang bukan Islam saya percaya PAS boleh meningkatkan angka ini kepada 2 juta.

Namun walaupun keahlian tetap penting, secara tidak langsung kini apabila bergabung dalam alternatif maka kita dapat lihat ahli rasmi keempat-empat parti PAS, PKN, DAP dan PRM mencecah angka melebihi 3 juta ahli. Namun kita jangan lupa kepada mereka yang enggan menjadi ahli akibat sekatan dan halangan tertentu dan bilangan ini sudah pastinya boleh ditingkatkan lagi.

Kebaikan reformasi

Akibat proses reformasi yang berlaku di Malaysia secara tidak langsung juga sebenarnya membantu kefahaman Islam meluas lebih jauh lagi. Umpamanya apabila kes liwat DSAI diperbincangkan, pastinya ia akan diperbincangkan dari sudut perundangan negara (perundangan sekular) juga dari sudut perundangan Islam. Hakikat ini tidak dapat ditolak sehingga orang bukan Islam sendiri sudah terdedah kepada hukum Islam dan yang sewajarnya patut diterima oleh peliwat.

Ini satu kebaikan reformasi. Justeru perkembangan ini membantu kefahaman Islam berlaku dengan cepat samada di kalangan orang Islam sendiri, mahu pun bukan Islam. 

Akibat fitnah yang berlaku dalam kemelut politik UMNO juga memberikan sumbangan mempercepatkan berlakunya peringkat yang saya susunkan di atas. Di sini kita dapat lihat semakin ramai ulama kerajaan 'melarikan diri' dengan pelbagai cara dan bersatu di bawah kepimpinan PAS. Tidak perlulah saya senaraikan bilangan mereka saya rasa para netters sekelian dapat memberikan angkanya. Cuma sedikit saya ingin memberikan penekanan bahawa akibat dari enggan bersekongkol  dengan fitnah dan maksiat yang berlaku dalam pimpinan kerajaan BN, maka ulama-ulama ini rela meletakkan jawatan atau disingkir dari jawatan mereka.

Kerajaan BN singkir agama dari politik pentadbiran

Satu akibat yang baik dari perletakan jawatan atau penyingkiran para ulama di pihak kerajaan ialah kerana mereka menyertai gabungan para ulama yang lain yang pastinya mempunyai satu matlamat san satu tujuan. Kerana itu tidak keterlaluan jika saya katakan ulama-ulama dalam kerajaan BN hampir tiada dan jika ada sekalipun mereka laksana kuku yang tumpul kerana pelbagai sekatan dan halangan. Sebaliknya mereka yang sedia memahami perjuangan PAS sedia terus berjuang bersama rakyat lain bagi merealisasi perjuangan untuk menegakkan sebuah negara Islam.

Gabungan para ulama di bawah PAS sebenarnya hampir mencapai kekuatan yang sebenar. Di sini kita lihat mereka berperanan besar untuk membawakan pendidikan Islam secara tidak formal melalui ceramah politik yang seringkali diadakan di mana sahaja.

Berbalik kepada persoalan apakah akibat yang perlu ditanggung oleh PAS dalam pakatan alternatif secara ringkasnya kita lihat ianya memudahkan proses Islamisasi di negara ini. Proses Islamisasi ini bukan bererti mengIslamkan semua rakyat negara ini. Ianya lebih kepada kefahaman dan penerimaan Islam sebagai cara hidup meskipun ada di antara mereka enggan memeluk Islam dan mahu kekal dalam agama masing-masing. Di sini saya ingin membawa satu contoh yang baik ke arah proses Islamisasi ini. Cuba perhatikan kenyataan ini.

Apakah hakikat ini tidak boleh diterima sebagai bukti bahawa proses reformasi, perjuangan keadilan, perjuangan mendapatkan kembali hak rakyat itu membantu mempercepatkan proses Islamisasi di negara ini. Ini adalah kerana perjuangan yang bersifat sedemikian itu adalah tuntutan agama lain di dunia dan sebahagian dari tuntutan agama Islam. Justeru sebahagian lagi akan lebih memudahkan para pendakwah melaksanakannya.

Arah perjuangan Barisan Alternatif

Jika bercakap soal akibat atau implikasi dalam gabungan alternatif, kita harus melihat ke arah mana perjuangan gabungan parti dalam barisan alternatif. Secara ringkas kita dapat melihat perjuangan ini adalah untuk mengujudkan Malaysia yang progresif, dinamik, telus, adil yang menjanjikan hak sama rata ke atas semua rakyat. Ini sudah pastinya berlainan dengan BN yang mahukan sebahagian sahaja menikmati kekayaan dan kesenangan hidup (para kroni putra) sedangkan tuntutan rakyat kebanyakan (marhaen) dilupakan begitu sahaja. Sebaliknya kehidupan mereka ditindas melalui pelbagai cara serta hak mereka dinafikan.

Akibat perbezaan ini maka BA lebih disenangi dan prinsip perjuangan mereka lebih dihormati. Maka dengan menyertai gabungan alternatif maka sebahagian hasrat dan perjuangan PAS sudah tercapai. Sekiranya kerajaan alternatif wujud nanti, maka pastinya kita akan lihat perjuangan PAS akan berterusan sehingga sebenarnya sebuah kerajaan Islam yang berlandaskan prinsip Al-Quran dan As-Sunnah wujud.

Terlaksananya sebahagian perjuangan PAS

Sebagai kesimpulan mudah dalam penulisan ini maka dapatlah saya rumuskan bahawa dengan menyertai gabungan alternatif kesemua parti komponen PKN, DAP dan PRM mencapai matlamat masing-masing, manakala ianya menyempurnakan sebahagian dari matlamat perjuangan PAS. Jika dalam sebuah negara yang menjanjikan hak rakyatnya terjamin (kerajaan Alternatif) saya percaya akan lebih cepat perjuangan PAS untuk mendirikan negara Islam tercapai. In disebabkan sekatan dan halangan yang diwujudkan oleh kerajaan BN sudah tiada lagi dan pada ketika ini kefahaman Islam dapat disebarkan secara terperinci, jelas dan lebih terbuka.

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter