MGG140
LUNAS: Barisan Nasional Tak
Faham Lagi
(MGG: LUNAS: The National Front Misses The Point
Again)
Keputusan pilihanraya kecil Lunas, seperti yang
difahami oleh Perdana Menteri adalah satu keputusan yang tidak menggambarkan
kecurangan kaum Cina ataupun ketidak-syukuran kaum India. Ia adalah satu gambaran betapa
berubahnya sokongan orang Melayu terhadap UMNO. Selesai sahaja pilihanraya itu, Barisan
Nasional tidak pun mengadakan mesyuaratnya. Tidak juga MIC. Hanya UMNO yang
mengadakan mesyuarat itu dan selama empat jam Perdana Menteri telah bercakap
merapu-rapu sambil mengeluarkan kata-kata yang menyerang kaum Cina lagi. Barisan
Nasional sebenarnya telah tersilap dengan anggapan bahawa undi kaum Cina adalah
undi penentu. Tetapi, parti kaum Cina itu, MCA dan Gerakan tidak berminat untuk
berkempen. Mereka membiarkan menteri kabinet daripada UMNO untuk
melakukan segala proses meyakinkan pengundi Cina mengenai Sekolah Wawasan. Sedangkan
mereka sendiri pun memang curiga akan konsep sekolah itu. Gerakan yang mempunyai
hubungan lebih mesra dengan akar umbi jika dibandingkan dengan MCA telah
dipinggirkan dan kerana itu sengaja berdiam diri. MCA pula cuba menangani masalah itu
secara sambil lewa sahaja. Pihak pembangkang, PAS dan Keadilan dan di tahap akhir kempen
muncul pula DAP, telah mengungkit perkara itu secara terang-terangan dengan bantuan
beberapa pendidik Cina dan Suqui membantunya. Mereka telah berjaya mengganyang segala
saranan BN mengenai isu itu. Pengundi India pula dianggap laksana 'simpanan tetap bank'
kepada Barisan Nasional. Anggapan seperti inilah yang membuatkan kaum Cina dan
India meradang dan membuatkan mereka memangkah calon Keadilan, Saifuddin Nasution
Ismail.
Selama tempoh berkempen, masyarakat Melayu yang
memang sudah berubah kesetiaannya, menjadi semakin marah kerana mereka sengaja
dipinggirkan. Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi pernah diperlekehkan
oleh tuan rumah yang cuba diziarahinya. Seorang menteri yang berjaya bersalaman
dengan sepuluh orang Islam selepas sembahyang Jumaat tiba-tiba ditepis tangannya oleh
seorang anggota polis yang masih lagi berkhidmat dengan negara. Kisah seperti ini
bukan satu kisah yang ganjil. Orang Melayu sebenarnya yang membuatkan Barisan Nasional
menjadi bercelaru sekarang ini. Bukannya orang Cina ataupun India. Malahan orang Melayu
yang berjaya menahan 12 buah bas luar yang sarat dengan penumpang yang dikatakan datang
untuk membantu berkempen. Sedangkan pada hari itu kerja-kerja kempen-mengempen tidak
lagi dibenarkan. Satu kajian rambang yang diambil menunjukkan mereka
bukannya pengundi di kawasan itu.
Inilah caranya Barisan Nasional mengangkut
pengundi hantu dalam pemilu yang lalu, seperti yang diperakui oleh ahli-ahli UMNO.
Pihak pembangkang terutama sekali mereka daripada Keadilan memang amat arif dengan
kaedah itu kerana mereka pernah menjadi pakar menguruskan hal itu satu ketika dulu.
Perdana Menteri dan beberapa juaknya telah mengalirkan air mata buaya dalam perkara ini.
Tetapi, bolehkah BN menafikan betapa polis telah mengiringi bas itu keluar daripada
Lunas kerana mereka memang sebenarnya pengundi hantu? Pengundi hantu itu telah
terpaksa kelaparan ketika itu. Tetapi itu satu perkara yang tidak relevan. Isu
penting yang tidak diungkit di Lunas, walaupun BN cuba menafikannya dengan keras
ialah kisah mantan timbalan perdana menteri yang terus diaibkan. Apabila Ketua Peguam
Negara menyatakan yang beliau akan meneruskan lima lagi tuduhan terhadap
Anwar Ibrahim, sebaik sahaja selesai kes rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada akhir
bulan ini, ia telah menghangatkan suasana bukan di Lunas sahaja.
Pada 9 Disember 2000 nanti, ahli parlimen PAS,
Mahfuz Omar, akan dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama satu bulan kerana
keengganannya membayar denda sebanyak RM1,000. Rakyat sudah pun merancang berhimpun
beramai-ramai seperti yang mereka lakukan pada 5 November di Jalan kebun dulu, di
hadapan Penjara Kajang. Inilah gambaran betapa sokongan orang Melayu sudah banyak
berubah. Semua ini adalah disebabkan cara Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat. Gelombang
kebangkitan orang melayu menentang UMNO itu adalah disebabkan cara pengaiban Anwar itu
adalah bertentangan dengan budaya Melayu. Perdana Menteri sedang diperangkap oleh jebak
yang dipasangnya sendiri. Kerana itu dia tidak berani berkempen di Lunas kerana takutkan
musibah. Menterinya pula mengeluarkan kenyataan dungu yang menggambarkan
kebodohan mereka hingga menaikkan kemarahan rakyat. Inilah menjadikan proses berkempen
itu satu usaha yang semakin merobah kesetiaan pengundi yang ada.
Barisan Nasional telah menggunakan gambar Perdana Menteri
sebagai bahan kempen, merata tempat. Inilah yang membuatkan munculnya gambar Dato
Seri Anwar dengan mata lebamnya. Ketika itulah Barisan Nasional menerima kekalahannya,
walaupun MIC sudah menang. Reaksi Mahathir terhadap penggunaan gambarnya itu memang
membuat orang meluat. Memang gambar semua perdana menteri, termasuk Tengku Abdul Rahman
Putra telah digunakan untuk kempen pilihanraya. Tentu sekali gambar dia pun boleh
digunakan. Jawapan semacam itu menunjukkan keangkuhannya, kesombongannya dan
betapa tidak relevannya beliau dalam percaturan kempen Barisan Nasional. Kini UMNO mahu
meminda hukum-hakam pilihanraya kerana pihak pembangkang mampu bermain mengikut rentak
dan ragamnya dan mampu mengalahkannya pula. Nampaknya mereka mahu bermain api lagi. Pada
masa dulu, Barisan Nasional memandang pihak pembangkang seperti pihak pembangkang
menganggap mereka sekarang ini. Syaratnya ialah sokongan Melayu itu berada di pihaknya.
Barisan nasional boleh meraih sokongan orang Melayu dan Cina, tetapi haknya untuk
terus mengekalkan kuasa tidak lagi berupa sesuatu yang muktamad.
Secara tidak ikhlas Mahathir telah mengaku
bahawa dia adalah penyebab kekalahan di Lunas. Di waktu yang sama dia menuduh orang lain
juga kerana kekalahan itu. Sebenarnya dia dan juga rakan kolisi beliau yang telah
mula-mula sekali menimbulkan kisah perkauman dan keagamaan sebagai isu
pilihanraya. Mereka tidak senang melihatkan proses pilihanraya itu berakhir
dalam satu suasana yang selesa. Kemampuan pihak pembangkang menangani masalah kehangatan
berkempen tidak memberi mereka peluang untuk menggunakan kekerasan kerana yang
memberi ruang kepada isu yang sensitif itu adalah Barisan Nasional dan bukannya Barisan
Alternatif. Yang menuduh kaum Cina dan India sebagai kumpulan ekstrim dan banyak yang
buruk-buruk lagi ialah Barisan Nasional. Apabila Barisan Nasional dicabar
mengenai Sekolah Wawasan, MCA dan Gerakan mengambil sikap membisu. Tetapi BN tidak pula
mahu memberikan penerangan yang jelas untuk melegakan hati para pendidik Cina.
Sebaliknya, kumpulan itu dituduh sebagai kumpulan ekstrim (pelampau). Di waktu yang sama
Ling Liong Shik sebagai presiden MCA telah membuat pengumuman mengenai pelancaran dua
buah sekolah seperti itu. Dia pun masih enggan memberikan penjelasan kepada
kumpulan pendidik Cina apa maknanya Sekolah Wawasan itu.
Perbuatan memburukkan masyarakat Cina itu adalah
bertujuan untuk meraih sokongan masyarakat Melayu. Usaha ini gagal segagalnya. Orang
Melayu memang sudah tidak percaya lagi dengan Perdana Menteri dan pemerintahannya. Kini,
orang Cina pula mula meragam. Barisan Nasional suka sangat memberikan gambaran yang
hanya ia yang mempunyai jawapan kepada setiap masalah yang muncul. Apa yang dihajatinya
ia mesti dapat walaupun ia merupakan sepotong kueh yang berada di angkasa. Inilah yang
membuatkan saya tertanya-tanya kenapakah UMNO dan bukannya Barisan Nasional yang
bersidang untuk membincangkan kekalahan di Lunas. Inilah bukti betapa presiden MCA dan
juga MIC cuba sedaya upaya menafikan bahawa UMNO dan bukannya Barisan Nasional
yang membuat segala penentuan. Ini juga membuktikan bahawa UMNO dan bukannya MCA ataupun
MIC yang menggeletar apabila pengundi Cina di Lunas menarik sokongan mereka dan
berpaling tadah untuk memenangkan calon Melayu di pihak pembangkang. Usaha untuk merobah
hukum-hakam pilihanraya kerana Perdana Menteri dipaksa mengaku bertanggungjawab dengan
keputusan pilihanraya itu, dan menuduh pihak pembangkang menggunakan isu perkauman dan
keagamaan tidak akan berjaya merobah arus peralihan sokongan yang
sudah pun berlaku. UMNO dan BN harus meneliti kenapa sokongan orang Melayu berubah.
Janganlah menuduh orang Cina sembarangan sehingga membuatkan mereka marah lagi.
Beranikah Perdana Menteri turun ke Lunas dan berucap dalam satu majlis politik?
Ataupun di kawasan parlimennya di Kubang Pasu? Beranikah dia berucap menjelaskan kepada
orang Melayu kenapa Dato Seri Anwar mesti dihapuskan? Kalau dia berani melakukannya dia
akan dapat jawapan sebenar kenapa BN kalah di Lunas. Dengan lain perkataan, BN telah
tersilap anggapan. Kerana itu tidak ada sebab kenapa Dr.Ling Liong Sik dan Dato Seri
Samy Vellu mesti terus menyalak tak tentu pasal.
Terjemahan MT