KENANGAN DI N.34 DUN LUNAS
Sesungguhnya kenangan di Lunas selama 11 hari saya
berada di sana tidak mungkin luput dari ingatan di
sepanjang hayat saya. Manakan tidak di sanalah
suka-duka, tawa riang dan sedu tangis kami kongsi
bersama bermula dari tarikh sebelum hari penamaan
calon lagi sehinggalah kepada keputusan pilihan raya
kecil itu diumumkan. Dari orang asing yang tidak
dikenali langsung kepada jalinan tali persaudaraan
yang sungguh ikhlas dan suci. Masing-masing telah
berikrar dan berazam untuk tetap bersama-sama semasa
susah dan senang. Sewaktu beberapa masalah meruncing
dan hampir menenggelamkan semangat juang di kalangan
kami, ramai pula yang tampil memupuk dan menyemai
kembali keazaman untuk terus berjuang. Indahnya
kenangan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Nikmatnya kemenangan itu tidak dapat diucapkan dengan
seribu bahasa. Yang lebih mengharukan lagi tidak
seorang pun yang mengharapkan sesuatu imbuhan atau
pulangan di penghujung titik perjuangan yang telah
membuahkan hasil itu. Air mata saya menitis apabila
ada beberapa pejuang yang terpaksa meminjam wang pula
untuk pulang ke tempat asalnya. Tidak pernah saya
alami rasa persahabatan dan persaudaraan yang serapat
dan sehebat ini. Rupa-rupanya masih ramai lagi rakyat
Malaysia yang memiliki semangat perjuangan yang gigih
seperti nenek moyang kita dahulu. Semoga Allah sahaja
yang dapat membalas segala pengorbanan suci mereka
itu!
Saya berada di Lunas sejak 3 hari sebelum hari
penamaan calon lagi. Pada masa itu digembar-gemburkan
yang wakil DAP akan menjadi calon BA di situ. Jika
diikutkan dari segi giliran memang logik. Maka DAP
jugalah yang pertama sekali membuka bilik gerakan di
Lunas selepas pihak BN lebih dahulu membuka bilik
gerakan utamanya yang sangat gah itu. Kami dengan
ikhlas hati menerima secara terbuka akan sesiapa jua
yang bakal menjadi calon BA memandangkan azam untuk
menumpaskan pihak BN yang angkuh itu sangat kuat. Jadi
saya dan beberapa rakan lain yang terdiri dari
berbilang bangsa telah berkunjung ke bilik gerakan DAP
dan telah memikul tugas membersihkan bilik gerakan itu
dan melakukan beberapa tugas yang lain secara suka
rela. Kami juga telah berkenalan terlebih dahulu
dengan Sdr. Kathiveloo (calon DAP yang bertanding untuk
DUN Lunas semasa pilihan raya 1999) dan Sdr. Neelam
yang diwar-warkan sebagai calon.
Kemudian kami dimaklumkan akan calon keADILan iaitu
Sdr. Saifuddin Nasution akan mewakili BA di DUN lunas.
Berita ini disambut dengan baik sekali memandangkan
rakyat tempatan sendiri (terutamanya Melayu dan Cina)
yang mengusulkan nama beliau. Maka kami pun beralihlah
ke bilik gerakan Pemuda keADILan dan bilik gerakan
utama keADILan yang mula dibuka di Taman Mewah Lunas.
Secara tiba-tiba ramai pula yang muncul untuk
berkhidmat secara suka rela. Orang-orang PAS mula
membuka UPU (Unit Peti Undi) di setiap kawasan sebanyak
19 buah. Semuanya berjalan dengan pantas dan lancar
sekali.
Pada malam pengishtiharan calon BA di Taman Kucai,
suasana begitu hangat sekali. Puluhan ribu rakyat
menyertai perhimpunan itu. Ramai yang masih tidak tahu
siapakah calon BA sehingga ke saat-saat terakhir. Saya
masih ingat akan sambutan hangat yang diberikan oleh
rakyat yang berbilang kaum apabila nama Saifuddin
Nasution diumumkan oleh Sdr. Azmin Ali sebagai calon
BA. Laungan suara rakyat yang bergema bersama-sama
dengan tangisan gembira menjadi pembakar semangat pada
malam itu. Ikrar dibuat untuk bekerja kuat menumpaskan
puak BN walau apapun cabaran yang mendatang. Pada
malam itu juga petugas-petugas bilik gerakan
bertungkus-lumus bekerja menyiapkan sepanduk kayu,
kain rentang dan poster-poster untuk dibawa semasa
perarakan hari penamaan calon pagi esoknya. Malam itu
juga menjadi titik permulaan para petugas bekerja
sehingga pukul 5.00 - 6.00 pagi. Berbanding dengan
pihak BN, kami sedar segalanya terpaksa diusahakan
dengan tulang 4 kerat sendiri. Semuanya kerana tiada
dana yang khusus untuk jentera pilihan raya ini.
Tabung pilihan raya juga belum lagi terisi.
Hari perarakan 21 November menyaksikan pertembungan di
antara penyokong BA dan Penyokong BN. Jumlah kehadiran
penyokong-penyokong BA berkali-kali ganda berbanding
dengan penyokong-penyokong upahan BN itu. Selori
sepanduk, poster-poster yang disediakan pada malam
sebelumnya diagih-agihkan di kalangan
penyokong-penyokong untuk dibawa semasa perarakan.
Paling memalukan apabila penyokong-penyokong BA
mengikat sekeping kain pelekat dan sehelai duit kertas
$10.00 pada sebatang kayu sebagai simbolis yang amat
bermakna buat juak-juak BN. Lucu pula rasanya apabila
penyokong-penyokong BN memasang kaset lagu apabila
tidak larat lagi hendak membalas laungan dan sorakan
dari penyokong-penyokong BA. Si ketua sorak depa pula
sampai tersasul melaung sebanyak dua kali....'Kita
perjuangkan KEADILAN, kita perjuangkan
KEADILAN!'....kemudian tersenyap seketika dan lantas
menukar ayat kepada ....'Kita perjuangkan KEAMANAN,
kita perjuangkan KEAMANAN!'. Ada pula seorang 'Puteri
Ganyut UMNO' yang histeria datang menerkam ke arah
penyokong-penyokong BA apabila tidak tertahan
mendengarkan lagu yang dinyanyikan secara spontan oleh
Dr. Hatta mengenai 'Puteri UMNO'. Mujurlah puak FRU
berbaris di tengah-tengah sebagai benteng pemisah di
antara pihak BA dan pihak BN. Maka niat 'puteri Ganyut
UMNO' hendak menyerang penyokong BA pun terbantut!
Dari atas bangunan Majlis Daerah Kulim dapat dilihat
akan barisan perarakan BN yang pendik berbanding
dengan barisan perarakan BA yang tidak kelihatan pun
penghujungnya. Di hari penamaan calon sahaja pun BA
sudah menang besar!
Selepas hari penamaan calon, bermulalah
petugas-petugas BA bekerja tidak mengira waktu dan
masa memastikan Lunas dapat ditakluki. Tabik kepada
barisan Pemuda keADILan yang telah dapat menyusun
program ceramah kelompok dengan amat berkesan sekali.
Pada malam itu juga 4 hingga 5 ceramah dibuat di
serata Lunas dan begitulah seterusnya. Setiap hari
selepas tengah malam apabila selesai program ceramah,
barisan Pemuda akan bermesyuarat menyusun strategi
seterusnya.
Hari-hari berikutnya kempen giat dilakukan dari rumah
ke rumah. Pihak wanita pula memainkan peranan yang
penting di dalam hal ini. Dari culaan awal didapati
rakyat Cina paling kuat memberikan sokongan. Semasa
satu jamuan makan malam anjuran rakyat Cina di Pekan
Lunas, kehadiran hampir 2,000 bangsa Cina direkodkan.
Saat yang paling mengharukan adalah semasa ketibaan
Dr. Wan Azizah dengan kerusi rodanya. Orang-orang Cina
yang hadir itu telah memberikan 'standing ovation'
kepada beliau dengan tepukan yang amat bergemuruh
sekali. Pada masa yang sama sebuah lagu Mandarin irama
sentimentel berkumandang menjadikan saya tersedu-sedu
menahan perasaan yang terharu. Seorang wanita Cina
yang menyedari saya menangis telah memeluk saya dan
mengatakan bahawa beliau memahami perasaan saya. Ya
Allah........Sesungguhnya inilah kemenangan yang
paling besar yang Kau anugerahi kepada kami. Perpaduan
dan rasa persahabatan yang sungguh ikhlas di kalangan
kami, Cina dan Melayu, dibuktikan pada malam itu.
Tiada langsung rasa curiga melainkan persefahaman dan
keazaman yang satu.....untuk mengajar si DIKTATOR TUA
dan bala tenteranya yang sangat sombong itu!
Kebanyakan sesi ceramah kelompok mendapat sambutan
yang amat menggalakkan dari penduduk tempatan. Ada
satu dua ceramah yang kurang mendapat sambutan itupun
disebabkan cuaca hujan yang tidak diduga. Pada satu
malam di Padang Serai apabila saya berpeluang
mengiringi Sdr. Saifuddin Nasution melawat bilik
gerakan di sana, orang-orang Cina yang ada di sekitar
kedai-kedai di situ telah menyerbu dan melaung
'REFORMASI' kepada kami. Sungguh mengkagumkan semangat
yang ditunjukkan oleh mereka itu. Apabila kami
membalas dengan kata-kata 'KAIKEK', mereka menjadi
lebih bersemangat lagi. Di Lunas inilah rupanya
menjadi saat kebangkitan orang-orang Cina menentang
KERAjaan zalim MADEY terkutuk itu.
Pemimpin-pemimpin BN yang terdiri dari menteri-menteri
kabinet kelihatan bersepah-sepah di Lunas. Namun
kehadiran mereka tidak sedikitpun menarik perhatian
kebanyakan masyarakat tempatan. Ceramah-ceramah
kelompok mereka amat memalukan dari segi sembutan.
Akhirnya pihak BN terpaksa mengadakan ceramah di
hadapan bilik gerakan utama mereka dan ini juga tidak
mendapat sambutan. Berbanding dengan bilik gerakan
utama keADILan di Taman Mewah, saban malam beribu yang
berhimpun. Ditambah gerai-gerai yang dibuka berderetan
seperti sebuah pasar malam di situ. Meriah sungguh
suasana di situ. Menjelang tengah malam apabila
semakin ramai yang berhimpun, di tepi-tepi jalan yang
bertentangan dengan bilik gerakan pula menjadi
tumpuan. Penyokong-penyokong BA akan berdiri di
kedua-dua jalan yang bertentangan melambai dan
melaungkan REFORMASI dan lain-lain slogan kepada
setiap kenderaan yang lalu lalang. Kenderaan-kenderaan
yang lalu lalang di situ juga memberikan respons tanda
sokongan dengan membunyikan hon masing-masing. Memang
benar BA telah menawan Lunas pada setiap malam. Oleh
kerana dikhuatiri provokasi oleh pihak BN, Sdr. Ezam
telah mengeluarkan arahan agar konvoi bermotor dengan
bendera keADILan diharamkan. Ternyata
penyokong-penyokong muda BA yang begitu ghairah untuk
berkonvoi dengan motor mematuhi arahan itu. Tabik
kepada mereka yang amat berdisiplin sekali itu.
Sesuatu yang tidak dapat saya lupakan adalah peluang
bersua muka dengan si DOLLAH BADAWI pada satu petang
di pekan Lunas. Si DOLLAH BADAWI dengan sekelumit
gerombolannya berjalan di Pekan Lunas dengan tujuan
untuk melawat ke setiap deretan kedai Cina di situ.
Kebetulan pula satu bilik gerakan BA yang dipelopori
oleh PAS dan keADILan Melaka juga terletak di situ.
Melihatkan kedatangan mereka dari jauh itu,
petugas-petugas bilik gerakan di situ lantas membuat
poster 'bidan terjun' di atas kertas manila antaranya
berbunyi...'Undur Mahathir Undur' dll dan bersiap
sedia menunggu rombongan DOLLAH BADAWI. Tepat sahaja
si DOLLAH BADAWI berada di hadapan kami, tidak sampai
pun 3 kaki jaraknya, kami melaung sekuat-kuat hati kami...'REFORMASI! REFORMASI!
REFORMASI! HIDUP BA!'
sehingga mereka lenyap dari penglihatan. Rupa Pak Lah
nampak serebeh sungguh mendengarkan laungan kami.
Terasa satu kepuasan dapat menghamburkan kata-kata itu
di hadapan muka DOLLAH BADAWI sendiri. Peluang hanya
datang sekali dan kami merasa bertuah kerana telah
mempergunakannya sebaik-baiknya! Di sebelah malamnya,
si DOLLAH BADAWI tu dok merungut kat TV 3/4 mengatakan
tidak sepatutnya pihak pembangkang melaungkan
kata-kata tertentu kepada pihak BN. Piirahhhhh! Bila
kena tang depa tak pe lak!!
Apabila bulan Ramadhan menjelang, semua program
ceramah kelompok dibuat selepas sembahyang Tarawikh.
terasa lebih berkat pula aktiviti di sepanjang bulan
mulia ini. Semakin ramai pula yang tampil untuk
berkhidmat secara suka rela. Senarai nama petugas suka
rela untuk kenderaan sahaja melebihi 100 nama. Tidak
dilupa kepada kumpulan reformis dari KL yang tidak
ketinggalan menjalankan tugas-tugas 'spy' mereka dan
gerak gempur yang lasak. Kesungguhan dan tekad mereka
untuk membantu kemenangan BA di Lunas ini sangat
menakjubkan.
Satu kejadian di suatu petang, maklumat diterima akan
kegiatan sebuah lori sedang memunggah
bungkusan-bungkusan gula, beras dll ke dalam Bank
Rakyat di Kulim. Pihak reformislah yang bertindak
sebagai 'detektif'. Mereka berjaya merakamkan gambar
lori tersebut dan kegiatannya di hadapan Bank rakyat
Kulim. Ini merupakan bahan bukti akan kegiatan rasuah
yang cuba disogokkan oleh pihak BN kepada penduduk
tempatan di Lunas. Selain itu, ini bermakna pihak
pengurus Bank Rakyat Kulim juga terlibat dengan
aktiviti rasuah yang jijik itu. Siapakah gamaknya
pengurus Bank Rakyat yang korup itu?!!!
Dua hari menjelang hari pembuangan undi, pihak
reformis jugalah yang berperanan memastikan menambah
bilangan banner buatan tangan mereka dan menampal
poster-poster yang ada ke seluruh pelusuk Lunas iaitu
di kawasan-kawasan yang agak kurang penampilan
posternya. Mereka bersengkang mata dan ada yang sampai
ter'miss' sahur bekerja menampal poster. Banner-banner
yang menarik antaranya berbunyi....'UMNO Dulu, Kini
dan Selamanya....RASUAH' adalah hasil tangan mereka.
Tabik kepada semua reformis KL yang turut menyumbang
kepada kemenangan BA di Lunas.
Pada malam sebelum hari pengundian, saya juga antara
yang tidak tidur pada malam itu. Adik-adik yang
bertugas bahagian keselamatan di bilik gerakan utama
telah beberapa hari tidak tidur kerana berkawal. Lebih
kurang jam 6.00 pagi hari pengundian 29 November, saya
menghampiri adik-adik petugas keselamatan bertanyakan
khabar berita. Rupa-rupanya 2 buah bas yang mengangkut
pengundi-pengundi hantu telah terlepas masuk. Kepujian
patut diberikan kepada orang-orang tertentu yang
setiap masa menghubungi melalui 'handset' akan
ketibaan bas-bas tersebut. Seperti telah ditakdirkan
Illahi, bilik gerakan utama keADILan terletak
betul-betul di sebelah lebuh raya BKE, iaitu jalan
masuk dari Butterworth ke Kulim. Jadi setiap bas
pengundi hantu yang hendak ke bilik gerakan utama BN
akan terpaksa melintasi jalan di hadapan bilik gerakan
utama BA. Apabila satu bas pengundi hantu diberitakan
akan lalu di situ, kami telah bersiap sedia di dalam
kereta untuk mengekori mereka. Apabila bas tersebut
tiba, kami bagaikan kisah siri' Starsky and Hutch'
mengejar dan mengekori bas itu sehingga bas itu
memasuki perkarangan bilik gerakan utama BN. Di situ
telah ada beberapa buah bas dan kelihatan
petugas-petugas mereka sedia menunggu dan
menyelenggarakan ketibaan rombongan bas tersebut.
Sedang kami mengambil gambar-gambar bas-bas pengundi
hantu di bilik gerakan BN dari tepi jalan itu,
beberapa petugas mereka yang menyedari kehadiran dan
tindak tanduk kami itu lantas meluru ke arah kami.
Maka kami pun bergegas meninggalkan tempat itu dengan
segera. Kecut juga tetapi puassss!
Apabila berkumpul semula di bilik gerakan utama BA,
sekali lagi handset berbunyi dan maklumat tentang
ketibaan bas pengundi hantu yang seterusnya diterima.
Kali ini kami berbincang akan langkah yang patut
diambil seterusnya. Ramai yang berpendapat agar bas
tersebut ditahan di hadapan jalan bilik gerakan juga.
Ada seorang dua yang membantah cadangan tersebut
kerana bimbang kekecohan akan berlaku. Walau
bagaimanapun, apabila sahaja bas tersebut melintasi
jalan di situ, tanpa dapat ditahan-tahan lagi semangat
yang membara di dalam diri kami, bas tersebut terus
kami tahan di tengah-tengah jalan itu. Pemandu bas
enggan membuka pintu bas itu menyebabkan seorang
pakcik yang bersemangat sekali dan masih memakai kain
pelekat(mungkin baru sudah mengerjakan solat subuh)
memanjat pintu bas pemandu itu. Melihatkan keadaan
yang agak tegang itu akhirnya pemandu bas itu membuka
pintu bas dan bas itu dapat ditawan dengan segera.
Seterusnya bas tersebut diarahkan memasuki perkarangan
bilik gerakan BA. Itulah bas pengundi hantu yang
pertama berjaya ditahan. Sehingga pukul 8.00 pagi
sebanyak 5 buah bas telah dapat ditahan oleh
petugas-petugas BA.
Di hari pengundian petugas-petugas dari setiap UPU
telah bersiap sedia mengawal kawasan masing-masing.
Pasukan-pasukan pengejar pengundi hantu telah dibentuk
dan masing-masing begitu sibuk memainkan peranan.
Perayu-perayu undi di pondok-pondok panas dengan tugas
masing-masing dan pasukan-pasukan pengejar pengundi
hantu dengan misi masing-masing. Diberitakan pasukan
pengejar pengundi hantu di Keladi telah berjaya
menghambat sebuah bas pengundi hantu sehingga ke Alma
Bukit Mertajam! Tabik kepada petugas-petugas yang
berjaya mengejar dan menghambat bas-bas pengundi hantu
itu. Tanpa kalian, kemungkinan besar kemenangan BA
akan terlepas begitu sahaja. Walau bagaimanapun tidak
dinafikan ada juga pengundi-pengundi hantu yang
terlepas masuk. Di tempat mengundi Sekolah Kebangsaan
Keladi, pagar belakang sekolah telah dirobohkan dan
dicerobohi oleh pengundi-pengundi hantu sebelum sempat
disedari oleh petugas-petugas BA. Hasilnya terdapat
pengundi yang sah yang terkejut apabila tiba untuk
membuang undi dimaklumkan bahawa namanya telah digaris
menandakan yang ia telahpun datang mengundi sebelum
itu. Siapa lagi kalau tak si Pengundi Hantu punya
angkara! Ini juga bermakna si petugas SPR di pusat itu
turut terlibat di dalam penyelewengan yang tidak boleh
dimaafkan itu. Biar Allah sahaja yang membalas
perbuatannya!
Menjelang tamat waktu mengundi di sebelah petang, saya
berpeluang bersama-sama dengan petugas-petugas BA
Selangor di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman
Selasih. Tepat jam 5.30 petang pintu pagar sekolah
ditutup. Tetapi pada masa itu juga terdapat 3
kenderaan polis cuba untuk masuk ke perkarangan
sekolah tersebut. Para petugas Selangor dengan
semangat yang jitu telah menghalang kenderaan polis
tersebut dari memasuki sekolah tersebut. Semua petugas
mengepung ketiga-tiga kenderaan polis tersebut yang
terdiri dari proton wira, trak kecil FRU dan kereta
kancil. Atas desakan kami, pihak polis terpaksa akur
dan membiarkan kenderaan mereka diperiksa oleh
petugas-petugas BA Selangor. Boleh tahan juga
garangnya petugas-petugas Selangor ini. Mereka
memeriksa serapi-rapinya kenderaan-kenderaan tersebut
dari bonet belakang, bonet hadapan, bahagian dalaman
kenderaan, di bawah tempat duduk dan di bawah spare
tayar sekali. Setelah berpuas hati dengan pemeriksaan
tersebut barulah kenderaan polis tersebut dibenarkan
masuk. Namun mereka menghantar 2 orang wakil pula
mengiringi kenderaan -kenderaan polis itu masuk bagi
memastikan tiada taktik lain yang akan diambil oleh
tali barut BN itu. Syabas di atas keberanian dan
ketegasan yang ditunjukkan oleh barisan petugas BA
Selangor!
Debaran semakin kuat menjelang keputusan pilihan raya
malam itu. Sebahagian penyokong BA berhimpun di Dewan
Kelang lama dan sebahagian besar lagi berhimpun di
bilik gerakan utama keADILan di Taman Mewah. Oleh
kerana kesesakan lalu lintas, ramai yang tidak dapat
ke Dewan Kelang Lama dan berkumpul di Bilik Gerakan
Uatama di Taman Mewah termasuklah saya. Setiap satu
keputusan yang diterima mengundang sambutan yang
begitu hangat dari penyokong-penyokong yang berkumpul
di hadapan bilik gerakan utama. Sehinggalah apabila
keputusan rasmi diumumkan oleh Sdr. Johari Abdul
selaku Pengarah Pilihan raya Kecil DUN Lunas, bahawa
kemenangan berpihak kepada BA dengan lebihan undi 530,
suasana menjadi amat menggegarkan sekali. Laungan
takbir dan slogan-slogan keramat berkumandang dan
masing-masing berpelukan di samping tidak kurang juga
yang menitiskan air mata kegembiraan.
Pemimpin-pemimpin yang ada diberi peluang berucap di
hadapan ribuan penyokong. Sdr. Azmin Ali, Sdr. Ezam,
Dr. Hatta dll. yang kelihatan letih sebelum ini
berdiri dengan bertenaga sekali di hadapan
penyokong-penyokong meraikan kemenangan yang amat
bermakna sekali. Sdr. Zahid Mat Arip meraikan
kemenangan dengan caranya yang tersendiri dengan
melaung seperti kanak-kanak yang teramatlah
gembiranya.....'Kita menang yeh,yeh! Kita menang
yeh,yeh! Depa kalah yeh,yeh! Depa kalah yeh, yeh!
Kesiannnnn dia! Dan tambah melucukan adalah setiap
laungannya itu turut diikuti oleh semua penyokong.
Gamatnya suasana tidak dapat digambarkan sementara
menunggu sang 'pengantin' yang diraikan tiba. Sdr.
Tian Chua yang tiba dijulang bagai seorang hero.
Ternyata kerja kuatnya telah menyerlahkan hasil yang
amat memberansangkan. Sokongan padu masyarakat Cina
tempatan telah menjana kemenangan BA di Lunas kali
ini. Terima kasih sahabat baru, kaum
Cina,...........selamat menyertai keluarga REFORMASI
Malaysia! Kaikek!Kaikek!Kaikek!
Sdr. Saifuddin Nasution yang amat dinanti-nantikan
tiba dan disambut sebagai wira baru. Ucapannya yang
pendik namun bernas memberi satu kepuasan kepada semua
penyokong-penyokong pada malam itu. Itulah ketokohan
pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat Lunas. Kalian
tidak tersalah pilih lagi! Semoga semua dapat
memberikan sokongan padu kepada Sdr, Saifuddin
Nasution sehingga tahun 2004 nanti!
Para penyokong BA terus berpesta pada malam itu. Di
kiri kanan bahu jalan di hadapan bilik gerakan
dipenuhi setiap sudutnya oleh penyokong-penyokong.
Pihak polis pada malam itu begitu sporting sekali
menutup jalan di hadapan menjadikan lalu lintas di
situ kurang sesak. Setiap kenderaan yang lalu disorak
penuh meriah dan balasan yang serupa diterima. Satu
kenderaan TV 3/4 juga melintasi jalan di situ dan
peluang mengeboo tidak dilepaskan oleh kami. Puas
rasanya dapat meluahkan rasa hati yang menyampah
teramat sangat kepada puak-puak TV3 suku itu. Konvoi
bermotor yang diharamkan sebelum itu dihidupkan semula
pada malam itu. Dapatlah adik-adik Mat Motor penyokong
BA melepaskan geram mereka yang terbuku sebelum itu.
Saya pulang dengan penuh rasa gembira dan bersyukur di
atas kemenangan yang amat bersejarah itu. Benarlah
kata-kata Sdr. Azmin semasa malam pengisytiharaan
calon BA tempoh hari........LUNAS bakal mencatatkan
satu sejarah yang amat bermakna sekali buat BA. Di
sini terbuktilah kebangkitan rakyat dan kuasa rakyat
yang dapat mematahkan kerakusan puak BN yang hanya
bermain dengan duit ringgit itu. Wang mungkin boleh
membeli segala-galanya tetapi tidak semangat pejuangan
rakyat yang cintakan keadilan. Kita mungkin miskin
harta tetapi kaya dengan semangat juang yang kental
dan tidak akan padam sampai bila-bila!
Sesungguhnya kenangan di N34 DUN Lunas dari 18 Nov
hingga 29 Nov. akan kekal bersemadi bersama semangat
yang semakin membara ini!
LAWAN TETAP LAWAN!
ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!ALLAHUAKBAR!
Kak Id 2000