Fokus Khas:
Mulanya Berniaga Akhirnya Menjajah
Oleh: Samad Idris
Awal kata:
Kita taip semula tulisan Tan Sri Samad Idris yang disiarkan di sebuah akhbar perdana
menjelang Perhimpunan Agung UMNO, Mei yang lalu. Ia amat relevan dengan perkembangan UMNO
sekarang ini dan kereputan parti itu yang masih tidak difahami oleh hampir 2.5 juta ahli
parti itu, baik yang masih hidup ataupun yang hampir mahu mati. -MT-
Perhimpunan
Agung UMNO akan diadakan bulan Mei tidak lama lagi. Semua pihak tertumpu kepada
kemuncak perhimpunan ini bagai memastikan riak dan kocak politik tanah air
kerana di tangan UMNO terletaknya hala tuju negara kita sekarang sebagai
tunjang 'pohon rimbun untuk berteduh' rakyat Malaysia. Justeru perhimpunan
tersebut merupakan sesuatu yang memanaskan suasana, kerana tahun ini akan diadakan
pemilihan pucuk pimpinan parti.
Manakala sepanjang bulan Mac pula seluruh bahagian
telah dan akan mengadakan mesyuarat perwakilan bagi menentukan kepimpinan peringkat
bahagian di samping membuat pencalonan untuk Majlis Tertinggi (MT).
Walaupun pilihanraya
baru sahaja berlalu dan biasanya begitu memanaskan perebutan untuk menjadi wakil rakyat,
tetapi sebenarnya pemilihan pucuk pimpinan UMNO lebih mencuri
tumpuan kerana 'sekali berdayung dua tiga pulau terlangsung, sekali membuka
pura dua tiga hutang langsai'.
Ghairah
Bukan sahaja ahli-ahli UMNO yang ghairah, malah
pelabur-pelabur juga resah. Kalau tidak diadakan pemilihan pucuk pimpinan biasanya
perhimpunan berkenaan tidaklah sehangat seperti dirasakan sekarang.
Dalam suasana begini kita harus ingat fungsi UMNO ketika ditubuhkan dulu, iaitu
menyatupadukan bangsa melayu 'ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, berat sama
dipikul ringan sama dijinjing'.
Kita perlu menyedari hakikat bahawa sejak berabad-abad
dijajah kedudukan bangsa bukan sahaja berpecah belah mengikut sifat kenegerian
masing-masing, malah martabat dan kedaulatan juga terhimpit di bawah
cengkaman mereka sama ada dalam bidang politik, apa lagi keteguhan ekonomi
yang menjadi sumber kekuatan sesuatu bangsa itu.
Dalam masa penjajah Inggeris, orang
Melayu sekadar digalakkan membuka tanah hutan dua atau tiga ekar sahaja bagi
dijadikan kebun getah. Sebaliknya pemodal-pemodal Inggeris membangunkan beribu-ribu ekar
tanah dijadikan ladang dan menggerakkan sektor perlombongan di samping
membukakan seluas-luasnya pintu negara kepada siapa sahaja pendatang luar. Semua gejala
ini adalah berdasarkan kepada kepentingan ekonomi penjajah 'menangguk di air
keruh' dalam masa negeri-negeri Melayu diselubungi krisis perebutan kuasa di
kalangan pembesar-pembesarnya.
Malangnya orang Melayu ketika itu tidak mempunyai
daya renung yang tajam dengan taktik perangkaan jangka panjang penjajah ini.
Barangkali banyak pihak di kalangan orang Melayu tidak mengetahui latar
belakang sejarahnya, terutama sekali generasi muda sekarang yang masih 'umur baru
setahun jagung, darah baru setampuk pinang.'
Mengenal
Justeru ada baiknya kita
mengulang kaji 'kok lupa cuba beringat, kok tinggal cuba dicari' supaya dapat kita
mengenal keperibadian sendiri.
Kedatangan penjajah Barat ke tanah air kita di masa
lampau pada awalnya bukan untuk menjajah, sebaliknya mereka datang sebagai
peniaga yang mahu mengaut keuntungan besar dalam bidang ekonomi. Tetapi apabila
terpaksa bersaing di antara satu sama lain, mereka perlu merebut tapak bagi
mengukuhkan penguasaan perniagaan masing-masing.
Pada awalnya Portugis yang
sudah bertapak di Goa, India mahu mengukuhkan penguasaan perniagaan di rantau Melayu
telah datang ke Melaka dalam tahun 1509. Mereka menghadapi masalah dalam urusan di
pelabuhan, disebabkan percaturan politik tempatan yang membabitkan puak-puak
di kalangan pembesar Melayu. Di sinilah berlaku krisis Seri Maharaja Tun Mutahir
selaku bendahara dan Laksamana Khoju Hussin yang menguasai pelabuhan di bawah Raja Mandeliar. Krisis ini membawa kepada pembunuhan ke atas Tun Mutahir serta tidak puas hati
pengikut-pengikutnya.
Peluang inilah digunakan oleh Portugis apabila menyerang Melaka
dalam tahun 1511 kemudiannya. Lebih seratus tahun Portugis berkuasa di Melaka,
berlaku lagi krisis di rantau Melayu apabila Acheh menyerang Perak, Pahang dan Johor.
Bagi
mengukuhkan kedudukan Johor, Bendahara Sekudai (Tun Jenal bin Tun Muhamad Bendahara Paduka
Raja Tun Seri Lanang) telah membantu Belanda mengalahkan Portugis di Melaka dalam
tahun 1641. Penjajah Portugis berjaya dihalau dalam peristiwa orang Melayu mengajar
Belanda memanjat tembok kota menggunakan sigai, tetapi Melaka dijajah pula oleh
penjajah baru iaitu Belanda.
Kemudiannya dalam perjanjian Anglo-Dutch 1824 di
London, Belanda mengagihkan pula negeri ini kepada penjajah Inggeris. Rantau Melayu
diagih-agihkan oleh penjajah sesama mereka dengan Belanda mengambil kepulauan
Indonesia, Sepanyol menjajah Filipina dan Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu termasuk bahagian Borneo (Sabah, Sarawak dan Brunei). Fakta ini jelas menunjukkan dalam persaingan
merebut tapak perniagaan dan mengukuhkan ekonomi inilah mereka menakluk rantau
Melayu. Dengan penjajahan inilah mereka dapat memonopoli perniagaan hingga
beratus-ratus tahun hingga akibatnya generasi kita sekarang menanggung
beban menjadi penumpang negara sendiri.
Siapa mahu disalahkan kalau 'sudah
terhantuk baru mahu tengadah'? Justeru kita mesti kembali kepada realiti
'beringatlah sebelum kena'.
Walaupun kesedaran sudah berputik sejak generasi
saya berjuang bermati-matian dulu untuk melepaskan diri daripada cengkaman
penjajah, tetapi perlulah ia dipupuk dan dibaja pula oleh generasi sekarang supaya
terus subur laksana pohon perdunya dijaga pelihara buahnya dinikmati bersama.
Generasi ketika itu bukan sahaja tidak sedar halusnya jarum penjajah untuk
menakluki negara dan memonopoli ekonomi, malah mereka memuji-muji betapa
adilnya penjajah, bertimbang rasa dan memberikan bantuan tidak terperi nilainya bagi
membangunkan negara.
Tetapi jangan lupa dengan polisi penjajah itulah
identiti negara kita hampir tenggelam. Apabila negara ini dibuka luas mereka membawa masuk
buruh-buruh asing bagi mengusahakan sektor perladangan dan perlombongan. Buruh-buruh
juga dibawa bagi membina jalan-jalan raya bagi kemudahan penjajah memunggah segala hasil
mahsul negeri dibawa balik untuk kekayaan negara mereka. Buruh-buruh asing yang
dibawa masuk ini akhirnya penduduk tetap yang bersaing pula dengan anak negeri dalam
perebutan ekonomi baru.
Keuntungan
Dalam keadaan negara kita sudah mencapai kemerdekaan
sekarang, bentuk penguasaan ekonomi yang dulunya mempunyai taktik berlawanan dengan
apa berlaku sekarang. Bagaimana pun matlamat tetap sama iaitu mahu mengaut
keuntungan dari sumber perniagaan, lebih-lebih lagi dalam usaha memonopoli barangan yang
berharga dan memberi keuntungan yang lumayan. Perebutan dalam memonopoli perniagaan
ini sesuai dengan bidalan orang tua-tua 'hati berani senjata tajam, mulut bacar emas
banyak'. Maknanya: monopoli ekonomi inilah terletaknya kuasa politik.
Walaupun orang
Melayu telah mula sedar dalam hal ini dan beranggapan tokoh korporat Melayu sudah berjaya,
tetapi mungkin banyak pihak telah lupa dengan paksi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam tahun 70-an dulu. Matlamat DEB inilah
bagi mencapai tiga puluh peratus pengisian ekonomi untuk bumiputera menjelang
1990. Mungkin dalam tempoh dua puluh tahun itu jangkauan sudah dicapai, tetapi
matlamatnya masih jauh dari sasaran.
Segelintir kita memang menyedari hakikat ini
terutama sekali di kalangan pemimpin dan tokoh-tokoh korporat kita yang berjaya.
Sehingga saat ini masih terdengar desas-desus bagaimana tokoh-tokoh korporat
berbincang sesama mereka yang telah berjaya, mengenai usaha mahu mencapai matlamat
tersebut. Memang merekalah yang lebih faham keadaan sebenar dan kerajaan tidak boleh
dibebankan bulat-bulat dengan kesalahan demikian. Sebagai pembuat dasar kerajaan sudah
membuka ruang secara jelas.
Sepatutnya mereka yang telah berjaya ini merancang dan
membuat sesuatu kerana 'perahu sudah di air dayung sudah di tangan'. Merekalah yang
membawa hala tuju bagi mencapai matlamat tersebut dengan pelbagai cara yang mereka lebih
memahaminya. Kalau bersandarkan kepada pemimpin-pemimpin kerajaan, memang mereka
tidak banyak memikirkan hal-hal seperti ini. Mereka lebih menumpukan kepada
perancangan kepada masalah bangsa dan negara.
Setakat ini kita tidak nampak sesuatu yang
boleh dilakukan oleh tokoh korporat yang berjaya bagi merancang dan memimpin
peniaga-peniaga Melayu. Golongan berkenaan masih terkial-kial sekarang untuk mendapatkan peluang yang boleh menimba keuntungan yang dinanti-nantikan seperti
matlamat yang disasarkan oleh kerajaan. Sepatutnya para tokoh korporat lebih tahu
masalahnya kalau ada di antara yang menyekat atau menghalang matlamat tersebut.
Sekiranya berlaku keadaan 'musuh dalam selimut, menggunting dalam lipatan' dalam dasar
penting kerajaan ini, mereka harus menjadi mata dan telinga bagi melaporkan
kepada kerajaan atau kementerian yang bertanggungjawab. Sehingga hari ini, kita belum
nampak sesuatu yang mereka lakukan, walaupun kita merasa berbangga dengan kejayaan
mereka hasil daripada DEB ini.
Memang saya sering ditemui oleh orang yang berfikiran
terbuka dan mengharapkan sesuatu yang lebih produktif kerana DEB sudah melebihi jangka
waktu, tetapi matlamatnya belum menemui sasaran. Apakah mereka yang berjaya sebagai tokoh
korporat ini berpuas hati sekadar pencapaian yang mereka peroleh sahaja? Tidak sewajarnya
mereka mengetepikan pandangan orang lain kerana 'besar jangan disangka bapa, kecil jangan
disangka anak'. Pada orang dari kalangan tokoh peniaga kerdil dan sederhana yang masih
terkial-kial lagi untuk mendaki tangga menuju ke matlamat tersebut, tetapi boleh
digantungkan harapan kita bagi mengikat kedudukan ekonomi bumiputera.
Perasaan
Apa yang
saya utarakan ini bukanlah hasrat dan fikiran sendiri, tetapi ramai
teman-teman yang meluahkan perasaan demikian terutama mereka yang
menceburkan diri dalam bidang tersebut. Walaupun kita tidak nafikan tokoh-tokoh
korporat ini tetap sedar atau memberi peluang dan kesempatan kepada golongan kerdil,
tetapi masih belum kedapatan mereka serius memberikan perhatian kepada persoalan
pokoknya.
Jika keadaan ini masih berlarutan dengan tidak ada sebarang tindakan
positif diambil, matlamat dua puluh tahun yang sekarang dilanjutkan tiga puluh
tahun sukar menemui sasaran. Mungkin akan berterusan kepada empat puluh tahun atau
setengah abad pula, matlamat tiga puluh peratus pengisian bumiputera dalam
ekonomi akan tergantung di awang-awangan?
Sudah tentu Perhimpunan Agung UMNO seperti di
masa lalu juga, bukan sekadar menentukan pucuk pimpinan parti tetapi memastikan hala tuju
dan dasarnya membawa suara bangsa Melayu. Justeru kemenangan UMNO memimpin negara adalah
dari kekuatan sokongan orang Melayu yang tidak berganjak selama ini.
-Samad Idris-
Komen
MT:
Lihat....betapa bezanya keadaan sekarang, apa yang dikatakan "kekuatan
sokongan orang Melayu yang tidak berganjak selama ini" adalah satu metos semata-mata.
Apakah bezanya penjajahan orang putih ke atas Semenanjung Tanah Melayu dan Gugusan
Kepulauan Melayu dengan agenda UMNO di bawah pimpinan seorang diktator tua yang takut
dengan pertandingan jawatannya dan kecut perut apabila disapina mahkamah? Marilah
sama-sama kita renungkan soalan ini untuk keselamatan anak cucu kita.
-MT-