minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

PAS GAGAL RAIH UNDI BUKAN MELAYU?

Dalam sebuah tulisan berjudul “Kaburnya Bintang Umno “ yang tersiar di laman Minda Rakyat baru-baru ini antara lain Anonymous (penulis tidak mahu dikenali) menyebut “mengapa keADILan boleh menang di kawasan hanya 43% Melayu, 38% China dan 19% pengundi India? Ini adalah satu perkembangan unik bagi parti yang baru 1 ˝  tahun berbanding DAP, PRM dan PAS yang sudah lebih dari 35 tahun diwujudkan. Mengapa? Apa dah jadi dengan Umno?” Saya tidak bermaksud untuk mempertikaikan hujah-hujahnya yang lain kerana kelima-lima alasan yang diberikannya adalah logik dan berasakan fakta. Cuma paragraf di awal yang dipetik di atas terasa ada unsur yang kurang selesa ketika kita membacanya.

Kemenangan di Lunas adalah hasil kerjasama dari semua parti yang bergabung dalam Barisan Alternatif. Tanpa sokongan yang kuat dari pemimpin dan ahli-ahli PAS serta pemimpin dan ahli-ahli DAP tentu ianya sesuatu yang sukar untuk dicapai.Hanyalah gabungan mantap dan toleransi dari DAP dan PAS menyebabkan KeADILan menang dalam pilihanraya kecil itu yang sekaligus menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional dalam DUN Kedah. Satu pencapaian yang membanggakan. KeADILan tidak perlu berasa bangga bahawa itu adalah kemenangan satu parti, tetapi itu adalah kemenangan bersama.

Semoga perasaan bangga dan sedikit ego itu akan cepat terpadam kerana ia laksana bara api yang kian marak jika dibiarkan. Perjuangan kita masih jauh. Tahun 2004 menanti kita dengan penuh cabaran samada Barisan Alternatif mampu menumbangkan BN atau tidak. Jika gagal, di bahu kitalah terletaknya kegagalan itu sekaligus usaha untuk menegakkan keadilan dan menumbangkan kezaliman akan gagal. Sebab itu kita perlu mengenepikan perasaan sedemikian awal-awal lagi demi untuk mencapai tujuan yang lebih besar.

Soalnya benarkah PAS gagal meraih undi bukan Melayu selama ini walaupun sudah lebih 35 tahun berjuang melalui pilihanraya. Selama ini pun kita melihat apa sahaja hujah PAS dalam usaha mendaulatkan Islam selalu ditangkis oleh BN khususnya Umno melalui media massa yang dikuasai mereka. Mereka bahkan sanggup menggadaikan akidah mereka demi untuk mematahkan hujah PAS. Di sebelah pihak, PAS  tidak mempunyai media yang tersusun dan teratur untuk memutarbalikkan hujah-hujah pemimpin Umno kecuali Akhbar Harakah yang sekarang ini hanya diizinkan terbit dua minggu sekali. Tentulah dalam keadaan bersendirian PAS sukar untuk meraih undi bukan Melayu, apalagi ia adalah sebuah parti berasaskan ideologi yang memang pun telah dikaburkan oleh media massa arus perdana itu sendiri. Pihak Barat sendiri pun telah berusaha memisahkan Islam dari penganutnya sejak lebih seribu tahun yang lalu melalui usaha-usaha sekularisme, orientalisme, kapitalisme dan berbagai-bagai isme lagi agar umat Islam sendiri kabur tentang agamanya. Inilah realiti yang dihadapi oleh PAS.

Pakatan dengan DAP dan Semangat 46 juga tidak membuahkan apa-apa hasil, kerana media massa yang dikuasai mereka cukup berkesan ketika itu dan Angkatan Perpaduan Ummah itu tidak dapat menangkis serangan-serangan BN dengan segera khususnya dalam kempen pilihanraya di mana tindakan perlu cepat dan tangkas.

Keadaan itu berbeza sekarang ini dengan penggunaan internet dan laman-laman web dalam menyampaikan maklumat dan menangkis hujah lawan. Walaupun anggaran kasar sekarang ini penggguna internet baru mencapai angka sejuta lebih, tetapi maklumat yang disampaikan akan dapat disebarkan segera melalui kawan-kawan, sahabat handai bahkan ada yang mengepos risalah-risalah yang dicetak dari internet ke kampung-kampung. Semua keadaan ini dilihat  sangat membantu penyebaran maklumat sekaligus kebenaran dapat juga di sampaikan.

Pun begitu, Kelantan dan Terengganu kini ditadbir oleh PAS, sebuah parti dari gabungan Barisan Alternatif. Tentulah kemenangan yang besar yang diraih oleh PAS   dalam pilihanraya 1999 yang lalu adalah sokongan kuat dari rakan-rakan dari Barisan Alternatif termasuk KeADILan, DAP dan PRM. Tentunya juga ramai pengundi-pengundi bukan Melayu mengundi PAS khususnya di Kelantan dan Terengganu. Sekiranya rakyat negara ini lebih memahami dasar PAS yang sebenarnya selaras dengan prinsip keadilan dalam Islam yang tidak mengira kaum dan darjat, tentu lebih ramai lagi yang akan mengundi parti PAS. Soalnya serangan pemikiran atau pun “ghazwul fikri” yang dilancarkan oleh pihak Barat sedang mengelabui bukan sahaja pemikiran umat Islam ini, bahkan juga masyarakat bukan Islam juga sukar untuk memahami dan menilai Islam itu yang menjadi dasar parti PAS sepertimana yang tercatat dalam perlembagaan parti itu. Sekiranya kekaburan-kekaburan ini dapat diatasi, bukan sahaja rakyat Malaysia, bahkan di seluruh pelusuk dunia akan rela dan bangga menerima sistem Islam sebagai sistem hidup bermasyarakat dan bernegara .

Dengan demikian, tidak timbul persoalan samada PAS dapat meraih undi dari bukan Melayu atau tidak. Yang perlu dipersoalkan adalah bagaimana kita dapat lebih mengeratkan dan menguatkan saf dalam Barisan Alternatif di masa-masa mendatang, bukan hanya di kala pilihanraya kecil atau umum. Kita harus lebih mantap dan tersusun. Seperti kata cendekiawan gerakan Islam “kebatilan yang tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.” Tentunya kita perlu lebih tersusun dari mereka (BN), jika kita berhasrat menewaskan meraka suatu hari nanti.  

 

AlRembauwi,

2.12.2000                    

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter